Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 23 Ogos 2013

ADAB MENDAPATKAN ILMU DARI PAKAR




Salah satu kaedah atau cara bagi memudahkan lagi tugasan dalam melakukan jualan dengan cara yang cepat, pantas dan berkesan adalah dengan cara mendapatkan segala ilmu pengetahuan yang kita mahukan dan idamkan dari pakar dan cukup berpengalaman dalam bidang yang kita ceburi ini. Kenapa kita amat memerlukan mereka? Tak lain dan tak bukan hanyalah disebabkan mereka telah menempuhnya terlebih dahulu, mengalami segala peristiwa dan kejadian yang telah mereka jadikan sebagai satu pengalaman diabdikan dalam memori mereka sebagai satu pengajaran dan iktibar buat diri mereka sendiri.

Kerana itu bagi mendapatkan segala ilmu yang kita mahukan dari mereka fahami dahulu apa yang mereka mahukan. Apa yang dimaksudkan dengan fahami dahulu apa yang mereka mahukan adalah

i.             Niat biar betul
Kena ada nawaitu yang betul kena perlu untuk kita mendapatkan ilmu dan pengalaman dari mereka. Bukan untuk menyombong atau untuk berlagak apabila ilmu telah diperoleh. Perbetulkan niat dahulu agar ilmu yang diperoleh penuh dengan keberkatan dan keizinan dari pemberinya. Jangan sekali-kali peroleh ilmu untuk menjatuhkan orang lain pula tapi pergunakan dengan sebaik yang mungkin bahawa tujuan mendapatkan ilmu adalah semata-mata untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada. Belajarlah dengan sebaik yang mungkin.

ii.           Jangan buang masa mereka
Masa yang ada ambil dengan sebaik yang mungkin. jangan bazirkan masa mereka apatah lagi bersembang dengan mereka akan perkara yang di luar dari bidang yang mereka tidak ketahui atau gemari. Pergunakan kesempatan yang ada mengetahui dengan lebih mendalam dari mereka. Nak ‘cilok’ pun biarlah beradab jangan dibiarkan kita terlalu terhegeh-hegeh nak sangat ilmu yang mereka ada. Adat orang berguru, nak dapatkan ilmu kena cari dan pergi ke tempat tok guru dan bukannya tok guru yang datang mencari anak muridnya.

iii.          Kena spesifik
Bila dah bertemu, bersua dan sanggup menjadi anak muridnya kena maklumkan perkara yang sebenarnya. Kena spesifik dan menjurus akan apa keperluan dan kemahuan yang kita cari selama ini dari mereka. Biarlah merendah diri dari meninggi hidung tak tentu hala. Maklumkan dah bagi tahu apa yang kita hajati agar apa yang ingin mereka sampaikan mengikut apa yang dihajati. Selagi tidak menjurus dengan apa yang kita mahukan selagi itulah kita pasti tidak akan dapat apa yang kita mahukan.

iv.          Sediakan ruang untuk bertanya
Bersabar dalam menuntut ilmu. Bertenang sentiasa apabila semasa belajar. Biarlah apa yang mereka perkatakan kita dengari dengan sebaik mungkin. Sediakan catatan dengan sebaik yang mungkin jika kita rasakan apa yang dimaklumkan tersebut cukup penting buat diri kita. Nak bertanya tunggu sehingga apa yang ingin dimaklumkan selesai terlebih dahulu walaupun kita amat ghairah untuk mengetahuinya.

v.            Elakkan mencelah
Dengar dengan baik dan teliti. Jangan mencelah sama sekali walaupun kita kadang-kadang nak tahu sangat sekejap itu juga. Bersabar dan bertenang. Bila kita mencelah pasti akan mengganggu konsentrasi mereka memberikan apa juga ilmu yang kita mahukan. Elakkan dari berikan mereka merasa terganggu apa tah lagi jika mereka pening kepala dibuatnya kerana hasil dari diri kita sendiri. Kerana itu kita di saran untuk membuat nota atau catatan agar sekurang-kurangnya kita akan ingat apa juga perkara yang bakal kita tanyakan nanti.

vi.          Berikan sesuatu balik
Elakkan dari memikirkan apa keuntungan untuk diri kita sahaja. Kena ingat setiap manusia yang hidup pasti tidak mahu menerima kerugian di sebelah pihak sahaja. Ambil hatinya agar beliau semakin bersemangat untuk mencurahkan lagi ilmu kepada kita. Sebaik-baiknya sediakan cenderamata sebagai satu tanda penghargaan dan terima kasih dari diri kita kepadanya. Setidaknya belanjalah makan dan minum kepadanya kerana setiap ilmu yang diberikan mungkin tiada dalam buku yang kita baca selama ini. Sesungguhnya ilmu dalam pengalaman yang ditempuhnya adalah begitu mahal dan amat berharga sama sekali.

vii.        Jangan sama sekali kurang ajar
Merendah diri sentiasa. Jangan sama sekali mengambil sikap biadab dan suka meninggi diri. Sekali kita tidak menghargai dirinya setakat sekali itulah sahaja yang boleh kita peroleh. Jadilah seperti resam padi, semakin berisi semakin tunduk jadinya. Berhemah dan bersopan itulah yang sepatutnya kita lakukan.

Bertindaklah dengan kewajaran yang sepatutnya. Jangan jadikan diri kita mudah merasakan kita ini terlalu bagus dengan apa yang sudah ada pada diri kita. Ilmu yang ada pada diri kita tidak pernah cukup dan memadai tetapi kena kerap dan selalu dicari selalu. Selagi kita merasakan apa yang ada pada kita telah cukup bermakna kita telah sombong dan lupa diri. Carilah dengan sebaik yang mungkin kerana mana tahu ilmu yang ada pada orang lain tidak ada pada diri kita sendiri. Bersopan dan merendah diri untuk adalah lebih baik dari segala-galanya di samping mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah sepanjang masa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan