Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 30 Julai 2015

HARGA PENYEBABNYA?




Sememangnya harga memainkan peranan penting untuk mempengaruhi dan mendapatkan keyakinan pembeli dalam menerima tawaran. Cukup syok rasanya jika menjual harga yang ditawarkan adalah lebih rendah dari pesaing yang ada. Janji laku dan boleh jual itu sudah dikira amat baik sama sekali. Biarlah apa orang lain nak kata asalkan boleh jual dengan harga yang rendah tapi bukan komisen dan pendapatan yang rendah di peroleh sama itu memang menyeronokkan.

Terdapat beberapa faktor kenapa harga yang rendah cukup mudah dan senang untuk dijual. Di antara penyebabnya adalah kerana

1.    Mentaliti orang kebanyakan cukup gemar mencari harga yang rendah. Kadang-kadang kualiti terpaksa diabaikan hanya kerana faktor harga memainkan peranan paling penting dan utama membuat keputusan untuk menerima tawaran dan membeli.

2.   Cukup mudah berbicara untuk menjual bilamana produk yang ditawarkan adalah rendah dari pesaing. Seperti satu jalan pintas pula dalam menjual dengan meletakkan terus awal perbualan dengan harga yang rendah bagi menarik minat segera bakal pembeli untuk menerimanya.

3.   Memberi keyakinan dalam menjual bila harga produk begitu rendah dalam pasaran dan pesaing. Hilang rasa gerun, bimbang, risau dan takut bila menjual merasakan pasti laris dan mudah diterima oleh bakal pembeli boleh berlaku dan terjadi.

4.   Jimat masa dan tenaga. Tak perlu panjang berjela menerangkan ciri-ciri dan kelebihan produk. Harga penentu segala-galanya dan kemampuan mudah milik menjadi unsur utama dalam menjual.

5.   Mudah untuk menguasai pasaran dengan segera menarik lebih ramai lagi peminat untuk menerima tawaran yang dikemukakan. Dengan hanya faktor harga, penaklukan pasaran akan lebih mudah berlaku dan terjadi. Jualan berdasarkan kuantiti penerima tawaran itu lebih diutamakan.

Bila harga rendah memang menjadi tumpuan tapi bila kos semakin meningkat bermakna harga terpaksa dinaikkan pula. Di pasaran memang mampu untuk dikuasai dengan harga tapi berapa lama boleh bertahan? Bagi yang menjual jangan ingat harga yang rendah selama-lamanya boleh bertahan dengan harga yang ditawarkan. Pesaing sudah pasti tidak akan berdiam diri membiarkan harga produk kita sahaja yang menguasai pasaran. Pasti suatu hari nanti giliran mereka pula menguasai pasaran kalau kita asyik terleka dan terus terlena melakukan andaian produk kita masih diterima umum.

Read more >>

Rabu, 29 Julai 2015

ILHAM YANG MENJELMA



Bila selalu memikirkannya atau mahukan sesuatu sudah pasti ilham akan menjelma. Pelbagai idea, pendapat, pandangan atau tatacara untuk melakukannya hadir secara tiba-tiba mengikut apa yang difikirkan. Muhasabah sentiasa agar setiap ilham yang menjelma dan muncul tidak disia-siakan begitu sahaja.

Allah SWT berfirman bermaksud “Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketakwaannya.”(QS Asy-Syams : 7-8). Rasulullah SAW pernah berdoa dengan doanya “Ya Allah ilhamkanlah kepada ku kebenaran dan lindungilah aku dari keburukan jiwa ku.”(Hadis Riwayat Tarmizi).
Pergunakan sebaik mungkin ilham yang hadir dengan cara

1.    Pergunakan sebaik mungkin ilham yang boleh mendatangkan kebaikan untuk diri kita. Ilham yang baik pasti mendatangkan keuntungan dan kelebihan buat kita. Anugerah dari Allah manfaatkan sebaik yang mungkin.

2.   Pertahankan sebaik mungkin jangan disia-siakan. Mungkin hari ini masih belum boleh untuk digunakan tetapi mana kan nak tahu di masa hadapan. Simpan sebaik mungkin agar menjadi rujukan pula di masa hadapan.

3.   Bukan semua ilham itu baik dan mampu menjana kelebihan, keuntungan dan faedah yang berguna buat kita. Mana yang dirasakan tidak perlu hanya perlu abaikan sahaja. Bukan rugi apa pun asalkan kita sering berfikir tidak ada apa pun yang salah membawa kerugian

4.   Cuba jangan meniru idea dan cara orang lain melakukannya melainkan cara mereka lebih berkesan baru boleh kita amalkan bersama. Orang lain boleh berjaya takkan kita nak tercicir ke belakang pula.

5.   Teroka ilham yang diperoleh sedalam-dalamnya agar tidak sama sekali tersilap langkah bila melakukan jualan. Berhati-hati dan berwaspada sentiasa setiap apa yang dilakukan sudah pasti adalah tindakan terbaik dari kita yang melakukannya.

Kreativiti dalam jualan perlu ada demi memastikan kita penjual yang sering mendapat keyakinan dan kepercayaan mereka sering menerima dan membeli apa juga produk yang kita tawarkan. Pastikan setiap ilham yang diperoleh di catat agar sikap kita yang pelupa sering kali mengingatinya dan tidak terlepas hilang begitu sahaja. Hendak melaksanakan setiap perancangan dan strategi yang baru sebaik-baiknya lakukan istikharah dahulu mendapatkan petunjuk dari Allah sama ada perlu dan boleh untuk dilakukan ataupun tidak. Jangan persiakan tapi pergunakan dengan sebaik yang mungkin.
Read more >>

Selasa, 28 Julai 2015

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEJAYAAN



Tiba-tiba sahaja dengan usaha yang gigih kita dapat melakukan jualan seperti mana yang dimahukan. Bukan sebab nak tunjuk terror atau hendak bermegah tapi melihatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan terhadap kita membuatkan semakin bersemangat untuk kita melakukannya. Demi mencapai matlamat, kepuasan dan pendapatan yang banyak maka bermulalah episod untuk mengorak langkah pergi lebih jauh lagi.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kenapa boleh berlaku perkara-perkara di luar dugaan berlaku dan terjadi di luar dari kemampuan kita memikirkannya. Mungkin faktor-faktor berikut menjadi penyebabnya antaranya adalah

1.    Desakan hidup yang sememangnya memerlukan kita wang ringgit untuk menampung kehidupan perbelanjaan sehari-hari. Bak kata pepatah Melayu kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Begitulah umpamanya sanggup melakukan apa sahaja demi mencari sesuap rezeki dan memenuhi keperluan hidup.

2.   Minat dan kemahuan menjual mengatasi segala-galanya. Bila dah minat apa orang lain kata pun tidak diendahkan. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Apa yang berlaku dan terjadi tetap melakukannya asalkan mahu dan hendak untuk terus-terusan melakukannya. Pentingnya minat dan kemahuan apabila melakukannya.

3.   Pengaruh orang yang berjaya sebagai perangsang dan merangsang pergerakan kita untuk terus menerus melakukan jualan. Istilah mengharapkan panas sampai ke petang namun hujan turun di tengah hari tidak dalam kamus kehidupannya. Semuanya diharungi atas semangat membara yang telah disuntik semangat dan kemahuan dari mereka yang berjaya atau mentor yang amat dipercayai dan diyakini.

4.   Tekanan yang berterusan disebabkan sasaran yang belum dicapai lagi yang telah kita tetapkan atau yang makan gaji ditetapkan oleh pihak pengurusan. Semuanya perlu dilakukan semaksimum yang termampu. Umpama ringan tulang berat perut untuk melakukannya sedaya upaya dari menerima tekanan yang menyebabkan jiwa dan perasaan tidak begitu tenang dan senang dibuatnya.

5.   Orang mandi berselam kita mandi bertimba. Orang lain mengaut untung yang banyak tiba-tiba untung kita sejemput sahaja. Mana boleh jadi kalau begini. Kalau orang lain boleh dapat banyak bermakna kita juga sudah pasti boleh melakukannya. Mana boleh kalah memanjang. Asalkan semangat melawan untuk berjaya sama akan cenderungkan diri kita untuk melakukannya. Berdengki melihat kejayaan orang untuk kita turut sama melakukannya tidak mengapa asalkan jangan sama sekali berdengki dan berdendam untuk menjatuhkan mereka yang berjaya pula sudahlah.

6.   Yakin dengan apa yang dilakukan. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Inilah perlu ada dan diwujudkan dalam diri kita. Bila melakukannya kita begitu yakin akan berjaya juga melakukannya biarlah orang kata mustahil, gila dan tidak logik sama sekali.

7.   Tidak berhenti berdoa dan berdoa mengharapkan bantuan dan pertolongan dari Allah SWT setelah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh dan bertawakal dengan Allah. Allah penentu segala-galanya. Yakin Allah sudah pasti Allah tidak akan menghampakan harapan dan kemahuan kita juga akhirnya.

Banyak cabaran dan dugaan untuk ditempuh asalkan kita mampu untuk melakukannya. Melakukan jualan memerlukan konsisten dan istiqamah dalam melakukannya. Bukan hangat-hangat tahi ayam atau bila suka melakukannya beli benci meninggalkannya pula. Bergantung pada niat asalkan kita mahu untuk melakukannya. Berikan yang terbaik agar hasil dan keputusan akhir yang kita mahukan juga sudah pasti akan menjelma juga pada akhirnya.
Read more >>

Isnin, 27 Julai 2015

BILA STRATEGI TIDAK MENJADI



Bila strategi salah dan tidak menjadi bukan bermakna produk yang ditawarkan tidak laku, tetapi menjadi satu iktibar dan pengajaran paling berguna buat kita memikirkan semula, mengkaji dan bedah siasat semula di mana kesilapan, kesalahan atau kekurangan  yang telah berlaku dan terjadi. Memanglah frust jika strategi yang digunakan tidak menjadi dan diharapkan. Berfikir positif semula kerana semua ini mungkin ada hikmah yang tersembunyi yang pastinya berguna buat sebagai satu pelajaran berguna buat diri kita sendiri.

Ada hikmah nya kerana semua ini adalah satu ujian dari Allah. Kena tabah dan sabar menghadapinya. Jangan rasa kecewa dan terus kecewa. Fikirkan semula rancang balik mana yang tidak kena dan menjadi. Tiada jalan yang mudah untuk ditempuhi dan tiada laluan senang untuk dilakukan demi mencapai kejayaan. Semuanya berbalik kepada diri kita sendiri. Jangan mengeluh pula memberikan pelbagai ulasan dan alasan yang hanya memberikan sesedap rasa dan perasaan buat seketika sahaja.

Ingatlah Firman Allah yang bermaksud “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… “ ( Surah Al-Baqarah: 286). Apa tindakan terbaik yang perlu dilakukan sebaik-baiknya muhasabahlah semula jangan sama sekali menyesal tak sudah-sudah.

Ingatkan semula di mana kesilapan, kesalahan atau kekurangan yang telah kita lakukan dalam menjual. Cuba sebaik mungkin perbetulkan semula dan pastikan tidak diulang mana-mana kesilapan, kesalahan dan kekurangan  yang telah kita lakukan selama ini. Selagi tidak dibetulkan lagi selagi itulah jualan kita tidak ke mana asyik merudum dalam kegagalan. Nak berjaya nak untung kenalah lakukan pengorbanan yang sepatutnya dan bukan sama sekali menyerahkan pada takdir begitu sahaja.

Berfikir positif dan bersangka baik. Pembetulan perlu ada dalam menuju kesempurnaan pada melakukan jualan. Jangan sama sekali melukut di tepi gantang tetapi alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kejayaan bukan sehari dua mungkin mengambil tempuh yang lama untuk kita lalui. Sedangkan mereka yang berjaya pernah jatuh inikan pula kita. Bergerak semula susun dan rancanglah sebaik mungkin perbaiki mana yang patut. Selagi kita berusaha selagi itulah jalan kejayaan pasti menjadi hak milik mutlak buat selama-lamanya.

Read more >>

Sabtu, 25 Julai 2015

MANFAATKAN KEHADIRAN AIDILFITRI



Aidilfitri sememangnya memberikan satu impak yang cukup besar buat kita yang beragama Islam. Apa tidaknya bulan yang meraikan kemenangan bagi mereka yang telah menunaikan puasa dan penuh dengan amal ibadat yang telah dilakukan dengan sebaik mungkin. Meraikannya dengan sebaik mungkin mengambil kesempatan akan kehadirannya.

Apa yang dimaksudkan mengambil kesempatan dengan kehadiran Aidilfitri ini adalah dengan cara menjalinkan silaturahim tidak kira sama ada kita mengenali atau tidak akan seseorang. Adat orang menjual perlu adanya berkenalan dan mengenali seberapa ramai yang termampu dan biar mereka mengetahui yang kita adalah seorang penjual yang menjual barangan atau produk yang mereka carikan selama ini. Bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW dari Anas bin Malik ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda “Barang siapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya ( kebaikannya ) maka jalinkanlah silaturahim” (Hadis Riwayat Al-Bukhari ).

Hebat bukan kalau dapat menjalinkan silaturahim dengan siapa pun juga. Dapat berkenalan dalam waktu yang sama Allah murahkan lagi rezeki di samping dipanjangkan lagi umur kita. Inilah kelebihan dan keuntungan kalau kita dapat manfaatkan dengan sebaik yang mungkin hanya dengan menjalinkan hubungan yang baik dan selesa dengan mereka. Pergunakan dengan sebaik yang mungkin dan jangan sama sekali disia-siakan.

Bila hubungan sudah ada banyak lagi kelebihan yang boleh kita pergunakan dan lakukan dengan sebaik yang mungkin. Antaranya adalah

1.    Semakin dikenali semakin mudah untuk berbicara dan menjual

2.   Apa yang disampaikan dan diberikan kefahaman semakin diterima dengan sebaik yang mungkin oleh mereka yang mendengarnya

3.   Peluang mendapatkan temu janji semakin mudah dan senang

4.   Sama ada secara formal atau tidak boleh dilakukan di mana sahaja secara dirancang atau pun secara kebetulan

5.   Sekali berjaya mendapatkan jualan bermakna peluang untuk mendapatkan jualan berulang semakin cerah untuk dilakukan

Bila dah percaya pada kita hanya melalui hubungan yang terjalin sudah semestinya peluang mendapatkan jualan sudah terbuka luas. Hanya menantikan tindakan sewajarnya dari kita untuk melakukan tindakan selanjutnya. Berikan yang terbaik dapatkan kepercayaan mereka terhadap kita agar semakin kita dipercayai dan diyakini semakin per mudahkan lagi untuk kita melakukan jualan. Eratkan lagi silaturahim di bulan Syawal ini agar stok data pelanggan kita boleh kita tambah dengan sebanyak yang termampu untuk kita lakukan susulan jualan nanti. Manfaatkan sepenuhnya.

Read more >>