Sebagai
seorang Muslim kita amat dituntut memahami dan mendalami sebagai pegangan hidup
tentang sifat-sifat wajib bagi Rasul yang telah dilantik dan ditentukan oleh
Allah SWT. Tanpa kita ketahui dan mengetahui apa sifat-sifat Rasulullah ini
bagaimana kita boleh yakin akan kewujudan dan kehadiran Rasul sebagai pemimpin
yang kita ikuti? Fahamilah agar di akhirat nanti kita tergolong salah seorang yang
terpilih menerima minuman di telaga al-kautsar dan syafaat dari Nabi Junjungan
Besar kita, Nabi Muhammad SAW.
SIFAT-SIFAT YANG WAJIB BAGI RASUL
1.Siddiq/Benar
Siddiq bererti benar. Sifat benar ini wajib ada pada rasul. Ia
menjadi sifat yang mutlak iaitu bersifat benar dalam semua perkara sama ada
dalam percakapan, perbuatan dan hati. Apa yang disabdakan oleh para rasul dan
para nabi adalah benar dan dibenarkan kata-katanya. Para nabi dan rasul
mempunyai sifat siddiq
iaitu membawa kebenaran.
2. Amanah
Perkataan
amanah mempunyai pengertian khusus dan umum. Dalam pengertian khusus amanah
bererti mengembalikan harta benda kepada yang mengamanahkannya. Manakala dalam
pengertian khusus pula amanah memberi maksud menyembunyikan rahsia, ikhlas dalam
memberi nasihat dan benar-benar menyampaikan sesuatu bila ditugaskan untuk
menyampaikannya.
3.Tabligh/Menyampaikan
Maksud tabligh ialah menyampaikan.
Para rasul menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah, di mana
menyampaikan itu menjadi sifat yang istimewa kepada mereka. Mustahil mereka
menyembunyikan wahyu Allah. Mereka tetap menyampaikannya walaupun menghadapi
kezaliman dan kekejaman manusia. Semua rasul mengisytiharkan dengan
berterus-terang dan bersemuka bahawa mereka menyampaikan perintah Allah dan
menasihati umatnya. Para rasul sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan,
hukum-hukum, berita gembira dan berita buruk kepada seluruh umatnya.
4.Fatonah/Bijaksana
Fatonah bermaksud cerdik dan bijaksana. Setiap rasul yang
dipilih oleh Allah wajib bersifat dengan sifat fatonah, malah secara luar biasa dalam memahami
ajaran Allah. Para rasul memiliki kekuatan ingatan dan ketajaman akal yang luar
biasa, sehingga tidak ada sesiapa yang mampu menandingi mereka, kerana mereka
telah diamanahkan untuk menyampaikan agama Allah, menyatakan hukum-hukumnya,
menghapuskan segala kekeliruan, menegakkan iman dalam hati manusia dengan
hujah-hujah yang kuat serta membatalkan segala penentangan ke atas agama Allah.
Sifat fatonah adalah
sifat yang saling berkait dengan sifat tabligh,
kerana dalam menyampaikan ajaran Allah para pesuruh Allah mesti menghadapi
perbahasan dan perbincangan yang sengit dengan musuh-musuh mereka. Dengan sifat
fatonah itu wajar
bagi mereka melaksanakan perintah Allah.
Jika kita
mengkaji sejarah sirah hidup Rasulullah, kita dapati baginda Nabi Muhammad
adalah seorang yang sangat bijak dan dapat memberi hujah yang kuat. Tidak ada
seorang pun yang dapat menandinginya, sehinggakan kata-kata baginda menjadi
hujah yang kuat hingga akhirat kelak.
Jadikan sifat
wajib yang ada pada Rasul kita lakukan dalam diri kita sama. Bukan kerana kita
nak jadi Rasul tapi menjadikan sifat Rasul memberikan kesempurnaan tingkah laku
yang baik kepada diri sendiri dan masyarakat. Tambahan pula dalam kita menjual,
semua sifat bagi Rasul ini perlu ada untuk kita praktik kan sama. Nak hebat
dalam melakukan jualan mendapatkan kepercayaan orang lain kepada kita
sifat-sifat seperti bercakap benar bukan menipu, amanah bukan khianat,
menyampaikan bukan menyembunyikan fakta demi kepentingan diri dan perlu ada
kebijaksanaan bukan mempamerkan kebodohan perlu ada dan di praktik sama sekali.
Ikut apa yang
Rasulullah lakukan bermakna berapa banyak sunah Nabi yang telah kita lakukan. Sememangnya
di tuntut untuk melakukannya seperti mana firman Allah bermaksud ‘dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w)
kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarang Nya kamu
melakukannya maka patuhilah larangan Nya. dan bertakwalah kamu kepada Allah;...’. (Surah Al-hasyr Ayat 7).
Daripada Abu Hurairah (r.a) daripada Nabi SAW, baginda bersabda: " Biarlah (jangan kamu bertanya kepada)ku apa-apa yang
telah aku tinggalkan untuk mu. Sesungguhnya faktor-faktor yang telah
membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah lantaran mereka banyak bertanya
dan sikap mereka yang sentiasa menyalahi nabi-nabi mereka. Jika aku melarang
kamu supaya tidak melakukan suatu perkara, maka jauhilah dan apabila aku
memerintahkan mu supaya melakukan suatu perkara, maka lakukanlah sepenuh tenaga
mu." Riwayat Al
Bukhari.
Apa lagi
sempena kehadiran Maulidur Rasul ini jom kita lakukan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan