Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 10 Februari 2015

BEREBUT PELANGGAN YANG SAMA




Sesama menjual kadang kala terpaksa bermasam muka dan bergaduh sesama sendiri berebut kan hanya seorang pelanggan sahaja. Tuduh menuduh mengatakan dialah yang mencuri pelanggan sering kali kita terdengar. Bila mula berlaku keadaan seperti begini sudah pasti suasana harmoni dalam menjual terutama rakan sekerja atau meniaga di satu kawasan yang sama pasti akan mengakibatkan bermasam muka, tidak bertegur sapa dan membuahkan dendam yang membara. Semuanya akan memberikan satu impak yang negatif pada jualan dan perniagaan kita akhirnya.

BERSANGKA BAIK

Berlapang dada dalam setiap situasi yang dihadapi. Kena tanamkan dalam jiwa dan perasaan kita semua ini adalah satu cabaran yang perlu kita hadapi. Pasti ada yang mengatakan tak alami senanglah bercakap fasal tak pernah tempuh apa yang dialami. Kerana itu Rasulullah menuntut agar kita sentiasa bersangka baik. Bersangka baik pada seseorang dan bersangka baik pada kejadian yang menimpa. Masih dilayan hati yang panas bermakna kita melayan syaitan yang ada di dalam dan sampai sehingga akhir hayat kita tidak akan sampai ke mana untuk diselesaikan.

BERSABAR

Adakah situasi begini yang kita carikan dan mahukan selama ini? Bukankah setiap apa yang berlaku dan terjadi adalah satu anugerah Allah buat kita semua? Kena anggap ujian datang dari Allah yang sentiasa mahu menguji diri kita sama ada dapat bersabar ataupun tidak untuk menghadapinya. Kena ada tekad untuk betulkan balik apa yang tidak kena pada kita. Selagi kita bersabar selagi itulah Allah akan lebih membantu diri kita. Bersabar kerana Allah, bukannya bersabar untuk menunjuk-nunjuk yang kita sentiasa cool depan orang tapi hati membara-bara marahnya.

PENTINGKAN DIRI SENDIRI

Elakkan dari mementingkan diri sendiri yang membawa kepada ketamakan. Hilang satu pelanggan bukan bermakna hilang jualan kita selama-lamanya. Hilang satu pelanggan ini mungkin menjadi satu petanda buat kita masih ada kelemahan yang perlu untuk kita perbaiki dengan segera dan serta merta. Tidak ada kesempurnaan dalam jualan. Pasti ada cacat celanya untuk kita perbaiki dari masa ke semasa. Fikirkan juga orang lain sama yang menjual. Sama-sama mencari rezeki rasanya tidak salah untuk berkongsi sama walaupun orang yang kita kongsi kan itu kita tidak sebulu dan berkawan baik dengannya. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

INGAT DOSA PAHALA

Kerana melayan geram dan panas hati kita mula mendoakan yang bukan-bukan kepada pencuri pelanggan kita. Bermulalah episod ilmu hitam dan sanggup lakukan apa sahaja asalkan pencuri pelanggan kita musnah dari karier jualan yang dilakukannya. Adakah ini matlamat kita? Gagal menarik hati pelanggan kita perkenakan orang lain agar tidak berjaya. Biar yang berjaya itu kita seorang sahaja. Pergi mampus dengan orang lain yang penting kita sahaja yang diterima oleh pelanggan-pelanggan semua. 

Kita langsung tidak mahu perbetulkan segala kelemahan kita dalam jualan tetapi cukup tinggi hasad dengki kita pada orang lain mencapai kejayaan. Ingat Allah andai kata kita orang Islam. Jangan mudah terpedaya dengan bisikan syaitan yang sering tidak pernah putus asa meracuni fikiran kita ke arah yang bertentangan dengan kebaikan. Sedarilah segera agar dosa pahala sentiasa menjadi timbangan dalam pemikiran kita sama ada apa yang kita lakukan adakah betul ataupun tidak.

BERKAWAN

Bersahabatlah jangan bermusuh. Tidak ke mana pun kalau kita menyendiri lakukan jualan. Masa kita senang bolehlah mendabik dada tapi bila masa jatuh nanti macam mana? Anggaplah dunia kehidupan kita ini umpama putaran sebuah roda, ada masa di atas tidak mustahil ada masa di bawah pula. Sentiasalah menjalinkan ukhuwah dan silaturahim dengan siapa pun juga. Jaga ukhuwah yang ada agar setiap jualan yang dilakukan adalah dalam keadaan harmoni dan menyeronokkan.

Situasi yang tidak baik jika ini berlaku dan terjadi. Sama-sama cari makan dan rezeki. Mungkin pada pandangan kita mereka mencuri tapi pada hakikatnya pelanggan lari disebabkan kelemahan dari kita sendiri dan pelanggan merasakan mudah berurusan dengan mereka. Berlapang dada dan berfikiran terbuka. Jangan sempitkan pemikiran tapi bukalah seluas-luasnya. Hari ini mungkin hari mereka tapi esok lusa mungkin hari kita pula. Allah Maha Adil jangan kita risaukan sama sekali.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan