Daripada Abdullah Bin Umar, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya ada satu pohon yang tidak gugur daunnya dan ia adalah
perumpamaan bagi seorang Mukmin.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi). Dalam
hadis ini, Rasulullah SAW telah membawakan suatu kiasan dengan mengumpamakan
orang Mukmin dengan pohon yang tidak gugur daunnya. Pohon yang dimaksudkan ini
tidak lain dan tidak bukan adalah pohon kurma yang begitu tumbuh merata di
Tanah Arab.. Menurut al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi, sebagaimana tidak
gugurnya daun daripada pohon kurma, begitulah kekuatan dan ketahanan yang tidak
luntur daripada orang Mukmin.
Selain itu, seorang Mukmin dapat memberikan
manfaat yang berterusan sama ada untuk dirinya sendiri ataupun orang lain.
Begitulah juga pohon kurma yang dapat dimanfaatkan secara keseluruhannya tidak
kiralah sama ada pada pohon, buah, pelepah dan sebagainya. Jelas apa yang
digambarkan oleh Rasulullah ini yang berkehendakkan seseorang yang Muslim
mempunyai hati dan pegangan yang kuat, tabah dan kental dalam menghadapi apa
juga cabaran, dugaan dan rintangan yang hadir dan menjelma.
Ini jugalah yang harus diterapkan oleh kita
dalam melakukan jualan, umpama pokok kurma di Negara Arab begitu jugalah dengan
pokok kelapa di Malaysia. Bukan setakat ketahanan yang kuat tumbuh di muka bumi
ini sahaja tapi turut menyumbang bakti pada keseluruhan pokoknya dari daun,
lidi, pelepah, buah dan batang pokok. Semuanya boleh dimanfaatkan pada sesiapa
juga yang memerlukannya.
Jadilah seorang penjual yang sentiasa
tabah, cekal, tenang dan sabar dalam menghadapi apa juga cabaran dan ujian yang
ditempuhi. Tidak mengenal erti kecewa, putus asa, takut ataupun gerun asalkan
setiap peluang yang ada dimanfaatkan sepenuhnya. Jadikan diri kita sentiasa
mahu dan sanggup untuk menabur bakti dan budi menolong dan membantu pada siapa
juga yang berkehendakkan menerusi produk yang ditawarkan. Tidak mengenal
kesukaran dan kesusahan pada setiap yang ditempuhi.
Berjasa pada semua orang dan bukan memilih
pada jawatan, pangkat, kekayaan atau kekuasaan seseorang. Jangan memilih tapi
tabur budi membantu dan menolong orang menerusi apa juga produk yang
ditawarkan. Lihatlah dan renungkanlah sebaik-baik kejadian yang Allah ciptakan
untuk kita renungi dan fikirkan bagi manfaat untuk diri kita juga pergunakan
dengan sebaik yang mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan