Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 31 Oktober 2013

CARI REDHA ALLAH




Mereka yang memilih pekerjaan atau bekerja dengan mensasarkan pendapatan TINGGI sebagai TARGET; stress bertambah, skill & ilmu bergerak perlahan, pendapatan pun PERLAHAN jua. Letakkan peningkatan kualiti, ilmu, skill, kepakaran dalam bidang yang diceburi itu & redha Allah sebagai TARGET sewaktu kerja. Inshallah pendapatan TINGGI serta TAWARAN BESAR akan bergolek datang. Itulah rahsianya’ petikan dari FB Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman.

Tertarik saya dengan ungkapan yang dimaklumkan oleh Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman sebelum melakukan tugasan perlu kepada niat yang betul dan benar. Setuju sangat-sangat. Fikirkan kita bekerja untuk apa sebenarnya? Per tingkat kan taraf kehidupan atau mencari apa yang Allah sarankan. Semuanya kita cari jawapannya dalam diri kita sendiri. Hanya kita sendiri yang layak untuk menjawabnya. 

Niat sesiapapun boleh berniat mengikut apa yang dihajatinya. Kalau baik niatnya sudah pasti tindakannya juga menjadi baik dan begitulah sebaliknya. Sama jugalah dalam kita melakukan tugasan kerja melakukan jualan, kalau diniatkan untuk mendapatkan perolehan dan pendapatan yang tinggi sudah pasti kita mampu untuk memperolehnya. Namun bagi mencapainya sudah pasti pelbagai tekanan akan berlaku pula dari segi kualiti kerja, ilmu dan skil. Bila tekanan kerja yang kuat sememangnya segala-galanya akan menjadi penghalang atas tugasan tersebut. Akibatnya segala keputusan yang diingini menjadi perlahan dan terbantut pula.
Berbeza dengan tugasan melakukannya kerana mencari keredaan Allah. Cukup hebat kesannya sama ada kita sedar ataupun tidak. Lakukan sebaik yang mungkin kejayaannya bukan setakat di dunia malah di akhirat pasti diperoleh sama. Betuk-betul 2 dalam 1. Kerana Allah kita hadir di dunia ini dan kerana Allah juga kita kembali kepada Nya semula. Kita cuma seorang hamba yang dijadikan oleh Nya. Kalau penyerahan diri tidak diserahkan sepenuhnya bagaimana kita boleh memperoleh keberkatan dan kerahmatan daripada Nya? Kerana itu niat dalam melakukan tugasan perlu ada. Berniat dengan betul sentiasa mencari redha Allah pasti kejayaan buat kita dunia dan akhirat. Jangan risau dengan segala janji Allah.


Read more >>

Rabu, 30 Oktober 2013

APABILA MENDAYUNG




Umpama kita mendayung sampan. Hendak mendayung perlukan sampan di samping terdapat dua bilah dayung untuk kita pergunakan bagi tujuan mendayung. Pastikan jaket keselamatan perlu di pakai sama bagi tujuan keselamatan. Nak mudah mendayung jangan terlalu rapat dengan tebing kena jauhkan darinya. Nak bagi ada kelajuannya agar kurang kepenatannya perlukan mendayung mengikut arah tiupan angin. Apabila mendayung jangan melayan arus air kerana terlalu sukar pula untuk bergerak dengan lebih lancar. Semuanya memerlukan kemahiran walaupun hanya untuk mendayung sampan.

Begitulah juga dalam melakukan jualan. Apabila kita hendak melakukan jualan kena pastikan segala-galanya mencukupi bagi kita dari segi pengetahuan tentang produk dan persiapan diri. Semuanya kena disediakan dahulu akan apabila pergi menjual sekurang-kurangnya kita tahu apa yang perlu kita lakukan. Nak dapatkan penutupan jualan perlukan kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan. Jangan main cincai sahaja. Kena tahu apa yang boleh dan yang tak boleh. Maklumlah nak hadapi bangkangan dan bantahan jualan bukannya mudah. Kena ada kesabaran dan kecekalan di dalam diri kita sendiri. Kekuatan dalaman kena ada bagi menghadapi apa juga cabaran dan rintangan yang perlu ditempuh.

Ingatlah kalau nak berjaya kena ambil pengajaran dari mendayung sampan. Jangan leka mendayung dikhuatiri nanti tidak sampai ke mana pula. Kena berhati-hati agar kita sentiasa tahu di mana arah tujuan yang perlu untuk sampai ke lokasi yang sepatutnya. Elakkan dari menjadi karam atau terbalik di pertengahan jalan. Jadikan sebagai satu iktibar dan pengajaran yang boleh kita jadikan sebagai satu panduan dan pedoman buat kita dalam melakukan jualan. Berikan yang terbaik sudah tentu hasilnya juga akan menjadi yang terbaik juga.


Read more >>

Selasa, 29 Oktober 2013

BAIKI KELEMAHAN YANG ADA




Melakukan jualan sememangnya memerlukan muhasabah dalam diri kita setiap masa. Apa tidaknya dalam melakukan jualan amat diperlukan kesempurnaan. Bila terdapat kesempurnaannya bakal pembeli atau pelanggan sudah pasti cukup tertarik, mudah yakin dan memahami akan apa yang kita lakukan. Elakkan diri kita sering melakukan kesilapan dan kesalahan walaupun kecil ketika kita mahu melakukan jualan.

Jauhi diri dari menjadi seorang yang mudah merasa bangga diri dan bongkak. Kala kita mudah merasa bongkak diri sudah tentu kita akan suka memuji diri kita sendiri dan merasakan apa yang kita lakukan tiada langsung kelemahannya.Ini belum masuk lagi bab mengkritik dan menghentam kelemahan orang lain pula. Orang mukmin yang beriman sudah pasti menjadi sebaliknya pula. Sentiasa melihat kelemahan diri sendiri dan mencuba bersungguh-sungguh menambah baik dari semasa ke semasa. Itu yang sepatutnya dilakukan. Selepas Rasulullah wafat memang sah tiada seorang manusia pun yang hidupnya boleh begitu sempurna dalam dunia ini.

Muhasabahlah. Kenapa pasti apa kekurangan diri kita dalam melakukan jualan. Perbaiki segera dan tinggalkan segala kelemahan dan kesalahan yang telah dilakukan dengan cara

i.             Akui segala kesilapan, kesalahan dan kelemahan yang ada

ii.           Ambil peluang segera kesan mana-mana kelemahan yang wujud dan ada 

iii.          Perbaiki diri sendiri terlebih dahulu dengan cara dan kaedah yang betul

iv.          Jangan hiraukan dan ambil peduli apa orang lain lakukan dan perkatakan

v.            Jangan bersangka buruk dan fikirkan yang negatif

vi.          Tingkatkan kualiti diri agar sentiasa bersemangat melakukan tugasan

vii.        Sentiasa bersikap positif dan tabah dalam menghadapinya

viii.       Segala kelemahan, kesalahan dan kesilapan jangan diulangi lagi untuk dilakukan

ix.         Fokus dan beri tumpuan dengan apa yang kita lakukan

Firman Allah bermaksud "Dan tidaklah Kami mengutus para rasul itu melainkan untuk memberi khabar gembira dan memberi peringatan. Barang siapa yang beriman dan mengadakan perbaikan, maka tak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." Surah Al-An'am (6):48.

Perbaiki segera dan jangan diulangi lagi. Semua orang ada kelemahannya sendiri tapi jangan dibiarkan pula sehingga menjadikan satu tabiat kekal dan tidak baik. Tidak salah untuk berubah yang salahnya jika perubahan langsung tidak mahu dilakukan. Mohon pada Allah agar per mudahkan tugasan jualan kita dan beri kita kekuatan untuk melakukannya. Tak kiralah jika terdapat masalah, rintangan, cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh. Berikan yang terbaik biar mereka tahu yang kita melakukan dengan sepenuh hati secara bersungguh dan gigih. Buktikan yang kita juga setanding dengan mereka yang telah berjaya melakukannya.



Read more >>

Isnin, 28 Oktober 2013

JANGKA MASA PANJANG




Orang berbudi kita berbahasa orang memberi kita merasa. Satu perumpamaan Melayu lama yang masih relevan sehingga kini. Adab orang Melayu yang sentiasa berhemah dan bersopan kepada orang lain yang perlu kita kekalkan sampai bila-bila sekalipun. Bila dah orang buat baik pastikan jangan diberi racun padanya tapi madu yang perlu ditawarkan. Kemesraan yang terjalin perlu dijaga dengan rapi agar semangat ukhuwah terpelihara. Bukan kita hendak meminta sedekah atau meraih simpati tapi bila seseorang telah melayan kita dengan baiknya kena jugalah kita melayan mereka lebih baik dari apa yang telah dihulurkan.

Beretika dan kena jaga tatasusila sebagai seorang Muslim. Melakukan jualan perlu kepada ukhuwah jalinan persahabatan dan persaudaraan. Jangan kerana hendak menjual baru nak berbaik-baik dengan orang yang ditemui. Dah dapat penutupan jualan daripadanya langsung kita lupa dan abaikan pula mereka. Adakah ini matlamat kita dalam melakukan jualan dan kehidupan kita sehari-harian? Rapat dengan seseorang hanya untuk melayan kepentingan diri kita sendiri sahaja. Bak kata peribahasa seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing yang membawa maksud orang yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan hal orang lain. Berjaga-jaga dan berhati-hati agar kita tidak mengutamakan kepentingan diri mengatasi orang lain.

Fikirkan untuk jangka masa yang panjang. Kita menjual bukan bermakna hari ini kita melakukannya cukup sebulan kita berhenti pula. Jangan difikirkan sebegini tindakan kita. Lakukan agar apa juga yang kita ceburi biarlah sehingga akhir hayat kita. Kerana itu kena fikir untuk jangka masa yang panjang dan bukannya dalam tempuh yang singkat. Kerana itu berikan tugasan jualan dengan sebaik yang mungkin. Ketepikan dahulu kepentingan diri kita terlebih dahulu sebelum kita dapat selesaikan masalah mereka menerusi produk yang kita tawarkan. Makin ramai yang kita hulurkan bantuan dan pertolongan makin banyak Allah turunkan bantuan kepada kita. Ini janji Allah kerana Rasulullah SAW telah memaklumkannya terlebih dahulu. Yakin dan percayalah.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, Baginda telah bersabda ‘Barang siapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Kiamat. Barang siapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hamba Nya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barang siapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisi Nya. Barang siapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya’ (Hadis Riwayat Muslim).

Read more >>