Ketika
menjual jangan menipu. Ketika memaklumkan dan memberikan presentasi jangan
menipu. Ketika berjanji dengan pelanggan jangan menipu. Elakkan sama sekali
kerana menurut Rasulullah SAW bersabda "Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga macam, apabila berkata
suka berdusta, apabila berjanji selalu menyalahi dan apabila diberi kepercayaan
(amanah) suka khianat" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Cukup bahaya
dan membahayakan. Hanya kerana kita menipu atau berdusta tidak semena-mena kita
boleh tergolong dalam golongan orang-orang munafik. Balasan bagi orang suka
menipu serta tidak amanah ataupun tergolong dalam orang munafik ini sangat
pedih di akhirat nanti. Sekalipun orang munafik atau menipu orang itu sentiasa
merahsiakan sifat kemunafikannya, Allah adalah Zat Yang Maha Mengetahui pasti
akan membongkar kesalahannya di hadapan orang-orang Islam apa yang selama ini
tersimpan dalam hati kita.
Dalam sebuah
hadis lagi, Dari Abdullah bin Amr b Ash katanya Rasulullah SAW bersabda ‘Ada 4 perkara sesiapa yang terdapat pada dirinya maka akan
lengkap pada keempatnya, itulah dia orang yang munafik sesungguhnya. Dan
sesiapa terdapat padanya satu perkara saja, maka ia termasuk munafik juga
hingga di tinggalkannya sifat yang satu itu. 1. Apabila di percaya dia khianat.
2. Apabila berkata dia dusta. 3. Apabila berjanji dia mungkar. 4. Apabila ia
bermusuhan dia sangat jahat’ (Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Firman Allah
bermaksudnya: "Atau apakah orang-orang yang
ada penyakit dalam hatinya mengira bahawa Allah tidak akan menampakkan
kedengkian mereka? dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tunjukkan mereka
kepada mu sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka kiasan-kiasan
perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu" (Surah Muhammad ayat 29-30).
Jika terdapat tanda-tanda yang dinyatakan ini dalam diri kita belajarlah untuk berubah menjadi seorang yang jujur dan ikhlas dalam melakukan tugasan jualan. Perbaiki akhlak yang tidak baik ini agar bukan sahaja Allah tidak menetapkan Munafik ini ada pada kita tetapi juga akan mendatangkan kepercayaan orang ramai terutama bakal pembeli atau pelanggan yang kita temui. Perkara yang tidak digemari oleh Allah eloklah kita tidak amalkan menjadi satu amalan dan tabiat yang perlu kita lakukan. Rajin bersolat, menahan lapar dalam berpuasa, menghulur zakat dan amal jariah dan sering kali menjadi tetamu Allah di Tanah Haram tetapi kalau dalam diri kita ada sifat munafik apalah gunanya. Habis hilang segala pahala ibadah kita hanya kerana kita suka menipu dan berdusta pada orang lain.
Berubah
segera. Jangan dinantikan lagi. Banyak lagi yang perlu kita selesaikan sebelum
kita bertemu dengan Allah nanti. Selagi kita tidak berubah selagi itulah setiap
amalan kita akan menjadi sia-sia sahaja. Allah sentiasa menerima taubat kita
selagi nyawa kita belum di cabut lagi. Berazamlah agar mana-mana yang tidak
baik ada pada diri kita dipercepatkan pemulihannya agar dalam kita melakukan
jualan kita sentiasa di percayai dan diyakini sentiasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan