Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Isnin, 17 Ogos 2015

ALLAH SUKA YANG CANTIK


Daripada Abdullah Bin Mas`ud r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk syurga siapa yang ada di dalam hatinya sifat takbur walaupun hanya sebesar zarah (biji sawi).” Lalu seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya seorang lelaki suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus. (Yakni apakah yang demikian itu dihukumkan takbur?) Nabi menjawab: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan Dia suka kepada yang cantik. Takbur itu menolak kebenaran dan menipu manusia.” (Riwayat Muslim)

Islam amat menggalakkan penampilan yang menarik, bersih dan kemas. Jangan selekeh hingga dipandang lekeh oleh orang lain. Semuanya melibatkan integriti dan personaliti seseorang di hadapan mata orang lain. Asalkan tiada niat untuk membanggakan diri dan tinggi diri cukuplah. Walaupun ada sedikit sudah pasti akan merosakkan lagi perbuatan kita dalam melakukan amal ibadah kepada Allah. Penampilan baik dan kemas dalam menjual perlu dilaksanakan. Tidak berbangga diri tetapi lebih memudahkan tugasan kita dalam menjual.

Kepercayaan seseorang akan lebih menyerlah jika melihat orang yang ditemuinya menjual dalam keadaan yang cukup memberikan keselesaan dalam pandangan penglihatannya. Rasa yakin diri bertambah melihatkan kekemasan yang baik dan menarik telah ditonjolkan kepadanya. Inilah yang dinamakan sebagai satu ‘First Impression’ kepada siapa pun yang melihatnya.


Kekalkan penampilan yang menarik dan disenangi oleh semua orang. Tak perlu pelik dan seksi dalam berpakaian tapi cukuplah sekadar persembahkan satu penampilan yang disenangi oleh siapa pun juga. Berbelanjalah secara berhemah dalam berpakaian tidak perlu berlebih-lebihan pula. Pulangan pasti ada kalau penampilan diri yang ditonjolkan ditunjukkan dengan ikhlas dan betul pada landasannya. Berikan yang terbaik agar setiap perlakuan kita dalam menjual mendapat tempat di hati siapa pun juga yang kita temui.
Read more >>

Jumaat, 14 Ogos 2015

PERLUKAH BERTEGANG LEHER DALAM MENJUAL?


Bertegang leher dalam melakukan jualan amat elok jika tidak dilakukan terus. Eloklah jika mampu dielakkan terus dari melakukannya. Bertegang leher adalah satu simpulan bahasa yang menggambarkan tentang situasi berkeras dan tidak mahu langsung untuk mengaku kalah. Walaupun dalam keadaan yang benar dan betul sekalipun demi menegakkan kebenaran sehingga sanggup meninggi suara, memandang rendah pada seseorang dan orang lain dirasakan tidak benar sama sekali.

Inilah yang perlu dielakkan sama sekali dalam kita melakukan jualan. Bakal pembeli sudah pasti terpinga-pinga dan merasa kecewa dengan tindakan yang kita berikan. Pada asalnya mahu mendengar apa yang mahu kita terangkan terus terhenti disebabkan tabiat buruk yang kita tonjolkan. Sesuatu yang perlu untuk kita fikirkan bersama memandangkan dalam melakukan jualan perlu ada tolak ansur dan keharmonian yang perlu kita jalinkan dengan bakal pembeli. Mungkin kisah ini boleh dijadikan satu iktibar dan pengajaran buat kita semua.

Seorang pemuda yatim piatu datang menemui Rasulullah dan menceritakan bahawa dia mahu membina tembok di sekeliling rumahnya bagi menjamin keselamatan mereka sekeluarga setelah ayahnya meninggal dunia, tetapi malangnya ada sebatang pohon kurma milik jirannya menghalang tembok itu. Justeru dia telah meminta jirannya memberikan pohon itu, namun jirannya tidak bersetuju. Pemuda itu juga telah meminta untuk menebang separuh pohon itu, dan jirannya tetap tidak setuju. Kemudian pemuda itu menawarkan untuk membeli pohon kurma tersebut. Jirannya tetap bertegas tidak mahu.
Justeru Rasulullah SAW telah memanggil jirannya itu. Rasulullah telah menawarkan kepada jiran itu sepohon kurma di syurga yang mana besarnya "100 tahun perjalanan", namun malangnya, si jiran itu tetap tidak bersetuju.
Seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Dahdah mendengar tawaran yang diberikan itu lantas berkata "Wahai Rasulullah, adakah tawaran itu terbuka untuk sesiapa sahaja..?" Rasulullah menjawab "Ya, sekiranya kamu boleh menyelesaikan masalah pemuda ini".
Lantas Abu Dahdah menawarkan untuk menukar sepohon kurma itu dengan kebun kurmanya yang sangat terkenal di Madinah. Lantas jiran itu pun bersetuju. Abu Dahdah bertanya kepada Rasulullah "Adakah aku akan mendapat sepohon kurma di syurga nanti wahai Rasulullah..?""Tidak..!!Kamu tidak akan mendapat sepohon kurma di syurga, tetapi kamu akan mendapat se kebun kurma di syurga Allah nanti".
Abu Dahdah kembali ke rumahnya lantas memberitahu isterinya “Wahai Ummu Dahdah, aku telah infak kan harta ku, aku telah membelinya dengan pohon kurma di Syurga.” Isterinya menjawab, “Alangkah beruntungnya jual beli (perniagaan) itu."
Beringatlah jangan tersalah langkah terlalu suka bertegang leher kerana ia boleh menyebabkan integriti, personaliti dan keupayaan kita dalam menjual di pandang rendah dan sepi di mata pandangan. Hebahan mulut yang negatif pasti berlaku dan terjadi yang tidak elok . Berfikirlah sebelum mengambil tindakan sewajarnya hanya dengan cara lebih berdiplomasi dan berhemah. Menjual bukan setakat nak ambil untung dan menolong orang lain tapi tingkah laku, perangai dan akhlak kita sendiri perlulah dijaga dengan sebaik-baiknya sama sekali.


Read more >>

Khamis, 13 Ogos 2015

MEMADAIKAH ILMU YANG ADA?


Melakukan jualan pasti kita akan lalui

1.    Risau untuk mendapatkan sasaran bakal pembeli

2.   Temu janji yang diharapkan tidak berjanji-janji lagi untuk ditemui

3.   Gugup ketika hendak menjual

4.   Merasakan cukup sukar mendapatkan penutupan jualan

5.   Menerima bangkangan dan bantahan jualan yang sukar untuk dibidas semula

6.   Hilang keyakinan diri

Ini antara yang sukar dalam melakukan jualan. Mungkin banyak lagi yang boleh diperkatakan lagi betapa menjadi kelam kabut dalam melakukannya. Serba salah dibuatnya sehingga kerisauan dan kebimbangan yang berlaku ini telah mengatasi kemahuan diri sendiri mendapatkan jualan seperti mana yang diidamkan.

Semuanya bergantung pada ilmu dan pengalaman kita dalam melakukan jualan. Tanpa ilmu sudah pasti kita tidak akan ke mana. Ada sahaja yang menimbulkan masalah. Tidak sama dengan orang yang berilmu dalam bidang jualan ini menjadikan seseorang itu menjadi serba tahu dan hebat bila melakukan jualan. Berusahalah dalam mencari ilmu jangan sama sekali diabaikan merasakan diri sudah cukup dengan apa yang dah ada. Ilmu Allah ini luas sehingga tiada kesudahannya. Kenapa perlu kita mudah merasa bangga dan tinggi diri merasakan ilmu yang ada sudah memadai? Berfikirlah sebaiknya.

Firman Allah bermaksud "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar Ayat 9).




Read more >>

Rabu, 12 Ogos 2015

LEADS DAH ADA MENYUSAHKAN PULA


Menyasarkan pelanggan amat dituntut dalam melakukan jualan. Satu kaedah yang popular di guna pakai sehingga kini. Amat memudah tugasan menjual bila bakal pembeli dapat dikenal pasti melalui prospek yang kita wujudkan melalui pencarian sumber leads terlebih dahulu.

Memang menyeronokkan bilamana apa yang dilakukan menjadi dan terjadi memudahkan lagi kita melakukan jualan. Beringat sentiasa itu sepatutnya yang kita perlu lakukan. Terdapat beberapa penyebab leads yang ada kadang-kadang tidak boleh menjadi seperti mana yang kita harapkan. Antara penyebab utamanya adalah

1.    Jangan terlalu bergantung pada satu punca senarai leads sahaja. Pelbagaikan sumbernya agar lebih mudah membuat pilihan, tapisan dan saringan yang sewajarnya.

2.   Pergunakan senarai leads yang terkini bukan sepuluh atau dua puluh tahun yang lepas yang berkemungkinan besar tidak bersesuaian dengan masa kini senarai-senarai nama yang boleh kita sasarkan.

3.   Elakkan fokus pada satu-satu nama dalam senarai leads yang ada. Berkemungkinan kalau prospek tidak bersetuju mahu menerima tawaran yang dikemukakan sekurang-kurangnya masih terdapat pelbagai pilihan lain untuk kita sasarkan yang lain pula.

4.   Jangan main tepuk dada tanyalah selera tapi lakukan saringan dan tapisan sewajarnya mengikut apa yang benar-benar kita sasarkan dan mahukan. Tidak tepat itu memang ada tapi sekurang-kurangnya kemungkinan tersasar silap boleh dikurangkan sama sekali.

5.   Ketahui apa yang kita mahukan terlebih dahulu untuk sasarkan bakal pembeli sepatutnya dan bukan sama sekali terpengaruh dari apa yang orang lain perkatakan.

Manusia memang tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Namun tidak mustahil sama sekali jika kita mampu mengurangkan kesilapan dan kesalahan tersebut dengan mengambil masa yang diperuntukkan untuk melakukan saringan dan tapisan yang sewajarnya. Bukan untuk mendabik dada tapi ambil sikap berhati-hati itu adalah jalan yang terbaik. Jangan membuang masa begitu sahaja tapi pergunakan setiap masa tanpa ada pembaziran sewajarnya. Tekun berusaha sudah tentu tindakan yang betul memberikan satu keputusan yang amat-amat diperlukan di kemudian hari.


Read more >>

Selasa, 11 Ogos 2015

BILA INCOME TAK CUKUP PULA


Penat menjual peroleh pendapatan melebihi apa yang disangka-sangka kan rupa masih lagi tidak mencukupi. Semuanya gara-gara terlebih belanja demi memuaskan kemahuan, kepuasan dan nafsu serakah yang ingin kita penuhi sebanyak yang mungkin. Mulalah rasa kebingungan dan hairan bagaimana pendapatan yang diperoleh rasa tidak cukup pula untuk kita berbelanja.

Bukan satu masalah baru bagi orang yang menjual menghadapi situasi seperti ini. Masalah kewangan sememangnya masalah semua orang di dunia ini tidak kira kedudukan, jawatan atau pekerjaan. Semuanya pasti menemui betapa ada ketikanya merasa tidak cukup wang ringgit dari wang pendapatan yang diterima. Bagi yang makan gaji bergaji tetap sememangnya akan menimbulkan masalah besar tapi bagi mereka yang menjual dan berniaga kemampuan untuk menambah pendapatan masih terbuka luas kalau kena dengan caranya.

Semuanya bergantung pada usaha yang dilakukan. Terdapat 3 cara dan kaedah untuk memastikan agar setiap pendapatan yang diterima membolehkan melebihi perbelanjaan yang boleh menggoncang iman kita merasa diri rasa cukup atau pun tidak dengan cara

1.    Menambah lagi usaha untuk menjual sebanyak yang mungkin bagi menampung perbelanjaan besar yang telah kita cipta sendiri. Tidak kira siang atau malam asalkan ada peluang yang terhidang sudah pasti akan digenggamnya untuk diperoleh. Pantang ada masa lapang sahaja terus-terusan melakukan jualan asalkan matlamat mendapat pendapatan dan menambah keuntungan dapat dilakukan.

2.   Mengharapkan pendapatan pasif berkembang membiak mengikut apa yang telah kita lakukan seperti pelaburan dalam hartanah, mengharapkan anak buah atau pekerja menjual sebaik mungkin seperti mana kita lakukan seperti dalam MLM atau direct selling. Pengharapan memang diharapkan agar apa yang dirancang menjadi dan terus menjadi seperti mana yang diidamkan selama ini.

3.   Muhasabah semula diri kita tentukan sama ada punyai keberkatan ataupun tidak. Sudah kah kita melakukan sedekah melakukan amal jariah, zakat yang telah disempurnakan dan melakukan jualan mengikut syariah benarkan. Semuanya perlu disemak dan dikaji semula setiap masa agar kita tidak terjebak dengan ketamakan, kelalaian atau mementingkan diri kita sahaja. Mencari keberkatan adalah penting dari kita mencari keuntungan yang tidak pasti sama ada berkat ataupun tidak.

Semuanya di tangan kita semua. Pilih lah mana yang bersesuaian dengan kita mengikut tahap keimanan yang ada. Semakin kita mendekatkan diri pada Allah semakin jauh kita tinggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Pilihlah jalan sebaik-baiknya agar setiap sen yang diperoleh menjadi satu keberkatan kita di dunia dan menjadi penolong pula buat kita semasa di akhirat pula.


Read more >>

Isnin, 10 Ogos 2015

15 AYAT PENARIK JUALAN


Biasa kedengaran biasa juga orang menyebutnya bila menjual. Semuanya disebutkan semata-mata menarik perhatian dan minat orang ramai untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan. Biarlah apa juga produk yang ditawarkan ayat tertentu yang memberikan satu kuasa yang hebat pada penawaran perlu ada dan diterapkan. Barulah bakal pembeli akan merasa WOW menambahkan keyakinan untuk terus mempercayai apa yang di perkatakan.

Tak perlu pakai tangkal atau berjumpa bomoh. Tak perlu juga gunakan pelaris dalam berniaga. Pergunakan sebaik mungkin agar orang yang lalu dan mendengar dari jauh terasa ingin ketahui sangat apa yang kita jualkan. Tak guna mungkin tak tahu dah guna pasti pergunakan lagi dan lagi.

Ayat-ayat yang selalu di perkatakan adalah

1.    Mencetuskan satu fenomena

2.   Cukup luar biasa

3.   Satu produk bagi penyelesaian semua masalah

4.   Semua pengguna jatuh hati

5.   Testimoni yang ada amat teruja

6.   Sesiapa sahaja boleh menggunakannya

7.   Tak kenal maka tak cinta. Dah kenal pasti cari lagi

8.   Harga mampu milik

9.   Kalau tak percaya takkan saya perkatakan

10.       Untuk hari ini sahaja harga sebegini ditawarkan

11. Kalau tidak di pecah ruyungnya manakan dapat sagunya

12.       Produk hebat kegilaan orang ramai

13.       Ini sahaja stok yang ada, dapatkan segera

14.       Yang lain bukan tak bagus tapi ini yang terbaik

15.       Jangan ikut kata hati tapi ikut permintaan orang ramai

Tarik minat dan keyakinan bakal pembeli dengan menggunakan ayat-ayat yang power. Bukan mudah menarik perhatian seseorang. Semuanya perlu dilakukan dengan keyakinan yang tinggi. Pastikan apa yang kita katakan sememangnya boleh dibuktikan dengan produk yang ditawarkan. Biar produk yang mengesahkan apa yang kita perkatakan. Selagi tidak dipergunakan mungkin sukar juga untuk apa yang WOW dalam produk yang ditawarkan.

Kalau nak tiru dengan ayat-ayat yang dinyatakan dipersilakan. Bukan ada akta atau peraturan hak cipta dan menyekat untuk apa yang kita perkatakan. Gunakan sebaik mungkin asalkan jangan menipu. Besar pula dosanya pula sebagaimana Firman Allah yang bermaksud  “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah, Ayat 42).Pergunakan sebaik mungkin.



Read more >>

Ahad, 9 Ogos 2015

TEMUJANJI JANGAN DI PANDANG MUDAH


Pasti merasa gembira bila temujanji dapat dilaksanakan. Apa tidaknya peluang untuk mendapatkan penutupan jualan terbuka luas dihadapan mata nanti. Ini belum melakukan lagi presentasi yang diperlukan. Semuanya mendatangkan keyakinan diri bahawa 90% peluang telah terbuka luas. Menanti waktu dan hari untuk melaksanakannya pula.

Jangan terlalu yakin. Terlalu yakin pasti akan meranapkan dan menjahanamkan impian kita untuk mendapatkan penutupan jualan. Bertenang dahulu. Fikirkan persiapan terbaik sebelum temu janji itu dapat dilangsungkan. Fikirkan kenapa temujanji tersebut mudah sangat di peroleh. Mungkin disebabkan

1.    Bakal pembeli telahpun menemui pelbagai pesaing kita

2.   Bakal pembeli senang nak lakukan perbandingan produk, harga dan perkhidmatan

3.   Sengaja nak menguji kita dalam kita melakukan jualan

4.   Pesaing semua sudah tidak mahu berurusan dengan bakal pembeli yang bakal kita temui ini

5.   Bakal pembeli terlalu cerewet semuanya tidak kena dengan apa yang beliau cari selama ini

Bertenang dan sabar dalam menghadapi apa juga cabaran yang bakal digalas. Jangan fikirkan yang negatif tetapi bersangka baik sentiasa. Sentiasa fokus dan beri tumpuan untuk lakukan yang terbaik asalkan jangan terlalu yakin untuk mendapatkan penutupan jualan dengan mudah. Sekurang-kurangnya bila telah mendapat temujanji ini sebenarnya peluang terbaik buat kita memberikan penerangan sewajarnya untuk membantu mereka selesaikan segala masalah mereka menerusi produk yang ditawarkan.

Buang segala sikap dan sifat mudah kecewa dan putus asa. Selagi penyakit ini ada dalam diri kita selagi itulah kita akan mudah mengeluh kesah dan memberikan pelbagai ulasan dan alasan untuk tidak mahu melakukannya. Kita semua manusia biasa. Mana yang lemah kita perbaiki segera agar satu hari nanti kita menjadi seorang yang hebat dan pakar untuk mendapatkan temu janji dengan mudah dan senang.

Usaha tangga kejayaan. Lakukan dilandasan yang betul bukan merapu yang kita berikan. Bila kita fokus bermakna kita sepenuh hati akan melakukan yang terbaik buat kita dihadapan bakal pembeli yang kita temui. Asalkan yang terbaik kita berikan sudah tentu hasilnya nanti akan turut sama menjadi baik buat diri kita juga. Yakin kita boleh melakukannya.



Read more >>

Khamis, 6 Ogos 2015

25 AYAT YANG MEMBUNUH JUALAN


Berwaspada apabila memberikan kata-kata ketika melakukan jualan. Dari bakal pembeli yang pada mulanya boleh tertarik pada kita tapi pada akhirnya terpaksa membatalkan hasratnya menerima tawaran jualan hanya di sebabkan ayat-ayat seperti berikut

1.    Mungkin produk ini tak berguna pada encik tapi di masa hadapan saya pasti encik mesti gunakan.

2.   Kenapa nak takut, saya kan ada

3.   Saya ini jujur orangnya masakan ada tawaran yang lebih baik dari yang saya tawarkan.

4.   Takkan tak faham-faham lagi....

5.   Beli sahaja Encik guna tak guna boleh fikir kemudian

6.   Harga tengah murah ini. Tawaran ini sampai mati pun encik tak akan jumpa punya

7.   Saya jamin produk ini. Tidak akan ada jaminan seperti mana yang saya berikan ini

8.   Ada nampak saya melawak ke? Memang saya serius dalam menjual

9.   Peluang datang sekali ini sahaja, nampak macam saya ni muka penipu ke?

10.       Masalah hadir Encik kena tanggunglah tak kan kami yang menjual pula

11. Nak beli buatlah cara nak beli ini tanya sahaja buat buang masa saya sahaja

12.       Dalam risalah kan dah ada bacalah jangan lah banyak tanya

13.       Masih tak faham lagi tak apa, saya berikan nombor telefon ini untuk Encik terus bertanya apa juga soalan kepada mereka. Saya jual sahaja.

14.       Pergi percaya pesaing saya buat apa. Bukannya betul tak seperti macam saya ni.

15.       Teruk produk orang lain tu, buat apa nak guna. Harga mahal tahap perkhidmatan teruk, janji tak serupa bikin masih nak percaya lagi?

16.       Sebenarnya produk yang saya jual ini lah yang paling betul paling hebat dalam pasaran. Tiada siapa boleh menandinginya.

17.       Rugi yang amat sangat kalau Encik masih degil tak mahu menerimanya.

18.       Errmmm, aaahhh rasa-rasanya produk ini paling hebat.

19.       Berapa banyak lagi diskaun yang Encik mahukan lagi????

20.      Tak mahu sudah orang lain banyak lagi hendak barangan saya ini

21.       Tunggu esaya sedang melayan panggilan telefon ini dahulu

22.      Daripada Encik tercegat kat sini tak mahu beli lebih baik Encik beredar senang orang lain yang hendak membeli saya boleh layan pula

23.      Punyalah banyak saya bagi penerangan tak kan masih tak mahu terima-terima lagi tawaran saya.

24.      Nak tunggu apa lagi ni, penat dah saya menunggu ini

25.      Alamak saya dah salah bagi penerangan, saya terangkan sekali lagi ya.

Jangan kerana percakapan kita bakal pembeli langsung tidak mahu berurusan lagi dengan kita untuk menerima tawaran yang dikemukakan. Berhatilah-hatilah dan ambil sikap yang sabar, tabah dan tenang bila berurusan dengan mereka. Berikan intonasi yang terbaik dan kawal diri kita agar apa yang kita bicarakan kepada mereka amat menyeronokkan dan memberikan keyakinan atas apa yang kita pertuturkan.



Read more >>