Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 31 Disember 2013

2014 PENCETUS SEMANGAT BARU




Selamat tinggal 2013 dan selamat datang 2014. Tentu pelbagai azam dan semangat baru telah terbina terlebih dahulu dalam mengharungi kehadiran tahun baru 2014. Sesuatu tuah sahaja untuk hadir begitu sahaja sememangnya amat payah untuk dijelmakan melainkan dengan usaha yang gigih dan bersungguh untuk melakukannya. Jangan dikatakan ia nya sukar dan payah lagi sempena kehadiran tahun baru ini tapi jadikan kehadirannya sebagai satu landasan buat kita melangkah kaki terus mencipta kejutan dan kehebatan dalam melakukan tugasan jualan.

Bukan satu omongan kosong atau untuk menyedapkan diri kita sahaja. Tanpa usaha dan tindakan yang betul sudah pasti tidak ke mana juga hasilnya. Kenapa perlu berangan dan syok sendiri yang kita cukup merasakan kita dapat dan mampu untuk melakukannya? Sempena kehadiran tahun baru ini marilah kita bersama-sama bina semula kuatkan semangat perkukuhkan dorongan motivasi diri agar kejayaan yang kita idamkan dan mahukan boleh kita nikmati sepanjang tahun 2014 ini.

Antara tindakan-tindakan yang perlu dilakukan ini adalah 

i.             Bekerja dengan gembira
Lakukan jualan dengan sepenuh hati dengan perasaan gembira dan seronok untuk melakukannya. Jangan di paksa-paksa tapi berikan yang terbaik mengikut kemampuan dan kehendak dari dalam diri kita sendiri. Selagi kita memaksa untuk menyukainya selagi itu kita tidak akan dapat keseronokan dalam melakukan jualan. Cipta sesuatu yang menggembirakan agar apa juga yang mendatang walaupun perit dan sukar tetap kita melakukannya dengan rela hati dan gembira.

ii.           Mencintai dan menghargai
Cinta dengan apa yang kita lakukan dan hargai apa juga keputusan yang kita terima hasil dari tindakan kita sendiri. Hargai kejayaan kita dengan lebih banyak kesyukuran kita terhadap Allah. Jangan bila dah susah baru nak teringat pada Allah. Bila temui kegagalan sentiasa muhasabah diri kita di mana silap dan salahnya agar boleh kita perbetulkan dengan segera dan cepat serta tidak di ulanginya di masa hadapan. Cinta tidak akan hadir pada kita sendiri jika tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Hargai apa juga tindakan kita agar kita tahu bukan senang untuk menjadi senang.

iii.          Jangan berdendam dan bersedih
Elakkan dari berperasaan dendam kesumat yang amat sangat kerana dengan adanya dendam sudah pasti bara marah akan wujud selama-lamanya. Begitu juga dengan bersedih. Setiap kali kita bersedih selagi itulah tindakan kita tidak ke mana. Sedih akan membawa kepada kejatuhan prestasi dan tindakan kita. Mana mungkin melakukan jualan kalau dendam dan sedih masih wujud dalam diri kita.

iv.          Jaga kesihatan
Anugerah Allah yang amat penting sekali untuk kita jaga dan hargai sama sekali. Selagi kita sihat selagi itulah kita akan terus melakukan jualan dengan baik sama sekali. Tidak di nafikan setiap kesakitan itu adalah satu ujian Allah SWT kepada kita namun kalau kita tidak berusaha untuk menjaga nya sudah pasti segala penyakit akan mudah menghinggapi pada diri kita. Bayangkan kalau kita sakit bagaimana agaknya untuk kita melakukan jualan.

v.            Rancang tugasan dengan baik
Tidak salah setiap tahun baru kita melakukan perancangan dan penyusunan semula tugasan jualan kita agar lebih baik dan teratur lagi. Banyakkan melakukan perancangan dari pengalaman yang telah kita lalui sendiri perbaiki agar menjadikan setiap tindakan kita adalah terbaik sama sekali bermula dari awal tahun lagi. Selagi kita tidak berusaha untuk melakukan perancangan yang baik sudah tentu dan sudah pasti tindakan kita tidak akan ke mana-mana.

vi.          Hidup bukan sempurna
Terima hakikat yang hidup kita tidak sempurna mana. Sudah pasti ada cacat dan celanya sama sekali. Sekali air berubah selagi itulah pantai akan berubah sama. Setiap manusia pasti akan ada kelemahannya sendiri. Kenal pasti kelemahan kita untuk kita perbaiki dan per elokkannya semula. Beriltizam untuk melakukan yang terbaik agar setiap kelemahan yang ada dapat kita tutup tanpa ada seorang pun yang mengetahuinya. Bertindak dengan lebih sesempurna yang termampu agar hasil yang kita mahukan akan lebih mudah kita peroleh.

vii.        Elakkan memberi pelbagai alasan dan ulasan
Tidak siapa pun suka kalau tugasan kita dalam melakukan jualan lebih banyak memberi alasan dan ulasan sahaja. Pelanggan sudah pasti pedih telinga dan kalau kita bekerja dengan majikan sudah pasti akan di copnya kita kaki pemberi sebab dan tak habis-habis nak lari dari tugasan. Kita akan mudah menjadi seorang yang gemar kelentong dan menipu yang bukan-bukan. Elakkan sama sekali agar kita tahu bukan jenis manusia yang sebegini perlu ada dalam diri kita sendiri.

Disiplin tunjang kepada kejayaan. Kalau kita tidak disiplin diri kita sendiri macam mana kita hendak lakukan dengan yang terbaik. Tanpa ada disiplin sudah tentu setiap apa juga perancangan kita agar sukar untuk kita ikuti dan lakukan. Berikan fokus yang sewajarnya agar bermula dengan tahun yang baru ini kita sudah bermula dengan langkah kejayaan. Kejayaan yang diingini bukannya boleh dinikmati dengan semudah membaca ABC sahaja tetapi perlu dilakukan dengan kesungguhan dan kegigihan selari dengan setiap perancangan yang kita aturkan. Jangan mudah putus asa dan kecewa tapi telanlah setiap cabaran, dugaan, rintangan dan masalah yang timbul sebagai satu ujian yang perlu untuk kita tempuhi. Mulalah langkahan pertama dengan langkah kanan agar pintu rezeki yang kita idam-idamkan sentiasa berada di sisi kita sampai bila-bila.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2014


Read more >>

Isnin, 30 Disember 2013

MENGUATKAN AZAM UNTUK DI CAPAI





Kehadiran di awal tahun 2014 pasti ramai yang berazam melakukan sesuatu yang terbaik buat dirinya agar lebih banyak kejayaan boleh diperoleh dan dinikmati. Azam tahun lepas telah pun berlalu. Jangan difikirkan lagi tentang sama ada telah di capai ataupun tidak. Semuanya telah menjadi sejarah. Bagi yang telah berjaya melunaskan azamnya bersyukur ke hadrat Allah. Bagi yang masih tidak berjaya lagi bukan setakat perlu di bawa ke hadapan, tetapi juga dijadikan sebagai satu iktibar dan pengajaran paling berguna buat kita agar tidak di ulangi lagi kenapa azam yang di mahukan tidak dapat dilakukan.

Azam yang perlu di capai bukan setakat sebutan di mulut sahaja untuk di peroleh. Semuanya bergantung pada perancangan awal yang perlu kita lakukan agar kita ketahui apa tindakan terbaik nanti. Tanpa perancangan macam mana nak di capai azam yang di ingini? Umpama hendak mendirikan sebuah rumah. Berazam untuk mendirikan sebuah rumah tapi malangnya tanpa ada pelan rumah pasti sememangnya akan sukar untuk mendirikan rumah seperti mana yang diazamkan. Begitulah pentingnya kenapa pelan atau perancangan perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Antara perancangan yang perlu difikirkan dan dilakukan adalah

i.             Melakukan mengikut kemampuan dan kesanggupan
Jangan buat seperti keajaiban akan menjelma. Rancang mengikut kemampuan dan kesanggupan diri kita sendiri. Utamakan apakah kekuatan yang ada pada diri kita sendiri dari melakukan  segala kelemahan yang ada. Tumpu pada kekuatan kita dalam melakukan jualan agar hasil yang mahu diterima boleh dinikmati secara konsisten dan berterusan. Jangan cari alasan tapi cari jalan penyelesaiannya agar kita mampu mencapai azam yang kita telah tetapkan.

ii.           Pengurusan masa
Amat penting kita lakukan. Pasti perancangan masa yang dimaksudkan bukan setakat mengurus masa tugasan jualan kita sahaja tetapi masa kita untuk Allah juga perlu kita tetapkan sama. Makin kita mengejar nikmat dunia makin kita jauh pula dari Allah. Seimbangkan dengan sebaik mungkin agar redha Allah mampu juga kita peroleh keberkatan Allah pasti dalam genggaman kita.

iii.          Melakukan dari awal pagi
Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, berkatilah umat ku di pagi hari.” Rasulullah SAW biasa mengirim sariyyah atau pasukan perang di awal pagi dan Sakhru merupakan seorang pedagang, ia biasa menghantar kafilah dagangnya di awal pagi sehingga ia sejahtera dan hartanya bertambah.” (Hadis Riwayat Abu Dawud 2239). Bergerak melakukan jualan dari awal pagi lagi dan jangan sambung tidur lagi selepas solat Subuh. Terlalu banyak hikmah nya bersiap sedia dari awal pagi sebelum bertemu dengan bakal pembeli atau pelanggan.

iv.          Kenal pasti semula pelanggan
Dapatkan semula senarai nama-nama bakal pembeli atau pelanggan dengan lebih efektif lagi. Dapatkan yang lebih berkualiti dengan lebih banyak lagi dan bukannya kualiti yang penuh dengan sampah sarap sahaja. Pergunakan segala kelebihan mendapatkan referral dan pengenal dari pelanggan sedia ada atau kenalan. Bina networking dengan lebih besar lagi agar lebih ramai mengenali diri kita dalam industri jualan yang kita ceburi ini.

v.            Ilmu dan pengetahuan produk
Satu penyakit yang amat dirisaukan. Nak menjual tapi tidak diketahui apa yang hendak disampaikan. Nak menjual tapi tak yakin. Bila bertemu tak tahu nak kata apa. Semuanya bergantung pada ilmu dan pengetahuan yang ada pada diri kita sendiri. Bila kita memahami dan mencintai produk yang kita mahu jualkan sudah pasti kita semakin mudah untuk melakukan jualan. Segala kelebihan dan keuntungan pada bakal pembeli atau pelanggan dapat kita sampaikan dengan lebih baik dan efektif.
Seperti mana saranan Ustaz Dr.Mohd Izhar Ariff dalam fb nya telah memberi saranan seperti berikut :

SEBELUM BERJAYA:
-  Ilmu
-  Usaha tanpa putus asa
-  Doa
-  Tawakal

KETIKA / SELEPAS BERJAYA:
-  Ilmu
-  Jangan riak/sombong
-  Perbaiki niat
-  Zakat/Sedekah/Hadiah
-  Jangan lupa Mak Bapak
-  Jangan lupa Allah
-  Jangan lupa mereka yang bersama kita ketika susah


Kuatkan pergantungan diri kita terhadap Allah. Mohon bantuan Allah setiap masa dan ketika. Segala usaha yang dilakukan jangan lupa tawakal kepada Allah. Kita yang menjual tak tentu lagi orang yang kita tawarkan boleh sewenang-wenangnya dapat menerima tawaran yang di kemukakan dengan mudah begitu sahaja. Hanya pada Allah sahaja tempat kita bergantung dan hanya pada Allah sahaja tempat kita memohon segala-galanya. Azam yang baik sudah tentu boleh diperoleh bukan setakat usaha yang bersungguh dan gigih melakukannya tetapi juga bantuan Allah yang kita mahukan buat selama-lamanya.


Read more >>

Ahad, 29 Disember 2013

JANGAN BERDENGKI TAPI PERBETULKAN



Kerana sakit hati, tidak berpuas hati, berdengki, iri hati, marah, geram, berdendam dan kita tidak sehebat dia kita akan mencari jalan dan usaha bagaimana kita boleh memuaskan hati kita. Biar dia jatuh berdentum, merudum kegagalannya dan nyah terus dari hidup kita. Asalkan kita puas dengan apa yang kita lakukan ketepikan sahaja dengan dirinya yang merana dan balasan dari Allah atas perbuatan kita. Peduli apa itu semua asalkan kita mudah mencapai apa yang kita mahukan itu sudah di kira cukup baik dan bagus.

Berhati-hatilah jangan sama sekali melakukan perkara yang ditegah dan dilarang oleh Rasulullah. Kalau masih kita lakukannya bermakna kita tidak ke mana pun kedudukan kita. Fikirkan impaknya pada kita kalau masih diamalkan perbuatan songsang dan menyalahi Agama. Fikirkan jika,

i.             Tidak berjaya dalam melakukan jualan, jangan salahkan orang lain tapi cari jalan penyelesaiannya bagaimana perbetulkan dan per tingkatkan semula jualan yang sepatutnya. 

ii.           Jangan cari salah orang lain tapi per banyakkan mencari apa salah dan silap kita sebenarnya.

iii.          Kalau terdapat seseorang lebih maju dan hebat dalam jualan dan perniagaan doakan agar dia lebih maju lagi agar kejayaan mereka menjadi pendorong dan pencetus semangat untuk kita melakukan perkara yang sama

iv.          Rezeki yang Allah kurniakan bukan untuk kita seorang sahaja. Belajar untuk berkongsi sama. Jangan dibiarkan kepentingan diri dan tamak menguasai diri kita pula.

Sentiasa ingat balasan Allah terhadap perbuatan kita sendiri. Kalau ada yang kita masih amalkan bertaubat segera kerana pintu taubat sentiasa terbuka buat kita. Kalau kesedaran diri telah ada nanti sahaja ganjaran dari Allah di atas kepercayaan dan keyakinan kita terhadap. Safiyyah Binti Abu Ubaid berkata dari sebahagian isteri Nabi Muhammad, Baginda bersabda ‘Sesiapa berjumpa dengan tukang tilik dan bertanya sesuatu kepadanya, kemudian percaya pula kepadanya, sembahyangnya tidak diterima selama 40 hari’ (Hadis Riwayat Muslim). 

Berusahalah mencapai kejayaan. Jangan mudah berhasad dengki dan iri hati. Banyakkan bersabar dan tabah dalam mengharungi apa juga cabaran dan dugaan yang mendatang. Minta bantuan pada Allah bergantung harapan 100% kepada Nya. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita asalkan kita mahu berusaha dan melakukan secara bersungguh dan gigih. Kalau yakin dengan apa yang kita  lakukan sudah semestinya keyakinan tersebut akan dibalas dengan kejayaan yang kita mahu-mahukan.



Read more >>