Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Jumaat, 4 April 2014

Hukum Jual Beli Hari Jumaat




Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang berkerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengah hari untuk makan tengah hari dan juga menunaikan solat fardu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.

Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9′ dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.

Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.

PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT

Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urus niaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat Jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi mu jika kamu mengetahui.

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun telah ijmak’ di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamat).

Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.

Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-

المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم

Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24).

Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut. Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut :

اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني

Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjual beli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah akad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika akad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperoleh oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, bererti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhah dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya akad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :

Pertama : Akad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

Kedua : Akad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahan itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan akad.

Apa pun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan di mana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.

KESIMPULAN
Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:

a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukalaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.

Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.

Sekian,

Zaharuddin ABd Rahman


26 Oktober 2009
Read more >>

Khamis, 3 April 2014

BILA DAH YAKIN DIRI




Keyakinan dan kepercayaan yang terbina perlu kuat pegangannya. Tanpa keyakinan yang kuat sudah pasti kepercayaan dalam melakukan jualan mudah luntur dan longlai. Jangan bermain dengan api jika keberanian melakukannya masih belum utuh lagi. Lakukan dengan keyakinan yang ada agar kepercayaan yang terbina mudah untuk di hadapi walaupun terdapat pelbagai dugaan, cabaran dan rintangan yang perlu untuk dihadapi. Apa yang dikhuatiri adalah apabila melihat seseorang seolah-olah sukar melakukan jualan tidak semena-mena dengan kita sekali merasakan begitu sukar juga melakukan jualan. Kita menjadi begitu kuat suka terikut-ikut dengan orang lain yang melakukan jualan. Inilah tandanya jika keyakinan dan kepercayaan menjadi begitu lemah dalam diri seseorang dan hanya suka mengikut-ikut sahaja arah dan tuju dari orang lain sahaja.

Banyak kelebihannya jika diri kita amat yakin untuk melakukan jualan. Terasa apa juga halangan dan rintangan walaupun sukar namun akan tetap untuk dihadapi hanya disebabkan kita yakin dengan apa yang kita lakukan. Pedulikan sahaja dengan ragam dan tabiat orang yang ditemui. Bila dah yakin dan percaya dengan diri kita sendiri sudah pasti boleh kita harungi dengan sebaik yang mungkin tanpa perlu merasa bimbang, takut mahupun risau yang bukan-bukan.

Inilah keistimewaannya jika keyakinan diri telah terbina dan percaya bahawa apa juga yang kita lakukan sudah pasti boleh dilakukan. Binalah keyakinan dan percaya kita boleh melakukannya kerana

i.             Apa juga halangan dan cabaran yang hadir pasti kita boleh menghadapinya

ii.           Merasakan mudah untuk melakukannya

iii.          Mudah ketahui di peringkat mana boleh dimulakan dahulu

iv.          Yakin pada produk yang di jual dan ditawarkan

v.            Mencipta nilai-nilai yang unik dalam diri kita

vi.          Pelanggan lebih mudah terpesona dan datang keyakinan diri mereka terhadap kita

vii.        Lebih mudah terbuka hati kita untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan

viii.       Segala kerisauan, kebimbangan dan ketakutan boleh di atasi

ix.         Bertemulah dengan siapa pun kita pasti boleh melakukannya

Jangan mudah melatah. Bina keyakinan diri sebaik yang mungkin. semakin berpengalaman diri kita melakukan jualan semakin berkeyakinan untuk kita melakukannya. Dapatkan pengalaman melakukan jualan bermula dari kenalan dan sahabat handai dahulu. Segala kesilapan, kesalahan dan kritikan yang diterima perbaiki terlebih dahulu agar bertemu dengan orang lain sekurang-kurangnya kita lebih bersedia untuk melakukannya. Pastikan jangan merapu dan mudah bangga diri. Berhemah dan bersopanlah ketika menjual agar apa juga tindakan yang kita lakukan amat mudah menarik perhatian dan tumpuan orang ketika kita menjual.



Read more >>

Rabu, 2 April 2014

SITUASI YANG TIDAK MENGIZINKAN




Terdapat situasi yang perlu kita elakkan dalam melakukan jualan. Jangan berlagak  dan mudah rasa bangga diri yang kita dalam keadaan sentiasa ok untuk melakukan jualan. Kena lihat sebelum kita boleh berinteraksi dengan mereka kebanyakannya dalam keadaan yang macam mana. Sehebat mana pun kita berikan persembahan dan presentasi tapi jika kita temui keadaan seperti berikut eloklah kita melangkah pergi terlebih dahulu. Lebih baik ambil tindakan yang cukup berhati-hati daripada tidak semena-mena dihalau pula begitu sahaja.

Keadaan-keadaan yang dimaksudkan ini adalah

i.             Mengantuk. Asyik menguap sahaja dengan mata yang merah atau berair keluar dari matanya.

ii.           Asyik mengadu kelaparan belum makan lagi dan meminta kita segera menamatkan perbualan secepat mungkin.

iii.          Tidak fokus dan kurang melihat dan memandang diri kita. Sama ada wajahnya ke kiri atau ke kanan dan mungkin juga asyik memandang telefon bimbitnya. Resah yang keterlaluan sehingga kita terasa amat terganggu dengan perbuatannya

iv.          Marah dengan nada asyik tidak puas hati sama ada komplen, meninggikan suara atau memandang diri kita macam nak makan orang sahaja

Jangan buang masa dan ketika. Walaupun diri kita ada keyakinan dalam melakukan jualan tapi jika bakal pembeli atau pelanggan yang di temui memberikan reaksi yang berbeza eloklah mencari jalan keluarkan diri kita terlebih dahulu. Tidak mustahil juga jika temu janji telah dilakukan tetapi mood seseorang tidak seperti yang dijangkakan. Ambil tindakan berhati-hati kerana melakukan jualan adalah juga satu permainan emosi yang perlu dijaga dan dikawal dengan sebaik yang mungkin.



Read more >>

Selasa, 1 April 2014

KELEBIHAN PERBANDINGAN PRODUK




Salah satu perbuatan hebat dalam melakukan jualan di hadapan bakal pembeli atau pelanggan adalah kita mampu memberikan penerangan dan pengetahuan yang penuh tentang perbandingan kekuatan produk kita dengan produk pesaing. Apa juga yang pesaing kita keluarkan produknya tetap kita ketahui di mana kelemahan dan kekurangannya. Inilah yang perlu kita ketahui agar bakal pembeli atau pelanggan mudah mengetahui dan segera melakukan perbandingan hasil dari apa yang kita maklumkan. Walaupun mungkin akan terdapat betapa berat sebelahnya perbandingan kita ke arah produk yang ditawarkan namun kepuasan mereka memperolehnya amat bernilai buat mereka.

Perbandingan produk amat diperlukan bagi memberikan keyakinan kepada mereka. Dari sinilah nampak wujudnya betapa kuatnya produk kita di pandangan mata mereka. Kita dengan serta merta menjadi serba tahu dan hebat memperkatakan apa hebatnya produk kita jika dibandingkan dengan apa kurangnya produk pesaing. Bukan semuanya bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui tahu 100% produk pesaing. Yang penting apa yang kita sampaikan adalah betul, benar, diterima logik akal, tiada unsur penipuan dan menekan mereka di samping menyatakan keikhlasan kita untuk membantu dan menolong diri mereka. 

Inilah kehebatan seseorang yang menjual jika perbandingan dengan produk pesaing dapat dikemukakan. Satu kelebihan yang perlu dipergunakan dengan sebaik yang mungkin. Sekurang-kurangnya perbandingan produk yang dinyatakan ini kalau dapat dilakukan semasa menjual pasti akan memberikan kepada kita

i.             Mudah meyakini dengan apa yang kita perkatakan

ii.           Sekurang-kurangnya membantu mereka melakukan satu keputusan yang boleh berpihak kepada kita

iii.          Menyenangkan kefahaman mereka tentang produk yang ditawarkan

iv.          Memberi satu nilai tambah kepada diri kita dalam menjual

v.            Mudah memberikan rumusan yang terbaik di mana segala kelebihan dan kekuatan produk yang ditawarkan

vi.          Memberi sesuatu yang positif tentang produk kita di mata mereka

vii.        Mampu mencuri tumpuan mereka kepada kita

viii.       Menunjukkan kita adalah seorang yang sentiasa peka pada produk-produk pesaing yang mana boleh memberikan kelebihan dan pulangan yang maksimum kepada mereka

Pergunakan sebaik mungkin. Bukan nak ambil keuntungan atas kelemahan mereka yang tidak mengetahuinya tetapi sekurang-kurangnya kita mampu memberikan satu gambaran kepada mereka betapa hebatnya produk kita jika dibandingkan dengan produk pesaing walaupun kadang-kadang produk kita sebenarnya tidak ke mana pun hebatnya. Asalkan niat kita betul dan mahu membantu orang, lakukan dengan sebaik yang mungkin. Kebanyakan mereka yang menerima tawaran bukanlah kerana hebatnya produk yang ditawarkan tetapi sebenarnya adalah kerana betapa hebatnya kita memberikan penerangan kepada mereka.
Read more >>