Allah berfirman dalam hadis kudsi : ‘Tidak ada perlindungan yang lebih kuat bagi hamba-hamba Ku kecuali
menyedikitkan makan’ (Hadis kudsi riwayat ad-Dailami dari Abdullah Ibnu Abbas ra).
Allah SWT telah memberitahu kepada kita melalui Nabi kita Muhammad SAW
tentang perlunya mengurangkan makan. Orang tidak akan dapat menjaga atau
melindungi diri dari kelemahan serta berbagai penyakit tanpa mengurangkan
makan. Membatasi makan dapat memberikan waktu istirahat bagi tubuh dan akal
serta memelihara keduanya dari bahaya penyakit.
Di dalam al-Quran yang mulia diterangkan bagaimana cara berhemat dan
bersederhana, tidak melampaui batas dalam hal makan dan minum. Allah berfirman
‘Dan makanlah serta
minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan
orang-orang yang melampaui batas’ (Surah Al-A’raf Ayat 31).
Petunjuk Nabi SAW menuntut kita agar jangan terlalu banyak makan dan minum.
Diterangkan bahawa bekas yang paling buruk diisi, ialah perut dan bahawa
bersederhana dan tidak berlebih-lebihan ialah mengisi perutnya dengan satu
pertiga sahaja dengan makanan, satu pertiga lagi dengan minuman, dan satu
pertiga lagi untuk nafasnya. Nabi SAW bersabda ‘Tidak ada satu bekas pun yang diisi oleh anak Adam, lebih buruk daripada
perutnya, cukuplah baginya beberapa suapan, untuk memperkukuhkan tulang
belakangnya agar dapat tegak. Apabila tidak dapat dihindari, maka satu pertiga
untuk makanannya, satu pertiga lagi untuk minumannya dan satu pertiga untuk
nafasnya’. (Hadis Riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan
Ibnu Hibban dalam sahihnya dari Miqdam bin Ma’di Kasib).
Sabda Rasulullah SAW ‘Orang mukmin makan untuk satu perut, sedang orang kafir makan untuk tujuh perut’’ (Hadis Riwayat Bukhari Muslim dari Ibnu
Umar – shahih).
Semestinya orang mukmin makan hanya sedikit, sekiranya tidak mahu dinamakan
orang kafir.
Allah berfirman dalam Al-Quran tentang orang yang suka makan melampaui
batas. Digambarkan mereka itu bagaikan haiwan makan Firman Allah bermaksud ‘Dan (sebaliknya) orang-orang kafir
menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana
binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka’ (Surah Muhammad Ayat 12).
Rasulullah SAW pernah bersabda ‘Perut itu adalah sumber penyakit dan berpantang itu adalah sumber ubat’’(Al-Hadis)
Sabda Rasulullah ‘Kita (kaum Muslimin) adalah satu kaum yang makan apabila telah merasa lapar
dan apabila makan tidak sehingga kenyang’ (Al Hadis).
Orang yang selalu makan melampaui batas hingga kekenyangan dapat
menimbulkan berbagai gangguan antara lain : Tidak dapat berfikir secara
mendalam, lemah otak dan dungu, acuh tak acuh terhadap persoalan yang
dihadapinya dan menganggap mudah semua persoalan.
Banyak makan, dapat menyebabkan mengantuk dan malas. Barang siapa yang
banyak makan, banyak pula tidurnya dan barang siapa yang banyak tidur,
banyaklah kebaikan dan kebajikan yang lepas dan luput daripadanya. Ibarat kata
orang : ‘Orang
sudah mengelilingi dunia dua kali dia masih tidur berdengkur’.
Kerana banyak tidur, banyak waktu terbuang, padahal waktu sangat berharga
dan menjadi modal bagi seseorang. Apabila waktu tersebut hanya digunakan di
atas tempat tidur, ia akan rugi dunia dan akhirat.
Di antara nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya adalah : ‘Wahai anak ku! Apabila perut mu penuh,
tidurlah fikiran mu, diamlah kebijaksanaan dan lemah longlailah seluruh anggota badan sehingga
malas beribadat. Adapun orang yang mengurangkan makan dan minum, hatinya akan
jernih, fikirannya terang, pandangannya tajam, nafsu syahwatnya dapat
dikalahkan dan jiwanya terpelihara dan terbimbing’.
Dengan demikian tujuan hidup seorang mukmin adalah mengabdikan diri kepada
Penciptanya dan berusaha untuk tidak berlebih-lebihan dan keterlaluan atau
bermewah-mewahan dalam makanan yang mungkin membawa kepada bermacam-macam
kerosakan dan kemudaratan.
Untuk menunaikan berbagai kewajipan, seseorang mukmin mesti berusaha
mencari makanan yang tinggi nilai zatnya, tapi tidak terperosok kepada
kemewahan ataupun berlebihan.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran ‘Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah,
dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan
(dengan bersikap bakhil).’ (Surah Al-Baqarah Ayat 195).
Firman Allah SWT bermaksud ‘Dan janganlah engkau jadikan tangan mu terbelenggu di leher mu, dan
janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya
akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan’ (Surah Al-Isra’ Ayat 29).
Firman Allah SWT bermaksud ‘Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus),
kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil’’ (Surah Al-Baqarah Ayat 143).
Semoga Allah menjadikan kami umat yang sederhana, terhindar dari sifat
tamak dan rakus. Aamiin.
(Sumber : Kitab Hadis Qudsi oleh
KHM Ali Usman, Dr HMD Dahlan dan HAA Dahlan, ms 435 – 440)