Binalah kekuatan
rohani agar apa yang kita lakukan dalam jualan dapat diatasi dengan sebaik yang
mungkin. Dengan kekuatan rohani kita akan lebih tabah, tenang dan sabar dalam
menghadapi apa juga musibah, kesukaran dan kesusahan yang di hadapi. Bila
kekuatan dalaman telah diperoleh sudah tentu akan lebih memudahkan apa juga
tindakan kita dalam menghadapi segala macam rintangan yang pasti tidak
semena-mena dan tidak disangka boleh diperoleh. Inilah yang perlu dihadapi sama
ada suka ataupun tidak.
Rohani adalah ibarat raja dalam diri
manusia yang akan menentukan baik atau buruknya individu tersebut. Daripada Abi
Abdullah al-Nu’man bin Basyir, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda
maksudnya “Ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging
yang apabila baik daging tersebut, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan jika
rosak daging tersebut maka akan rosaklah jasad keseluruhannya, itulah dia yang
di namakan hati” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis yang menggambarkan
betapa pentingnya peranan roh yang menggerakkan jasad dan fizikal manusia dalam
mengembangkan tanggungjawabnya membina peradaban demi kekuatan dalam menghadapi
dunia jualan akan segala cabaran yang perlu dihadapi dan diatasi. Kecantikan
rohani menggambarkan keindahan jasmani.
Seumpama orang yang ingin mengerjakan
solat subuh, bukan senang untuk melakukannya melainkan kena ada ilmu,
kesungguhan untuk melakukannya, kesedaran akan takut kepada Allah dan sanggup
untuk melakukannya secara berdisiplin. Bila semua telah bersemi dan tersemat
dalam sanubari kita bermakna kita telah membina kekuatan dalaman untuk
melakukannya dengan penuh keredaan walaupun di waktu tersebut betapa nikmatnya
untuk tidur dan terus tidur lagi. Sudah pasti akan begitu mudah untuk
menunaikannya walaupun nikmat tidur tersebut boleh diabaikan begitu sahaja.
Begitulah hebat jika ada semangat dan kekuatan dalaman yang telah dibina
walaupun apa juga masalah yang mendatang sudah pasti boleh bangun terjaga dari diulit
lena untuk menunaikan solat subuh dengan tenang, tabah dan sabar.
Begitulah juga dalam melakukan jualan,
kekuatan rohani perlu dibina sama walaupun minat untuk melakukannya tetap ada
dan wujud. Minat sahaja tidak mencukupi kerana cabaran yang mendatang sudah
pasti tidak diketahui apa masalah dan musibah yang bakal ditempuh. Kerana itu
dalam membina kekuatan rohani sudah kah menyiapkan diri kita dengan ilmu,
disiplin diri, kesungguhan dan tidak mudah patah semangat. Persiapkan
segala-galanya serentak dengan apa yang kita lakukan dalam menjual. Jangan lah
mudah menjadi seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Minat nya sahaja yang ada
tapi hanya seketika cuma. Teruskan dan jangan tunggu lagi. Kekuatan jiwa dan
rohani sudah pasti akan membina kekuatan fizikal dan kekuatan diri dalam
menghadapi apa juga masalah, musibah dan cabaran yang mendatang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan