Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 6 Februari 2015

SABAR KUNCI KEJAYAAN


Sumber foto lenmooney.com


Bersabar dalam jualan amat dituntut. Mudah untuk diperkatakan tapi cukup sukar untuk dilakukan. Itulah sabar yang mahu tidak mahu terpaksa juga untuk kita melakukannya. Sabar yang ada menunjukkan betapa tingginya akhlak kita di hadapan bakal pembeli atau pelanggan yang berurusan dengan kita. Dapat yang ok legalah rasanya tapi kalau karenah yang mengada-ada dan bukan-bukan macam mana pula? Di sinilah datangnya kesabaran yang diperlukan. Lain orang lain karenahnya dan bukannya semua yang kita temui mempunyai perangai dan tingkah laku yang sama.

Janganlah mudah untuk berpasrah sahaja menyerah pada nasib semata-mata. Tiada gunanya kita menahan sabar ke arah itu. Lakukanlah sebaliknya dengan tetap gigih untuk berpegang teguh pada ketetapan serta redha dengan menerima segala ketentuan Allah SWT. Tanamkan dalam hati setiap apa pun yang berlaku sudah pasti ada kelebihan dan keuntungannya berpihak pada kita yang Allah telah anugerahkan.

Sabda Rasulullah SAW ‘Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar dan tiada pemberian yang Allah berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih manfaatnya daripada kesabaran’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Terdapat pelbagai petua untuk melatih kita dalam melakukan kesabaran. Semakin tinggi kita bersabar atas karenah orang semakin hormat orang kepada kita. Semakin hormat orang kepada kita semakin mudah untuk kita melakukan jualan. Semakin mudah kita melakukan jualan bermakna semakin banyak keuntungan yang bakal kita peroleh. Semuanya bermula dengan kesabaran. Tanpa kesabaran sudah tentu perkara-perkara yang negatif pula akan kita lakukan seperti mudah melenting marah, merasa kecewa dan putus asa bukan sahaja gagal melayan sikap dan tabiat orang tetapi juga penutupan jualan yang diharapkan akan gagal begitu sahaja.

Lakukanlah perkara-perkara seperti berikut agar latihan untuk sentiasa bersabar dapat kita amalkan dan terapkan dalam diri kita dengan

i.             Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada pada kita

ii.           Elakkan dan jangan sama sekali bersangka buruk dan berfikiran negatif

iii.          Sentiasa letakkan diri kita dalam keadaan mereka untuk ketahui apa yang mereka rasakan

iv.          Fikirkan yang baik-baik dan berfikiran positif setiap masa

v.            Tidur yang mencukupi kerana tidur adalah waktu rehat yang terbaik

vi.          Tetapkan dan jadualkan waktu untuk bekerja, melakukan amal ibadat dan bersama keluarga

vii.        Jangan bercakap perkara-perkara yang negatif, mengumpat, bergosip dan mencari kesalahan orang lain.

viii.       Sentiasa tersemat untuk rajin menghadiri majlis ilmu tidak kiralah ilmu dunia ataupun akhirat

ix.         Pastikan kita sentiasa berkawan dan mendampingi orang-orang yang betul dan positif pemikirannya

x.           Belajar dan sentiasa bijak mengawal diri ketika merasa marah dan kecewa

xi.         Pelajari dari pengalaman yang dilalui kerana pengalaman yang ada adalah guru yang terbaik

Bercakap untuk bersabar memang mudah untuk diperkatakan. Itulah tabiat manusia pandai bercakap tapi secara realitinya tidak ke mana. Elakkan diri kita seperti begitu kelak nanti kesan tidak baiknya nanti pergi semula kepada kita. Semakin kita bersabar semakin banyak kelebihan dan keuntungan yang bakal kita peroleh. Bersabarlah agar dengan sabar itu nanti kejayaan akan sentiasa mengiringi segala tindakan kita dalam melakukan jualan.

Firman Allah bermaksud ‘Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatlah kesabaran mu dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negeri mu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung’ (Surah Ali-Imran Ayat 200).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan