Ketika
menjual bertemu dengan bakal pembeli atau pelanggan pasti ada kalanya kita
merasa cukup tersinggung dan tidak selesa dengan perlakuan dan tindakan mereka
yang berada di hadapan kita. Puas memikirkan jalan terbaik untuk menghadapi dan
mengatasinya. Ditegur nanti takut menimbulkan kemarahan dan berkecil hati pula
mereka dibuatnya. Tak ditegur pula sampai bila pun nanti tidak menyelesaikan
masalah pada kita pula. Memang menyukarkan dan serba salah dibuatnya.
Ambillah
jalan selamat jangan suka hati kita nak melakukan teguran pada siapa pun yang
kita temui ketika melakukan jualan. Jangan sibuk nak perbetulkan orang lain
sahaja kerana kita pun manusia sama seperti mereka. Setiap orang pasti ada
kelemahan dan kekuatan yang tersendiri. Jangan sewenang-wenangnya nak buat
perbandingan pada diri kita seorang sahaja. Macam perfect sangatlah kita
ni pula.
Berhati-hati
dalam memberikan teguran. Baik teguran kita pasti kesan yang positif boleh kita
peroleh. Begitu juga sebaliknya kalau tak kena cara dan gaya kita menegur,
kesan yang negatif dan menyakitkan hati kita pula yang diterima. Ini dapat
dibuktikan dalam Firman Allah yang bermaksud ‘....sekiranya
kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari
mu.....’ (Surah
Ali-Imran Ayat 159).
Pelbagai
bentuk teguran boleh dilakukan. Ada yang membina tidak kurang juga yang
menyakitkan. Tidak dinafikan asas teguran adalah demi kebaikan dan kebenaran
bersama. Yang betul mesti dilaksanakan dan yang salah perlu diperbetulkan.
Hidup bermasyarakat sememangnya tegur-menegur dan ingat mengingati adalah
sesuatu yang perlu diberi perhatian bersama.
Ambillah
jalan selamat. Jangan nak mendabik dada asyik merasakan kita ini sahaja yang
betul. Fikirkan perasaan orang lain sama. Berilah teguran secara berhemah dan
bersopan dalam melakukannya. Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda ‘Sesungguhnya kelembutan atas sesuatu itu menjadi indah dan sesuatu yang
dicabut kelembutannya akan menjadi buruk’ (Hadis Riwayat Muslim). Beringatlah
ketika kita hendak memberikan teguran. Fikirkan kesan negatif terlebih dahulu
sebelum suka hati kita hendak menegurnya terlebih dahulu. Perkara yang kita
sangka baik pada permulaannya mungkin boleh mendatangkan kemarahan dan
perkelahian pula antara kita dan mereka.
Firman
Allah bermaksud ‘Serulah manusia ke jalan Tuhan mu dengan
hikmah dan pelajaran yang baik...’ (Surah an-Nahl Ayat 125). Manfaatkan dan lakukan
seperti mana saranan yang telah Allah berikan. Bersabar melakukannya secara
hikmah dengan memberikan pelajaran, pengajaran dan sebab-sebab yang baik yang
tidak menimbulkan kebencian dan kemarahan orang yang menerima teguran yang
diberikan.
Tenang dalam menegur bukan untuk tonjolkan diri kita sentiasa dalam
keadaan yang betul sahaja. Elakkan pertelingkahan dan ketidakpuasan hati boleh
berlaku dan terjadi. Sentiasa harmonikan keadaan kerana bukankah kita hadir
untuk menjual? Fahami lah tugasan utama kita terlebih dahulu.
Mengkritik tidak bererti menentang
Menyetujui tidak semestinya menyokong
Menegur tidak bermakna membenci
Berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang
baik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan