Pesanan
Muawiyah Bin Abu Suffian ‘Waspadalah kamu
terhadap fitnah. Usah kamu melayan fitnah kerana fitnah dapat merosakkan
kehidupan, mencemarkan nikmat dan menyebabkan kesengsaraan. Aku mohon kepada
Allah untuk diri ku dan kamu semua’.
Ucapan yang diberikan ketika pelantikan Muawiyah sebagai Khalifah Islam di
Mimbar Masjid Nabawiah Madinah.
Fitnah merupakan satu bentuk komunikasi kepada
satu pihak atau lebih bertujuan untuk memberikan kesan dan impak yang negatif
atas sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain, ia berdasarkan atas
fakta palsu yang dipengaruhi oleh sifat penghormatan, buruk sangka, berkehendakkan
atau menjatuhkan dan atau menaikkan nilai reputasi seseorang atau sesuatu
pihak.
Kata fitnah diserap dari bahasa Arab, dan pengertian
aslinya adalah "cubaan" atau "ujian".
Menurut Kamus Dewan edisi
keempat, fitnah membawa maksud sebagai Tuduhan (khabar, kisah dan
lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan
seseorang.
Amat bahaya fitnah jika ia nya berlaku dan terjadi. Terdapat banyak kesan
yang boleh mengaibkan seseorang jika fitnah dibuat dan dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Antara kesan-kesannya adalah
i.
Terhadap individu - Menjatuhkan maruah individu, menyebabkan
pertelagahan, rompakan, samun, berbunuhan antara sesuatu individu yang
bertelagah.
ii.
Terhadap keluarga - Menyebabkan keluarga sukar untuk saling
memahami antara satu sama lain, hubungan antara keluarga sentiasa dipengaruhi
rasa tidak tenteram, dendam, tidak mesra, sering bertelagah, pergaduhan,
kekasaran, pukul-memukul, bercerai antara suami isteri, kehilangan anak dan
lain-lain.
iii.
Terhadap pekerjaan – Orang mula tidak mempercayai apa yang dilakukan.
Mengakibatkan hilang mood untuk melakukan tugasan dan serba tidak menjadi
dibuatnya. Karier akan mudah terkubur begitu sahaja tanpa ada sebarang
pertahankan diri dibenarkan.
iv.
Terhadap masyarakat - Masyarakat menjadi tidak muafakat,
enggan bekerjasama dalam aktiviti kejiranan, sukarelawan, perbalahan antara
komuniti, saling memburukkan antara pelbagai pihak, kemajuan masyarakat menjadi
lembap, wujudnya jurang sosial yang luas, pergaduhan, kecurian, rompakan,
pembakaran kawasan penduduk, persekitaran yang tidak tenteram, porak-peranda
dan lain-lain.
Firman
Allah yang bermaksud “Mereka bertanya kepada mu tentang berperang
pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar;
tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi
masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya)
di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh…” (Surah Al-Baqarah Ayat 217).
Firman Allah bermaksud “Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga)
ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi
kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang
zalim” (Surah Al-Baqarah:
193).
Berhati-hatilah dengan fitnah. Baik kita yang menyebarkan fitnah atau kita
yang menerima fitnah. Jangan bersangka buruk tapi ambil tindakan bijak
berwaspada dengan apa yang kita lakukan. Apa juga yang terjadi anggaplah
sebagai satu ujian daripada Allah.
Kalau kita menyebarkan fitnah bermakna kita
telah merelakan diri kita melakukan satu dosa terhadap manusia dan Allah. Andai
kata kita yang menerima fitnah, berlapang dadalah dan terima dengan hati yang
terbuka. Ingatlah orang-orang yang teraniaya hanya kerana fitnah doanya pasti
diterima oleh Allah sebagaimana Sabda Rasulullah ‘takutilah kamu doa orang yang dizalimi
kerana tiadalah sesuatu penghalang antara doanya itu dengan Allah SWT’ (Hadis Riwayat Bukhari).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan