Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 14 Februari 2014

ADAB DALAM BERDOA




Sering kali dalam artikel-artikel tulisan saya menyarankan agar kerap kita melakukan doa memohon dan meminta hanya kepada Allah SWT. Jauhkan diri dari terlalu bergantung pada manusia dan perkara-perkara yang boleh mendatangkan khurafat. Elakkan sama sekali. Hanya Allah tempat kita bergantung dan hanya Allah tempat kita meminta-minta dan mengadu domba. Artikel kali ini saya nyatakan cara dan kaedah yang sepatutnya kita lakukan apabila kita berdoa meminta dan memohon hanya kepada Allah SWT. Semoga bermanfaat.


Adab dan tertib berdoa

Dalam berdoa kepada Allah Ta’ala itu ada sepuluh adab iaitu:

(1)               Sebaik-baiknya, ia memilih waktu-waktu yang mulia untuk memanjatkan doanya ke hadrat Allah Taala. Misalnya di waktu wuquf di Hari Arafah setahun sekali, atau pada bulan Ramadhan di antara bulan-bulan yang lain. Atau pada hari Jumaat dari hari-hari yang lain dalam masa seminggu dan di waktu tengah malam dalam masa malam hari. Allah telah berfirman Dan pada waktu-waktu tengah malam, mereka memohon keampunan.(Surah as-Zariat: 18) 

 (2)               Hendaklah ia mencari ketika dan keadaan yang baik, seperti masa berkecamuknya barisan-barisan hadapan pada sabiullah (peperangan untuk meninggikan syiar Allah), dan pada masa turunnya hujan lebat (di negara yang sukar dituruni hujan) dan pada masa mendirikan sembahyang-sembahyang fardu dan sesudahnya dan masa-masa di antara azan dan iqamat, dan pada ketika bersujud dalam masa sembahyang. Pendek kata dikira mulianya sesuatu waktu itu kembali kepada kemuliaan keadaannya. Misalnya di waktu tengah malam, ketika itu hati sedang dalam keadaan bersih suci dan ikhlas serta terjatuh daripada segala perkara yang meruncingkannya. Begitu juga waktu di Hari Arafah dan pada hari Jumaat, ketika itu seluruh perhatian sedang berkumpul dan hati sedang tolong-menolong pada mencapai kerahmatan yang menyeluruh dari Allah azzawajalla.

(3)               Hendaklah menghadapkan mukanya ke arah kiblat ketika memohonkan sesuatu doa, mengangkat tinggi kedua belah tangan sehingga boleh terlihat bahagian ketiak, kemudian selesai berdoa, ia pun menyapu kedua belah tangan itu ke muka.

Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a: Sering kali Rasulullah s.a.w ketika mengangkat kedua belah tangannya waktu berdoa tidak meleraikannya melainkan sesudah disapukan dengan kedua belah tangan itu ke wajahnya.

Ibnul Abas pula berkata: Biasanya bila Rasulullah s.a.w berdoa dirapatkan kedua belah tapak tangannya dan dijadikan bahagian dalam tapak tangan itu bersetentangan dengan wajahnya. Demikianlah cara-cara tangan itu ketika dalam berdoa dan baginda tidak pula mengangkatkan pemandangannya ke arah langit.


(4)               Hendaklah merendahkan suara antara perlahan dan kuat. Siti Aisyah berkata dalam memberikan penerangan tentang maksud ayat berikut: Firman Allah bermaksud Dan janganlah engkau mengangkkat suaramu di dalam sembahyang dan jangan pula merendahkannya sangat.” (Surah al-Isra’ 110). Kata Siti Aisyah maksudnya ialah ketika membaca doa-doanya: Allah SWT telah memuji Nabi Zakaria a.s. dengan firmanNya: Ketika ia menyeru Tuhannya dengan seruan perlahan-lahan.” (Surah Maryam: 3)

Firman Allah Ta’ala lagi Serulah Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan suara perlahan-lahan. (Surah al-A’raf: 55)

(5)               Janganlah sampai ia memaksa-maksa dirinya dalam berdoa dengan bersajak-sajak. Sebaik-baiknya janganlah sampai melampaui doa-doa matsurah (doa-doa yang dihafal dari Rasulullah SAW.) sebab dikhuatiri ia akan melampaui batas di dalam doanya, lalu ia meminta apa yang tak patut dimintanya. Perlu diketahui bahawa bukan semua orang pandai menyusun doa terhadap Allah SWT

(6)               Hendaklah ia berdoa dengan penuh perasaan rendah diri, penuh kekhusyukan, penuh harapan dan kecenderungan dan juga penuh ketakutan. Allah telah berfirman bermaksud Serulah Tuhan kamu dengan merendah diri dan suara perlahan-lahan. (Surah al-A’raf: 55)

(7)               Hendaklah bersikap tetap d dalam doanya dan meyakini bahawa doanya itu akan di kabulkan oleh Allah SWT serta membenarkan harapannya itu. Dalam hal ini, Rasulullah SAW. telah bersabda: ‘Janganlah seseorang kamu berkata ketika berdoa: Ya Allah! Ya Tuhan ku! Ampunilah aku jika Engkau menghendaki! Atau berkata: Ya Allah! Ya Tuhan ku! Rahmatilah aku jika Engkau menghendaki Malah hendaklah menguatkan keazaman dalam doanya itu, kerana Allah tiada pernah di paksa atas pengabulan doa.’

Berkata Rasulullah SAW Bila seseorang kamu berdoa, hendaklah ia memperbesarkan permohonannya, sebab tiada sesuatu pun yang dianggap besar di hadrat Allah SWT.”

Bersabda lagi Rasulullah SAW “Berdoalah kepada Allah sedangkan kamu penuh keyakinan akan dikabulkan permintaan kamu itu dan ketahuilah bahawasanya Allah azzawajalla tidak akan mengabulkan doa orang yang lalai hatinya.

(8)               Hendaklah ia bersungguh-sungguh dan jangan berputus asa dalam doanya. Dan sebaik-baiknya di ulang-ulangkan sampai tiga kali, dan jangan sampai merasa terlalu lambat menerima pengabulan.

(9)               Hendaklah ia memulakan doanya dengan sebutan nama Allah dan janganlah sekali-kali memulakan dengan permintaan dulu.  Sesudah menyebut nama Allah disebut pula selawat atas Nabi s.a.w. dan menutup doanya juga dengan sebutan selawat atas Rasulullah s.a.w juga.

(10)          Mengerjakan adab kebatinan dan itulah punca pengabulan dalam semua doa; iaitu bertaubat dan menghentikan segala macam penganiayaan serta menuju kepada Allah azzawajalla dengan sepenuh hati dan perasaan. Yang demikian itu adalah sebab yang paling hampir kepada terkabulnya segala permintaan.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan