Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 6 April 2012

Belum berakhir lagi walaupun pelanggan telah menerimanya


Penutupan jualan adalah sasaran utama dalam melakukan jualan. Tiada gunanya kalau kita nak bercakap besar atau meninggi diri andai kata penutupan jualan masih lagi gagal untuk kita lakukan walaupun pelbagai ilmu dan kaedah yang canggih-canggih dan terkini telah kita perolehi secara teori dan pengalaman dari orang yang berjaya. Bukan setakat jualan sahaja yang perlu ada skil tetapi pada waktu dan ketikanya semasa ingin melakukan penutupan jualan tumpuan dan fokus perlu diberikan agar tiada terlepas peluang dan oportuniti yang ditunggu-tunggu.


Apabila telah mendapat penutupan jualan bukan bermakna tak perlu lagi kita lakukan jualan lagi kepada pelanggan tersebut. Masih banyak lagi yang perlu kita lakukan agar orang yang sentiasa kita berikan tawaran yang terbaik buat mereka sentiasa merasakan yang kita tidak pernah melupakan dan mengabaikan apa juga tindakan kita kepada mereka. Sekali kita biarkan mereka bermakna sampai bila-bila pelanggan tersebut tidak akan percaya lagi kepada kita.


Antara tindakan-tindakan yang perlu dilakukan selepas sahaja penutupan jualan terhasil adalah dengan cara


i.                    Berikan penghargaan
Dah berjaya bukan bermakna tinggalkan sahaja pelanggan tersebut begitu sahaja. Ucapkan tahniah kepada pelanggan tersebut dan hargainya dengan sepenuh hati kita ucapkan terima kasih di atas kesudian beliau menerima tawaran yang ditawarkan. Bukan setakat kita sahaja yang syok tetapi juga pelanggan tersebut juga akan merasa syok dan gembira bukan setakat menerima tawaran yang diberikan tetapi juga di atas penghargaan yang telah kita berikan kepadanya. Jangan lupa ucapkan syukur alhamdulillah kepada Allah SWT akan telah memberikan peluang kepada kita melakukan tugasan dengan baik dan membuka hati dan perasaan pelanggan tersebut untuk menerima tawaran yang ditawarkan.


ii.                  Pastikan apa yang telah dijanjikan perlu dipenuhi
Jangan sama sekali memungkiri janji apabila berjanji. Kena tunaikan kerana ianya jatuh hukum wajib namanya. Jangan malukan nama anda dan organisasi anda wakili. Tak dapat nak tunaikan bermakna pelanggan tersebut pasti akan mencemuh kita dan akan hilangnya sifat dan sikap ke tidak percayakan dirinya kepada kita. 


Jika kita telah berjanji untuk berikan cenderamata, pastikan cenderamata tersebut disampaikan. Jika kita telah berjanji untuk maklumkan tentang tarikh sebenar bila beliau boleh mendapatkan wang beliau, berkatalah dengan jujur untuk ditepati. Jangan dipermainkan supaya di masa hadapan kita tidak pula dipermainkan oleh orang lain sama sekali.


iii.                Sentiasa berhubung
Pastikan jangan ada yang putus hubungan mentang-mentang dah dapat penutupan jualan. Berhubunglah sentiasa secara memaklumkan apa juga tentang kemas kini kan status pelanggan dengan segera agar pelanggan tahu dan memahami kedudukannya yang terkini serta sentiasa berpuas hati dengan mutu perkhidmatan yang telah kita berikan. Bila berhubung pastikan kita yang sebaik-baiknya berhubung dengan pelanggan terlebih dahulu dari pelanggan berhubung dan mencari-cari kelibat dengan kita pula.


iv.                 Cipta jualan seterusnya
Satu produk telah berjaya dijual bermakna kita kena pandai juga melakukan ‘Cross Sale’ kepada pelanggan tersebut. Tawarkan sebaik mungkin kepadanya dengan produk-produk yang lain bersesuaian dengan kehendak dan keperluan pelanggan tersebut. Ambil kesempatan segala peluang yang ada di hadapan mata. Kalau kita tidak melakukan ‘Cross Sale’ ini bermakna kita telah membuka banyak peluang pula kepada pesaing terdekat kita untuk menawarkan produk yang sama seperti kita tawarkan.


v.                   Minta referral
Sentiasa buka mulut dan jangan sama sekali berasa segan dan malu. Minta referral dari pelanggan tersebut supaya kita tidak putus bekalan prospek dan lagi mudah untuk lakukan jualan ke atas prospek yang kita dapat dari referral ini. Kebiasaannya hebahan mulut telah pun berlaku hasil dari testimonial pelanggan tersebut yang cukup berpuas hati menggunakan produk yang telah kita tawarkan.


Berterusan lakukan jualan dan bukan setakat penutupan jualan sahaja. Rajin berikhtiar bagi mendapatkan penutupan jualan sebanyak yang termampu agar sasaran yang diberikan dan diamanahkan dapat kita capai pada akhirnya. Semakin banyak kita melakukan penutupan jualan dan memberikan khidmat terbaik kita selepas jualan semakin mematangkan lagi kita dalam melakukan jualan. Semakin kita matang dalam melakukan jualan bermakna semakin mudah dan senang produk yang ditawarkan untuk diterima oleh bakal-bakal pelanggan kita.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan