Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 27 Jun 2013

Pasar malam di Chiang Mai


Berkesempatan melawat Chiang Mai kehidupan malamnya amat meriah di sini dengan kehadiran ratusan gerai pasar malamnya. Pasar malam Chiang Mai juga dikenali juga sebagai Bazar Malam atau Kad Luang terletak di tengah-tengah bandar Chiang Mai tersusun di setiap tepi bangunan-bangunan rumah kedai yang berada di situ. Bermula dari jam 5 petang dan tamat sehingga jam 12 tengah malam. Mendapat sambutan terutamanya dari pelancong-pelancong yang berada di sana bagi tujuan mendapatkan produk harga patut yang diingini. Tidak terlalu mahal dan mampu dimiliki asalkan wang untuk membelinya mencukupi. 

Pelbagai barangan boleh diperoleh seperti produk pakaian, kasut, kain, cenderamata untuk di bawa pulang, kasut mahupun makanan. Jangan risau kerana makanan halal juga banyak terdapat di sini cuma kena pandai memilih gerai atau kedai yang sepatutnya. Walaupun keadaan seperti berada di Petaling Street Kuala Lumpur namun yang membezakannya hanyalah dari segi pertuturan bahasa. Terlalu banyak barangan yang dijual di tepi jalan ini sehingga rasa penat tidak terkata.

Cuma satu yang perlu di per ingatkan di sini bahawa ingin membeli di tempat ini kita perlu tawar menawar sebaik yang mungkin. Penjual sudah semestinya akan cuba mendapatkan setinggi yang termampu keuntungan yang boleh diperoleh manakala si pembeli sudah pasti mendapatkan harga yang terendah di pasaran. Di sinilah keunikan tawar menawar berlaku yang kebiasaannya kalkulator akan menjadi penterjemah antara penjual dan pembeli.  Kebiasaannya bila dah berkenan dengan satu-satu barangan sudah pasti kita akan bertanya ’How Much?’. Pasti penjual akan memberikan harga tinggi beliau dan kita akan mengatakan ‘Too much’. Kebiasaannya mereka akan menawarkan 20% lebih rendah. Bermulalah proses tawar menawar berlaku di mana penurunan diminta pula sebanyak 50%. Penjual di sini kebiasaannya tidak akan marah tapi sekadar tersenyum sahaja mungkin sudah kebiasaan dengan situasi sebegini. Yang penting kita sebagai pembeli juga jangan sama sekali berkeras dengan harga yang kita mahukan. Naikkan sedikit dengan harapan mereka akan menurun lagi serba sedikit sehingga mencapai harga yang kedua-duanya mempersetujuinya. 

Kalau dah ketahui harga rendah atau harga yang kita mahukan boleh diperoleh cuma dapatkan dari gerai atau kedai yang sama. Dah setuju dengan barangan tersebut jangan dibayar dahulu tapi ambil yang lain pula (kalau ada yang berkenan). Tawar pula barangan yang lain pula. Setelah berpuas hati dengan harga yang diberikan secara jumlah keseluruhannya, cuba minta diskaun lagi. Andai kata harga masih belum diperoleh sebaik-baiknya berpura-pura meninggalkan tempat tersebut. Kebiasaannya apabila kita di panggil semula sudah pasti harga yang rendah akhirnya boleh juga kita peroleh bergantung pada nasib lah.


 Apa yang saya pelajari dari penjual pasar malam di Chiang Mai ini adalah
 
i.             Siapa juga yang datang ke tempatnya sudah pasti perkataan ‘Sawadikap’ sebagai pemula bicara. Sebaik-baiknya kita walaupun sebagai seorang pelancong membalas ucapannya dengan ‘Sawadikap’ juga.

ii.           Muka yang bersahaja tetapi bersemangat memberikan penerangan walaupun mereka menyedari perkataan dalam bahasa English mereka tidak seberapa. Yang penting merasa yakin dan tenang memberikan penerangan ke atas segala kelebihan pada produk yang di minati oleh pembeli.

iii.          Tetap yakin memberikan harga awal, harga tawar menawar dan harga di persetujui. Tidak berkasar bahasa dan perbuatan asalkan akhirnya kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mendapatkan satu harga.

iv.          Sanggup membantu gerai atau kedai yang lain ketika orang yang menjaganya tidak berada di tempat tersebut. Bekerjasama sesama penjual boleh kita peroleh di sini tanpa ada sebarang buruk sangka atau berhasad dengki di sini.

v.            Mulut penjual di sini langsung tidak menunjukkan rungutan, mengata, memaki hamun, bertegang leher atau bermasam muka. Semuanya dihadapi dengan sebaik yang mungkin dengan kesabaran, ketabahan dan ketenangan. Asalkan laku dan mendapat sambutan itu sudah di kira memadai.

vi.          Selesai sahaja tawaran diterima wang di peroleh sudah tentu perkataan ‘Kop Khun Krap’ didengari yang bermakna terima kasih dalam bahasa Thai. Satu budaya yang telah diterapkan di sini menghargai siapa pun juga yang berurusan dengan mereka.

Banyak yang dipelajari tentang bagaimana mereka orang-orang Thai melakukan jualan di tempat mereka. Di samping kita yang inginkan harga yang rendah tapi atas kebijaksanaan mereka mungkin mereka mampu memperoleh keuntungan se maksimum dari pelancong yang hadir. Siapa bijak sudah pasti akan memperoleh apa yang dihajatkan. Tidak salah untuk mencuba asalkan kita berpuas hati dengan harga yang ditawarkan itu sudah di kira amat baik sama sekali.

Read more >>

Jumaat, 21 Jun 2013

BILA DAH BERASA HATI DENGAN KITA




Jangan berputus asa andai kata kita dapati tiba-tiba sahaja bakal pembeli atau pelanggan yang berada di hadapan kita menarik muka atau merasa bosan dengan apa juga tindakan kita. Memang akan berlaku tiba-tiba sahaja perubahan raut muka menunjukkan sesuatu yang tidak kena dengan apa yang telah kita lakukan. Kita yang berkehendakkan maka kita mesti cuba pulihkan semula keadaan apa yang telah berlaku. Apa yang mereka perkatakan sememangnya tidak sama dengan apa yang tersurat dalam hati mereka tapi dari raut wajah mereka sudah pasti tidak dapat mereka sorokkan.
Entahkan merajuk atau merasa hati kita kena kesan dengan segera agar akan perubahan yang berlaku secara mendadak atau tiba-tiba. Jangan pula kita pula mengatakan ‘Tidak mengapalah kalau Encik/Cik tidak berminat, saya balik dahulu lah’. Inilah yang akan menyebabkan kegagalan. Apabila keadaan sebegini berlaku sepatutnya tindakan kita adalah seperti berikut

i.             Fahami dahulu keadaan sebenarnya
Jangan cepat ingat segala yang kita lakukan serba betul dan benar. Kadang-kadang ada kebenarannya dan kadang-kadang bakal pelanggan atau pembeli terasa begitu sukar pula untuk menerima apa yang kita perkatakan. Terlajak perahu boleh ditarik semula terlajak kata terlalu padah buat kita. Kerana itu kena berhati-hati dengan apa yang telah kita perkatakan. Berterus terang apabila kita menjual dan wujudkan banyak soalan agar kita lebih memahami apa sebenarnya yang dimahukan dan diperlukan sebenar-benarnya.

ii.           Beralah dahulu dan bertolak ansur
Andai kata bakal pembeli atau pelanggan menarik muka atau merajuk, beralah dahulu ketahui apa yang dimahukan. Beralah dahulu bukan bermakna kita mengalah. Beri peluang kepada mereka memaklumkan apa yang dimahukan agar kita dengan senang hati cuba untuk memenuhi permintaannya dengan sebaik yang mungkin. kalau boleh katakan boleh kalau tidak boleh maklumkan yang ia nya di luar bidang kuasa kita. Kejujuran dan ketelusan kita sudah pasti akan membuktikan yang kita benar-benar ikhlas dan bersungguh dalam melakukan jualan.

iii.          Ucapkan kata-kata ‘manis’ dan mohon kemaafan
Berhemah dan bersopan dengan kata-kata manis yang membolehkan bakal pembeli atau pelanggan yang bersama kita akan kembali semula mode nya kepada kita. Tidak salah mengambil hatinya dengan memujuk asalkan jangan merayu-rayu yang bukan-bukan pula. Semakin kita berpengalaman semakin mudah untuk kita berinteraksi dengan mereka. Andai kata kita bersalah ataupun tidak pergunakan perkataan memohon kemaafan seolah-olah kita begitu prihatin dengan apa yang berlaku ke atas mereka.

iv.          Tawakal kepada Allah
Sentiasa berserah diri dengan Allah agar apa yang kita lakukan ini sentiasa mendapat redha Allah. Jangan mudah mendabik dada menganggap apa yang kita lakukan adalah betul dan benar senantiasa. Ada kalanya tanpa kita sedari terdapat berlakunya kesilapan atau kesalahan yang dilakukan yang perlu kita awasi. Bergantunglah kepada Allah kerana Allah sahaja yang benar-benar dapat membantu kita untuk per mudahkan segala urusan jualan kita dan membuka hati dan perasaan bakal pembeli atau pelanggan cukup mudah menerima akan apa yang kita perkatakan.

Bertindak bijak kesan segera apa yang berlaku di hadapan kita. Kemahiran sebegini boleh dipraktikkan jika kita benar-benar berpengalaman sentiasa mendampingi dan berinteraksi dengan bakal pembeli atau pelanggan. Pengalaman bukan boleh dijual beli tetapi pengalaman adalah satu perkara yang kita kena tempuh sendiri. Lagi kita berpengalaman lagi mudah untuk kita melakukan jualan dan bagaimana kita boleh berinteraksi seseorang dengan sebaik yang mungkin.
Read more >>

Khamis, 20 Jun 2013

PERUNDINGAN MEMBAWA KEJAYAAN



Bertemu dengan prospek perlu dilakukan presentasi atau pembentangan ke atas produk yang ditawarkan dengan sebaik yang mungkin. Sememangnya bagi mendapatkan penutupan jualan bukan ada jalan mudah untuk mendapatkannya. Kena ada usaha lagi sebelum boleh berakhir dengan penutupan jualan. Apa yang dimaksudkan adalah pada peringkat perundingan yang masih memerlukan pada kita tentang skil yang perlu dipergunakan lagi. Perundingan yang dimaksudkan di sini adalah satu detik dan ketikanya bagaimana tindakan kita yang membolehkan untuk mempengaruhi prospek kita bersetuju dengan apa yang ditawarkan. Itu pun kalau mereka bersetuju. Kalau tidak betul caranya kemungkinan akan terdapat pula penolakan.

Kerana itu kena kuasai bagaimana perundingan yang baik perlu dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Antara tindakan yang perlu dilakukan adalah

i.             Fikirkan jalan terbaik
Kena set kan dalam pemikiran kita bagaimana cara dan kaedah terbaik untuk diucapkan memberikan tawaran terbaik kepada bakal pembeli atau pelanggan di hadapan kita. Andai kata harga produk sebagai penentu penerimaannya sediakan perisainya dahulu kenapa harga yang di tawarkan terbaik kepada mereka. Fikirkan tentang kelebihan dan faedah yang bakal mereka peroleh bersesuaian dengan harga yang ditawarkan. Ketahui dengan lebih lanjut juga tentang harga pesaing juga tentang kekurangan yang ada pada pesaing. Bezakan pada mereka agar tiada bangkangan dan bantahan boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya nanti.

ii.           Tegas dengan apa yang diperkatakan
Pastikan  apa yang diperkatakan tetap pendirian kita. Kena tegas dengan apa yang telah kita bentangkan dan maklumkan dari awal lagi. Tiada berdolak-dalik. Nyatakan secara berhemah dan bersopan agar bakal pembeli atau pelanggan memahami apa yang kita perkatakan. Elakkan sama sekali cakap tak serupa bikin dikhuatiri nanti mereka akan mengambil kesempatan atas kesilapan atau kesalahan yang telah diperkatakan. Sepatutnya untung yang boleh diterima langsung rugi entah ke mana.

iii.          Ulangi semula
Mendapatkan kepastian. Kena ulangi semula akan apa yang kita perkatakan sama ada mereka memahaminya ataupun tidak. Jangan mudah bagi kita menganggap apa yang telah kita maklumkan dan terangkan seratus peratus mereka telah fahami. Kerana itu tindakan sebaik-baiknya adalah menerangkan semula kepada mereka. Demi memastikan kefahaman mereka tidak salah tafsiran dan pengertian biarlah mengambil masa sedikit menerangkan semula kepada mereka. Bersabar dan bertenang agar perundingan yang dilakukan dapat diterima oleh mereka pada akhirnya juga.

iv.          Mendapatkan kata sepakat
Kesepakatan membawa berkat. Inilah jalan yang sebaik-baiknya dalam melakukan perundingan sebelum penutupan jualan boleh diperoleh. Biar pihak bakal pembeli atau pelanggan berpuas hati dahulu dari kita. Bila mereka telah berpuas hati dan dengan hati yang terbuka menerima kehadiran produk kita sudah tentu penutupan jualan boleh kita peroleh. Alang-alang dah nak sampai ke penghujung jualan situasi menang-menang kena ada agar kesepakatan antara satu sama yang lain boleh diperoleh dengan lebih baik dan menyenangkan kedua-dua belah pihak.

v.            Pertahankan
Secara berhemah dan bersopan apa yang telah kita perkatakan pertahankan dengan apa yang telah kita ucapkan terlebih dahulu. Jangan cakap sekejap ada sekejap pula tiada. Kena sama apa yang telah kita ucapkan terlebih dahulu dengan penghujung percakapan kita agar mereka tidak pening kepala dan merasa ragu. Walaupun terdapat bangkangan dan bantahan jualan berlaku pertahankan juga apa yang telah di perkatakan. Kejujuran dalam memperkatakan sesuatu amat penting pada peringkat ini.

Jangan mudah mengalah tapi teruskan usaha agar penutupan jualan boleh berlaku dengan baiknya sama sekali seperti mana yang kita harapkan. Biarlah apa tanggapan mereka sekalipun walaupun negatif, lakukan dengan sebaik yang mungkin tidak putus asa memberikan penerangan sehingga mereka berpuas hati dengan apa yang telah dijelaskan. Semoga dalam proses perundingan ini akan lebih terbuka hati dan perasaan mereka untuk menerima tawaran kita dengan senang hati.    

Read more >>