Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 8 Mei 2012

CONTOHI ABDUL RAHMAN BIN AUF DALAM MELAKUKAN JUALAN


Abd Rahman bin Auf adalah orang yang kelapan memeluk Islam semasa Islam baru sahaja dikembangkan di Kota Mekah. Lahir tahun ke 10 selepas tahun gajah dan berhijrah ke Madinah dalam rombongan ke dua.  Beliau adalah seorang yang kaya, hartawan dan cukup pandai dan mahir dalam melakukan perniagaan. Abd Rahman Bin Auf adalah salah seorang sahabat nabi seramai sepuluh orang yang telah dijanjikan untuk menghuni syurga kelak.

Berikut dikemukakan ciri-ciri yang bagaimana yang telah Abdul Rahman Bin Auf lakukan dan tunjukkan dari zaman Rasulullah SAW yang perlu ada untuk kita yang melakukan jualan supaya dapat ditiru seterusnya diikuti dan dipergunakan oleh kita semua bagi memudahkan lagi urusan kerja kita melakukan jualan. Antaranya adalah

i.                    Tidak mengharapkan bantuan orang lain
Ketika Abdul Rahman Bin Auf memasuki Kota Madinah, Rasulullah SAW yang mulia telah mempersaudarakan antara Abdul Rahman bin Auf dengan Saad bin Rabi. Dan marilah kita dengarkan sahabat yang mulia Anas bin Malik ra meriwayatkan kepada kita apa yang terjadi “… dan berkatalah Saad kepada Abdul Rahman, ‘Saudara ku, aku adalah penduduk Madinah yang kaya raya, silakan pilih separuh harta ku dan ambillah! Dan aku mempunyai dua orang isteri, cuba perhatikan yang lebih menarik perhatian anda, akan ku ceraikan ia hingga anda boleh memperisterinya. Jawab Abdul Rahman bin Auf, ‘Moga-moga Allah memberkati anda, isteri dan harta anda! Tunjukkanlah saja letaknya pasar agar aku dapat berniaga!’ Abdul Rahman pergi ke pasar, dan berjual belilah di sana. Lalu ia pun beroleh keuntungan yang banyak dan besar.”

ii.                  Niat untuk membantu
Pada suatu hari, kota Madinah sedang aman dan tenteram, terlihat debu tebal yang mengepul ke udara, datang dari tempat ketinggian di pinggir kota. Debu itu semakin tinggi bergumpal-gumpal hingga hampir menutup ufuk pandangan mata. Ramai orang  menyangka ada angin ribut yang melanda dan menerbangkan pasir dengan debu yang kuat. Tetapi kemudian dari balik tirai debu itu segera mereka dengar suara hiruk pikuk, yang memberi tahu tibanya suatu iringan kabilah besar  dan panjang.

Tidak lama kemudian, sampailah 700 kenderaan yang sarat dengan muatannya memenuhi jalan-jalan kota Madinah dan menyibukkan keadaan ketika itu. Orang ramai  saling panggil memanggil dan menghimbau menyaksikan keramaian ini serta turut bergembira dan bersukacita dengan kedatangan harta dan rezeki yang dibawa kabilah tersebut.

Ummul Mukminin Siti Aisyah ra demi mendengar suara hiruk pikuk itu lalu ia bertanya, “Apakah yang telah terjadi di kota Madinah?” Mendapat jawapan, bahawa kabilah Abdul Rahman bin Auf yang baru datang dari Syam membawa barang-barang dagangannya. Kata Ummul Mukminin lagi, “Kafilah yang telah menyebabkan semua kesibukan ini?” “Benar, ya Ummul Mukminin, kerana ada 700 kenderaan semuanya!” Ummul Mukminin menggeleng-gelengkan kepalanya, lalu melayangkan pandangannya jauh menembus, seolah-olah hendak mengingat-ingat kejadian yang pernah dilihat atau ucapan yang pernah didengarnya.

Dan sebelum tali-temali perniagaannya dilepaskannya, ditujukannya langkah-langkahnya ke rumah Ummul Mukminin Siti Aisyah lalu berkata kepadanya, “Anda telah mengingatkan suatu Hadis yang tak pernah ku lupakannya.” Kemudian ulasnya lagi, “Dengan ini aku mengharap dengan sangat agar anda menjadi saksi, bahawa kabilah ini dengan semua muatannya berikut kenderaan dan perlengkapannya, ku persembahkan di jalan Allah azza wajalla!” Dan dibahagikannya lah seluruh muatan 700 kenderaan itu kepada semua penduduk Madinah dan sekitarnya sebagai perbuatan baik yang sangat besar di redha oleh Allah SWT.

iii.                Tidak sombong dan takabbur
Pada suatu peristiwa lain sebahagian sahabatnya berkumpul bersama Abdul Rahman Bin Auf menghadapi jamuan di rumahnya. Tak lama sesudah makanan diletakkan di hadapan mereka, beliau pun menangis kerana itu mereka bertanya, “Apa sebabnya anda menangis wahai Abu Muhammad?” Ujarnya, “Rasulullah SAW telah wafat dan tak pernah beliau sama sekali bersama ahli rumahnya menikmati makanan sehingga kekenyangan makan roti gandum, apa harapan kita apabila dipanjangkan usia tetapi tidak menambah kebaikan bagi kita?”

Begitulah ia, kekayaannya yang melimpah-limpah, sedikit pun tidak membangkitkan kesombongan dan takabbur dalam dirinya. Sampai dikatakan orang tentang dirinya bahawa “Seandainya seorang asing yang belum pernah mengenalinya, kebetulan melihatnya sedang duduk-duduk bersama pelayan-pelayannya, nescaya ia tak akan sanggup membezakannya dari antara mereka semua”

iv.                 Pandai mencari oportuniti
Mencari dan mendapat keuntungan dalam perniagaan sampai suatu batas dan tahap yang membangkitkan dirinya secara peribadi memperoleh ketakjuban dan kehairanan, hingga katanya bermaksud “Sungguh, ku lihat pada diri ku, seandainya aku mengangkat batu nescaya ku temukan di bawahnya emas dan perak”. Dari situ, beliau memulakan perniagaan menjual unta. Harga unta yang dijual hanya 1,000 dirham (dikira tiada memperolehi untung sahaja kerana kos seekor unta adalah 1, 000 dirham juga). Jadi bagaimana keuntungan itu di perolehi? Jawapannya, beliau hanya mengambil untung atas jualan tali yang mengikat unta tersebut. Bayangkan beliau dapat menjual 1000 ekor unta dalam masa sehari sahaja. Perolehannya bagaimana? 1,000 upah tali x 1 dirham = 1000 dirham. Amat menakjubkan.

v.                   Mudah dipercayai

Peristiwa ini terjadi sewaktu tatkala Umar Al Khathab hendak berpisah dengan roh nya yang suci dan beliau telah memilih enam orang tokoh dari kalangan para sahabat Rasulullah SAW sebagai ahli jawatankuasa tertinggi agar mereka memilih dan menentukan salah seorang di antara mereka untuk menjadi khalifah yang baru.

Jari-jari tangan sama-sama menunjuk dan mengisyaratkan kepada Abdul Rahman bin Auf. Bahkan sebahagian sahabat telah menegaskan bahawa dialah orang yang lebih berhak dengan khalifah di antara yang enam itu, maka ujarnya, “Demi Allah, daripada aku menerima jawatan tersebut, lebih baik di ambil sahaja pisau diletakkan ke atas leher ku, kemudian anda semua tusukkan sampai tembus ke sebelah leher ku ini”

vi.                 Mencari keberkatan dalam mendapatkan rezeki
Diserahkannya pada suatu hari 500 ekor kuda yang kuat dan segar untuk perlengkapan bala tentera Islam, dan di hari yang lain 1,500 kuda di tambah lagi. Menjelang wafatnya ia berwasiat untuk menyerahkan sebanyak 50,000 dinar kepada mereka yang berjuang kepada jalan Allah, lain diwasiatkannya pula bagi setiap orang yang ikut perang Badar dan masih hidup, masing-masing menerima 400 dinar, hingga Sayidina Uthman bin Affan r.a yang terbilang kaya juga antara yang layak menerima wasiat tersebut, serta katanya, “Harta Abdul Rahman bin Auf adalah halal lagi bersih, dan memakan harta itu membawa selamat dan berkat sama sekali”

vii.               Sentiasa mencari keredaan Allah
Pada suatu hati ia terdengar Rasulullah SAW bersabda, “Wahai ibnu Auf, anda termasuk di dalam golongan orang kaya dan anda akan masuk syurga secara perlahan-lahan. Pinjamkanlah kekayaan itu kepada Allah, pasti Allah mempermudah langkah anda ke sana”. Semenjak itu, beliau sentiasa teringat akan nasihat Rasulullah SAW dan beliau sentiasa menyediakan bagi Allah pinjaman yang di sarankan, maka Allah pun memberi ganjaran kepadanya dengan berlipat ganda lagi perolehannya. Di suatu hari, ia menjual sebidang tanah dengan harga 40.000 dinar, kemudian wang itu dibahagi-bahagikannya semua untuk keluarganya dari Bani Zuhrah, untuk para isteri Nabi dan untuk kaum fakir miskin ang amat memerlukannya.

viii.             Sentiasa merendah diri
Dan pada tahun 32 Hijrah, di saat tubuhnya akan berpisah dengan rohnya. Ummul Mukminin Aisyah ingin memberinya kemuliaan khusus yang tidak diberikannya kepada orang lain, maka diusulkannya kepada Abdul Rahman Bin Auf sewaktu ia masih terbaring di ranjang menuju kematian, agar ia bersedia dikuburkan di perkarangan rumahnya berdekatan dengan makam Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar. Akan tetapi ia memang seorang Muslim yang telah dididik Islam dengan sebaik-baiknya, ia merasa sangat malu apabila mahu diangkat dirinya pada kedudukan tersebut. Maka teringatlah Abdul Rahman Bin Auf telah memberikan janji dan ikrar yang kuat  terlebih dahulu dengan Utsman bin Madhun, yakni apabila salah seorang di antara mereka meninggal sesudah yang lain maka hendaklah ia dikuburkan berdekatan dengan  sahabatnya itu. Di waktu  rohnya bersiap-siap memulai perjalanannya yang baru, air matanya meleleh sedang lidahnya bergerak-gerak mengucapkan kata-kata, “Sesungguhnya aku khuatir dipisahkan dari sahabat-sahabat ku hanya kerana disebabkan kekayaan ku yang melimpah ruah!”

ix.                 Tidak tamak pentingkan diri sendiri
Abdul Rahman Bin Auf adalah seorang pemimpin yang bijak dan cekap menguruskan hartanya. Sebagai buktinya, ia tidak mahu sebarang musibah dan melalaikan berlaku  dengan mengumpulkannya dan tidak pula dengan menyimpannya. Bahkan ia mengumpulkannya secara cukup santai dan dari jalan yang halal dan dibenarkan oleh syarak. Kemudian ia tidak menikmatinya secara bersendirian, tapi ikut menikmatinya bersama keluarga dan kaum kerabatnya serta saudara-saudaranya dan masyarakat seluruhnya. Dan kerana begitu luas pemberian serta pertolongannya, pernah dikatakan orang, “Seluruh penduduk Madinah bersekutu dengan Abdul Rahman bin Auf pada hartanya. Sepertiga dipinjamkannya kepada mereka. Sepertiga lagi dipergunakannya untuk membayar hutang-hutang mereka. Dan sepertiga bakinya lagi diberikan dan dibahagi-bahagikannya kepada mereka yang memerlukannya”

Contoh terbaik dalam melakukan jualan agar sifat-sifat dan sikap yang ada pada Abd Rahman bin Auf dapat disemadikan dan diterapkan juga dalam diri kita ini. Kalau para sahabat yang rapat dengan  Rasulullah SAW boleh melakukannya kenapa kita tidak. Berhemah dan berbudi bahasa sentiasa agar prospek/pelanggan boleh mempercayai kita dan seterusnya memudahkan lagi urusan jualan kita membantu seramai yang termampu.  Kalau kita tidak mampu untuk menjadi seperti Abdul Rahman Bin Auf tetapi jika dapat ikuti sikap-sikap positifnya sahaja itu pun sudah dikira cukup baik sama sekali.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan