Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 11 Mei 2012

ANCAMAN SYAITAN DALAM JUALAN


Tiada siapa yang ingin menjadi syaitan dan iblis dalam kehidupannya tetapi tanpa kita sedari syaitan dan iblis telah berjaya mempengaruhi kehidupan kita sehari-hari apatah lagi di dalam bidang melakukan jualan. Kita telah dilalikan dan dilupakan akan segala tindakan dan amalan baik dan dituntut oleh agama kita selama ini.  Apa yang kita lakukan hanya untuk memuaskan sahaja nafsu serakah kita memenuhi apa yang diidamkan selama ini tanpa kita sedari dan ketahui.

Mungkin ia nya tidak memberi apa-apa kesan pun kepada kita dalam sehari dua ini tapi kalau berlarutan sehingga dalam tempoh masa yang lama mungkin akan memberikan satu impak yang besar kepada diri kita sendiri.

Firman Allah bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (An-Nisa: 120-121).

Mungkin perkara-perkara sebegini boleh kita elakkan bagi menjadikan diri kita sentiasa menjadi seorang mukmin yang sejati kepada agama apatah lagi di dalam kita melakukan bidang jualan ini yang sentiasa berhadapan dengan orang ramai dan diperhatikan sentiasa oleh orang-orang yang berada di sekeliling kita apatah lagi Allah SWT.  Antara perkara-perkara yang perlu dielakkan dalam diri kita yang melakukan jualan ini sebagai satu karier dan profesion adalah

i.       Sifat sombong dan angkuh
Jangan mudah meninggi diri, kelak membakar diri sendiri. Berhemah dan bersopan sentiasa agar kita sentiasa diperlukan oleh prospek/pelanggan untuk berurusan dengan kita. Tiada siapa pun yang ingin bertemu dengan kita kalau kita asyik dan sentiasa menunjukkan kesombongan dan keangkuhan kita walaupun dengan rakan sekerja kita sendiri. Menurut Haji Mohd Fadzilah Kamsah katanya Maksud BODOH SOMBONG adalah  "Orang bodoh tak semestinya sombong. Tapi orang sombong PASTI bodoh" 

ii.                  Sifat bakhil dan kedekut
Berbelanja di tempat yang sepatutnya bukan dibiarkan untuk menjadi seorang yang begitu kedekut dan bakhil sama sekali. Terlalu berkira sehingga langsung tidak mahu berbelanja demi karier kita seperti belanja makan prospek/pelanggan, rakan sekerja, memberikan cenderamata terutama kepada prospek/pelanggan ataupun bersedekah kepada sesiapa yang memerlukannya amat dituntut. Anggaplah ia nya sebagai satu pelaburan dan bukannya sebagai satu paksaan dan perbelanjaan. Pasti pulangan yang lebih baik akan di perolehi kalau niat yang kita lakukan adalah betul sama sekali.

iii.                Sifat takbur dan bongkak
Bila sudah mendapat sesuatu kejayaan yang diidamkan dan diperlukan habis terlupa pula tindakan kita seterusnya. Jaja habis menceritakan kepada orang lain terutama rakan sekerja kita yang kitalah insan paling ‘terror’ dalam bidang kita walaupun telah berlalu lama. Inilah penyebab utama kenapa prestasi tidak boleh konsisten dan asyik jatuh ke bawah sahaja prestasi kita. Jauhilah sifat ini agar kita sentiasa sedar di mana tempat bumi kita berpijak. Berwaspada setiap masa agar kita tidak mudah lupa diri sama sekali.

iv.                 Sifat khianat
Jangan sama sekali menganiaya orang apatah lagi prospek/pelanggan kita sendiri. Apabila ada orang yang merasakan dirinya telah dikhianati dan dianiaya oleh kita jangan kita lupakan sama sekali doa orang-orang yang dianiaya yang tiada hijabnya dengan Allah SWT. Ini belum masuk lagi bab menipu dan menindas orang. Elok sangatlah untuk kita sentiasa beringat akan perkara-perkara ini agar ia nya tidak mudah berlaku kepada kita.

v.                   Sifat hasad dengki
Berdengki hanya dibenarkan jika untuk kebaikan diri kita sendiri untuk bersaing dengan sihat tanpa menjatuhkan lawan dan kawan kita sendiri. Sememangnya tidak baik untuk berhasad dengki kepada sesiapa walaupun kadang kala ia boleh menyakitkan diri kita sendiri. Selagi kita tahu batas agama dan tahu keburukan tidak mengamalkan hasad dengki ini nescaya kehidupan kita akan lebih diberkati oleh Allah SWT. Karier kita boleh dimusnahkan dengan begitu sahaja kalau kita asyik menyimpan dendam dan berhasad dengki jika kita terlalu asyik memikirkannya sehingga boleh menjejaskan prestasi tugasan kita dalam melakukan jualan.

vi.                 Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat
Apabila kita mudah merasakan diri kita terlalu hebat dan berilmu tinggi apatah lagi memiliki kelulusan tertinggi melebihi dari orang-orang lain, sudah semestinya kita akan memandang rendah dan tidak sama tarafnya dengan kita. Padahal Rasulullah SAW sering berpesan kepada kita betapa pentingnya menuntut ilmu dalam apa juga bidang yang kita ceburi sehingga ke akhir hayat kita. Tiada siapa pun di dunia ini yang boleh mendabik dada yang beliau telah cukup ilmunya dalam bidang jualan ini. Rajinkan diri untuk sentiasa menambah ilmu pengetahuan, nasihat dan pengalaman berguna dari orang lain supaya kita sentiasa bersedia apabila berurusan melakukan jualan dengan prospek/pelanggan yang ditemui.

vii.               Sifat suka meremehkan orang lain
Apabila merasakan diri kita dah terlalu bagus dan melihatkan rakan sekerja kita tidak mampu melakukan jualan seperti kita, lalu kita asyik memandang rendah kepadanya seolah-olah apa yang dilakukannya asyik tidak betul dan tidak kena sahaja cara dan gayanya. Kena sentiasa ingat mungkin sekarang ini kita berada di puncak dan tidak mustahil yang satu hari nanti kita akan ke bawah pula. Ini semuanya kuasa dan kerja Allah SWT. Ambillah sikap dan sifat yang berhati-hati agar kita tidak mudah sama sekali meninggi diri, memandang rendah apatah lagi meremehkan lagi orang lain.

viii.             Sifat suka bangga diri dan menunjuk-nunjuk
Belum apa-apa dah nak berlagak dibuatnya. Suka bangga diri dan menunjuk-nunjuk pula walaupun kejayaan yang di perolehi hanya se ciput sahaja. Elakkan agar kita tidak mudah terlalai apatah lagi terlali dengan sikap untuk membanggakan diri kita di khalayak ramai walaupun di hadapan rakan sekerja ataupun hanya berniat untuk bergurau sahaja. Semakin kita berbangga-bangga diri dan merasakan kita telah sesempurna yang boleh pasti akan mengakibatkan diri kita akan terlupa begitu sahaja di mana kedudukan sebenarnya diri kita.

ix.                 Sifat suka berangan-angan
Semakin kita kuat azamnya semakin jauh untuk kita berusaha dengan lebih lagi rajin lagi. Semakin kita berangan semakin mewujudkan diri kita semakin malas untuk melakukan tindakan yang sewajarnya. Kita malas dan kurang berusaha akan menghasilkan prestasi yang merudum dan tidak konsisten sama sekali. Fokus pasti hilang hanya disebabkan dari sifat kita yang gemar dan asyik kepada berangan-angan sahaja tanpa hala tuju yang sepatutnya. Perbetulkan segera dan elakkan diri kita asyik dibuai mimpi-mimpi yang indah sahaja.

x.                   Sifat buruk sangka
Siapa juga yang kita temui jangan mudah sangat berburuk sangka. Pandanglah seseorang dengan pandangan hati dan bukan pada luarannya sahaja. Apabila kita mudah berburuk sangka pasti akan mudah buat kita terlepas banyak oportuniti yang bakal kita perolehi tanpa kita sangka kan. Kerana itu Rasulullah menyeru kepada agar kita sentiasa bersangka baik dari kita sentiasa mengamalkan buruk sangka kepada orang yang kita temui.

Berazamlah dari sekarang agar perkara-perkara di atas dapat diatasi dengan segera dan cepat agar kita tahu di mana kedudukan diri kita sepatutnya. Jangan ditangguhkan lagi melakukan pembetulan hanya untuk kebaikan diri kita sendiri. Selagi kita dikuasai hanya kerana terdapatnya sifat-sifat yang dinyatakan nescaya sampai bila-bila pun kita tidak akan berjaya sama sekali. Jangan biarkan syaitan dan iblis berjaya menjadi raja dan menawan dalam diri kita selama-lamanya. Selagi kita telus dan bersungguh untuk berubah, insyaAllah Allah akan sentiasa membantu dan mempermudahkan segala urusan kita baik di dunia mahupun di akhirat. Wallahualam
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan