Ramai penjual berpendapat inilah masa terbaik untuk menuai. Pendapatan
jualan sebulan umpama setahun perolehannya. Kerana itu terlalu ramai yang ingin
berniaga dan menjual terutamanya di musim kehadiran Ramadhan ini. Benar ataupun
tidak hanya mereka yang aktif melakukan perniagaan di bulan Ramadhan ini sahaja
yang boleh memberikan jawapannya. Merekalah yang layak untuk memberikan
jawapannya kerana penglibatan mereka benar-benar memberi tumpuan dan fokus
untuk melakukannya walaupun terpaksa menahan diri dari lapar dan dahaga.
Lihatlah apa yang berlaku di bazar Ramadhan. Tidak dinafikan begitu ramai
yang berkecimpung dalam bulan Ramadhan ini untuk berniaga. Di mana-mana sudah
pasti kalau bukan satu gerai, sekelompok gerai-gerai akan mula berniaga pada
satu-satu tempat. Ini belum lagi dikira kalau tapak bazar Ramadhan disediakan
oleh pihak Berkuasa Tempatan. Tidak kira berapa sewanya asalkan dilihat sebagai
satu tapak yang strategi dan boleh menarik minat orang datang untuk membeli itu
sudah di kira cukup baik untuk di ambil kesempatan berniaga.
Inilah kehebatan Bazar Ramadhan. Hanya di takuti janganlah ada di kalangan
penjual yang menyertainya menjadikan Bazir Ramadhan pula. Kenapa pula dari
bazar menjadi bazir pula? Sesuatu yang perlu disedari oleh penjual semua
maklumlah majoriti yang menjualnya di bazar Ramadhan sudah semestinya
orang-orang Muslim yang menjalani ibadah Puasa di bulan Ramadhan yang penuh
dengan kerahmatan dan keberkatan oleh Allah SWT. Apa yang dimaksudkan dengan
membazir ini adalah
i.
Penyediaan bahan jualan yang berlebihan
Kerana inginkan
perolehan yang tinggi berdasarkan kuantiti yang banyak habis penyediaannya
disediakan dengan terlalu banyak sehingga sampai ke waktu berbuka puasa masih
ada yang tidak terjual. Mungkin ada peniaga yang cerdik merasakan esok boleh
dijual lagi dan boleh di simpan. Sebagai contoh kalau peniaga kurma tak apalah
boleh lagi disimpan kurma tersebut untuk keesokannya. Bagaimana kalau peniaga
makanan? Pasti akan terbuang begitu sahaja. Tiada siapa nak makan kalau bekalan
makanan terlalu banyak tersedia. Mungkin boleh di sedekahkan ke masjid-masjid
itu pun kalau sempat untuk jemaah berbuka puasa. Alangkah ruginya kerana
pembaziran berlaku.
ii.
Lupa tanggungjawab sebagai seorang Muslim
Kerana terlalu
leka dengan menjual lupa habis untuk menunaikan solat terutamanya waktu Asar
waktu yang dikenali sebagai waktu puncak sebelum berbuka. Berkat kah kita
berniaga andai kata waktu solat pun kita abaikan. Tak guna untung banyak andai
kata sembahyang pun kita lupa. Sia-sia sahaja perbuatan kita bazir dunia bazir
lagi di akhirat nanti. Untung banyak senang dapat pendapatan sudah pasti begitu
senang juga akan di habiskan ke jalan yang tidak disangka-sangka dihabiskan. Pilihan
semuanya di tangan kita maka fikirlah ambil tindakan mana yang kita berkenan.
iii.
Tiada kejujuran dalam menjual
Nak untung biar
berpada-pada. Kena ingat amanah dan tanggungjawab dalam berniaga dan menjual.
Biar sama-sama untung bagi kita yang menjual mahupun orang yang membelinya.
Jadikan Bazar Ramadhan tempat mencari keuntungan dan ganjaran pahala di dunia
dan di akhirat bukannya untung di dunia sahaja. Tidak kah itu bazir Ramadhan
namanya andai kata nak menjual pun menipu pembeli walaupun pembeli yang
membelinya bukan nya tahu makanan yang dibelinya ok ataupun tidak. Maklumlah
orang semuanya berpuasa, bukannya tahu sedap atau pun tidak, elok ataupun tidak
kerana pembeli kebanyakannya membeli berdasarkan hiasan yang dilakukan oleh
penjual dengan janji mulut manis mereka di hadapan pembeli.
iv.
Terlalu berdendam dan berhasad dengki
Penyakit hati yang
perlu dijaga, mentang-mentang ada gerai sebelah yang berniaga cukup laku
jualannya hati mula bergolak dan berkecamuk ketidakpuasan hati kenapa gerai
sebelah boleh laku dan bukannya dirinya yang berniaga. Mulalah cari jalan
mendoakan yang bukan-bukan agar gerai yang berniaga di sebelah dan berdekatan
gerainya turut sama jatuh telungkup berniaga. Biar puas hatinya. Ini lah bazir
yang keterlaluan dalam menjual kalau perasaan hati tidak dapat dibendung hanya kerana
cemburu dan berdengki. Kena berhati-hati supaya penyakit sebegini tidak wujud
dalam perasaan orang yang berniaga.
v.
Lupa nak bersedekah apatah lagi membayar zakat
Juallah dengan
harga patut dan pastikan jangan memerah orang ramai yang datang membeli. Kena
ada sikap bersedekah dan situasi menang-menang dapat diwujudkan. Jangan lupa
zakat fitrah dan zakat perniagaan sekali. Kena ada pengasingannya. Allah dah
banyak bantu kita dan sampai masanya untuk kita serahkan semula sedikit
keuntungan yang diperoleh kepada Allah semula. Tidak salah bazirkan sedikit ke
jalan Allah yang salahnya lagi kita kaut keuntungan lagi lupa pula kita ke
hadrat Allah.
vi.
Mudah lupa diri
Bila dah untung
banyak dan mendapat sambutan panas, kita lupa tempat kita berpijak dan bernaung
selama ini. Mulalah kita lupa diri dan berlagak tak tentu hala fikirkan nak
punyai itu dan punyai ini sehingga kita lupa hutang kita kepada Allah.
Berbicara pun sudah mula meninggi diri merasakan betapa hebat kita berniaga
tidak seperti orang lain yang berniaga. Adakah ini yang kita carikan selama ini
tujuan kita melakukan jualan?
Elaklah diri kita dari menjadi seorang yang membazir di jalan Allah.
Jadikan bazar Ramadhan satu tempat yang benar-benar mencari rezeki dan bukannya
tempat untuk kita membazir dunia akhirat. Orang lain sibuk beramal ibadat
mencari ganjaran Allah kita pula sibuk mencari dosa Allah di bulan Ramadhan.
Semoga apa yang dipaparkan ini tidak berlaku pada kita semua yang begitu asyik
berniaga dan melakukan jualan di bulan Ramadhan. Ambillah kesempatan yang ada
walaupun menjual menambah amal ibadat kita ke hadrat Allah walaupun terasa diri
ini terlalu memberi tumpuan dan fokus dalam berniaga. Bukankah apa yang kita
lakukan semua ini di dalam kehidupan di dunia ini satu amal ibadat? Tetapkan
niat kita agar apa yang kita lakukan sentiasa di redhai dan diberkati Allah
sentiasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan