Ramadhan kembali semula. Syukur alhamdulillah kita diberi kesempatan sekali
lagi untuk berada di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan peluang
mendekatkan lagi diri kita kepada yang Maha Berkuasa. Tidak dinafikan berpuasa
di siang hari sedikit sebanyak pasti akan mengganggu pergerakan tugasan jualan
kita. Diri terasa mudah penat, mudah hilang sabar, mengantuk dan tekak terasa
kering sudah pasti mempengaruhi apa yang kita telah kita lakukan selama ini.
Hanya kerana berpuasa kita merasakan seperti satu bebanan pula untuk dihadapi.
Ambillah tindakan terbaik ubah gaya dan cara tugasan kita terutamanya dalam
menghadapi Ramadhan ini yang tentunya kita sibuk dengan berpuasa dan beramal
ibadat mendekatkan diri kita ke hadrat Allah SWT. Kerana itu perancangan yang
baik perlu dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Antara perancangan yang
dimaksudkan itu yang perlu dilakukan adalah
i.
Memastikan sasaran pelanggan prospek adalah betul dan
tepat dengan mengehadkan pergerakan seboleh-bolehnya dalam radius yang
berhampiran dan berdekatan dengan tempat kita
ii.
Bila melakukan pertemuan atas temu janji yang ditetapkan,
sebaik-baiknya jangan dibiarkan satu tempoh yang lama pula bersembang dan
memberikan penerangan yang lama. Kering tekak lah pula nanti sudah pula
melakukan presentasi seperti mana yang dikehendaki. Sebaik-sebaik tindakan
lakukan dengan ringkas, padat dan mudah difahami.
iii.
Kawal diri agar sentiasa sabar dan tenang sahaja. Bila
marah menguasai diri bukan setakat jualan akan dirosakkan tetapi juga amal
ibadah kita juga akan terjejas sama.
iv.
Sama ada menjamu dan dijamu bagi tujuan berbuka puasa
ambil kesempatan kalau tidak pun untuk menjual, perkenalkan diri pada seramai
yang termampu membina rangkaian networking bagi pihak kita. Pastikan agar solat
maghrib tidak sama sekali di abaikan agar puasa kita di siang hari ganjarannya
tidak mudah hilang begitu sahaja.
v.
Pergunakan aktiviti-aktiviti yang dilakukan di
masjid-masjid seperti solat tarawih, bertadarus, berbuka puasa dan sebagainya
bagi menjalin silaturahim dan membina kenalan rangkaian networking kita. Tidak
dinafikan masjid-masjid atau surau-surau lebih menjadi tumpuan orang ramai di
bulan Ramadhan ini. Biar mereka tahu apa yang kita lakukan dari kita merasa
asing dan terpencil dari kehadiran diri kita.
vi.
Mohonlah banyak-banyak ke hadrat Allah apa juga hajat
kita terutama pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Lakukan secara
konsisten dan bersungguh agar Malam Lailatul Qadar boleh kita peroleh seperti
mana yang diidamkan oleh semua orang Muslim.
Rancanglah dengan sebaik yang mungkin agar tindakan kita diberkati dan di
redhai oleh Allah. Tidak dinafikan berpuasa amat memenatkan dalam melakukan
tugasan jualan tapi tidak semestinya berpuasa akan mengganggu ap yang ingin
kita lakukan. Lagi penat kita lakukan lagi besar ganjaran Allah akan berikan.
Nak berjaya dunia akhirat jangan jadikan amalan berpuasa sebagai satu beban
yang menyukarkan tapi menjadikan amalan berpuasa ini sebagai satu cabaran
tambahan buat kita untuk menghadapinya dengan penuh kesabaran, ketenangan dan
ketabahan demi kesetiaan kita terhadap Allah SWT.
Diriwayatkan oleh Ibnu
Khuzaimah dari Salman Radhiallahu 'anhu, katanya:
Rasulullah SAW berkhutbah di
hadapan kami pada hari terakhir daripada bulan Syaaban.
Beliau bersabda: "Wahai
manusia, sesungguhnya kamu dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh
keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik
daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasa Nya suatu fardu
dan qiyam di malam harinya suatu tatawwu' (sunat). Barang siapa mendekatkan
dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia
dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa
yang menunaikan suatu fardu di dalam bulan Ramadhan maka samalah dia dengan
orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain. Ramadhan itu adalah bulan
sabar, sedang sabar itu pahalanya adalah syurga. Ramadhan itu adalah bulan
memberikan pertolongan dan bulan Allah memberi rezeki kepada para mukmin di
dalamnya. Barang siapa memberi makanan berbuka di dalamnya kepada seseorang
yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan
kemerdekaan dia dari neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa,
baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa
dikurangkan sedikit pun."
Para Sahabat berkata:
"Ya Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan berbuka puasa itu
untuk orang yang berpuasa?!".
Maka bersabda Rasulullah SAW
"Allah memberikan pahala itu kepada orang yang memberikan sebutir kurma,
atau seteguk air, atau sehirup susu. Dialah bulan yang permulaannya rahmat,
pertengahannya keampunan dan pengakhirannya merdeka dari api neraka. Barang siapa
meringankan beban daripada hamba sahaya (pembantu-pembantu rumah), nescaya
Allah akan mengampuni dosanya dan memerdekakannya daripada api neraka. Oleh itu
per banyakkanlah empat perkara di dalam bulan Ramadhan. Dua perkara untuk
menyenangkan Tuhan mu dan dua perkara lagi untuk kamu sangat menghajatinya. Dua
perkara yang kamu lakukan untuk menyenangkan Allah ialah mengakui dengan
sesungguhnya bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan memohon
keampunan kepada Nya. Dua perkara lagi yang kamu sangat memerlukannya ialah
memohon syurga dan berlindung daripada neraka. Barang siapa yang memberi minum
kepada orang yang berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air
kolam itu dengan suatu minuman yang dia tiada merasakan dahaga lagi sesudahnya,
sehingga dia masuk ke dalam syurga"
(Sumber Kitab At-Targhib,
jld.II, 217-218)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan