Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 8 Mac 2014

MEMBINA KEAKRABAN




Setiap pelanggan yang ada pada kita perlu di jaga. Bukan setakat seronok mereka hanya kerana menerima tawaran yang di kemukakan tetapi menjalinkan perhubungan yang lebih erat dan akrab perlu dilakukan. Semuanya bagi memastikan setiap seorang pelanggan yang telah berurusan dengan kita tidak pernah berubah hati dan perasaan untuk mencari pesaing kita  pula. Alangkah ruginya jika ini berlaku dan terjadi apabila tiba-tiba sahaja pelanggan yang telah berada di depan kita boleh hilang begitu sahaja. Buat penat dan sia-sia sahaja apa yang telah kita lakukan selama ini.

Terma dalam English di kenali sebagai RAPPORT. Jalinan keakraban dan keintiman perlu dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin. Jangan di abaikan tetapi berikan kemesraan kepada mereka agar jualan sentiasa ada bagi tujuan melakukan jualan berulang boleh berlaku ataupun referral dari mereka mudah pula diperoleh. Semuanya bergantung sejauh mana keakraban kita terhadap dirinya. Bila dah akrab pasti ini akan memudahkan lagi untuk kita melakukan jualan baik pada dirinya mahupun pada kenalannya pula.

Bagi membina dan memastikan mencipta keakraban yang dimahukan jangan kita lupa untuk lakukan perkara-perkara seperti berikut

i.             Beri salam dan bertanya khabar sentiasa terutamanya ketika bertemu secara di rancang ataupun tidak. Jangan bila bertemu kita buat tak tahu atau melayan kesibukan kita sahaja. 

ii.           Ramah dalam berinteraksi bukan ramah bila nak menjual sahaja dan bila pelanggan bersetuju menerima tawaran yang diajukan selepas itu kita buat-buat tak kenal pula.

iii.          Bukankah senyuman itu satu sedekah? Amalkan selalu dan sentiasa agar senyuman itu menjadi satu sedekah dan amal ibadat yang konsisten buat kita kepada manusia yang lain.

iv.          Naluri kemanusiaan kena wujudkan. Tugasan kita yang sering bersama mereka perlu tahu bagaimana untuk menarik minat mereka supaya mudah untuk kita berinteraksi dan berkomunikasi dengannya. Tunjukkan akhlak yang baik pasti semuanya akan turut serta sama sekali.

v.            Sentiasa hati terbuka menerima sesiapa sahaja tidak kira darjat, keturunan, pangkat, jawatan dan taraf kehidupan. Layanlah mereka seperti layanan kelas pertama yang membuatkan mereka berasa begitu selesa dan segan dengan kehadiran diri kita.

vi.          Bersedia mendengar setiap masa apabila perbualan bermula. Elakkan kepentingan diri sendiri tapi utamakan ukhuwah sesama insan.

vii.        Bersedia menghidupkan suasana dengan kata-kata yang boleh menghiburkan, mencuit hati dan perasaan mereka. Bukan bermakna untuk menjadi seorang Raja Lawak Mega tapi cukuplah dirasakan pada mereka cukup senang dengan kehadiran diri kita selama ini.

Keakraban bukan bermakna ‘Saya sukakan awak’ tapi keakraban adalah ‘Saya mengambil berat terhadap awak’. Hendak seribu daya yang tak hendak itulah seribu dalih. Pergunakan kepercayaan mereka terhadap kita untuk merapatkan lagi hubungan kita kepadanya. Tak rugi satu sen pun asalkan kita berjaya melakukan perkara yang baik terhadap mereka walaupun sekadar memberi salam kepada mereka. Lakukan dengan keikhlasan dan berusaha sedaya upaya agar jalinan yang terjalin jangan sama sekali dimusnahkan begitu sahaja oleh kerana sikap negatif kita terhadap mereka.
Read more >>

Jumaat, 7 Mac 2014

Perlukah Kesempurnaan Dalam Menjual?




Tidak dinafikan apabila melakukan jualan seboleh-bolehnya memerlukan kesempurnaan dalam melakukannya. Bukan untuk mendabik dada merasakan apa yang dilakukan adalah yang terbaik tetapi itulah hasrat dan kemahuan diri kita agar kesempurnaan boleh di peroleh dengan sebaik yang termampu. Bila kesempurnaan boleh kita peroleh sudah pasti kita akan mampu memberikan yang terbaik kepada siapa pun juga bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui. Amat mustahil boleh bertemu dengan seorang penjual yang sanggup untuk melakukan sebarang kesilapan atau pun kesalahan yang sengaja untuk di reka-reka.

Tapi ingatlah kita sebagai seorang manusia yang serba kekurangan ini perlu akui bahawasanya bukan mudah untuk mendapatkan kesempurnaan dalam melakukan tugasan jualan. Tidak semua yang kita lakukan adalah yang terbaik dapat kita berikan. Walaupun mungkin ada sedikit kekurangan atau kecacatannya namun usaha untuk melakukan jualan perlu diteruskan juga kerana melakukan jualan bukan menunggu untuk kita sempurna ataupun tidak. Yang penting usaha dan bagaimana kita lihat sesuatu peluang yang ada kita tukarkan menjadi hasil terbaik buat kita.

Jangan menunggu kesempurnaan apabila melakukan jualan. Lakukan sahaja kerana dari situ maka akan mulalah terbentuk segala apa yang kita mahukan. Pengalaman akan mengajar segala-galanya dan mematangkan lagi tindakan diri kita. Jangan mudah melatah dan merungut tapi bersabar dan bertenanglah sentiasa. Bak kata pepatah takkan lari gunung di kejar. Begitulah umpamanya pada bakal pembeli atau pelanggan yang kita temui. Kalau betul apa yang kita lakukan pasti kecenderungan dan kepercayaan mereka pasti akan berpihak kepada kita juga akhirnya. Ini dapat dibuktikan dengan Sabda Rasulullah SAW ‘Manusia yang paling baik adalah yang paling tenang, bertakwa, giat menyuruh kepada makruf, giat melarang kemungkaran dan paling rajin menjalin silaturahim’ (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Firman Allah bermaksud ‘kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasiq’ (Surah Ali-Imran Ayat 110).

Sebagai satu renungan dan pengajaran yang baik buat kita dalam melakukan jualan.


Read more >>

Khamis, 6 Mac 2014

Mencipta Kesempurnaan Pengurusan Diri




Salah satu pengurusan yang tidak kurang pentingnya bagi kita lakukan adalah tentang pengurusan dalaman diri kita sendiri melakukan jualan. Tidak ada gunanya kita hebat pada pandangan orang lain dalam melakukan jualan andai kata diri sendiri pun kita gagal untuk menguruskannya. Tiada siapa pun yang boleh menguruskan diri kita secara lebih efektif melainkan kita sendiri juga yang perlu melakukannya. Hanya kita seorang sahaja yang mengetahuinya di mana kekuatan, kelebihan, kelemahan dan kekurangan yang ada. Semuanya benar-benar bergantung pada diri kita sendiri sahaja.

Amat wajar bagi kita mendisiplinkan diri kita sendiri. Jangan harap adanya orang lain yang akan sentiasa membetulkan dan menyuruh kita melakukan perkara-perkara yang baik. Seratus peratus bergantung pada diri sendiri. Mahu ataupun tidak suka ataupun tidak sememangnya hanya kita sendiri sahaja yang paling layak untuk memastikan kita cukup berdisiplin. Bukan niat hanya melakukan yang baik-baik sahaja di hadapan orang tapi demi menjaga keperibadian dan akhlak kita perlu sangat untuk kita sendiri yang perlu mengurus diri kita sendiri juga.

Bagi memastikan pengurusan diri kita berjalan lancar dan sempurna, terdapat beberapa tindakan yang perlu kita lakukan demi memastikan bahawa kita berjaya menguruskan diri ke arah lebih sistematik dan berkesan iaitu dengan cara

i.             Jangan mudah terlepas pergantungan hidup kita dengan Allah. Apa juga yang berlaku semuanya adalah cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh dengan hati yang terbuka dan tenang.

ii.           Menjadikan kalendar sebagai rakan karib bagi memastikan apa juga aktiviti yang sedang dan akan dilakukan dimasukkan dalam kalendar tugasan kita. Elakkan dari terlupa dan merancang segala aktiviti dengan lebih lancar dan tersusun

iii.          Jangan difikirkan perkara-perkara yang tidak dapat dikawal seperti panas matahari yang melampau, hujan yang turun, kesesakan jalan raya disebabkan adanya kemalangan yang berlaku, berita kematian dan sebagainya sebagai satu cabaran dan bukannya satu alasan.

iv.          Ketahui dengan lebih baik di mana keutamaan kita melakukan tugasan. Susun tugasan kita dari keutamaan penting sehinggalah bukan keutamaan tugasan yang perlu diselesaikan juga dalam satu-satu hari

v.            Segala tindakan yang perlu dilakukan memastikan berjalan lancar dan bukannya masih untuk merancang  dan merancang lagi

vi.          Rajin menziarahi siapa juga terutamanya pelanggan dan networking sedia ada bagi tujuan keakraban yang terjalin tidak mudah putus walaupun pertemuan yang dilakukan tidak sampai pun lima minit

vii.        Sentiasa peka dan sensitif untuk belajar dari kesilapan dan kesalahan orang lain yang juga melakukan tugasan jualan sama seperti kita

viii.       Kemahiran mendengar dengan menutup mulut perlu diperkemas kan sentiasa bagi memudahkan lagi tugasan 

ix.         Setiap ilmu yang dipelajari dipraktikkan dan bukannya rajin mendengar dan mengumpul nota sahaja. Praktik kan apa yang dipelajari agar diri kita sentiasa mampu untuk berkembang dengan lebih maju lagi

x.           Tiada istilah mengeluh, bersungut, putus asa dan kecewa dalam kamus hidup kita. Semua yang berlaku adalah satu cabaran yang perlu ditempuh dengan sebaik yang mungkin.

Sentiasa berusaha sehingga berjaya. Gagal sekali bukan gagal selama-lamanya. Semuanya bergantung kepada bagaimana kita menguruskan diri kita melakukan tugasan jualan dengan lebih baik dan sempurna lagi. Menguruskan diri sendiri sememangnya memerlukan disiplin yang tinggi untuk diusahakan. Tanpa disiplin dan kemahiran yang ada sudah tentu apa juga yang kita lakukan tidak akan ke mana juga akhirnya. Teruskan apa yang telah kita lakukan selama ini dengan penambahbaikan diri sendiri perlu dilakukan jika kita sedar selama ini kita masih setakat ini sahaja. Sentiasa beringat perancangan yang baik mesti dilakukan sekarang tanpa tangguh dari mempunyai perancangan yang sempurna untuk minggu hadapan.




Read more >>

Rabu, 5 Mac 2014

GANJARAN GIGIH BERUSAHA



Pn Nor Hafiza Othman bersama keluarganya


Bukan untuk berkempen atau mengatakan ini adalah terbaik. Cuma tertarik dengan apa yang telah disiarkan dalam kolum BH Famili di Akhbar Berita Harian bertarikh 4hb Mac 2014 muka surat 6-7. Bertajuk ‘Ganjaran Gigih Berusaha’ mengisahkan tentang seorang Konsultan Unit Amanah bernama Nor Hafiza Othman atau Eja berusia 38 tahun yang telah berjaya dalam bidang  yang diceburinya hanya dengan menjual Unit Saham Amanah sahaja.


Seorang yang telah mendapat pendidikan tinggi hingga ke pusat penggajian tinggi dan telah berjaya mendapat pekerjaannya boleh berubah menjadi seorang usahawan yang berjaya. Hanya kerana melihat orang yang tidak berpelajaran masih mampu menjana pendapatan yang tinggi hanya dengan melakukan jualan Amanah Saham telah mendorong bagi beliau untuk keluar dari zon selesa dunia makan gaji kepada perniagaan pula.

Semuanya dilakukan dengan kesungguhan yang ada bagi berjaya mendapatkan pelanggan pertamanya melalui kenalannya sendiri. Tak perlu cari orang lain. Memadai dengan kenalan kita terlebih dahulu. Dengan berniat terlebih dahulu kalau berjaya dengan pelanggan ini beliau sanggup untuk berhenti kerja dan melakukan jualan Amanah Saham ini secara sepenuh masa. Hasil nekad beliau berjaya mendapatkan pelaburan pertama pelanggannya berjumlah RM78,000 yang boleh menghasilkan komisen sebanyak RM1,500 hanya dalam tempuh dan masa hanya 15 minit sahaja.

Dari situlah bermulanya minat beliau untuk meneruskan sahaja kariernya dalam bidan penjualan Amanah Saham sehingga sekarang. Bagi meneruskan kejayaan beliau dalam melakukan jualan Amanah Saham ini secara konsisten dan berterusan beliau mengambil langkah-langkah berikut bagi memastikan kejayaan sentiasa berada di sisi beliau iaitu

i.             Sentiasa mendapatkan rakan-rakan yang positif dan betul. 

ii.           Mencari kenalan dahulu bagi melakukan jualan sebelum menemui orang lain sebagai pelanggannya

iii.          Tidak perlu mencari orang-orang yang kaya-kaya atau tinggi darjat dan pangkatnya. Sekadar orang yang berpendapatan sederhana sahaja itu sudah cukup dari memadai.

iv.          Nekad untuk melakukannya dan sanggup keluar dari Zon Selesa.

v.            Yakin dan percaya tidak semestinya orang yang tidak berpelajaran tidak mampu untuk mencapai kejayaan mengatasi orang yang sudah mempunyai pekerjaan tetap bergaji besar dan berjawatan tetap.

Di mana ada kemahuan pasti di situ ada jalannya. Satu contoh kejayaan hasil dari gigih berusaha bagi membolehkan mendapatkan ganjaran seperti mana yang diimpikan dan dimahukan. Tiada istilah tidak boleh melakukan walaupun telah berada di zon selesa. Satu pengajaran dan iktibar yang baik buat kita semua bagi mencapai kejayaan. Kalau orang lain boleh melakukannya kenapa kita tidak mampu pula. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan.

Rujukan perniagaannya di Strikers Agency di www.xostrikers.com


Read more >>