Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 29 Oktober 2014

AIDA DALAM PEMBUKAAN KAUNTER



Salah satu aktiviti penting dalam melakukan jualan adalah pembukaan kaunter. Kerap kali bila adanya pembukaan kaunter menyaksikan pembukaan kaunter jualannya tertumpu di tempat-tempat tumpuan orang ramai.  Sasaran yang ada adalah di lokasi yang ramai pengunjungnya di tempat tersebut. Mustahil kita akan menyaksikan orang yang membuka kaunter hanya berminat apa tempat yang sunyi dari orang ramai.

Masalahnya bagaimana mendapatkan perhatian orang ramai yang sering lalu lalang di hadapan kaunter yang dibuka? Inilah persoalan yang perlu untuk kita ketahui dengan lebih mendalam lagi agar setiap tindakan membuka kaunter ada hasilnya. Biar penat melayan asal hasil boleh ditemukan. Semuanya bergantung pada pemilihan lokasi yang baik dengan strategi yang betul dalam menarik orang ramai mengunjungi kaunter yang dibuka.

Bukan senang nak tarik perhatian apatah lagi minat orang untuk hadir dan datang ke kaunter yang dibuka. Datang untuk menjenguk pun sudah dikira Alhamdulillah. Begitulah besarnya harapan kita. Begitu mengharap dan amat berharap. Namun begitu terdapat satu konsep yang bersesuaian boleh diguna pakai bila adanya kita membuka kaunter di mana-mana kita rasakan amat bersesuaian iaitu dengan menggunakan konsep A.I.D.A. Satu konsep dalam menjual yang boleh kita praktikkan sama di mana maksud A.I.D.A tersebut adalah 

A : Awareness – Tarikan perhatian mereka agar kehadiran kita amat di ketahui. Berdiri sahaja tanpa sebarang tindakan walaupun paparan iklan dan promosi di tayang secara besar-besaran masih tidak ke mana juga mampu menghasilkan apa yang dimahukan. Biar mereka sedar dan tahu apa yang kita boleh lakukan pada mereka. 

I : Interest – dapatkan minat dan kecenderungan mereka dengan apa produk yang ditawarkan. Pamerkan dan edarkan flyers-flyers yang sepatutnya. Jangan dibiarkan hanya meja dan kerusi sahaja terdapat di kaunter tersebut. Penampilan diri amat penting sebagai tarikan awal.

D : Desire – fahamkan dan yakinkan mereka pada tawaran terbaik kita akan apa yang dilakukan. Biar mereka berkeinginan untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut dan berminat untuk mendapatkan maklumat terlebih dahulu. Berikan bantuan dan pertolongan dengan sewajarnya.

A: Action – lakukan tindakan untuk mereka dengan mudah memutuskan untuk menerima apa juga tawaran yang di kemukakan. Biar betul dengan gaya, cara dan kaedah yang digunakan. Tarik perhatian dahulu sebelum boleh menarik minat seseorang.

Satu konsep yang bersesuaian yang boleh digunakan semasa pembukaan kaunter. Bagaimana untuk menggunakan konsep A.I.D.A ini? Pergunakan konsep ini dengan cara seperti berikut sebagai satu cadangan yang boleh dipraktikkan bersesuaian dengan produk apa yang ditawarkan.

A : dengan senyuman yang diberikan tunjukkan dan berikan maklumat serba ringkas dan jelas lagi mudah difahami.  Bagi produk-produk barangan lakukan demonstrasi tunjukkan kepada mereka. Bagi produk-produk perkhidmatan tunjukkan kelebihan dan keuntungan yang bakal mereka peroleh. Jangan buang masa tercegat sahaja di hadapan kaunter sahaja. Bergerak secara aktif dan progresif.

I : Tarik minat mereka berikan mereka berfikir sedalam-dalamnya tentang produk yang kita tawarkan boleh membantu dan menolong mereka selesaikan permasalahan mereka. Jangan berikan masalah pula kepada mereka. Bertanyakan kemukakan soalan-soalan yang relevan dengan mereka agar kita lebih dekat memahami masalah apa yang mereka tanggung selama ini. Berhemah dan bersopan agar mereka mahu untuk berinteraksi dengan kita. Jangan memaksa tapi pujuklah secara baik dan disenangi.

D : Perundingan walaupun seketika amat bermakna jika kefahaman mereka benar-benar difahami oleh mereka. Tunjukkan dan tawarkan solusi yang terbaik kepada mereka. Perundingan yang terbaik adalah dalam keadaan menang-menang dan bukannya mementingkan diri kita sahaja yang menjualnya. Selagi kita gagal mengesan apa yang mereka mahukan selagi itulah kita akan gagal melaksanakan jualan kita.

A : Jangan alihkan pandangan mereka kepada kawasan persekitaran. Fokus kepada mereka agar tumpuan mereka juga kepada kita. Lakukan tindakan yang menyenangkan hati mereka. Tindakan jangan terburu-buru kerana mereka mudah menolak tindakan agresif kita begitu sahaja meninggalkan kita buat tak tahu. Berhati-hati dan berwaspada segala pertuturan dan percakapan kita kepada mereka.

Tindakan sebaik-baik selepas membuka kaunter lakukan bedah siasat selepas habis sahaja kaunter dibuka. Mana kelemahan yang didapati dan diperoleh perbaiki segera. Jika terdapat kekurangan atau kesilapan perbaiki juga tidak dilakukan perkara yang sama di masa akan datang. Biar di masa hadapan sekurang-kurangnya jika penawaran dilakukan lagi hanya yang terbaik diberikan kepada mereka. Pergunakan konsep ini agar segala tindakan yang dilakukan biarlah ada sistematiknya. Jangan main suka hati, hentam ikut suka kita atau main langgar sahaja. Beradab secara taktikal itu lebih baik dalam melakukan jualan.


Read more >>

Selasa, 28 Oktober 2014

5M MELAKUKAN HOMEWORK


Sumber foto : www.newsworks.org

Teringat semasa bersekolah dahulu. Amat melecehkan apabila balik rumah sahaja semua homework atau kerja rumah dang dibekalkan oleh guru sekolah kena disiapkan pada waktunya. Tak siap nanti kalau tidak kena rotan pasti akan didenda di hadapan kawan-kawan sekelas. Bila siap rasa lega yang amat sangat. Cuma tak syoknya dah siap salah pula. Dah kena tegur kena marah pula diterima. Inilah pengalaman sehingga kini masih kuat dalam ingatan.

Begitulah juga dalam jualan. Kita bukan sahaja kena lakukan jualan tapi kena selalu juga melakukan kerja rumah apabila kita tidak melakukan jualan. 5M yang dimaksudkan dengan homework atau kerja rumah yang perlu dilakukan adalah

i.             Mencari, menilai dan menyaring sasaran bakal pembeli semula 

ii.           Muhasabah semula apa yang telah kita lakukan pada hari ini

iii.          Memikirkan tindakan terbaik esok hari

iv.          Menilai keupayaan kita dalam mencapai sasaran yang ditentukan

v.            Menyiapkan semula mana-mana yang masih terbengkalai lagi agar tidak berlarutan

Leceh disebabkan badan dah kepenatan yang memerlukan kita berehat di samping melayan kerenah keluarga. Peruntukkan masa emas rehat kita melakukan semula segala penilaian dan perancangan yang baru untuk disediakan sebagai persiapan kendiri pada keesokkan hari pula. Nak menjadi seorang yang hebat kena lakukan pengorbanan bagi memastikan punca rezeki tidak terputus dan memastikan sama agar konsistensi kita dalam melakukan tugasan masih relevan dengan minat kita untuk melakukannya. Bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyungnya, manakan dapat sagunya. Satu peringatan agar sentiasa memikirkan dan melakukan perkara yang terbaik dalam memastikan segala tugasan kita dapat dilakukan dengan sesempurna yang termampu.
Read more >>

Isnin, 27 Oktober 2014

KENALPASTI 3 SITUASI DALAM MENJUAL


Sumber foto : gantharwa.org

Melakukan jualan sememangnya menyeronokkan kalau betul dengan gaya dan caranya. Bukan omongan kosong tapi satu realiti dalam mencari sesuap nasi bekalan kehidupan yang serba mencabar di masa kini. Memang memenatkan dan meletihkan bila tugasan yang dilakukan tiada minat langsung untuk dilakukannya. Inilah cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh dengan sebaik mungkin mengikut semangat dan kesungguhan dalam melakukannya.

Di dalam melakukan jualan terdapat tiga situasi yang perlu untuk kita ketahui apabila melakukan jualan. Tidak kiralah sama ada kita sedari ataupun tidak, menempuhnya perlu kita ambil perhatian sewajarnya. Tiga situasi yang dimaksudkan ini adalah

PERTAMA :
Memastikan  bahawa apabila mendapatkan penutupan jualan komitmen dari mereka bakal pembeli perlu diperoleh terlebih dahulu. Tanpa komitmen mereka sudah pasti janji mereka tidak ke mana. Setakat janji kosong sahaja memang akan menyukarkan tugasan kita. Paling kurang pun minta sejumlah wang ringgit sebagai tanda persetujuan mereka menerima tawaran bagi pembelian produk. Umpama mahu membeli rumah atau kenderaan, sudah pasti mereka wang menjual akan meminta wang pendahuluan atau cengkeram terlebih dahulu sebagai tanda persetujuan menerima tawaran walaupun kadang-kadang pinjaman boleh diperoleh 100%. Pentingnya mendapatkan komitmen bukan setakat janji kosong dari mereka sahaja.

KEDUA :
Bezakan dengan pesaing agar tidak sama atau stereotype seperti mereka. Produk sama atau lebih kurang sahaja tapi bagaimana kita menjualnya boleh mencuri dan mengambil perhatian mereka. Kreativiti amat diperlukan. Memberikan satu kelainan dengan segala kelebihan yang ada pada produk dan diri kita perlu kita pergunakan dengan sebaik yang mungkin. Jangan dipersiakan tapi pergunakan dengan sebaik mungkin. Bersaing secara sihat buktikan yang kita sememangnya mampu untuk bersaing untuk mendapatkan pelanggan hanya dengan tawaran dan perundingan yang benar-benar dapat memikat hati dan perasaan mereka yang berada di hadapan kita.

KETIGA :
Sensitif dengan situasi sekeliling. Jangan biarkan kita menjual syok sendiri merasakan apa yang kita jual boleh laku dan diterima orang bulat-bulat begitu sahaja. Adakah produk kita masih relevan dengan mereka. Masih mampu kah produk yang ditawarkan dapat menyelesaikan segala masalah yang mereka tanggung selama ini? Menjuallah dengan cara dan kaedah yang paling mudah dengan mengetahui dahulu apa yang mereka mahukan di pasaran dari mudah terpengaruh kata-kata orang lain. Jangan fikirkan untung dahulu. Buang rasa tamak kita nak untung gila-gila dari menanggung kesukaran apabila menjual pula nanti.


Bertindak mengikut apa yang terbaik dalam diri kita dari mengikut kata-kata orang lain yang mahukan kita jatuh tertiarap dan menyukarkan tugasan jualan kita. Dunia yang penuh dengan hasad dengki dan tidak mahu melihat kejayaan orang lain perlu untuk kita hindari. Jangan terikut tapi jangan sampai memutuskan silaturahim. Allah kurniakan akal fikiran berfikirlah sebaik mungkin dan pergunakan apa yang ada. Carilah  ilmu di mana sahaja perbaiki dan perbetulkan mana yang sepatutnya. Tanpa ilmu setakat pandai bercakap pasti tidak ke mana pun juga. Berkawanlah dan rapatkanlah diri dengan mereka yang positif dan berjaya agar kita juga turut sama setidak-tidaknya seperti mereka.


Read more >>

Ahad, 26 Oktober 2014

MAAL HIJRAH - NIAT


Sumber foto : qatrunnadasobah.blogspot.com

Berpeluang menghadiri Forum Perdana khas sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Dewan Sri Pinang bertarikh 25 Oktober 2014. Begitu tertarik dengan saranan Ustazah Norhafizah Musa sebagai salah seorang panel jemputan forum. Beliau menyeru sempena kehadiran Maal Hijrah ini sama-sama kita perbetulkan semula niat kita dalam menghadapi kehadiran tahun hijrah yang baru ini. 

Saban tahun berlalu begitu sahaja namun tiada tindakan sewajarnya bagaimana melakukan perkara yang terbaik sepatutnya dilakukannya. Semuanya bergantung pada niat. Baik niat baiklah tindakannya manakala niat yang tidak baik sudah semestinya pasti memberikan kesan yang tidak baik juga kepada tindakan kita. Segala tindakan yang berlaku semuanya selari dengan apa niat kita sebenarnya.

Ustazah menyeru bermula dari awal bulan Muharam ini segala niat perlu dilakukan seperti berikut

i.             Mulakan niat melakukan perkara yang elok dan sewajarnya. Dengan niat yang betul pasti menjadikan segala tindakan kita sebagai satu ibadah kepada Allah dalam melakukan apa juga perkara yang tidak bertentangan dengan syariah.

ii.           Per baharui semula niat kita ke arah sepatutnya dilakukan. Lakukan perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan dari melakukan kemungkaran dan maksiat. Segala tindakan dan perbuatan akan lebih mudah terdorong kepada apa yang dituntut oleh Allah.

iii.          Perbaiki niat agar mana yang salah dan silap diperbetulkan semula. Jangan berterusan melakukannya perkara yang dilarang dan tidak memenuhi syariah. Perbaiki ke arah kebaikan dan dituntut agar apa yang dilakukan sentiasa diberkati dan di berkahi oleh Allah SWT.

Tidak rasa malu dan sukar untuk merubah niat sempena kehadiran tahun baru Hijrah 1436. Bermulalah dengan kebaikan dan ketaatan agar di akhir tahun hijrah tetap sama berada dalam keadaan sepatutnya. Allah kurniakan akal fikiran untuk fikirkan mana yang baik mana yang jahat untuk kita lakukan. Berfikirlah sejenak muhasabah diri perbetulkan niat agar apa yang kita lakukan ini sentiasa mendapat keredaan dan kerahmatan Allah SWT nanti.

Sabda Rasulullah SAW “Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat Bukhari).

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).



Read more >>