Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 21 November 2014

UTAMAKAN KESYUKURAN




Belajar bersyukur dengan apa yang ada. Apa juga yang diperoleh sentiasa bersyukur alhamdulillah. Dapat atau tidak akan apa yang ditawarkan kena bersyukur sahaja. Terima dengan apa yang telah dilalui. Bila gagal elakkan diri dari mudah terjerumus kepada kecewa dan putus asa. Jangan mengeluh, mengkritik, menghentam mahupun menyesal dengan apa yang terjadi dan berlaku. 

Kena fikirkan semula mesti ada sebab dan musababnya bukan suka-suka boleh jadi begitu sahaja. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah nya. Firman Allah yang bermaksud ‘Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa juga yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya’ (Surah Ibrahim Ayat 34).

Firman Allah lagi yang bermaksud ‘Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmat Nya) serta kamu beriman (kepada Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa membalas dengan sebaik-baik Nya (akan orang-orang yang bersyukur kepada Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)’ (Surah an-Nisa Ayat 147). Buang jauh-jauh sikap yang suka bersangka buruk bila kegagalan menimpa dan terjadi. 

Ubahkan sentiasa kepada bersangka baik agar diri kita setiap masa dan ketika bermotivasi tinggi untuk melakukan tugasan. Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Bila gagal muhasabah segera agar masih mampu untuk diperbetulkan dan tidak diulangi tindakan silap dan salah kita di masa hadapan.

Sabda Rasulullah SAW ‘Barang siapa yang tidak mensyukuri yang sedikit, maka ia tidak akan mampu mensyukuri sesuatu yang banyak’ (Hadis Riwayat Ahmad). Sedikit-sedikit lama-lama pasti menjadi bukit. Tapi kalau yang sedikit pun kita tidak hargai sudah pasti tidak sampai ke mana pun apa yang kita mahukan agar impian dan harapan boleh tercapai pada akhirnya. 

Biasakan diri bersyukur dalam apa keadaan sekalipun walaupun sesuatu perkara yang ditempuhi itu tidak mampu untuk kita menerimanya. Sentiasa beringat sudah pasti setiap apa juga yang berlaku dan terjadi itu ada hikmah nya sebagai satu cabaran bukan masalah untuk kita hadapi berlapang dada dengan hati yang terbuka. Hanya Allah yang Maha Mengetahui kenapa sesuatu itu berlaku kepada kita.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan