Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 27 Mac 2014

BILA BERADA DALAM SATU TIM JUALAN




Bertugas melakukan jualan dalam tim jualan sesebuah organisasi bukan setakat memerlukan kesefahaman dan komunikasi yang baik. Banyak perkara yang perlu disesuaikan dan diselaraskan agar kita mampu untuk melakukan tugasan dan kerja-kerja yang diarahkan. Bersesuaian dengan apa juga kehendak dan prosedur pada organisasi yang diwakili dan yang di sertai. Di samping mahu membina karier yang terbaik dalam organisasi tersebut, periuk nasi juga perlu untuk di jaga sama.

Antara yang perlu dilakukan untuk di fahami sebaik-baiknya adalah memahami dan mengetahui apa kah jenis amalan atau budaya yang telah disemaikan dalam organisasi tersebut. Lain organisasi lain budaya kerjanya. Sukar untuk disamakan antara satu organisasi dengan satu organisasi yang lain yang disertai. Melalui budaya tugasan yang ada dalam sesebuah organisasi tersebutlah akan dapat mewujudkan lagi semangat bekerja yang kuat sesama ahli dalam tim jualan tersebut. Masalahnya kini apa yang dirisaukan bagaimana pula dengan sesebuah tim jualan yang sampai kini masih tidak mempunyai budaya jualan yang dimaksudkan.

Pasti akan terjadi pelbagai masalah yang tidak disangka boleh berlaku. Antaranya mungkin

i.             Masing-masing pasti akan bersaing sesama sendiri pijak-memijak antara satu sama yang lain tanpa perlu hormat-menghormati antara satu sama yang lain walaupun dalam satu tim jualan yang disertai.

ii.           Mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain

iii.          Tiada sikap yang kompetitif dan pertentangan pendapat menjadi mainan utama

iv.          Sengaja mewujudkan persekitaran yang santai dan pasif terutama jika terdapat apa-apa perubahan

v.            Menyalahkan orang lain pasti menjadi agenda utama pembelaan diri

vi.          Bergosip dan mengkritik pilihan utama menyelamatkan kepentingan diri sendiri 

vii.        Rakan setugas dan ketua dalam tim jualan langsung tidak dihormati

viii.       Suka melengah-lengahkan tugasan dan menyalahkan sistem tugasan yang sedia ada

Alangkah sedihnya jika berlaku dalam tim jualan tersebut. organisasi berkenaan berkehendakkan kakitangan yang diambil bertugas dan menjual bagi memastikan keuntungan organisasi boleh diperoleh setimpal dengan gaji dan pendapatan yang dibayar. Tapi lain pula jadinya. Adakah ini yang kita mahukan dan carikan selama ini? Sesuatu perlu dilakukan agar budaya kerja yang bersih, bertanggungjawab dan amanah dapat diterapkan dengan lebih efektif dan berkesan sama sekali.


Read more >>

Rabu, 26 Mac 2014

MEMBEBEL LEBIH BAIK?




Tidak dinafikan bahawa kita yang melakukan jualan perlukan kepada banyak bercakap. Banyak bercakap di sini bukanlah bermakna banyak membebel dan mengutarakan apa sahaja yang terlintas di dalam fikiran kita. Dimaksudkan dengan banyak bercakap dalam melakukan jualan adalah apabila bertemu dan bersua dengan seseorang untuk tujuan menjual sahaja. Kita lakukan satu presentasi dan penerangan yang diperlukan untuk mereka agar kefahaman mereka lagi memudahkan lagi bagi menerima tawaran yang di kemukakan.

Sememangnya sifat seorang wanita memang banyak bercakapnya jika dibandingkan dengan lelaki. Banyak bercakap ini sememangnya di kaitkan dengan berceloteh, membebel, bergosip, mengkritik, mengumpat mahupun mengeluh. Mana yang positif pasti akan positif jadinya dan begitulah sebaliknya. Menurut kajian seseorang wanita mempunyai hormon  estrogen berlebihan sebanyak 30,000 perkataan jika dibandingkan dengan seorang lelaki yang mempunyai estrogen hanya sekitar 7,000 sahaja.

Bak kata pepatah Melayu kerana pulut santan binasa kerana mulut badan merana. Perlu kah kita yang melakukan jualan menjadikan diri kita seperti mulut murai? Pantang bertemu dengan siapa pun pasti mulut kita akan leka dengan penceritaan walaupun merapu-rapu jadinya. Begitu juga dalam kita melakukan jualan perlu kah bagi kita bercakap untuk mengadu domba dan mengeluh kesah yang bukan-bukan hanya kerana untuk menarik simpati seseorang mudah mempercayai apa juga tindakan kita. Adakah ini yang kita mahukan.
Walau bagaimanapun bercakap ini perlu sebagai satu nikmat yang dianugerahkan Allah kepada kita. Dengan bercakap bermakna kita semakin mudah untuk melakukan jualan. Bercakap juga akan dapat menarik minat seseorang untuk lebih mengetahui dan memudahkan membuat keputusan sama ada untuk menerima ataupun tidak. Antara keistimewaan bercakap ketika melakukan jualan adalah untuk 

i.             Satu terapi diri buat diri kita, meluahkan apa yang patut perbetulkan semula perasaan dan emosi diri kita

ii.           Mengkhabarkan dan memaklumkan akan perkara-perkara yang perlu sahaja

iii.          Mengutarakan sesuatu secara berfakta dan boleh diterima logik akal

iv.          Beri pandangan dan pendapat peribadi demi tujuan penambahbaikan

v.            Menyerikan lagi suasana menghidupkan keharmonian apabila berinteraksi

vi.          Memberi ruang mendapatkan kepercayaan dan keyakinan kepada mereka

Melakukan jualan bukan semestinya seseorang itu pandai bercakap. Cukuplah sekadar seseorang yang ingin menjual tahu akan pengetahuan produk dan minat untuk melakukannya. Semakin hebat seseorang yang bercakap bukan bermakna semakin hebat dia melakukan jualan. Cuma orang yang banyak bercakap mungkin merupakan satu kelebihan yang kecil sahaja menarik perhatian mereka. Kepada yang pendiam atau pemalu jangan ini dijadikan alasan untuk tidak boleh melakukan jualan. Selagi ada minat ada kemahuan dan ada kecenderungan untuk melakukannya tidak mustahil satu hari nanti pasti akan boleh menjadikan diri kita sebagai seorang yang hebat dalam melakukan jualan.



Read more >>

Selasa, 25 Mac 2014

Membina kekuatan jalinan keakraban




Menjauhi kepentingan peribadi atau memikirkan tentang keuntungan diri sendiri perlu dielakkan sama sekali. Dah nama hidup bermasyarakat kenalah turut sama fikirkan tentang orang lain sama. Dalam agama pun disarankan agar kita mengambil tahu dan mengetahui pada rakan setugas atau sama perjuangan kita dalam melakukan bidang yang sama iaitu melakukan jualan. Kalau ini dapat diterapkan walaupun bersaing secara bersama namun perasaan hasad dengki, cemburu, khianat dan busuk hati boleh kita hindari dengan sebaik yang mungkin hanya di sebabkan ukhuwah dan silaturahim yang dijalinkan sesama kita. Tapi  sejauh mana boleh kita lakukan apa yang dimaksudkan ini?

Mahu tidak mahu kena bersedia untuk lakukan jalinan silaturahim. Jangan dikira orang tersebut tinggi diri atau rendah diri, berdarjat ataupun tidak asalkan kita mahu untuk menjalinkan silaturahim itu lebih diutamakan. Dalam merapatkan hubungan yang baik dan saksama eloklah dilakukan perkara-perkara seperti berikut

i.             Sentiasa mahu mendengar apa yang mereka perkatakan dan luahkan. Terima dengan  hati yang terbuka akan apa juga yang mereka mahu sampaikan dan luahkan. Semakin kita sudi mendengar semakin banyak input yang boleh kita ketahui semakin percaya mereka kepada kita dan seterusnya semakin rapat perhubungan kita dengannya.

ii.           Beri pendapat dan pandangan yang positif setelah semuanya kita dengar dan ketahui. Nak beri pendapat jangan main cakap sahaja tapi di tapis dahulu fikirkan sebaik yang mungkin agar apa yang kita perkatakan diterima dengan sebaik yang mungkin. Terlajak perahu boleh di undur tapi kalau terlajak kata habislah hubungan kita dengannya pula.

iii.          Merendahkan darjat yang sepatutnya agar kita lagi mudah untuk berkawan dan bersahabat dengan mereka. Jangan kira taraf kehidupan atau kebijaksanaan kita melebihi mereka tapi fikirkan apa yang sepatutnya kita boleh hulurkan bantuan dan pertolongan yang sepatutnya kepada mereka.

iv.          Kawal emosi dalam apa keadaan sekalipun. Tidak guna menunjukkan emosi kita yang bukan-bukan ataupun terlalu moddy pada hari berkenaan. Gagal kawal emosi bermakna kita juga akan gagal untuk mengawal jalinan persahabatan seperti mana yang di harapkan.

v.            Jadikan sahabat yang akrab umpama cubit paha kiri paha kanan terasa sakitnya sekali. Jangan ada niat pergunakan kawan tersebut hanya untuk kepentingan dan memuaskan hawa nafsu kita sahaja. Senang sama di jinjing bila susah sama pula dijunjung. Itulah ukhuwah persahabatan dan persaudaraan yang perlu dipupuk dan dibentuk bersama-sama.

Kalau ini dapat kita lakukan insyaAllah tidak siapa pun yang boleh mengganggu gugat karier kita dalam melakukan jualan. Perasaan hasad dengki, cemburu, khianat, membenci mahupun berpandangan negatif terhadap kita boleh kita hindari hanya kerana menjalinkan keakraban dan keintiman bersama mereka. Tiada yang ruginya. Lakukan yang terbaik mencuba sebaik yang mungkin agar jalinan persahabatan, ukhuwah dan silaturahim boleh kita bina dengan baik dan sempurna.



Read more >>

Isnin, 24 Mac 2014

BERSEDIA UNTUK BERKONGSI ILMU






Sentiasa jadikan diri kita bersedia untuk berkongsi ilmu. Bukan setakat berkongsi ilmu tetapi juga sebagai seorang motivator yang tidak bertauliah yang sudi membantu sesiapa juga yang berminat dalam melakukan jualan. Tidak kiralah sama ada rakan sekerja atau ahli dalam tim jualan yang bersama dengan kita. Jangan kira siapa pun termasuklah pesaing kita sekali. Semuanya dilakukan dengan hati yang terbuka dengan keikhlasan yang telus dan jujur. Jangan difikirkan apa ganjaran yang boleh diperoleh tapi lakukan dengan sebaik yang mungkin kerana ganjaran Allah untuk akhirat nanti itulah matlamat utama.

Berfikirlah secara waras. Jangan kedekut ilmu tapi pilihan terbaik adalah bersama dalam berkongsi ilmu. Tewas di dunia tidak mengapa asalkan kejayaan di akhirat menjadi pilihan utama. Kita membantu orang sudah semestinya Allah akan menghulurkan bantuannya kepada kita antara sedar ataupun tidak. Belajar jangan berdendam atau menyakitkan hati orang tapi dekatkan diri kita sentiasa mahu berkongsi ilmu pengetahuan kepada siapa pun juga yang kita kenali dan mahukan pertolongan dari kita. Niat kena perbetulkan dahulu agar bukannya untuk menunjuk pandai atau meninggi diri menunjukkan kita serba pandai dalam semua hal dan bidang.

Jangan kita niatkan untuk menjadi popular atau mengharapkan pujian orang tapi lakukan dengan keikhlasan dan kejujuran yang ada. Bantu sebaik yang mungkin dengan cara dan kaedah seperti berikut

i.             Lakukan penetapan ‘Apa yang di mahukan’ kepada ‘Apa bakti saya selama ini’
Kita tidak akan puas dengan apa yang kita mahu capai selama-lamanya. Walaupun telah diperoleh apa yang dihajati namun kepuasan pasti tidak ada penghujungnya. Tapi fikirkan apa yang telah kita sumbangkan kepada orang lain akan kebaktian kita pada orang lain. Memadai kah sumbangan kita pada orang lain terutama mereka yang memerlukan bantuan dan khidmat kepakaran kita selama ini?

ii.           Ketahui kepentingan buat diri kita
Apa yang dicari? Dihormati? Pujian dan perhatian? Jawatan dan pangkat? Mencari wang yang banyak dengan ilmu yang ada untuk menikmati kemewahan hidup? Hanya mengharapkan keredaan Allah? Semuanya terjawab bergantung apa yang kita mahukan. Matlamat yang baik sudah pasti hasilnya akan menjadi baik dan begitulah sebaliknya pula.

iii.          Ketahui segala kelebihan dan kehebatan produk yang dijual
Ingin menjadikan diri sebagai seorang yang boleh merangsang dan pencetus bagi orang lain kena ketahui segala kehebatan, kelebihan, keuntungan dan keistimewaan yang ada. Apa yang ditawarkan pada produk yang di jual agar orang lain turut sama boleh memahami apa kesannya. Tidak kira pada sesiapapun yang melakukan jualan dan penawaran pasti dapat dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Tanpa pengetahuan produk sudah pasti sampai bila pun akan gagal untuk melakukan jualan seperti mana yang di mahukan.

iv.          Bersungguh untuk melakukannya
Tiada cara lain untuk berjaya melainkan dengan kesungguhan dan kegigihan yang diberikan. Setakat banyak bercakap memberi hujah yang berjela-jela panjangnya tapi pada hasil langsung tiada untuk dibuktikan. Segala perancangan perlu pada usaha dan keputusan yang di perlukan. Biar angka prestasi yang bercakap bagi pihak kita dari mulut kita sahaja yang pandai berbicara tapi hasil macam hampeh sahaja.

v.            Ambil tindakan sewajarnya
Apa yang kita lakukan merupakan titik permulaan bagi mendapatkan hasil yang dimahukan. Tindakan yang wajar perlu diambil agar segala keputusan yang dilakukan mampu dan boleh untuk membuahkan hasil. Lakukan yang terbaik seperti mana yang dimahukan dan di cita kan selama ini. Bertindak waras dan jangan bercelaru supaya fokus kita tidak terganggu. Berikan yang terbaik dengan melaksanakan apa yang kita mahukan selama ini.

Belajar untuk tidak sama sekali menjadi orang yang terlalu kedekut dan tamak dengan ilmu yang ada. Bersedia untuk sampai menyampaikan dan berkongsi sama dengan orang lain. Logik akal macam merugikan dan menyusahkan tapi kalau di amalkan segala ilmu yang kita ada akan menjadi kekal dan berkembang lagi tanpa kita sedari. Jangan fikirkan rugi tapi fikirkan berapa banyak nanti Allah akan anugerahkan kepada kita atas perkongsian ilmu yang tidak jemu-jemu kepada orang lain. Inilah khidmat bakti kita semua yang perlu ada sementara nyawa masih ada di muka bumi ini.


Read more >>