Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 27 Disember 2014

PENGHALANG DAN HALANGAN



Sumber foto : www.majalahexcellent.com

Setiap kali melakukan jualan pasti ada halangan dan penghalang yang perlu untuk kita rempuhi dan tempuhi terlebih dahulu. Kalau apa yang dihadapi seperti menempuh jalan di lebuh raya mungkin boleh lagi kita hadapi kerana halangan terbesar di lebuh raya hanyalah apabila memasuki dan keluar dari tol sahaja. Tapi dalam jualan bukan seindah dan semudah itu untuk melakukannya. Pasti ada halangan untuk kita tempuhi dan atasi. Sedangkan lari dalam acara berpagar pun ada halangannya ini kan pula melakukan jualan.

Menempuh setiap halangan itu sudah pasti ada perit dan memenatkan. Bukan semua yang kita mahukan boleh diperoleh dengan begitu mudah sama sekali. Tiada jalan yang lurus selurus landasan keretapi untuk kita tempuhi. Bila ada halangan dan penghalang maka bermulalah detik hati, perasaan dan mulut kita melahirkan perkara yang bukan-bukan memberikan pelbagai kritikan dan menyalahkan pelbagai perkara lagi dan lagi. Antara isu-isu yang dijadikan modal sebagai satu halangan dan penghalang yang ditempuh itu adalah hanya disebabkan oleh kerenah orang, keadaan sekeliling, sistem ekonomi dan pesaing yang menawarkan lebih hebat dari kita. Semuanya bermulalah episod mencari alasan dan ulasan seolah-olah seperti sang semut menunggu gula ditaburkan ke dalam mulutnya.

Tak mahu susah dan tak mahu langsung keluar dari zon selesa. Semuanya nak senang dan mudah sahaja. Usaha sedikit tapi hasil nak banyak dan senang. Adakah ini yang kita mahukan dan carikan demi memastikan  karier dan tugasan kita masih mampu untuk dilakukan. Semuanya memerlukan kejayaan untuk kita lakarkan walaupun mungkin terdapat sedikit atau banyaknya halangan, cabaran, dugaan dan rintangan yang perlu untuk di atasi dan dihadapinya.

Fahamilah keadaan dan situasi sebenarnya. Tak lain tak bukan semuanya kena bermula dari diri kita sendiri. Tiada penyebab besar melainkan dari diri kita sendiri yang perlu diperbetulkan dahulu. Selagi pembetulan dalaman diri tidak diperbetulkan selagi itulah mencipta kejayaan sudah pasti akan tersasar dari landasan yang dimahukan. 

Sentiasa meneropong dan menyelami apa kekurangan dan kelemahan diri kita dari membebel yang bukan-bukan pada yang lain. Periksa dahulu di mana salah dan silapnya agar pembetulan yang jitu dan teguh boleh dilaksanakan. Hendak seribu daya kalau tak hendak itulah pelbagai dalih akan dicari dan diberikan. Jangan difikirkan segala halangan dan penghalang yang dihadapi tapi fikirkan sahaja bagaimana keputusan akhir boleh dinikmati. Selamat berjaya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan