Kini kita telah
pun berada di dalam bulan Safar. Mengikut pengertian bulan Safar adalah bermakna 'sifar' (kosong). Ia merupakan bulan kedua dalam
kalendar Islam. Dalam bulan ini orang-orang Arab dahulu biasanya meninggalkan
rumah mereka menjadi kosong. Ketika inilah mereka melakukan serangan,
melaksanakan pembalasan terhadap musuh-musuh mereka. Malangnya bagi kita di
sini apabila kehadiran bulan Safar masih lagi di anggap bulan yang penuh dengan
bala bencana, membawa sial, tidak bernasib baik dan semua yang negatif. Satu
kepercayaan karut yang perlu di kikis oleh kita semua. Begitu juga dalam kita
melakukan jualan, dalam bulan inilah akan berlaku pelbagai kesukaran dan
kesusahan dalam melakukannya. Semuanya hanyalah semata-mata kerana bulan Safar.
Adakah ini satu kebenaran atau berlaku secara tidak sengaja sebagai satu ujian
Allah.
Semuanya
Rasulullah SAW telah terangkan kepada kita. Ketahui sebaik-baiknya kerana
kehadiran bulan Safar ini bukanlah pembawa suwey, tiada ‘ong’, menyukarkan
pekerjaan dan sebagaimananya. Sabda Rasulullah SAW ‘Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau
buruk) melalui burung-burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan
tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan
diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang
bengis’ (Hadis Riwayat Bukhari).
Jadi
janganlah kita mudah membuat andaian, tanggapan dan pernyataan yang bukan-bukan
hanya kerana kita berada di bulan Safar ini. Kalau berlaku pun mungkin secara
kebetulan dan sebagai satu ujian dari Allah. Hadapi apa pun yang berlaku
sebagai cabaran dan ujian. Tak perlu menyalahkan tapi hadapi dengan hati yang
terbuka. Selagi kita berusaha selagi itu keputusan akhir mendapatkan penutupan
jualan pasti boleh kita lakukan dengan sebaik yang mungkin. Jangan hiraukan
bulan Safar ini tapi berpandulah kepada pesanan Rasulullah itu yang sepatutnya.
Antara
peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di bulan Safar ini adalah
1.
Perkahwinan
Baginda Rasulullah SAW dengan Siti Khadijah binti Khuwailid r.a, ianya berlaku
sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul.
2.
Kebenaran
berperang (2 Hijrah), peperangan pertama yang dihadiri oleh Rasulullah adalah
'Wudan' atau 'Abwak' bagi menentang kekufuran.
3.
Tragedi
Ar-Raji', berlaku pada tahun ketiga Hijrah (pendapat lain, 4 Hijrah). Seramai
tujuh orang sahabat Baginda diutus untuk mengajar agama Islam kepada kaum 'Udal
dan Al-Qarah, tetapi mereka telah mengkhianati perutusan tersebut dengan
melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan yang bernama Ar-Raji'
di daerah 'Usfan (kawasan di antara Mekah dan Madinah). Di antara yang
menyertai perutusan itu Khubaib bin 'Adiy, Marthad bin Abi Marthad Al Ghanawiy,
'Asim bin Thabit dan Zaid bin ad-Dathanah. Kesemua sahabat dibunuh di tempat
serangan kecuali Khubaib bin 'Adiy yang dibawa ke Mekah dan dibunuh di sana.
Beliau merupakan orang yang pertama menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum di
hukum bunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah.
4.
Peperangan
Bi'ru Ma'unah (4 Hijrah), di bawah pimpinan Al-Munzir bin 'Amr As Sa'idiy yang
ditugaskan untuk berdakwah dan mengajar tentang agama Islam dan Al-Quran kepada
Bani 'Amir disertai oleh 40 orang sahabat Rasulullah.
5.
Pembukaan
Khaibar (kubu orang Yahudi) pada tahun ketujuh Hijrah, disertai juga oleh 20
orang sahabat wanita di antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd. Mutallib dan
Ummu Aiman. Seramai 15 orang sahabat gugur syahid manakala di pihak Yahudi pula
seramai 73 orang mati terbunuh. Orang Yahudi pada mulanya merasakan bahawa
mereka tidak boleh ditewaskan kerana keteguhan kubu, jumlah alat kelengkapan
senjata dan bilangan mereka yang ramai.
6.
Peperangan
Maraj Rahit pada tahun ke-13 Hijrah di pinggiran bandar Damsyik, Syria di bawah
pimpinan Khalid bin Al-Walid.
7.
Pelantikan
'Abd. Rahman Al Ghafiqiy sebagai Gabenor Andalusia pada tahun 113 Hijrah.
8.
Kewafatan
panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubiy pada 27 Safar 589 Hijrah.
9.
Kejatuhan
Kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijrah.
Khalifah 'Abbasiah, Al-Mu'tasim Billah, terbunuh berserta ahli keluarganya,
orang-orang kenamaan negara dan ratusan ribu orang Islam. Beribu-ribu kitab
Islam musnah.
Jadikan sebagai satu pengajaran
dan iktibar yang berguna buat kita dalam kita mengharungi segala cabaran dan
dugaan melakukan jualan. Tiada istilah sial atau bernasib baik sahaja tapi
lakukan segala usaha kita dengan penuh kegigihan dan kesungguhan yang ada. Dikhuatiri
nanti kalau terlalu percaya akan perkara yang bukan-bukan boleh menjejaskan akidah
dan ini boleh mendatangkan syirik kepada Allah. Berhati-hatilah dan jangan
mudah terpengaruh dengan apa yang tidak benar dan terkeluar dari Islam.
Firman Allah bermaksud ‘Dan
belanjakanlah (Apa Yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan
janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan
(dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya Segala usaha dan)
perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berusaha
memperbaiki amalannya. ‘ (Surah Al-Bawarah Ayat 195).
Firman Allah lagi
bermaksud ‘Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Tidak sekali-kali akan menimpa
Kami sesuatu pun melainkan apa Yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah
Pelindung Yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada
Allah jualah hendaknya orang-orang Yang beriman bertawakal’.
(Surah At-Taubah Ayat 51).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan