Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Isnin, 5 Ogos 2013

Apabila berada di Rumah Allah




Ramai yang berpendapat bahawa masjid adalah satu tempat untuk kita melakukan ibadah. Ada yang beranggapan bahawa jangan sama sekali di campurkan dengan perkara-perkara yang melibatkan dunia. Inilah yang perlu kita perbetulkan semula agar institusi Masjid yang ada tidak berlaku lagi pengasingan pandangan dan tanggapan kita lagi. Sedang Rasulullah SAW menjadikan masjid sebagai satu pusat atau tempat bagi segala-galanya mengurus kehidupan dunia menuju akhirat yang kekal. Sebelum melangkah kaki ke masjid eloklah di ambil wuduk terlebih dahulu. Selepas itu solat sunat dan wajib beriktikaf berzikir atau membaca Al-Quran. Semuanya dilakukan mengikut pilihan berdasarkan kepada kesenangan, keinginan atau kemampuan masing-masing.

Tidak dinafikan bahawa masjid adalah satu tempat dan lokasi untuk kita beramal ibadat di situ. Tapi fungsi atau tujuan yang lain yang perlu kita lihat bersama adalah

i.             Hanya yang beraga Islam sahaja yang layak memakmurkan masjid
Firman Allah bermaksud ‘Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk’ (Surah At-Taubah Ayat 18).

ii.           Jalinan silaturahim mudah dilakukan
Banyak hikmah nya melakukan solat secara berjemaah di Masjid. Di samping mendapat kekhusyukan ketika bersolat ganjaran berjemaah cukup tinggi nilainya jika dibandingkan dengan solat secara bersendirian. Cukup mudah mengenali ahli jemaah masjid hanya dengan bersalam-salaman setiap hari. Mudah mengenali dengan pelbagai latar belakang yang memudahkan lagi tugasan jualan kita mencari sasaran pelanggan dan mendapatkan referral daripada jemaah masjid.

iii.         Tempat pertemuan yang penuh dengan keberkatan
Tidak digalakkan sama sekali duduk di masjid menceritakan tentang perkara-perkara di dunia yang tiada faedahnya. Melakukan jualan tentang produk yang sudah tentu halal dari segi syariah kenapa perlu dirisaukan untuk tidak melakukan jualan di masjid? Tak perlu nak buat seperti kita berceramah atau tazkirah seperti mana ustaz-ustaz yang di jemput oleh pihak pengurusan masjid lakukan. Cukuplah sekadar kita memaklumkan dan memberi penerangan seringkas mungkin dalam kumpulan tiga atau empat orang sahaja itu sudah dikira cukup memadai. Jangan ada perasaan malu, takut dan segan. Buka sahaja mulut teruskan berinteraksi dan berkomunikasi dengan sebaik yang mungkin.

iv.         Mudah melakukan promosi
Majoriti masjid-masjid di Malaysia ini tiada mempunyai halangan dan tentangan dalam pengedaran risalah-risalah produk jualan asalkan tidak mengotorkan, berteraburan dan menyusahkan jemaah masjid. Kalau nak buka kaunter sementara sekalipun mohonlah keizinan pengurusan masjid mungkin dengan bayaran caj yang kecil dan berpatutan dikenakan oleh  pihak pengurusan masjid. Kebanyakan masjid juga ada menyediakan papan-papan kenyataan yang boleh sama sekali digunakan untuk meletakkan poster atau risalah bagi memudahkan jemaah membacanya. Gunakan kreativiti lihat sekeliling apa yang patut kita lakukan promosi yang berpatutan kepada ahli jemaah masjid supaya mereka tahu, sedar dan prihatin kewujudan diri dan produk kita di pasaran.

v.           Berehat dan beriktikaf
Di samping menghilangkan penat di badan dan duduk seketika berehat dan beriktikaf di masjid mungkin boleh digunakan untuk memikirkan semula mencari ilham dan idea apa yang terbaik untuk dilakukan tidak kira mencari prospek, memberikan persembahan terbaik dalam presentasi atau muhasabah memikirkan apa juga tindakan yang mungkin terdapat kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan. Berfikirlah dengan sebaik yang mungkin agar sesuatu keputusan dapat diberikan dengan sebaik yang termampu.

Pergunakan sebaik yang mungkin kemudahan yang ada. Jangan hanya jadikan masjid tempat untuk bersolat berjemaah sahaja. Terdapat banyak lagi yang boleh dipergunakan dengan sebaik yang termampu. Banyak keberkatannya jika masjid mampu kita manfaatkan dari kita memanfaatkan dekat kedai-kedai makan mencari sasaran pelanggan.  Dengan suasana yang tenteram, tenang dan damai akan memberikan satu kelebihan pada diri kita untuk menambahkan lagi kempen dan promosi yang berterusan semasa kita berada di masjid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan