Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 5 Januari 2014

HUKUM MENUNTUT ILMU





Pentingnya ilmu jangan dipinggirkan. Tanpa ilmu bagaimana kita hendak melakukan jualan. Pasti pelbagai masalah akan menimpa diri kita andai ilmu yang sepatutnya kita punyai langsung tidak diambil berat dan tahu. Akibatnya kita juga yang merana hanya disebabkan kekurangan ilmu dalam melaksanakan penawaran kepada orang. Ini belum lagi berhadapan dengan kerenah bakal pembeli atau pelanggan yang memberikan penolakan atau bangkangan bagaimana untuk kita hadapi secara berilmu bila situasi sebegini berlaku dan terjadi. Tanpa ilmu atau kurangnya ilmu bagaimana agaknya untuk kita menjual? Sudah pasti dalam memberikan presentasi dan penerangan akan pecah peluh dibuatnya. Ada sedikit pertanyaan dari mereka sudah pasti menjadi menggelabah pula tak tentu fasal. Semuanya berkaitan dengan ilmu. Ilmu perlu penuh di dada barulah boleh dipergunakan dengan sebaik yang mungkin.

Teringat saya semasa mengikuti kuliah dari Ustaz Dr Izhar Ariff di Masjid Jamek Jarak Atas, SPU Pulau Pinang pada 3hb Januari 2014 telah menggariskan untuk mendapatkan ilmu yang dikehendaki terdapat 3 jenis hukum yang perlu diketahui dahulu sebelum boleh mendapat dan mendalami ilmu yang dimahukan. Hukum-hukum yang dinyatakan ini adalah

Hukum Wajib – apabila sememangnya kita kena belajar dan kena ambil tahu. Jangan nak berlagak sombong merasakan semuanya telah kita ketahui. Tak tahu katakan tak tahu dan pergi belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi tahu.

Hukum Harus – ilmu telah diketahui tidak ada salahnya untuk kita mendalami lagi dan mengulang kaji apa yang telah diketahui. Umpama skru yang ada perlu diketatkan lagi agar tidak ada yang lagi yang masih longgar berada di mana-mana.

Hukum haram – mencari ilmu hanya semata-mata dah niat untuk menunjuk-nunjuk, berlagak sombong atau mencari perbalahan. Kerana ilmu yang ada tidak semena-mena menjadi riak dan takbur. Berlagak tak tentu hala nak tunjuk kita ini seorang yang tinggi ilmunya.

Ilmu yang kita ada hanyalah seperti setitis air yang menitik di permukaan air. Terlalu banyak ilmu yang perlu kita ketahui dan terokai. Jangan putus asa dalam mencari ilmu. Dah rasa semakin pandai sentiasa merendah diri dan cari lagi ilmu sebagai satu tabiat semula jadi tanda tidak pernah puas dengan apa yang ada. Rasulullah SAW bersabda ‘Menuntut ilmu itu diwajibkan bagi setiap orang Islam’ (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi, Ibnu Abdil Barr, dan Ibnu Adi, dari Anas bin Malik). Lakukanlah tindakan dalam melakukan jualan sebaik yang mungkin mengikut ilmu yang telah kita peroleh dan sebarkan berkongsi sama dengan orang lain agar ilmu yang kita peroleh sentiasa diberkati dan dirahmati Allah setiap masa.


Read more >>

Sabtu, 4 Januari 2014

FOTO SEBAGAI SATU KAYU UKURAN





Sememangnya gambar adalah satu medium buat seseorang sebagai satu bahan rujukan dan koleksi peribadi. Tidak kiralah sebagai satu kenangan pahit atau manis, melepaskan rindu, mengingati seseorang atau peristiwa boleh dilakukan hanya dengan sekeping gambar. Tambahan pula di zaman sekarang mengambil sekeping foto atau gambar untuk disimpan sebagai satu memori dan kenangan cukup mudah untuk dilaksanakan. Hanya perlu menggunakan kamera bimbit yang ada itu sudah cukup memadai. 

Pergunakan sebaik mungkin. Bermula sempena tahun baru ini ambil gambar kita sekarang ini. Simpan baik-baik tidak kiralah dalam telefon bimbit kita sendiri atau mencetaknya. Dapat dicetak itu lagi baik dan sebaik-baiknya di letakkan di dinding bilik kita. Gunanya nanti apabila cukup setahun dan akan berakhir tahun nanti ambil sekali lagi gambar kita di lokasi yang sama. Ambil gaya terbaru kita di akhir tahun pula.

Sudah di ambil tengok perbezaannya pula. Adakah kita kelihatan lebih hebat atau sebaliknya. Bagaimana taraf kehidupan kita nanti dengan gambar yang terbaru pula. Semuanya boleh dilakukan perbandingannya nanti. Berjaya atau tidak apa yang kita lakukan dalam jualan dalam gambar tersebut boleh menceritakan segala-galanya semula kepada kita. Semuanya bergantung pada taksiran kita sendiri.

Kalau kita masih tidak berubah dan masih lagi di tahap yang sama sesuatu perlu dilakukan agar kita tahu apa tindakan terbaik yang boleh kita perbetulkan semula. Berubah demi mencapai kejayaan bukannya satu omongan dan impian kosong belaka. Pergunakan teknik menangkap gambar ini ketahui perbezaannya agar kita mampu dan boleh lakukan yang terbaik merubah kepada kejayaan yang kita cari selama ini. Demi karier tidak ada salahnya. Yang salahnya adalah sampai bila pun kita masih ditakuk lama masih tidak mahu untuk berubah sampai bila-bila. Praktik kan dengan sebaik yang mungkin. Selamat menyambut kehadiran 2014.


Read more >>

Jumaat, 3 Januari 2014

2014 MILIK KITA




Demi mencapai kejayaan perlu kepada jalan penyelesaian bagaimana untuk menghadapi segala cabaran, rintangan, dugaan, halangan dan permasalahan yang timbul. Jangan mudah mengalah kerana sekali kita mengalah sampai bila-bila kita akan tertewas juga. Nak kan kejayaan perlukan kepada keberanian untuk menghadapinya. Selagi keberanian tiada dalam genggaman kita selagi itulah kita akan ditindas dan merasa amat membebankan setiap apa yang kita lakukan.

Kelemahan memang ada. Namun setiap kelemahan itu pasti terselindung kekuatan yang mungkin tidak kita sedari. Ketahui apa kekuatan dan kelebihan yang ada. Selagi kita pergunakan dengan sebaik yang mungkin selagi itu kita boleh mengatasi setiap kelemahan yang ada. Cari jalan penyelesaiannya. Jangan di tangguh lagi kerana selagi kita tertangguh kejayaan yang kita idam-idamkan sudah pasti tinggal impian sahaja yang mampu untuk kita miliki. Bagi memastikan tahun 2014 adalah tahun milik kita pastikan kita melakukan perkara-perkara seperti berikut iaitu

Tindakan pertama, kenal pasti apa cabaran, halangan dan kelemahan yang ada hasil dari teguran dan pengalaman yang ditempuh. Selagi kita gagal untuk mengesannya selagi itulah kita masih di tahap yang sama setiap tahun. Belajar untuk muhasabah dan perbaiki segera setiap kelemahan yang wujud. Setiap hari adalah setiap masa untuk kita perbetulkan menjadi seorang penjual yang sempurna dan disegani ramai.

Tindakan kedua, cari jalan penyelesaian apa yang telah kita kenal pastikan. Jangan pula kita gunakan pepatah biar lambat asal selamat. Kita mengejar masa perubahan segera perlu dilakukan. Kejayaan yang mahu ditakluki bukannya mahu menunggu kita. Kena proaktif dan agresif mencari sebab dan musababnya. Mencari solusi bukan sesukar mana tapi yang sukarnya nanti adalah sampai bila pun kita masih tidak mahu lagi untuk mencari jalan penyelesaian tersebut.

Tindakan ketiga, jalinan perhubungan perlu diakrabkan lagi tidak kita dengan pelanggan, bakal pembeli, sahabat handai, jiran tetangga atau adik beradik. Semuanya perlu kepada jalinan keakraban yang terjalin. Jangan harap mereka akan membantu kita andai kata kita langsung tidak mahu menghulurkan bantuan dan pertolongan membantu mereka. Situasi menang-menang perlu diwujudkan agar jalinan persahabatan yang akrab dapat dijalinkan sampai bila-bila pun.

Tindakan keempat, pergunakan sebaik yang mungkin akan segala kekuatan produk dan diri. Jangan mudah mengalah tapi dalami kekuatan produk dan diri melalui ilmu yang diperoleh. Seperti resmi padi semakin berisi semakin tunduk jadinya. Carilah ilmu dan bukannya menunggu ilmu agar apa juga yang kita mahukan dan sedari apa kekurangan dapat di timbus semula dengan ilmu yang kita cari selama ini.

Tindakan kelima, kegagalan bukannya satu agenda yang tetap tetapi cuma satu kejadian sahaja. Hadapi dengan tabah untuk kita bangun semula dari kegagalan yang menimpa. Sekali kita gagal bukan bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Jangan mudah merasa kecewa dan putus asa. Berusaha secara bersungguh agar setiap kegagalan yang ada dapat kita gantikan dengan kejayaan pula. Bukan mustahil perkara yang tidak mustahil untuk kita lakukan. 

Tindakan keenam, setiap komitmen perlu diberikan agar ada rasa tanggungjawab untuk melakukannya. Tiada rasa tanggungjawab sudah pasti tidak ke mana. Umpama melakukan puasa di bulan Ramadhan, selagi kita tidak merasakan ia nya satu tanggungjawab untuk berpuasa selagi itulah komitmen yang perlu diberi akan rasa tiada langsung untuk melakukannya.

Tindakan ketujuh, jangan mudah merasa puas dengan apa yang ada. Kita akan mudah menjadi pelupa dan terlalu sangat bangga diri. Merasa takjub dengan apa yang telah dicapai pasti akan membuatkan kita lebih syok sendiri pada akhirnya. Sentiasa merasa tidak cukup dengan prestasi yang di capai. Apa yang telah kita lakukan pastikan tindakan lebih berhati-hati dan berwaspada dapat kita wujudkan dengan sebaik yang mungkin.

Tindakan kelapan, berlapang dada dengan Allah. Setiap yang berlaku adalah satu ujian dan ada hikmah yang pasti tidak dapat kita ketahui akan apa sebabnya yang berlaku. Sentiasa memohon bantuan dan pertolongan Allah per mudahkan segala tugasan kita sehari-harian. Hanya pada Allah tempat kita memohon dan hanya pada Allahlah tempat kita meminta-minta.

Lakukan dengan penuh keyakinan. Lapan tindakan yang perlu dilakukan kepada perlaksanaan secara jujur dan berhemah. Tiada siapa akan marah kalau kita tipu diri sendiri. Tapi malangnya jika kita asyik menipu diri kita sendiri bagaimana hasilnya nanti boleh dituai? Kalau diri sendiri kita boleh menipunya sudah pasti dengan orang lain kita boleh menipu jua. Bertindaklah sewajarnya agar keputusan akhir yang kita ingin-inginkan akan menjadi satu realiti dan bukannya satu fantasi.

Read more >>