Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 4 Oktober 2014

BERKORBAN MELAKUKAN JUALAN




Berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia. Lirik yang di petik dari lagu Berkorban Apa Sahaja dendangan dan ciptaan Tan Sri P Ramlee yang membuktikan bahawa manusia sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa berkorban harta dan nyawa demi mahu mencapai apa yang di inginkan. Tidak kira walaupun terdapat rintangan dan halangan yang terpaksa ditempuh namun kerana inginkan sesuatu sudah pasti memerlukan pengorbanan.

Renungkanlah semula kisah Nabi Ismail yang sanggup menyerahkan diri sendiri demi perintah Allah yang diterima melalui bapanya Nabi Ibrahim melakukan korban atas dirinya sendiri. Tidak mengeluh, tidak memberikan alasan mahupun tidak melawan Nabi Ismail tetap menerimanya secara total atas perintah Allah walaupun ketika itu Nabi Ibrahim hanya meminta pendapat dan pandangan daripadanya. Besar sungguh pengorbanan Nabi Ismail yang begitu sabar dan taat pada suruhan Allah dan ayahnya. 

Ini di buktikan dalam surah As-saffat ayat 102, Firman Allah bermaksud “Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayangan ku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelih mu; maka fikirkanlah apa pendapat mu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepada mu; insyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar". Besar sungguh pengorbanan Nabi Ismail sanggup menyerahkan nyawa dan dirinya sendiri.

Berkorban pada jalan yang betul sudah pasti Allah akan memberkatinya dan membantu akan apa yang dikorbankan. Demi melakukan tugasan jualan kita sanggup melakukan apa sahaja asalkan produk yang dijual mampu diterima ramai dan mendapat sambutan. Sanggup bersengkang mata, bergerak ke sana dan ke sini, makan dan minum tidak menentu apatah lagi masa yang ada terus-terusan digunakan demi melakukan jualan demi jualan. Berkorban apa saja asalkan dapat memenuhi apa yang diidamkan dan dimahukan. Semuanya ditolak ke tepi asalkan apa yang dimahukan dapat dipenuhi dan dicapai sebaik mungkin.

Berkorban apa sahaja asalkan niat yang telus dan ikhlas dapat disemaikan dalam jiwa dan sanubari kita melakukannya. Selagi hayat di kandung badan selagi pernafasan masih berterusan berkorbanlah demi mencapai cita-cita dan impian. Selagi kita masih mampu untuk menolong dan membantu di samping selesaikan masalah mereka selagi itulah kita di landasan yang benar dan betul melakukan jualan. Berkorbanlah ketepikan dahulu kepentingan diri sendiri dan kepuasan mendapatkan pendapatan semewah yang mungkin. Kita tolong orang sudah pasti mereka dan Allah akan membantu kita. 

Hayatilah sebaik mungkin konsep korban yang dianjurkan dalam Islam sempena kehadiran Aidil Adha ini. Ada pelajaran dan pengajarannya di sebalik kehadiran Aidil Adha ini untuk kita pelajari dan hayati. Kalau kita mampu korbankan diri kita bergerak aktif dalam melakukan jualan, tidak boleh juga kah kita berkorban demi bakal pembeli, pelanggan, majikan, bisnes yang telah dibina dan produk yang ditawarkan semata-mata memastikan pengorbanan kita masih mampu memuaskan hati dan perasaan mereka juga. Selagi apa yang kita lakukan mengikut syariat selagi itulah pengorbanan yang kita berikan akan mendapat keredaan Allah sentiasa. Ingatlah setiap rezeki yang kita peroleh ini semuanya hadir dan menjelma dari kurniaan Allah semata-mata, hanya usaha sahaja yang menentukan sama ada rezeki yang diperoleh tersebut sedikit atau banyak sahaja. Berkorbanlah demi Agama, karier, pendapatan dan kepuasan dalam kita melakukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan