Allah
berfirman maksudnya “Dan apabila hamba-hamba Ku
bertanya kepada mu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat.
Aku mengabulkan permohonan orang yang melakukan doa apabila ia berdoa kepada
Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah
mereka beriman kepada Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(Surah al-Baqarah Ayat 186).
Daripada
Abu Hurairah, Nabi bersabda ‘Tidak ada suatu
yang lebih mulia di sisi Allah Taala melainkan doa’ (Hadis
Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Satu
bukti yang menunjukkan betapa hebatnya kita berdoa memohon apa sahaja yang kita
mahukan dan kehendaki. Kita sering berada dalam keluh kesah, pelbagai masalah
yang dihadapi dan sentiasa mengharapkan tugasan jualan kita berada dalam
keadaan yang menyenangkan hati. Namun kadang-kadang keadaan dan situasi menjadi
tidak seperti mana yang kita harapkan. Kekecewaan menyelubungi apa sahaja yang
tidak dapat ditunaikan akan apa yang kita harapkan. Kerana itu kita perlu
berdoa kepada Allah sebagai seorang hamba yang mukmin dan taat. Kembalilah
semula kepada Allah agar setiap apa yang kita lakukan sudah pasti diberkati dan
diberi pertolongan semula kepada kita. Mungkin ada kalanya doa kita masih tidak
di makbulkan tetapi mana tahu tiada siapa yang boleh menjangka ia nya boleh
dipenuhi oleh Allah. Yang penting jangan berhenti berdoa dan jangan sama sekali
merasakan Allah tidak pernah membantu kita.
Sebuah hadis daripada Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar
Bin Khattab berkata Rasulullah bersabda ‘Sebelum adanya kamu, terdapat tiga
orang berjalan-jalan kemudian mereka pergi ke sebuah gua untuk berteduh, maka
mereka pun masuk ke dalamnya. Kemudian tiba-tiba sahaja ada batu dari atas
bukit jatuh bergolek dan menutup pintu
gua tersebut sehingga mereka gagal untuk keluar. Salah seorang lantas berkata ‘
Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kita sekalian daripada bencana
ini kecuali apabila kita berdoa kepada Allah dengan menyebutkan amalan-amalan soleh
yang pernah kita lakukan.
Melihat kan keadaan yang sebegini, orang yang pertama
terus berdoa ‘Wahai Allah, saya mempunyai ayah dan ibu yang sangat tua. Saya biasa
memberi keutamaan minuman susu kepada kedua-duanya dahulu sebelum saya berikan
kepada keluarga dan anak-anak saya. Pada suatu hari saya terlambat pulang
daripada mencari kayu dan bila pulang saya dapati kedua orang tua saya telah pun
tidur. Saya terus memerah susu untuk mereka dan memandangkan mereka masih tidur
saya pun tidak mahu mengejutkan mereka dari lena tidur. Lalu saya berjanji pada
diri saya di mana susu yang diperah itu tidak akan diberikan kepada keluarga
saya sebelum kedua orang tua saya meminumnya terlebih dahulu. Hinggalah terbit
fajar, kedua-dua orang tua ku sedar dari tidur walaupun anak-anak ku menangis,
aku tetap memberikan susu tersebut kepada orang tua ku terlebih dahulu. Wahai
Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan wajah Mu maka
gerakkanlah batu tersebut yang menutupi gua ini. Maka bergeraklah sedikit batu
itu tetapi masih belum membolehkan mereka keluar dari gua tersebut.
Orang yang kedua pula berdoa merayu kepada Allah dengan
bermunajat ‘Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai saudara sepupu yang sangat
saya cintai, kemudian saya selalu memujuknya untuk melakukan zina tetapi dia
selalu menolaknya. Selang beberapa tahun dia telah ditimpa kesusahan
menyebabkan dia datang kepada aku meminta bantuan. Lalu aku berikan seratus dua
puluh dinar dengan syarat dia mahu berzina dengan aku. Memandangkan dia berada
dalam keadaan terdesak lalu beliau pun bersetuju. Ketika hampir-hampir
melakukan perbuatan yang hina itu dalam keadaan diri telah berada di antara
kedua-dua kakinya seraya dia berkata ‘Takutlah kamu kepada Allah dan jangan kau
robekkan selaput dara ku kecuali dengan cara yang benar’. Mendengar rayuan
beliau tersebut lalu saya tinggalkannya walaupun perempuan tersebut sangat saya
cintai dan saya telah merelakan bantuan yang telah saya berikan kepadanya.
Wahai Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan reda Mu,
gerakkanlah batu yang menutup gua ini’. Maka bergerak lah lagi batu tersebut
sedikit tapi malangnya mereka bertiga masih juga gagal untuk melepaskan diri mereka
dari gua tersebut.
Akhirnya, lelaki yang ketiga pula berdoa kepada Allah ’Wahai
Allah, aku mengupah beberapa orang pekerja dan semuanya aku bayar gaji mereka
dengan sempurna kecuali ada seorang yang menghilangkan dirinya, meninggalkan
aku dan tidak mengambil gajinya terlebih dahulu. Kemudian gaji yang tidak
dibayar tersebut saya laburkan dalam perniagaan sehingga boleh memperoleh
keuntungan yang banyak. Selang beberapa lama dia muncul semula dan berkata
‘Wahai hamba Allah, berikanlah semula gaji saya yang dahulu itu’. Saya berkata
‘Kamu lihatlah sendiri, baik unta, lembu, kambing termasuk budak yang mengendalakannya
semua itu adalah dari hasil gaji mu itu’. Terkejut dengan apa yang diperkatakan
lalu dia bertanya semula ‘Wahai hamba Allah, janganlah engkau permain kan diri ku’.
Aku menjawab ‘Aku tidak per mainkan engkau’. Kemudian dia pun mengambil
semuanya dengan tidak meninggalkan sedikit pun untuk aku. Wahai Allah, jika
saya berbuat itu kerana mengharap reda MU, maka gerakkanlah batu itu’. Akhirnya
batu itu pun bergerak dan mereka dapat keluar dari dalam gua tersebut dengan
selamatnya. (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Satu kisah yang telah diberitahu oleh Rasulullah
bagaimana kuatnya kesan dan impaknya tatkala dalam kesusahan dan ketakutan.
Menurut Imam Ghazali ada mengatakan,"Meskipun doa itu tidak dapat
menolak Qada Tuhan, tetapi ia mampu melahirkan sifat rendah diri dan hajat
kepada Tuhan. Dalam suatu hadis disebutkan bahawa menolak qada boleh dengan
doa. Tegasnya, doa menjadi salah satu sebab tertolaknya bencana, sebagai
perisai, menjadi penangkis daripada senjata musuh dan bagai air yang
menyebabkan tumbuhnya tanaman." Dengan berdoa diharapkan segala
dosa kita kepada Tuhan diampuni dan diberi kebaikan. Kita juga mengharapkan
diberi hidayah, keampunan, pertolongan, kenikmatan, kasih sayang dari Tuhan dan
memohon supaya dijauhkan daripada sifat kekufuran, kemurkaan, kepapaan,
kesesatan, musibah dan laknatnya.
Firman Allah bermaksud “dan
Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada Ku nescaya Aku perkenan kan
doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada
beribadat dan berdoa kepada ku, akan masuk neraka jahanam Dalam keadaan hina”
(Surah Ghafir Ayat 60).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan