Sebulan sudah kita berpuasa kini tibalah kita merayakan satu kemenangan
dalam menyambut Aidil Fitri. Setelah sebulan menahan diri dari lapar dan dahaga
dalam menjalankan tugasan namun ibadah puasa perlu dilakukan pada siang hari
dan pada malam harinya sibuk bertarawih, bertadarus dan juga berqiamulail.
Semuanya dilakukan dengan penuh ketabahan dan kesabaran mengharapkan agar apa
yang dilakukan sepanjang Ramadhan ini diterima oleh Allah SWT.
Persoalannya bolehkah kita melakukan jualan dalam menghadapi dan mengharungi
ketibaan Ramadhan yang baru sahaja berlalu ini? Jawapannya tentu boleh kerana
sebagai seorang Muslim yang sejati menunaikan satu perkara Rukun dalam Islam
tidak boleh dijadikan sebarang alasan. Mahu tidak mahu mesti kena lakukan.
Inilah kekuatan bukan sahaja fizikal tetapi juga mental yang perlu dilalui
sama.
Andai kata di bulan Ramadhan dengan perut kosong dan kering tekak boleh
kita lakukan jualan kenapa tidak di bulan-bulan lain bermula dari Syawal ini.
Tidak kira dengan siapa kita bersua sudah pasti keringat yang ada akan
melakukan yang terbaik bagi memastikan setiap penawaran yang diberikan boleh
diterima oleh mereka.
Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh beriktikad walaupun sebentar di
rumah Allah kenapa di bulan lain kita gagal melakukannya. Hanya kelihatan di
hari Jumaat sahaja akan kehadiran diri kita. Kerapkanlah untuk mengunjungi
rumah-rumah Allah seperti mana telah kita lakukan di bulan Ramadhan kerana
terlalu banyak hikmah nya kalau kita sentiasa mengunjunginya.
Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh bertutur dengan pertuturan yang
baik-baik sahaja pada siapa pun yang kita temui kenapa kita gagal lakukan pada
bulan-bulan yang lain? Walaupun tekak kering namun segala apa yang kita
utarakan jika dijagakan ia dengan sepenuh jiwa dan raga kita agar tiada siapa
pun yang boleh disakiti dan marah kepada kita atas sebarang tindakan, perbuatan
dan perkataan yang ditunjukkan.
Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh bersabar dan bertenang sahaja perlu
diteruskan juga pada bulan-bulan yang lain. Setiap hari kerenah dan perangai
bakal pembeli atau pelanggan bukannya sama. Ada kelainannya yang perlu kita
tempuhi dengan penuh kesabaran. Biar penat sedikit melayan kerenah dan gelagat
mereka asalkan hasil dan keputusan akhir dapat kita nikmati dengan kegembiraan
akhirnya.
Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh bersolat sunat dan bertadarus
kenapa kita gagal dalam bulan-bulan yang lain. Takkan setiap detik dan ketika
kita asyik melakukan tugasan jualan sahaja. Kena tetapkan dan peruntukkan
walaupun sedikit masa hanya kepada Allah. Teruskan tradisi amalan di bulan
Ramadhan pada bulan-bulan yang lain juga sebagai satu persiapan rapi pula
menghadapi Ramadhan yang akan datang pula.
Andai kata di bulan Ramadhan kita
boleh dan mampu mencari pelanggan-pelanggan yang ramai kenapa tidak diteruskan
pula di bulan-bulan lain? Dahlah berpuasa dengan jangka masa tidur yang sedikit
namun kita berupaya mendapatkan hasil yang lebih baik pada bulan Ramadhan yang
sepatutnya kecemerlangan ini menjadi satu titik permulaan bagi kita meneruskan
lagi tindakan terbaik yang telah kita buktikan.
Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh dan mampu untuk memperbanyakkan berdoa
memohon apa sahaja yang terlintas dan yang kita mahukan jangan sama sekali kita
berhenti berdoa pada bulan-bulan yang lain. Allah sahaja yang mampu menunaikan apa
sahaja hajat kita di dunia ini. Sebarang masalah kemukakan sahaja kepada Allah bukannya
pada manusia. Memohon belas dan kasihan pada manusia bukan itu caranya. Hanya Allah
sahaja yang mampu melakukannya hanya untuk kita sahaja.
Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh mendisiplinkan diri kita menjalani
ibadah dengan melakukan tugasan harian kita dengan begitu baik sama sekali
mengapa tidak di bulan-bulan lain? Disiplin adalah tunjang bagi segala-galanya.
Bermula dari tabiat yang baik sudah pasti menghasilkan keputusan yang baik
juga. Semuanya bergantung pada disiplin diri sama ada mahu atau tidak untuk
melakukannya.
Jadikan apa yang terbaik pada diri kita dalam bulan Ramadhan kita lakukan
juga pada bulan-bulan yang lain. Jangan hanya di bulan Ramadhan sahaja kita
seorang jaguh tapi di bulan lain terkulai layu begitu sahaja. Terlalu banyak
pengajaran yang perlu kita ambil dari Madrasah Ramadhan ini untuk kita amalkan
dan lakukan demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan buat diri kita sendiri pada
bulan-bulan yang lain pula. Tiada alasan lagi kenapa kita masih perlu gagal
dalam melakukan jualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan