Suatu hari Imam Abu Hanifah yang sangat
alim pada zamannya berjalan di tepi sebatang parit dan tiba-tiba terserempak
dengan seorang kanak-kanak yang sedang berjalan dengan memakai kasut terompah
kayu.
Beliau menegur budak itu ‘Wahai budak,
jaga-jaga dengan kasut mu itu. Bimbang engkau akan tergelincir nanti’. Budak
itu mengucapkan terima kasih di atas perhatian Imam kepadanya lalu bertanya ‘
Wahai Tuan, siapakah nama tuan?’.
Imam Abu Hanifah lantas menjawab ‘Nama ku
Nu’man’. Lantas di jawab oleh budah tersebut ‘Oh, inilah rupa-rupanya orang
yang di gelar dengan gelaran al-Imam al-A’dzam (Imam yang sangat hebat) itu?’
Dijawab oleh imam Abu Hanifah ‘Bukan aku yang meletakkan gelaran itu, namun
orang ramai yang bersangka baik dengan ku telah meletakkannya’.
Budak itu pun berkata ‘ Wahai Imam, apa
yang telah engkau tegurkan kepada ku tadi mengenai berjaga-jaga supaya aku
tidak tergelincir masuk ke dalam parit sangatlah baik, cuma izinkan aku
memperkatakan sesuatu kepada mu,
Jika aku tergelincir, sekurang-kurangnya
aku hanya akan masuk ke dalam parit tetapi jika Tuan Imam tergelincir, bukan
masuk ke dalam parit tetapi ke dalam neraka Allah. Usahlah engkau sampai
tergelincir ke dalam api neraka disebabkan gelaran mu itu, aku hanya memakai
kasut kayu jika aku tergelincir sekalipun di dunia semata-mata. Namun gelaran mu
itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam api neraka
lantaran angkuh dan berbangga-bangga. Maka berhati-hatilah Tuan Imam.
Menangis Imam Abu Hanifah mendengar nasihat
daripada kanak-kanak kecil itu.
Satu kisah yang perlu diambil sebagai
peringatan, iktibar dan pengajaran buat diri kita. Jangan dikira siapa pun
menegur kita. Berlapang dada menerima teguran. Hanya orang yang sayang pada
kita mahu menegur kita. Jangan ingat orang tak mahu menegur kita bermakna kita
hebat dan sempurna. Mungkin ada orang yang terlalu benci, meluat dan ingin
melihat kita tersungkur jatuh membuat mereka tidak mahu menegur kita. Kehebatan
kita bukan semua orang mahu untuk kita terus berjaya kekal selama-lamanya. Pasti
ada yang mahu kita jatuh tersungkur dan tersembam selama-lamanya.
Bersyukur ke hadrat Allah masih ada orang
yang mahu menegur kita walaupun ada masa dan ketikanya teguran tersebut
menyakitkan hati kita. Terimalah seadanya kita bukan manusia yang sempurna di
muka bumi ini. Tak kira berapa usianya, kedudukannya ataupun orang kebiasaan
sahaja terimalah dengan berlapang dada terbuka fikiran menerimanya.
‘Tidak masuk syurga seseorang yang ada di
dalam hatinya perasaan takbur walaupun sebesar zarah dan tidak masuk neraka
seseorang yang ada di dalam hatinya iman walaupun sebesar zarah’ (Riwayat
Muslim).
Firman Allah bermaksud ‘Dan janganlah
Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong, kerana Sesungguhnya Engkau
tidak akan dapat menembusi bumi, dan Engkau tidak akan dapat menyamai setinggi
gunung-ganang.’ (Surah Al-Isra Ayat 37)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan