Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Khamis, 10 April 2014

BUKAN SATU KEKURANGAN




Sedarilah bahawa jika terdapat sebarang kecacatan dalam diri  sekalipun bukan bermakna kita tidak mampu menjalankan jualan dan perniagaan. Jualan adalah satu bidang pada siapa pun boleh melakukannya. Jangan berikan sebarang alasan dan ulasan atas kecacatan yang ada tapi sebenarnya memberikan satu kelebihan dan kekuatan agar bidang yang diceburi ini masih mampu untuk dilakukan.

Tiada siapa pun yang mahukan adanya sebarang kecacatan dan kekurangan dalam diri sendiri. Semuanya mahukan kesempurnaan dan kehebatan yang ada seperti mana orang lain. Jika terdapat sebarang kekurangan atau kelemahan pasti menganggap ia nya sebagai satu halangan dan rintangan yang pasti tidak memberikan keizinan bagi kita untuk bertindak lebih jauh. Inilah yang merisaukan dan mengakibatkan kita akan terasa makin sukar untuk melakukan dengan lebih baik lagi.

Jangan di hairankan lagi. Semuanya ini telah dibuktikan lagi pada zaman Rasulullah SAW lagi bahawa sebarang kecacatan dan kekurangan bukan satu alasan kukuh untuk tidak mahu dilakukan. Ini telah dibuktikan oleh seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdullah Ummi Maktum yang mata penglihatannya adalah buta kedua-duanya. Walaupun buta namun Abdullah Ummi Maktum adalah orang buta yang pertama dalam Islam yang turut menyertai berperang dalam sejarah peperangan Islam. Ini terbukti pada perang Qadisiyah di mana beliau telah diberikan kepercayaan membawa panji pasukan berwarna hitam. Seorang wira perang yang melihat dan menyaksikan peperangan melalui mata hatinya sahaja. Itulah keistimewaannya.  Biarpun buta matanya dan bukan pada mata hatinya. Beliau juga adalah seorang yang banyak menghafal isi Al-Quran dan Hadis Rasulullah.

Begitulah hebatnya seorang sahabat Rasulullah yang buta kedua-dua matanya. Jadikanlah kisah ringkas tentang Abdullah Ummi Maktum sebagai satu sumber inspirasi dan motivasi buat diri kita agar jika ada sekalipun kekurangan dalam diri kita sekalipun jangan dijadikan sebagai satu alasan kukuh untuk tidak dapat melakukannya. Tanamkan dalam diri kita setiap apa juga yang berlaku adalah sebagai satu cabaran yang perlu di hadapi dan ditempuhi dengan ketabahan, kecekalan, ketenangan dan kesabaran yang tinggi. Tiada siapa pun yang boleh mengganggu gugat kehendak kita asalkan kita ada kemahuan dan kehendak yang kuat untuk melakukannya.


Read more >>

Rabu, 9 April 2014

BERTEMU DENGAN MEREKA YANG EGO




Memang menyusahkan apabila bertemu dan bersua dengan bakal pembeli atau pelanggan yang penuh dengan keegoannya. Seolah-olah apa yang diperkatakan semuanya betul dan benar belaka. Kita pula perlu mendengar dan mengikut apa yang di perkatakan. Memang sesuatu yang melecehkan dan kalau tidak boleh dikawal sudah tentu kesabaran yang ada boleh hilang. Semuanya berpunca dari sikap dan sifat ego bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui.

Apa lagi yang boleh di perkatakan. Semuanya perlu dilalui dengan penuh redha dan sabar yang meninggi. Tak perlu meninggi suara apatah lagi melayan kerenah mereka yang cukup tinggi diri itu. Masih terdapat ruang dan peluang yang boleh kita pergunakan sebaik mungkin. Antara tindakan yang perlu adalah
       
i.             Bersedia untuk mendengar apa yang mereka mahu kita dengar terlebih dahulu. Beri sahaja peluang untuk mereka perkatakan apa yang mereka mahu perkatakan. Dengar dengan teliti dan penuh kesungguhan. Sekiranya kita tidak bersetuju dengan apa yang mereka nyatakan, cuba beri bantahan dengan cara yang lembut dan berhemah. Ini adalah kerana sekiranya anda memberi bantahan dengan cara yang keras, sudah semestinya mereka itu akan lebih berkeras dengan kita demi untuk menjaga keegoan mereka.

ii.           Buatkan mereka berasa bijak. Orang sebegini amat mementingkan kehormatan dan pujian dari kita untuk mereka. Sekiranya kita merasakan pendapat yang mereka berikan tidak masuk akal sekalipun, jangan memberi kenyataan sehingga mereka menganggap kita memikirkan mereka tidak bijak! Ia akan memburukkan lagi keadaan dan keharmonian suasana kerana mereka akan cuba untuk mempertahankan walaupun mereka sebenarnya sedar mereka telah salah sama sekali.

iii.          Buatkan mereka merasakan sebagai serba tahu apa yang kita lakukan.  Biarkan sahaja apa yang mereka perkatakan dan mahu luahkan. Buat permulaan banyakkan berkata ya dari tidak. Ambil hati dan perhatian mereka terhadap kita terlebih dahulu. Bila keadaan telah reda barulah boleh kita bertindak memberikan penerangan kepada mereka pula.

iv.          Jangan lupa hulurkan pujian yang sederhana tidak melampau kepada mereka. Bukan wanita sahaja yang gemarkan pujian, tetapi lelaki juga sama. Sekiranya mereka telah berusaha melakukan sesuatu untuk kita, berilah mereka sedikit pujian. Ini akan membuatkan mereka merasakan kita benar-benar menghormati mereka. Apabila kita telah menunjukkan rasa hormat, tidak mustahil untuk mereka juga menghormati diri kita seperti mana yang kita mahukan.

v.            Pastikan penampilan kita sentiasa menarik. Tidak kira pertemuan pertama atau ulangan di waktu perbincangan kita mesti berada di dalam keadaan yang boleh menarik perhatian dan tumpuan mereka. Ini kerana dari segi psikologi, sekiranya kita berada di dalam keadaan penampilan yang tidak terurus atau sebagainya, ia akan menaikkan lagi kemarahan mereka yang berada di hadapan kita. Berhiaslah berikan penampilan yang menarik bukan untuk memikat tapi sekurang-kurangnya dapat mencuri sedikit perhatian mereka meluangkan masa untuk mendengar presentasi kita kepada mereka.

vi.          Jangan membantah atau mencelah. Sememangnya agak sukar untuk mengurangkan ego seseorang. Kita perlu bijak untuk membuatkan mereka merasakan mereka betul walaupun sebenarnya mereka salah. Gunakan kreativiti kita secara tersendiri untuk melakukannya. Cuba elakkan daripada memberi bantahan terus menerus kerana ia pasti secara terang menunjukkan mereka salah. Cuba berikan penjelasan secara kiasan supaya mereka tidak sedar bahawa kita sebenarnya membantah apa yang mereka nyatakan. Biarkan mereka sendiri yang memikirkannya.


Bersemuka dengan mereka yang ego perlukan kesabaran dan ketenangan. Jangan melawan arus tapi ikutilah arus yang ada. Bukan rugi pun. Berikan yang terbaik. Beralah seketika bukan bermakna kita mengalah selama-lamanya. Mesti ada jalan atau kaedah untuk diatasi asalkan kita relak dahulu tidak perlu terburu-buru mengambil tindakan. Jangan tersilap langkah sudahlah. Berhati-hati dan berwaspada sentiasa. Setiap kejadian dan keadaan yang berlaku itu terlalu banyak hikmahnya.





Read more >>

Selasa, 8 April 2014

YAKINKAH DENGAN APA YANG DILAKUKAN?




Seperkara yang mesti ada dalam melakukan jualan adalah keyakinan diri. Yakin dalam melakukan jualan amat di tuntut. Salah jika ada yang mengatakan bahawa tidak perlu ada keyakinan andai kata skil melakukan jualan dan pengetahuan produk telah memadai selama ini. Bertentangan sama sekali. Nak lakukan apa perkara sekalipun keyakinan diri perlu ada. Mustahil yang amat sangat jika kita lakukan jualan keyakinan diri tidak diperlukan sama sekali.

Yakin dan percayalah, tanpa keyakinan diri sudah pasti kita akan menjadi seperti berikut

i.             Mudah merasa terpinggir dan keseorangan

ii.           Berasa kekok dan janggal untuk melakukannya

iii.          Punyai perasaan risau, takut atau bimbang untuk melakukannya
iv.          Boleh mengakibatkan hilang kawalan diri

v.            Mudah dihinggapi sakit fizikal dan mental

vi.          Mudah sangat merasa serba salah dan kebingungan

vii.        Pasti ada pesimistik yang kuat

viii.       Sikap yang negatif seperti sukar menerima teguran atau kritikan akan wujud

ix.         Tiada rasa tanggungjawab untuk dipikul

x.           Menyalahkan orang lain dari menyalahkan kegagalan pada diri sendiri

xi.         Sampai bila pengalaman yang diperlukan akan gagal mengajar kita lebih matang lagi

Belajarlah bina keyakinan diri secepat yang mungkin. Jangan di tangguh lagi. Tapi kena ingat bila keyakinan diri telah terbina elakkan pula dari menjadi terlalu yakin kerana ini juga boleh membunuh karier kita dalam jualan. Cukuplah sekadar yakin dalam diri kita dari mudah merasa terlalu yakin. Berpada-pada dalam perbuatan itu adalah lebih baik dari terlalu gopoh dan gapah tak tentu hala. Bersedia per tingkatkan lagi keyakinan diri agar apa juga yang mendatang sudah pasti kita mampu untuk menghadapinya.


Read more >>

Sabtu, 5 April 2014

PRESTASI YANG DI PERTINGKATKAN




Bidang jualan merupakan satu bidang yang amat menitikberatkan tentang prestasi tugasan yang dilakukan. Berilah apa alasan sekalipun namun hasil akhir menjadi penentu sama ada prestasi kita telah mencapai dengan sasaran yang diberikan ataupun tidak. Semuanya bergantung pada usaha dan kegigihan kita dalam memastikan prestasi kita seperti mana yang diidamkan. Segala-galanya mainan fakta dan petunjuk angka pasti tidak boleh ditipu dan di bohong sama sekali.

Prestasi yang baik bukan sahaja konsisten dan berterusan tetapi juga setiap hari dan masa sentiasa berkembang baik meningkat naik. Selaras dengan Sabda Rasulullah SAW ‘Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam, manakala orang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Memastikan apa yang telah dilalui mesti lebih baik dari semalam perlu dikekalkan dan dilakukan. Bukan untuk memaksa tetapi menjadikan satu ukuran kepada diri kita sendiri muhasabah adakah prestasi telah meningkat ataupun tidak. Inilah saranan Rasulullah sendiri yang mahukan prestasi tugasan kerja kita perlu dipertingkatkan pada kedudukan yang dimahukan. Bukan setakat melepaskan batuk di tangga sahaja namun menjadikan tugasan sebagai satu amanah yang perlu dipikul tanggungjawabnya secara bersungguh-sungguh tanpa sebarang alasan dan ulasan lagi.

Berikan yang terbaik per tingkatkan lagi prestasi agak kepuasan kita melakukan tugasan terasa kepuasannya. Jangan anggap mudah dan senang sahaja tapi perlu kepada kesungguhan dan kegigihan untuk melakukannya. Jangan mudah kelentong dan memberi pelbagai alasan dan ulasan. Tiada gunanya kerana dalam bidang jualan prestasi kita semuanya diukur dari kebolehan dan kemampuan atas kita berapa banyak penutupan jualan yang boleh dilakukan dan dibawa balik.

Firman Allah bermaksud ‘Dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya’ (Surah Al-Ankabut Ayat 69).

Bukan setakat orang Islam yang memerlukan esok lebih baik dari hari ini tetapi syaitan pun turut sama melakukannya sehingga mana-mana syaitan yang hebat pengaruhnya membawa kepada kemungkaran sudah pasti syaitan tersebut diberi penghormatan yang tinggi di kalangan mereka. Ini selaras dengan Sabda Rasulullah SAW ‘Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka’ (Hadis Riwayat Muslim).

Berazam untuk melakukan yang terbaik. Bukan cakap kosong sahaja tetapi pembuktian yang lebih elok perlu ada. Sekurang-kurangnya kita kena mencuba sebaik mungkin. Penat dalam pekerjaan tidak mengapa kerana untuk menjaga rezeki, amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan. Selagi kita tidak melakukannya selagi itulah kita pasti tidak akan mengetahui hasilnya. Tiada apa yang lebih hebat melainkan kepuasan dalam melakukannya telah berjaya kita buktikan dari hari ke sehari.



Read more >>