Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 27 November 2012

BERHATI-HATI KEMUKAKAN SOALAN



Apabila bertemu dengan prospek/pelanggan apa yang perlu dilakukan adalah kena berhati-hati dengan apa yang ingin kita persoalkan kepada mereka. Nak menjual kena tahu apa yang mereka mahukan atau perlukan dengan cara kena tanya sampai kita tahu dan faham apa kehendak dan kemahuan mereka. Tiada istilah jalan mudah apabila kita lakukan jualan. Bertanya dan bertanya sampai kita fahami keadaan sebenarnya dan sahkan semula apa yang kita fahami benar-benar apa yang mereka mahukan. Sememangnya dalam melakukan jualan bertanya adalah lebih baik banyaknya dari melakukan presentasi. Tanpa ada pertanyaan dikemukakan kepada mereka sudah tentu komunikasi dua hala akan gagal begitu sahaja tidak dapat diwujudkan.

Kerana itu pastikan apabila melakukan jualan, soalan-soalan yang ingin diutarakan dan majukan kepada prospek/pelanggan perlu berhati-hati dilakukan agar tiada perkara yang pelik-pelik atau memberikan kesan yang negatif pula kepada kita. Jangan main sesedap mulut apabila bertanya ikut suka hati kita sahaja. Kena berwaspada sentiasa agar perkara-perkara begini tidak berlaku

i.                    Menyentuh perasaan
Elakkan mereka mudah merasa marah, naik angin dan bosan. Jangan kemukakan soalan yang pelik-pelik sehingga mereka nak menjawab pun rasa susah dan sukar sama sekali. Carilah soalan-soalan yang mudah-mudah untuk dijawab. Petuanya untuk dapatkan kepastian, lagi pendek soalan yang dikemukakan lagi panjang jawapan dan maklum balas dari mereka akan berikan. Cuma berjaga-jaga dengan soalan-soalan yang dikemukakan agar jangan diberi ruang dan peluang pula kepada mereka dengan soalan-soalan yang mudah menaikkan kemarahan dan sensitiviti kepada mereka.

ii.                  Tiada kena mengena
Biarlah ada relevan dan hubung kaitnya dengan soalan yang dikemukakan dengan produk yang ditawarkan. Tidak lebih dari itu. Soalan-soalan yang pelik dan agak membingungkan mereka pasti pada akhirnya kita akan dianggap gila dan tidak betul pula. Sebaik-baiknya sediakan soalan-soalan yang munasabah untuk ditanyakan seperti satu ‘CHECKLIST’ yang disediakan untuk ditanya dan dikemukakan. Bila dah ada cukup senang tapi jangan pula macam skrip untuk lakonan filem pula. Jenuh berjela-jela lah pula untuk bertanya sementara hendak mendapatkan maklum balas dan jawapan dari mereka.

iii.                Pertanyaan yang berulang kali
Dah tahu pasti jangan ditanya banyak kali. Nanti bila prospek/pelanggan merasa bosan terus memberikan maklum balas yang bukan-bukan dan mengarut pula kepada kita. Nak tanyakan juga bermakna dalam keadaan dapatkan pengesahan sahaja. Petuanya dengan buat ayat dari kita sendiri apa yang kita faham kemukakan semula apa yang kita perkatakan ini adakah betul ataupun tidak. Jangan lebih dari itu kerana dikhuatiri nanti prospek/pelanggan akan merasa bosan dan terkedu pula apa yang telah kita lakukan kepada mereka.

iv.              Terlalu menanyakan soalan yang begitu personel
Tolong jangan terlalu tanyakan soalan yang agak personel terhadap prospek/pelanggan yang ditemui. Pastikan kita tanya kepada mereka dengan soalan-soalan yang cukup relevan dengan produk yang ditawarkan. Jangan lebih dari itu. Nanti lain pula jadinya. Lebih menjerumuskan kepada yang personel bermakna lebih menyentuh hati dan perasaan mereka. Carilah soalan-soalan yang memberikan keyakinan kepada mereka untuk memberikan jawapan yang sepatutnya dari memberikan jawapan-jawapan yang mungkin akan memberikan dan menyakitkan hati dan perasaan mereka.

Semoga dengan apa yang diperkatakan tindakan kita dalam melakukan jualan akan lebih diberi perhatian utama agar lebih berhati-hati dan berwaspada sentiasa. Berfikir dahulu sebelum mengeluarkan pertanyaan kepada prospek/pelanggan agar mereka tidak mudah terasa dan menganggap yang bukan-bukan kepada kita. Bersabar dan bertenang sentiasa agar apa yang kita lakukan diterima baik oleh mereka. Wujudkan kepercayaan kepada mereka agar mereka dengan mudah berinteraksi dengan kita. Bila dah mula berinteraksi dengan baik barulah senang nak kemukakan apa soalan jua yang kita kehendaki kepada mereka.


Read more >>

Isnin, 26 November 2012

Penasihat Yang Salah




Tatkala kita merasa agak ‘DOWN’, keluh kesah, kecewa, putus asa atau putus harapan kita akan menjadi seolah-olah hilang punca atau tak lagi hendak buat macam mana untuk memperbetulkan lagi keadaan dalam meneruskan lagi jualan yang seharusnya kita lakukan. Terhenti seketika mencari jalan penyelesaian untuk per tingkatkan semula usaha dalam melakukan jualan. Apa yang perlu dilakukan agar segala yang berserabut di kepala, semangat yang menjulang tinggi tiba-tiba hilang boleh kah diperbetulkan semula di landasan yang sebenarnya.

Di ketika inilah kita amat memerlukan seseorang untuk memimpin dan memandu semula diri kita agar terus boleh dan bersemangat untuk melakukan jualan. Memilih seseorang perlu kita tentukan sendiri agar orang yang boleh memberikan inspirasi dan buah fikiran kepada kita sememangnya memberikan kesan yang mutlak menghulurkan bantuan dan pertolongan yang sewajarnya. Pilihan yang betul pasti memberikan pulangan yang terbaik pada kita dan bukan sebaliknya. 

Mungkin perkara-perkara begini boleh kita pastikan terlebih dahulu agar orang yang kita minta khidmat nasihat dan pandangannya bukan sesuatu yang membentuk diri kita lebih parah lagi dan menyukarkan tugasan jualan kita tapi terus membina kredibiliti dan personaliti diri kita melakukan jualan. Antaranya adalah

i.             Latar belakang yang salah
Bila ada masalah yang dialami pasti akan mencari seseorang yang boleh menasihati atau memberikan idea-idea kepada kita untuk mencari jalan penyelesaiannya dengan sebaik yang mungkin. Tapi malangnya makin kita cuba mencari jalan penyelesaiannya makin buntu pula didapati hanya disebabkan tersalah orang  untuk mencari jalan penyelesaiannya umpama kita hendak membaiki kereta tapi kita pergi pula ke bengkel motosikal pula. Sampai bila pun tak selesai-selesai masalah. Oleh itu carilah orang yang bersesuaian yang sebaik-baiknya tahu juga tentang apa yang kita lakukan terutamanya dalam bidang jualan ini.

ii.           Orang yang emosi
Carilah orang yang tenang dan tidak berat sebelah terlalu emosi memberikan pendapat dan pandangan yang sewajarnya kepada kita mencari jalan penyelesaian. Apabila terlalu emosi maka pemikiran juga akan berat sebelah tanpa memikirkan mana yang baik dan buruknya pula. Kena berhati-hati dalam memilih orang yang boleh memberikan pendapat dan pandangan yang bernas yang mudah untuk kita terima apabila ada masalah yang timbul dengan memastikan ia nya tidak begitu terlalu emosional pula ap yang diberikan dan disarankan.

iii.          Tiada kemahiran
Orang yang tidak tahu apa-apa terutama tentang jualan kita sibuk minta pendapat dan pandangan untuk selesaikan masalah kita. Lagi menyusahkan ini namanya tanya pada orang yang tak tahu tiba-tiba nak dapat jawapan yang kita mahukan. Memang akan menyusahkan kita balik kalau orang yang kita perlukan khidmat nasihat tidak kena sama sekali tempatnya untuk kita melakukan rujukan. Bukankah ini dinamakan buang masa sahaja.

iv.         Orang yang berkepentingan
Nak dapatkan nasihat asyik semuanya menyebelahi orang yang memberi pandangan dan nasihat dia sahaja demi menjaga kepentingan dan periuk nasi dia sahaja tanpa memikirkan kesan baik buruknya kepada kita. Apa yang kita minta langsung tiada menunjukkan apa yang boleh membantu kita melainkan ada kepentingan peribadi kepadanya. Sebaik-baiknya elakkan orang yang sebegini untuk lakukan perundingan.

v.           Tiada etika dalam tugasan jualan
Lakukan tugasan dengan sebaik yang mungkin. Hulurkan bantuan dan pertolongan selesaikan masalah mereka dengan produk yang bersesuaian untuk ditawarkan kepada mereka. Kena ada etikanya. Jangan sama sekali cari orang yang melakukan jualan yang sudah pasti kita ketahui tiada etikanya dalam melakukan jualan. Terlalu mementingkan diri sendiri, tamak dan mengejar keuntungan sahaja tanpa memikirkan hati dan perasaan prospek/pelanggan yang ditemui.

Fast Action Fast Results. Tindakan segera dan pantas serta memberikan pulangan yang segera juga kepada kita. Carilah penasihat yang terbaik yang boleh membantu apa juga masalah yang kita tanggung selama ini. Jangan main cerita sahaja apa yang ditanggung kepada semua orang yang kita temui tapi carilah orang yang berkebolehan dan pakar dalam bidang yang kita tempuhi. Jalan paling baik untuk mengadu lakukanlah pengaduan yang bersungguh-sungguh ke hadrat Allah, itulah tempat yang sebaik-baiknya. Mengadulah apa juga kepada Allah dengan hati yang telus dan jujur sejujurnya tidak berdolak-dalik. InsyaAllah apa juga hajat kita pasti akan Allah kabulkan cuma bezanya antara cepat atau lambat sahaja bantuan tersebut diberikan.


Firman Allah bermaksud "Mohonlah (berdoalah) kamu kepada Tuhan mu dengan cara merendahkan diri dan cara halus, bahawa sa nya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas; dan janganlah kamu berbuat kebinasaan di bumi (masyarakat) setelah ia baik; dan mohonlah (berdoalah) kamu kepada Allah dengan rasa takut dan loba (sangat mengharap); bahawa sa nya rahmat Allah itu sangat dekat kepada orang-orang, yang ihsan (Iman kepada Allah dan berbuat kebajikan)." (Surah Al-A'râf ayat 55-56)


Firman Allah bermaksud "Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepada engkau tentang Aku, maka sesungguhnya Aku sangat dekat (kepada mereka). Aku perkenan kan doa orang-orang yang mendoa apabila ia memohon (mendoa) kepada Ku. Sebab itu, hendaklah mereka memenuhi (seruan)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk." (Surah Al-Baqarah ayat 186)


Firman Allah bermaksud "Dan berfirman Tuhan mu "Memohonlah (mendoalah) kepada Ku, Aku pasti perkenan kan permohonan (doa) mu itu." (Surah Al-Mu'min ayat 60)


Firman Allah bermaksud "Dan Allah mempunyai nama-nama yang sangat indah (Al-Asmâ'u al-Husnâ), maka memohonlah kamu kepada Nya dengan (menyebut) nama-nama itu." (Surah Al-A'râf ayat 180)


Firman Allah bermaksud "Katakanlah oleh mu wahai Muhammad, berdoalah (pujilah) akan Allah atau berdoalah (pujilah), akan Ar-Rahmân (Maha penyayang)" (Surah Al-Isrâ' ayat 110)


Firman Allah bermaksud "Doa (percakapan) mereka di dalamnya (syurga), adalah Allâhumma (Maha Suci Engkau wahai Tuhan)." (Surah Yûnûs Ayat 10) 

Sabda Nabi Muhammad SAW bererti "Doa itu adalah ibadah” (Hadis diriwayatkan dari Abû Dâud dan Al-Turmudzî 

Sabda Nabi Muhammad SAW bererti "Barangsiapa dibukakan pintu doa untuknya, bererti telah dibukakan pula untuknya segala pintu rahmat. Dan tidak dimohonkan kepada Allah, yang lebih di sukai Nya selain daripada dimohonkan 'afiyah. Doa itu memberi manfaat terhadap yang telah diturunkan dan yang belum diturunkan. Dan tidak ada yang dapat menangkis ketetapan Tuhan, kecuali Doa. Sebab itu berdoa kamu sekalian." (Hadis Riwayat Al-Turmudzî).


Sabda Nabi Muhammad SAW bererti "Tiap Muslim di muka bumi yang memohonkan suatu permohonan kepada Allah, pastilah permohonannya itu dikabulkan Allah, atau dijauhkan Allah daripadanya sesuatu kejahatan, selama ia mendoakan sesuatu yang tidak membawa kepada dosa atau memutuskan kasih sayang." (Hadis Riwayat Al-Thurmudzî).


Read more >>

Ahad, 25 November 2012

WALAUPUN DILARANG



Papan tanda dah diletak dan dipacak namun demi melakukan jualan tetap mengingkari arahan tersebut. Bukan buta mata atau buta hati tapi merasakan tempat tersebut adalah strategi dan tumpuan orang ramai diteruskan usaha walaupun larangan dan amaran telah pun diberikan. Kebiasaannya tanda larangan ini dikeluarkan sebagai peringatan kepada bakal-bakal peniaga oleh pihak berkuasa tempatan supaya ‘JANGAN BERNIAGA DI SINI’.

Demi mencari sesuap nasi, menambah pendapatan dan memonopoli kan tempat yang dirasakan amat strategi perniagaan yang ditawarkan tetap dilakukan asalkan jualan boleh diterima oleh orang ramai yang melintasi kawasan tersebut itu sudah dikira amat memadai. Bolehkah pihak berkuasa menghapuskan peniaga-peniaga yang sebegini. Jawapannya amat sukar kerana demi mencari pendapatan dan perolehan secara halal dan bersih itu semua akan diketepikan oleh peniaga begitu sahaja. Walaupun mengetahui salah dan tidak dibenarkan namun tetap berani juga melakukannya.

Ini lah semangat yang ada pada mereka yang ingin melakukan jualan. Bukan saya menyokong mereka berniaga di tempat yang tidak dibenarkan tapi yang ingin saya perkatakan adalah tentang keberanian dan kesungguhan mereka melakukan jualan. Semangat inilah yang perlu ada pada setiap orang yang ingin melakukan jualan kerana

I.                    Tidak kira apa pun larangan yang dikeluarkan dan diterima kena ada keberanian untuk melakukannya

II.                  Tiada rasa waswas dan takut untuk berniaga

III.                Jualan bukan berasaskan kepada boleh atau tidak untuk berniaga tapi jualan adalah untuk menawarkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang boleh diterima oleh orang ramai tidak kira lokasi di mana pun

IV.             Bersemangat waja tidak kira apa juga sebarang halangan dan masalah yang timbul

V.               Kena muka kering dan keras hati dalam melakukan jualan. Buang segala rasa malu dan segan demi melakukan jualan

VI.             Pandai berdiplomasi dan berhemah jika pihak berkuasa datang untuk melarang atau memberi amaran

VII.           Jangan diambil kira sama sekali apa yang orang lain akan perkatakan asalkan boleh melakukan jualan itu sudah dikira cukup memadai

VIII.         Berfikiran positif dan tidak memandang negatif akan apa yang dilakukannya

IX.              Biarlah susah dan sukar untuk ditempuhi asalkan boleh menjual

Begitulah semangat yang perlu ada pada kita dalam melakukan jualan. Walaupun terdapat pelbagai risiko yang perlu mereka tempuhi tapi semuanya dihadapi dengan tabah dan tenang. Kalau tiada sambutan pasti mereka tidak akan berniaga tempat yang dilarang. Itulah semangat dan keberanian yang telah mereka tunjukkan yang elok kita pelajari. Kalau mereka berani melakukan jualan kenapa kita tidak? Bak kata pepatah Melayu Yang baik dijadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan’.
Read more >>