Amat merisaukan bila menjual dengan semangat yang tinggi tiba-tiba ada
sahaja yang dilupakan untuk dimaklumkan pada mereka. Penyakit lupa dan mula dah
tak ingat semakin menular sehingga setiap penerangan yang mahu diberikan
sememangnya tidak lengkap dan cukup segala informasi yang diberikan.
Asyik lupa sahaja, itu tak ingat ini
tak ingat macam mana nak menjual? Ini yang perlu dielakkan sama sekali. Malu rasanya
jika ini benar-benar berlaku dan terjadi. Takkan nak bagi penerangan pada bakal
pembeli atau pelanggan segala-galanya serba tak lengkap jadinya. Mahu kah kita
memegang skrip atau buku panduan ketika melakukan jualan? Macam mana nak
dapatkan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kita?
Atasilah segera. Mungkin artikel di bawah ini boleh membantu kita dalam
mengatasi penyakit lupa kita. Selagi tidak berusaha selagi itulah kita akan
menjadi seorang pelupa dan mungkin menjadi nyanyuk pula buat selama-lamanya. Bertindaklah
segera.
Atasi penyakit lupa, baca al-Quran
FARUSH KHAN
4 Mac 2015 Berita Harian online
SEJAK telefon bimbit dicipta, ramai betul manusia,
termasuk dalam kalangan kita, memilih untuk lupa nombor telefon.
Kalau nombor telefon sendiri pun sudah lupa, nombor
telefon orang lain apa lagi.
Sebab itu apabila telefon bimbit hilang atau tersalah
letak, kebanyakan kita jadi tenggelam punca, seperti kucing hilang anak.
Dunia tiba-tiba jadi gelap; tiada siapa dapat hubungi
kita, tiada siapa yang kita dapat hubungi. Kosong dan sepi.
Lagilah dalam era WhatsApp ini, macam-macam maklumat
dan video tentang perkara terbaharu yang berlaku di seluruh pelosok dunia
berpindah dari satu telefon pintar ke telefon pintar dengan laju dan meluas.
Cerita pasal lupa, saya ada seorang kawan, orangnya
berpendidikan tinggi, tetapi tentang letak barang-barang, memang dia kaki lupa.
Setiap tahun, menurut cerita kawan-kawan yang rapat
dengannya, dia kehilangan lima atau enam telefon bimbit.
Sudah kira-kira 10 tahun saya tidak jumpa dengannya.
Bayangkan, sudah berapa banyak telefon bimbit agaknya yang dia hilangkan dalam
tempoh itu.
Pernah dia dihantar ke lapangan terbang oleh
isterinya. Apabila keluar dari kereta, dia pakai kot dan terus naik kapal
terbang, tanpa menyedari dia lupa tukar selipar jepun dengan kasut. Bayangkan
betapa malunya dia sebaik sahaja berada di dalam kapal terbang dalam keadaan
yang sangat pelik itu.
Sampai destinasi, dia beli kasut dan berjalan dengan
yakin dan gembira. Tapi dia tidak sedar, sekejap lagi bala lain pula datang.
Apabila dia singgah kedai untuk makan roti canai dan teh tarik, dia tertinggal
pula kot yang disangkutnya di kerusi kedai.
Memanglah lupa itu penyakit manusia. Bukan manusia
kalau tak lupa, Buktinya? Apa yang kita makan dan apa yang kita pakai tiga hari
lalu pun payah kita nak ingat. Apa yang kita cakap dua tiga minit tadi pun kita
sudah lupa. Ada yang sanggup bertegang urat menafikan apa yang baharu
diucapkan.
Kalau ada yang mahu mendakwa dia tidak pernah lupa,
itu adalah suatu keajaiban.
Semalam, saya bertemu dengan seorang yang sudah
berusia lebih 90 tahun.
Penglihatannya sudah kabur, pendengarannya juga
hampir pupus. Anda jerit di telinganya pun sudah tidak berguna lagi.
Tetapi yang menarik, ingatannya masih kuat dan dia
sihat. Dia masih kenal dan ingat nama orang di kelilingnya dan boleh ingat
kisah-kisah lampau. Alhamdulillah.
Kata kawan-kawan, dia banyak kayuh basikal. Sejak
remaja hingga tua dia naik basikal sahaja ke hulu ke hilir.
Dia tiada pilihan kerana dia tidak tahu tunggang
motosikal dan pandu kereta, tetapi syukurlah itu membantunya menjadi sihat,
dengan izin ALLAH.
Tentang ingatannya yang tajam itu tidak pula saya
banyak periksa, tetapi saya difahamkan, kalau anda banyak membaca al-Quran,
ingatan anda menjadi tajam.
Sebab itu kata orang, mereka yang hafal al-Quran
mudah sahaja lulus peperiksaan dalam mata pelajaran walaupun masa yang diberi
untuk belajar suntuk. Wallahualam.
Tapi berdasarkan kekuatan dan hikmah al-Quran itu
sendiri, ia bukanlah satu perkara yang mustahil pun.
Al-Quran diketahui sebagai sumber yang tenteramkan
jiwa, sebagai penawar dan penyembuh penyakit, sebagai pembentuk kepada akhlak
dan macam-macam lagi.
Jadi apalah yang mahu dihairankan jika dengan
kekerapan membaca al-Quran ingatan seseorang itu boleh menjadi lebih tajam dan
tidak mudah lupa atau nyanyuk.
Saya terbaca tentang otak daripada sebuah buku
Inggeris. Katanya apabila kita cerdaskan fikiran, ia akan mencergaskan benda
lain dalam tubuh kita, daripada kulit hingga organ bergerak dengan baik untuk
memberi tenaga dan keceriaan.
Jadi, bagaimana anda boleh cerdaskan otak? Katanya,
itu sangat mudah. Anda hanya perlu kreatif dan melakukan pelbagai senaman dan
kegiatan setiap hari.
Pergerakan yang berbeza-beza, katanya, akan bantu
membina kekuatan fikiran anda.
Dalam buku mengenai ketajaman fikiran itu, ia juga
mencadangkan anda tidak menggunakan GPS dan cuba hafal nombor telefon dan
alamat e-mel untuk menguatkan ingatan. Atau anda boleh sahaja belajar bertutur
apa-apa bahasa asing.
Dalam Islam, terdapat beberapa perkara yang boleh
dibuat untuk meningkat dan mencerdaskan daya ingatan.
Antaranya, konsisten membaca al-Quran,
menggosok gigi, berpuasa sunat dan meminum madu.
Juga disebut, perkara-perkara yang boleh membawa
kepada lupa ialah maksiat, kegelisahan, keterlaluan dalam kesedihan kerana
memikirkan urusan dunia dan sibuk bekerja untuk urusan duniawi. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan