Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 26 September 2013

TAK BOLEH DISKAUN KE?






Salah satu perkara utama bakal pembeli atau pelanggan mengambil kira adalah berkenaan dan berkaitan dengan harga yang ditawarkan. Memang pedih hati dan memeningkan kepala kita yang melakukan jualan. Harga sememangnya memainkan peranan yang penting dalam melakukan jualan. Sebagai orang yang menjual kebiasaannya kita tiada mempunyai kuasa untuk menentukan berapa harga terbaik yang boleh ditawarkan. Semuanya bergantung semata-mata berapa banyak yang telah ditetapkan sama ada oleh pengeluar produk atau pembekal barangan . Kita hanya menjual sahaja tak lebih daripada itu.

Inilah perkara yang sering berlaku dan selalu disebut-sebutkan ketika proses jualan berlaku. Baik semasa perundingan apa tah lagi semasa bantahan atau bangkangan jualan berlaku dan terjadi. Sebagai seorang penjual yang kena jual juga produk yang ditawarkan, mempertahankan harga yang ditawarkan perlu ada asas dan sebabnya. Bukannya dengan sewenang-wenangnya harga boleh ditawarkan dengan sebab suka hati pengeluar produk ataupun dari kita sendiri.

Ambillah pendekatan yang terbaik dan berhemah. Pertahankan dengan sebaik yang mungkin dengan apa cara sekalipun. Biarlah bantahan dan bangkangan berlaku dan terjadi namun pendirian kita kena kuat dan tabah. Segala asas dan sebabnya perlu kita perkukuhkan agar apa yang kita perkatakan ada kebenaran dan ketelusannya. Bukan untuk dipermainkan tapi ini adalah harga yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat, pembekal dan pengeluar produk. Antara tindakan-tindakan yang sepatutnya kita lakukan demi pertahankan berapa juga harga yang ditawarkan ini walaupun terpaksa melalui tanpa adanya sebarang kompromi adalah dengan cara

i.             Beri penjelasan
Tawarkan dengan memberi apa sebabnya kenapa harga kita tidak seperti harga pesaing atau pasaran yang ada. Kena ada logik dan asasnya. Beri penjelasan dan kefahaman dari segi pembuatan, isi kandungannya, mutunya, pengeluarnya, kedudukan ekonomi dan sebagainya yang boleh diberikan secara berfakta dan diterima akal. Jangan menipu tapi nyatakan dengan satu kejujuran yang sepatutnya yang membolehkan bakal pembeli atau pelanggan yang berada di hadapan kita boleh berfikir secara rasional. Bak kata pepatah kalau di panggil dia menyahut, bila di lihat dia bersuara.

ii.           Penekanan kepada kelebihan, keuntungan dan kehebatan
Setiap produk pasti ada kelebihan dan kekurangannya. Beri penekanan sebaik yang mungkin tentang segala kelebihan, kehebatan dan keuntungan yang bakal mereka peroleh supaya segala masalah mereka dapat diselesaikan menerusi produk yang ditawarkan. Kejujuran kita memberikan penerangan secara bersungguh pasti mampu menarik minat mereka tentang apa yang kita tawarkan dengan mengetepikan dahulu harga yang ditawarkan. Kerana itu kita di saran untuk mencintai produk yang kita tawarkan dahulu sebelum boleh orang lain bercinta dengan produk yang ditawarkan. Lihatlah industri kenderaan di Malaysia, kalau benar-benar mereka mahukan harga yang murah sudah tentu kereta-kereta berjenama seperti Mercedez, BMW ataupun AUDI sudah pasti tiada siapa pun yang akan menggunakannya.

iii.          Pengaruhi secara berfakta
Penjual yang cerdik dan memudahkan tugasan menjual pasti ada menyediakan perbandingan tawaran dengan pesaing-pesaing yang berada di pasaran sebagai satu kenyataan berfakta yang mudah difahami oleh bakal pembeli atau penjual. Tunjukkan kepada mereka di bahagian mana yang boleh memberikan satu keuntungan dan kelebihan pada diri mereka sendiri untuk menerima tawaran yang dikemukakan walaupun harga mungkin terdapat jauh perbezaannya. Selagi penerangan tidak diberikan selagi itulah mereka pasti tidak memahami. Ambil masa sedikit agar segala kekeliruan dan kecelaruan dapat kita atasi dengan sebaik yang mungkin.

iv.          Atasi bangkangan dan bantahan jualan
Lakukan secara berhemah dan bersopan. Tidak perlu meninggi suara atau bertegang leher. Maklumkan dengan sebaik yang mungkin secara jujur dan ikhlas. Bak kata pepatah kalau di bawah melompat kalau di atas menyusup di mana kita kena pandai untuk menyesuaikan diri menyelesaikan sebaik yang mungkin dan termampu. Ikut rasa binasa ikut hati mati. Kawal kemarahan dan emosi agar segala bantahan dan bangkangan diatasi dengan sebaik yang mungkin tanpa perlu bertegang leher dan marah memarahi terjadi.

Bukan semua orang akan mudah bersetuju dengan apa yang kita perkatakan tapi tidak mustahil akan ada juga orang yang akan menerimanya pula. Hujung pangkal yang penting usaha kena ada. Jangan main semberono menganggap mudah sahaja orang akan terima bulat-bulat dan senang begitu sahaja. Kalau produk kita benar-benar berkualiti dan elok untuk dimiliki walaupun menawarkan harga yang lebih sedikit jika dibandingkan dengan pesaing ada, kenapa perlu wujud rasa takut dan risau. Lakukan sahaja yang penting bukan setakat harga sahaja yang mereka lihat walaupun harga cukup memainkan peranan penting dalam penutupan jualan. Peroleh dahulu pembinaan kepercayaan di dalam diri mereka, pengaruhi pemikiran mereka sebaik yang mungkin kemudian baru lakukan jualan apa yang kita mahukan.


Read more >>

Rabu, 25 September 2013

KALAU DAH BUKAN ORANG JUALAN




Melakukan jualan bukanlah semudah yang dijangka. Menceburi dalam bidang apa sekalipun pasti ada cabaran dan dugaannya yang perlu ditempuh. Bukan main hentam sesuka hati menceburi hanya disebabkan tiada pekerjaan lain yang mampu untuk dilaksanakan. Ada orang sanggup berpura-pura mengatakan minat yang amat sangat melakukan jualan kerana untuk mendapatkan pekerjaan. Cukup pandai bercakap dan memberi hujahnya semasa di temu duga. Tapi malangnya apabila tugasan diberikan kepada nya pelbagai alasan dan ulasan pula yang diterima mengatakan sukar, payah dan menyalahkan semua yang ada di sekelilingnya.

Sememangnya agak sukar mengenal pasti mereka yang berminat melakukan jualan di peringkat awal tapi tidak mustahil boleh dikesan dari kelakuan dan tindak tanduknya. Semuanya bermula dari tingkah laku seseorang sama ada berminat ataupun berpura-pura. Manusia kalau sesuatu perkara yang dilakukan bukan atas minatnya pasti akan ditunjukkannya juga tanpa beliau sedari. Antara perkara-perkara yang ditunjukkannya adalah

i.             Tidak suka cabaran
Ambil mudah langsung tak mahu lakukan yang susah-susah. Bila berhubung dengan bakal pembeli atau pelanggan merasakan cukup sukar untuk dilakukan. Rasa malulah, segan dan tak tahan leteran dari mereka. Seolah-olah melakukan jualan sesuatu yang menyeksa. Berilah apa pun kepada mereka untuk melakukan jualan sudah pasti penutupan jualan akan gagal dan tidak ke mana walaupun orang yang mereka temui itu sememangnya telah berminat dengan produk yang ditawarkan.

ii.           Tidak suka arahan
Sudah pasti setiap arahan yang diterima akan dielakkan sama sekali. Pelbagai alasan dan ulasan diberikan merasakan apa yang dilakukan adalah terbaik tapi sebenarnya hasil langsung tiada. Setakat minat untuk menyertainya tapi tidak berminat untuk melakukannya buat apa. Betul-betul buang masa sahaja menyertainya. Bercakap pandai tapi sebenarnya tidak ke mana. Sering mengatakan apa yang dilakukan adalah betul dan yang tidak betulnya adalah mereka-mereka yang suka memberi arahan dan memberi tekanan kepada dirinya.

iii.          Gagal mengesan oportuniti
Kalau boleh nak kerja senang sahaja. Dapat orang suapkan ke mulutnya itulah yang dimahukan. Langsung tak reti nak mencari dengan usaha sendiri. Setiap kali nak lakukan tindakan menjual mengharapkan ada sahaja orang lain untuk membantu dan menunjukkan caranya. Pelanggan yang berminat di depan mata langsung tidak disedarinya tapi sibuk mencari pada bakal-bakal pembeli yang pasti tidak mahu menerimanya.

iv.          Bukan seorang pemburu
Daya mengesan sama ada boleh dilakukan jualan atau tidak pada seseorang perlu ada. Jadilah seperti seseorang pemburu walaupun terdapat banyak halangan dan dugaan yang perlu ditempuhnya namun beliau pasti pulang dengan hasil buruannya. Kerana itu ilmu amat diperlukan. Menuntutlah dari pelbagai sumber untuk per kemaskan diri kita sendiri. Jangan main logik akal dan fikiran sahaja kerana pasti tanpa ilmu ia nya tidak ke mana.

v.            Mudah mengeluh dan kecewa
Belum melakukannya sudah memberikan pelbagai alasan dan ulasan tanpa mencubanya dahulu. Apa yang diketahuinya adalah mengeluh dan kecewa tidak tentu hala. Itu susah ini sukar habis semuanya menjadi pening kepala dibuatnya. Kalau tidak berminat berhenti dari awal dan jangan menyusahkan orang lain. Dalam dunia ini bukan kita seorang sahaja yang boleh melakukan jualan bodoh seperti ini kerana mereka yang di luar sana masih ramai lagi untuk melakukan jualan kalau diberi peluang dan kesempatan.

Elakkan dari membuang masa. Kalau bertugas hanya kerana desakan hidup berubah segera kerana melakukan jualan bukannya boleh kemahiran tersebut diwarisi atau didapati dari keluarga terdekat. Semuanya berpunca dari minat dan kesungguhan. Terasa ada kelemahan belajar cari ilmu dari pelbagai sumber. Jangan mudah terasa rendah diri tapi perbetulkan agar minat untuk melakukan jualan tetap ada. Cari sesuatu yang boleh memberi motivasi dan dorongan kuat kepada kita untuk ditukarkan dari membenci kepada berminat. Jangan lupa untuk berdoa kepada Allah kerana Allah sentiasa membantu kepada siapa pun juga yang memohon kepada Nya.



Read more >>

Selasa, 24 September 2013

SIKAP PEMBELI YANG PERLU DI AWASI




Semua tawaran yang dikemukakan bergantung kepada kesediaan pembeli atau pelanggan kita. Pemutus kata akhir semuanya bergantung yang amat sangat keputusannya dari mereka sama ada penutupan jualan berjaya atau tidak diterima atau sebaliknya. Jangan mudah mendabik dada merasakan apa juga persembahan dan presentasi yang dilakukan terhadap mereka sewenang-wenang akan diterima membabi buta begitu sahaja. Mesti ada penilaian dari mereka sendiri menentukan sama ada untuk menerima ataupun tidak.

Sikap mereka akan lebih banyak membantu memberikan kata putus. Majoriti pembeli akan menerima produk yang ditawarkan secara majoritinya kerana yakin dengan apa yang dipersembahkan dan diberi penerangan yang baik kepada mereka. Semuanya terlalu berkait rapat dengan bagaimana kita sampaikan kepada kita penuh keyakinan dan sangat membantu mereka. Sikap mereka boleh dikenal pasti secara mudah dengan mereka menzahirkan bagaimana mereka begitu mengenali diri kita, tahu apa yang dilakukan oleh kita dan yakin serta percaya atas keupayaan kita. Inilah yang perlu dilakukan agar pembeli atau pelanggan boleh menilai sama ada boleh atau tidak untuk menerimanya apa yang telah dipersembahkan kepada mereka.

Masalah yang timbul, pembeli atau pelanggan sudah pasti tidak akan berganjak dari pendirian mereka untuk tidak membeli atau menerima tawaran yang ditawarkan andai kata berlaku seperti berikut

i.         Tidak pernah bersua
Hanya kerana kita ini orang baru yang tidak dikenalinya. Kebiasaannya bakal pembeli atau pelanggan mahu berurusan dengan orang yang telah mereka kenali sahaja hanya kerana tujuan utama mereka tidak mahu sewenang-wenangnya mudah ditipu orang. Cukup setia dengan apa yang ada sehingga orang lain atau yang baru untuk masuk menemui dirinya tidak seberapa mahu dilayannya. Jalinkan perhubungan yang baik terlebih dahulu agar semakin mudah untuk kita melakukan jualan. Tanamkan keyakinan mereka terhadap kehadiran diri kita terlebih dahulu.

ii.        Berurusan dengan pesaing
Katalah apa juga walaupun pelbagai bukti diberikan yang produk kita sememangnya hebat mengatasi pesaing tawarkan. Tapi hanya kerana telah lama dan percaya pada pesaing yang mengendalikan mereka secara mudah pada dirinya dirasakan amat mempercayainya. Secara mentah akan ditolak begitu sahaja pada kehadiran dan tawaran kita. Tidak mahu berfikir panjang dan nampak agak merumitkan masih tetap setia pada pesaing kita lagi.

iii.       Tidak wujud tolak ansur
Langsung peluang tidak diberikan. Asyik dirinya sahaja yang betul dan benar langsung tak mahu menerima apa yang kita maklumkan, ceritakan dan persembahkan. Benar-benar menguji kesabaran kita mencari ruang yang mampu untuk disampaikan apa kehebatan dan kelebihan yang ada pada produk kita. Satu cabaran dan ujian yang perlu ditempuh memandangkan sesi pertemuan telah diaturkan. Kena ada kreativiti tonjolkan segala kelebihan dan manfaat yang bakal mereka terima nanti perlu dimaklumkan dengan sebaik yang termampu.

iv.       Tidak mahu mendengar apa yang diperkatakan
Bertemu sebentar langsung tak mahu mendengarnya tujuan kehadiran diri kita. Lagi susah dan sukar untuk berurusan dengan bakal pembeli atau pelanggan yang sebegini. Seolah-olah diri kita dipermainkan disebabkan setuju untuk bertemu tapi langsung tidak mahu mendengarnya. Adakah ini yang kita cari-carikan selama ini?

v.        Tidak fokus
Fikiran yang mudah melayang-layang entah ke mana. Langsung tidak fokus dan mengerti apa yang diperkatakan kepada dirinya. Sekejap dirasakan ok sekejap lagi minta diulang-ulang sehingga kering tekak dibuatnya. Susah nak beri kefahaman orang yang sebegini. Adakah ini semula jadi perangainya dengan sengaja dibuat-buat atau masa pertemuan tidak bersesuaian? Hanya Allah sahaja yang mengetahui maksud yang tersirat dalam pemikiran bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui sebegini.

vi.       Merasakan produk yang ditawarkan tidak membantu banyak pada dirinya
Beria-ria dan bersungguh-sungguh memaklumkan kepada mereka tapi malangnya bakal pembeli atau pelanggan merasakan apa yang kita tawarkan sebenarnya tidak mendatangkan minat atau produk yang ditawarkan sebenarnya tidak dapat membantu banyak pada dirinya. Ini yang dikhuatiri dan dirisaukan kerana pada asalnya mereka mungkin berminat tapi pada penghujung terpaksa pula kita kehilangan penutupan jualan begitu sahaja. Berikan penerangan sebaik yang mungkin dan dengar betul-betul apa sebenarnya masalah yang mereka tanggung selama ini.

Inilah yang perlu kita jaga dan awasi sentiasa agar tidak sama sekali kita terlepas begitu sahaja. Jangan pandang sebelah mata nanti kerana pandangan sebelah matalah sampai bila-bila kegagalan mendapatkan penutupan jualan seperti mana yang dikehendaki selama ini tidak tercapai. Gagalnya kita hanya kerana semata-mata bakal pembeli atau pelanggan tidak menyedari kehadiran kita walaupun telah lama diri kita tercegat di hadapannya. Ketahui juga ragam dan kehendak mereka agar penutupan jualan paling tidak pun hadir bersama kita pada kemudian tindakan.


Read more >>

Isnin, 23 September 2013

KELEKAAN YANG MEMBAWA PADAH




Sering kali kebiasaannya hanya kerana dalam keadaan suka, duka atau kebiasaan melakukannya berkemungkinan kalau tidak di awasi akan mengakibatkan kita mudah terlupa atau terleka. Hanya disebabkan mungkin kesilapan atau kesalahan yang kecil pasti akan memberikan kesan yang tidak baik kepada diri kita sendiri. Inilah yang perlu dirisaukan dan perlu kepada berhati-hati dalam melakukannya. Ini melibatkan imej kita melakukan jualan dan jangan sama sekali merasakan bahawa apa yang kita lakukan boleh diambil mudah begitu sahaja.

Mungkin senario=senario atau perkara-perkara sebegini boleh membuatkan kita berada dalam kelekaan apabila

i.             Kita berjaya mendapatkan penutupan jualan dari seorang pelanggan dan berjanji semula untuk bertemu dengannya pada minggu hadapan bagi menyiapkan segala dokumentasi yang perlu di tandatangani di samping memberikan cenderamata seperti mana yang dijanjikan. Malangnya sehingga hari yang sepatutnya, kita jadi terlupa dan hanya menyedari selepas dari tarikh yang ditentukan. Bagaimana reaksi pelanggan nanti bila menyedari kita telah terlupa dan terleka atas tanggungjawab dan janji kita kepadanya?

ii.           Berjaya mendapatkan temu janji bertemu prospek. Hanya kerana kita terlupa dan terleka kita telah berjanji pada prospek yang lain untuk bertemu sama tarikh dan masanya pada prospek yang pertama tadi. Memang boleh dihubungi pada prospek yang awal kita mempunyai rancangan yang lain tapi pernah kah kita terfikir apa yang akan difikirkan tentang kita di kemudian hari oleh mereka hanya disebabkan kita terleka dengan tanggungjawab kita kepadanya.

iii.          Sebelum mendapat komisen dan pendapatan tambahan kita berjanji pada diri sendiri untuk berbelanja kepada rakan setugas kita, pelanggan-pelanggan utama kita dan sebagainya sebagai meraikan kejayaan dalam karier kita. Tapi apabila telah menerimanya kita berbelanja ke arah yang lain sehingga terlupa dengan janji yang sepatutnya. Adakah ini yang kita cari-carikan dalam kehidupan kita selama ini. Memberi hanya kepada produk sahaja tapi duit poket langsung terlalu berkira.

iv.          Kerana telah berjanji pada prospek untuk bertemu dengannya pada jam 11 pagi langsung tergendala hanya disebabkan kenderaan yang kita naiki telah kehabisan minyak. Adakah ini kerana takdir atau kelekaan dari kita sebenarnya?

v.            Hanya kerana terlalu ghairah dan berseronok dalam bersembang bersama kawan-kawan tanpa kita sedari kita ceritakan dan sampaikan apa yang kita ketahui tentang perangai, tabiat dan kedudukan kehidupan pelanggan kepada kenalan kita. Sepatutnya biarlah kita seorang sahaja yang mengetahuinya dan menutup aib orang lain jika ada tapi hanya disebabkan kita leka dan terlalai terlalu gembira nak sampaikan habis semuanya kita ceritakan kepada orang.

Ini kah yang kita cari-carikan selama ini? Membiarkan sentiasa kita terleka, lalai dan terlupa yang sepatutnya kita jaga dengan penuh tanggungjawab dan amanah akan apa yang perlu dilakukan. Mungkin ada lagi senario yang lain yang anda alami sendiri. Sekurang-kurangnya kita harus sedar dan berwaspada sentiasa agar tidak mudah sama sekali kita berada dalam keadaan dan situasi yang melekakan. Banyak kesan negatifnya kepada kita yang melibatkan karier dan periuk nasi kita sendiri. Ambil langkah yang sebaik-baiknya membendung gejala-gejala negatif ini berlaku dalam diri kita sendiri. Kalau ada perbaiki segera agar tidak berulang lagi.


Read more >>