Sabda Rasulullah
bermaksud "Aku menjamin dengan sebuah istana yang
terdapat di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia
benar, aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tengah syurga bagi
orang yang meninggalkan dusta walaupun bergurau, dan aku menjamin dengan sebuah
istana yang tertinggi bagi orang yang membaguskan akhlaknya"
[Hadis Riwayat Abu Dawud].
Itulah janji
Rasulullah SAW ganjaran khas buat kita jika dapat menunaikan tiga perkara penting dalam kehidupan kita
sehari-harian. Bukan sahaja setakat dalam kehidupan sahaja tetapi juga dalam
pekerjaan kita dalam melakukan tugasan melakukan jualan. Bagi memastikan
kejayaan dalam melakukan jualan perlu ada kejayaan terlebih dahulu dalam diri
kita untuk diperbetulkan. Cabaran memang besar, tapi kalau kita hadapinya
dengan baik dan berkesan sudah pasti hasilnya juga baik untuk kita. Kerana itu
kita amat disarankan agar sentiasa bersabar, tenang dan tidak mudah mengeluh
dalam menghadapi segala macam dan bentuk cabaran, rintangan, dugaan dan masalah
yang timbul samada ianya kecil atau sukar yang amat sangat.
Tiga
perkara yang di saran oleh Rasulullah SAW untuk kita
sama-sama menjaganya terutama ketika melakukan jualan secara lebih beretika dan
profesional adalah dengan
i.
Jangan
berdebat
Sama sekali ketika
kita melakukan persembahan dan presentasi memberikan penerangan ataupun ketika
berlakunya bangkangan jualan pastikan yang kita tidak sama sekali berdebat apatah
lagi hendak meninggikan suara kepada prospek/pelanggan kita. Sedangkan
Rasulullah SAW tidak menggemarinya apatah pula prospek/pelanggan yang berada di
hadapan kita. Pasti ianya akan memberikan satu imej yang tidak baik kepada diri
kita balik. Kita yang hendakkan prospek/pelanggan tersebut menerima tawaran
kita sepatutnya biarlah kita sahaja yang beralah dan bukannya prospek/pelanggan
tersebut beralah.
Jika ianya berlaku
dan terjadi juga, ambil tindakan bijak dan pantas supaya prospek/pelanggan
tidak menyedari yang kita juga sudah naik angin dibuatnya hanya semata-mata
perangai atau sikap buruk yang telah ditunjukkan oleh prospek/pelanggan
tersebut kepada kita. Layanilah dengan kemesraan dan bersabar banyak dalam segala
hal menghadapi dugaan yang mendatang. Lebih baik terus mendiamkan diri dari
terus bersuara mempertahankan apa yang diperkatakan walaupun apa yang
diperkatakan itu sentiasa betul dan benar tetapi tetap juga salah hanya
disebabkan pada pandangan prospek/pelanggan tersebut hanya pendapat beliau
sahaja yang betul dan benar patut diterima oleh kita.
ii.
Jangan
menipu
Elakkan dari
menipu sama sekali. Nak kejar sasaran dan komisen tak pasal-pasal dapat dosalah
pula. Perbaiki dan per kemaskan diri kita fahami sepenuhnya tentang pengetahuan
produk sebelum melakukan pertemuan dengan prospek/pelanggan. Bagi penerangan
biar jelas dan mudah pula mereka fahami supaya tiada satu pun yang akan
diperkatakan pula di kemudian hari. Biar ikhlas dan jujur bila beri penerangan,
menghadapi bangkangan, mendapatkan penutupan jualan dan memberikan perkhidmatan
yang terbaik kepada mereka. Niat kena betul supaya kita perlukan
prospek/pelanggan untuk kita beri bantuan sewajarnya dan bukannya untuk
mendapatkan keuntungan begitu sahaja.
iii.
Pelihara
akhlak
Budi pekerti dan
bersopan santun amalan kita semenjak dari dahulu lagi. Kekalkan mana yang baik
tanda keperibadian sebenar kita. Jangan cepat melatah apatah lagi menyombong
diri menunjukkan keegoan kita yang tidak bertempat. Bertemu dengan
prospek/pelanggan jangan sama sekali bercakap besar dan meninggi diri takuti
nanti selepas ini, sememangnya tiada siapa pun pula akan teringin bertemu dan
melakukan temu janji lagi dengan kita.
Tidak salah
merendah diri dan tidak salahnya kita selalu beralah dengan karenah dan
perangai prospek/pelanggan yang kita temui. Orang berbudi kita berbahasa, orang
memberi kita merasa. Akhlak yang baik sentiasa dihormati orang walaupun ke mana
juga kita pergi dan berada. Prospek/pelanggan pasti akan bergembira dan merasa
selesa dengan kehadiran kita. Bila mereka dah mula rasa selesa maka semakin
mudahlah kita melakukan jualan dan mendapatkan lagi lebih banyak penutupan
jualan terhadap mereka.
Kalau
kita lakukan tiga perkara ini dengan baik dan sempurna seperti mana yang
disarankan oleh Rasulullah SAW bermakna kita telah lalui dan lakukan satu sunah
Rasulullah SAW. Bukan sekadar ganjaran pahala sahaja yang kita perolehi tetapi
janji Rasulullah SAW untuk menghadiahkan istana juga boleh didapati di akhirat
kelak. Satu kerja boleh perolehi pelbagai ganjaran yang boleh kita terima
dengan sewenang-wenangnya di dunia mahupun di akhirat tanpa merasa susah payah
yang amat sangat. Taat kepada Allah dan
Rasulullah ternyata amat mudah untuk kita lakukan. Personaliti dan
imej melambangkan imej kita yang dibawa
ke mana juga kita pergi dan berada bagi menambahkan lagi keyakinan
prospek/pelanggan untuk bertemu dan mendengar apa yang akan kita persembahkan
nanti kepada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan