Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 26 Februari 2013

Perlunya Mentor dalam Jualan



Mereka yang baru menceburi bidang jualan sebaik-baiknya perlu ada seorang mentor dalam dirinya. Adanya mentor akan memberikan peluang kepada dirinya untuk bekerja dengan orang lain dengan sebaik yang mungkin. Dari mentor yang ada banyak yang boleh dipelajari antaranya tentang segala asas-asas jualan, bagaimana untuk mendapatkan pelanggan dengan cara yang paling efektif dan berkesan, segala produk dan pengetahuan produk serta mengetahui sekali semua sumber dalaman organisasi yang diwakili.

Untuk makluman, mentor berasal dari perkataan Greek yang bermaksud rakan, kaunselor atau penasihat yang boleh dipercayai.  Mentor biasanya terdiri dari orang yang mempunyai pengalaman dalam memberi dan menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya. Mentee pula dirujukkan kepada individu yang menerima pertolongan. Dalam memberi khidmat menolong, mentor  yang berpengetahuan dan berpengalaman bertindak sebagai pembimbing, rakan dan konsultan kepada mentee yang memerlukan bantuan untuk menambahbaikkan lagi dirinya sama ada dalam konteks pembentukan kerjaya, pendidikan, kerohanian, kesihatan mental dan dalam apa jua aspek-aspek pembangunan diri bidang yang diceburi.

Tujuan utamanya ialah untuk membolehkan mentee (biasanya pekerja yang baru dan kurang berpengalaman) mendapat bimbingan yang betul dan berkesan tentang misi dan objektif organisasi demi untuk meningkatkan kualiti kerja dan imej organisasi yang berkenaan.  Dalam situasi ini mentee yang menerima bimbingan dapat  berpegang kepada objektif organisasi demi untuk menjaga kualiti yang berterusan. Oleh  itu dalam memastikan program mentor-mentee ini berjaya dilaksanakan beberapa tindakan yang perlu dilakukan adalah

i.             Fahami kelebihan perlunya mentor
Sebagai orang baru yang menyertai bidang jualan, sama ada penyediaan atau pencarian mentor sebaik-baiknya dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Bila ada mentor akan memudahkan lagi pembinaan satu sokongan, apa yang berlaku dan apa yang diperlukan sama sekali. Semua akan mudah diketahui dengan cepat dan segera tanpa perlu membuang masa dan teraba-raba mencarinya. Berkongsi pengalaman adalah satu tindakan bijak dari mentor kepada mentee. Ini sudah pasti akan memberikan dorongan terbaik kepada mentee dalam mendapatkan informasi dan maklumat yang diperlukan.

ii.           Tetapkan jangkaan
Penerangan dari mentor tentang segala peranan, tanggungjawab, prosedur dan sasaran perlu dibekalkan kepada mentee dengan sebaik-baiknya. Biar mentee tahu bidang yang diceburinya apa yang diperlukan untuknya. Bila dah tahu maka lagi mudah untuk melakukan tugasan jualan. Berikan segala-gala apa yang diperlukan agar tindakan dan kelakuan dalam melakukan jualan adalah seiring dan sejalan dengan apa yang dimahukan.

iii.          Merangka pelan yang sebaiknya
Tetapkan apa perancangan yang terbaik untuk dirinya bertindak dan lakukan apa yang sepatutnya. Tanda perancangan yang rapi bagaimana orang baru boleh mencapai kejayaan? Semuanya bergantung pada perancangan yang jitu dan betul. Kehadirannya dirinya bukanlah semata-mata bagi memenuhi kuota yang diperlukan tapi sebenarnya adalah untuk membangunkan karier jualannya agar lebih cemerlang dan berjaya.

iv.          Jalinan perhubungan
Keakraban yang rapat akan menghasilkan kerjasama dan ukhuwah yang padu. Ikatan silaturahim antara mentor-mentee amatlah diperlukan agar kerja yang seiringan dapat dijalinkan dengan baik sama sekali. Jangan diabaikan bergerak orang baru ini berseorangan membiarkan keseorangan. Agama amat menuntut agar memberi tunjuk ajar yang sewajarnya kepada mereka yang memerlukan. Jangan tamak ilmu atau bangga diri kepada mereka. Berkawanlah dan bersahabatlah dengan sebaik yang mungkin agar keredaan dan ganjaran dari Allah itulah yang kita cari sebenar-benarnya.

Inilah yang sepatutnya apabila kita yang baru menceburi bidang jualan perlukan seorang mentor bagi mendidik, mengajar, perbetulkan dan menegur akan segala apa yang kita lakukan. Jangan mudah mendabik dada yang kita telah tahu akan segala-galanya. Kita adalah insan yang sentiasa mempunyai kelemahan setiap masa. Jangan mudah tinggi diri apa tah lagi mudah menyombong diri. Carilah sebaik-baik jalan mencari dan kenal pasti siapa orang yang boleh kita dapatkan bantuan dan pertolongan bagi tujuan menjadikan  kita lebih cekap dan hebat dalam melakukan jualan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan