Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 7 Februari 2013

KEHEBATAN DALAM MELAKUKAN JUALAN



Kehebatan dalam jualan perlu dibuktikan. Bukan omongan kosong tapi perlu ditunjukkan bahawa apa yang kita lakukan terlalu relevan dengan apa yang telah diberikan. Tahun baru bermakna sasaran baru tapi kerja jualan tetap macam tu juga. Bukan main bersemangat dalam menghadapi kedatangan tahun baru tapi malangnya apa tindakan sepatutnya demi membuktikan semangat baru yang ada sepatutnya selari dengan tindakan yang kita lakukan. Jangan sama sekali pandai bercakap sahaja bahawa kita pasti boleh melakukannya tapi sehingga kini prestasi yang diberikan dan ditunjukkan amat mengecewakan sama sekali. Adakah ini yang dikatakan sebagai orang yang terhebat dalam melakukan jualan? 

Sememangnya untuk menjadi orang yang hebat amat perlu kita melakukan beberapa tindakan yang sepatutnya agar prestasi pada tahun lepas walaupun telah menjadi satu sejarah peribadi namun sebagai kayu ukuran masih lagi perlu untuk kita ingati juga. Jangan asyik mendabik dada pada mana-mana yang telah berjaya. Buktikan sekali lagi yang kita cukup relevan dengan karier yang telah kita ceburi selama ini. Bagi yang gagal inilah masanya untuk membuktikan pada yang lain yang kita juga masih mampu dan relevan dengan apa yang telah ditugaskan pada kita selama ini.

Tindakan-tindakan yang sepatutnya bagi memastikan pencapaian yang diperoleh adalah lebih baik dari tahun-tahun yang lepas supaya dapat menjadi hebat dan membuktikan diri kita masih diperlukan adalah dengan melakukan perkara-perkara berikut

i.             Fokus apa yang kita lakukan
Konsentrasi dalam melakukan tugasan dan jualan perlu dilakukan dengan memberikan fokus yang sepatutnya. Dari mendapatkan pengumpulan data-data leads yang ada untuk disaringkan menjadi prospek. Dari situ bermulalah episod mendapatkan beberapa temu janji-temu janji sebanyak yang termampu agar presentasi-presentasi boleh dilakukan sepertimana yang di rancang. Beri fokus dan tumpuan yang sepatutnya tanpa ada sebarang halangan, dugaan dan rintangan yang perlu kita tempuhi dengan elok, berkesan dan sempurna.

ii.           Bersemangat
Bukan hangat-hangat tahi ayam. Bersemangat bila datang tahun baru tapi hanya percakapan sahaja dan bukannya dibuktikan dengan perbuatan. Ini yang silap dan salahnya sama sekali. Kena bersemangat dalam melakukan apa juga yang kita ceburi kerana apa yang kita lakukan ini adalah hasil dari minat kita sendiri. Kita yang hendak maka kita perlu buktikan. Kalau tahun sebelumnya kita cukup bersemangat kenapa tiba-tiba sahaja begitu merudum entah di mana silapnya pula. Kena pulihkan semula dan jangan sama sekali dibawa-bawakan apa yang telah terjadi selama ini.

iii.          Konsisten dan bersungguh
Kejayaan tahun lepas sepatutnya menjadi daya kelangsungan buat kita meneruskan lagi kecemerlangan yang ada. Secara konsisten dan bersungguh teruskan lagi keupayaan yang ada. Selagi ada daya selagi itulah semangat perlu dipupuk agar tidak ketandusan dalam melakukan tugasan jualan. Bina semangat dengan membina pemikiran yang positif agar segala apa juga yang berlaku baik buruknya tetap kita tempuhi dengan tenang, sabar dan tabah sentiasa.

iv.          Sistematik
Jangan sama sekali berserabut dan bercelaru dalam melakukan tugasan. Kerana itu kita amat diperlukan dalam melakukan perancangan yang baik dan jitu agar tugasan jualan kita lebih bersistematik dan teratur serta tersusun gerak gempur kita melakukan tugasan. Belajar dari kesilapan dan jangan sama sekali kita ulangi. Selagi kita tidak melakukannya dengan baik dan betul sebagaimana yang kita inginkan sudah pasti itu membuktikan bahawa kerja kita selama ini belum lagi bersistematik dan perlu diperbetulkan segera.

v.            Capai dengan segera
Berazam untuk menempatkan diri kita paling kurang pun setara ataupun sama dengan mereka yang telah berjaya mendapatkan ranking yang tertinggi pada pencapaian prestasi mereka. Berazam untuk menewaskan prestasi mereka bukan mendoakan agar mereka yang berjaya dijahanamkan keupayaan mereka. Bersaing secara sihat agar kita berada di dalam kelompok mereka-mereka yang berjaya. Bukan mimpi kosong tapi satu impian yang dijadikan sebagai satu realiti. Bertindak awal dan tidak menunggu untuk bertindak di hujung masa. Lagi cepat kita peroleh lagi berkesan tindakan kita sebenarnya agar dapat mengelakkan dari menjadi panik, kekalutan dan hilang semangat.
Bertawakal kepada Allah kerana Allah telah menjadikan kepada kita seperti mana Firman Allah bermaksud Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan Mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. dan Barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya” (Surah At Tholaq Ayat 2-3). Inilah janji Allah dan sama sekali bukan janji-janji kosong. Yang penting teruskan usaha untuk mencapai kejayaan dan menjadi hebat dalam karier dan tugasan kita dalam melakukan jualan. Mohonlah pada Allah sebagaimana Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Hendaklah di antara kalian mengadukan segala urusannya hanya kepada Allah saja, walaupun hanya tali sandal yang putus" (Hadis Riwayat Tirmidzi).



Tiada ulasan:

Catat Ulasan