Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 20 Julai 2013

Hadapi Mulut Bercabang



Adat orang menjual kerap kali juga bertemu dan bersua dengan orang yang mulut bercabang. Apa yang dimaksudkan dengan mulut bercabang? Mulut bercabang adalah seseorang yang bercakap sekejap berkata ‘ya’ dan sekejap lagi berkata ‘tidak’ pula sehinggakan apa yang diperkatakan oleh beliau seolah-olah mempermainkan apa yang kita perkatakan kepadanya. Kerana itu apabila melakukan jualan kena pastikan berhati-hati dan berwaspada sentiasa agar apa yang diperkatakan menjadi satu pegangan yang kukuh buat kita terutama ketika persetujuan dalam menerima tawaran yang dikemukakan.

Jangan mudah berputus asa jika bertemu dengan orang yang sedemikian. Pasti ada cara dan kaedah untuk diatasi dengan sebaik mungkin tanpa perlu menyakitkan hati sesiapapun juga. Biarlah bakal pembeli atau pelanggan mulutnya bercabang asalkan tidak pada kita. Kita yang melakukan jualan sememangnya untuk membantu dan menolong orang. Semua ini kena  anggap sebagai satu dugaan dan cabaran untuk kita hadapi. Antara yang boleh dilakukan bagi mengatasi bertemu dengan orang yang mulut bercabang ini adalah

I.           Berikan secara berfakta tidak berbelit dan mudah difahami oleh mereka. Sebaik-baiknya tunjukkan apa kelebihan kita jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh pesaing dalam pasaran. Sekurang-kurangnya mulut mereka akan terkunci jika perbandingan produk di pasaran dapat diberikan.

II.        Bagi produk yang dijual bertemu dengan orang yang sebegini memerlukan kesabaran yang tinggi. Layan dengan baik kerana bangkangan dan bantahan jualan mungkin akan mudah terjadi dan berlaku. Kerana itu pengetahuan produk dan segala kelebihan produk perlu kita mahirkan dan fahami sedalam-dalamnya.

III.     Bila persetujuan dinyatakan tanpa membuang masa dapatkan tandatangan mereka secara segera dan serta merta bagi jualan yang berdasarkan perkhidmatan. Bagi jualan berasaskan produk barangan terus-terusan jual terus tanpa perlu bertangguh lagi dapatkan wangnya terlebih dahulu. Selamatkan jualan kita dahulu dari memikirkan mulut bercabang mereka.

Kesungguhan untuk melakukan tanpa mengenal penat lelah dan berkeluh kesah sudah pasti akan membuahkan sesuatu yang menarik kepada tugasan jualan. Biarlah bagaimana bentuk badai yang melanda dan berlaku semuanya boleh ditempuhi asalkan kesabaran, kecekalan, ketabahan dan ketenangan boleh kita lakukan dengan sebaik yang mungkin. Beri fokus dan tumpu pada apa yang kita lakukan agar segala apa yang kita inginkan dan idamkan sudah pasti pada penghujungnya akan tetap juga kita nikmati jua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan