Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 4 Mac 2014

JANGAN TANGGUH JUALAN




Sikap yang sering dilakukan oleh mereka yang melakukan jualan adalah terlalu suka menangguhkan atau menunda tindakan atau pergerakan begitu sahaja. Ikut sedap hati sahaja tanpa memikirkan betapa pelanggan yang telah mereka janjikan langsung tidak diingati dan dibiarkan begitu sahaja. Inilah yang menakutkan kerana sampai bila-bila pelanggan akan mudah bersangka buruk dan mengatakan yang bukan-bukan terhadap kita tanpa kita sedari. Seorang dua terkena mungkin boleh juga kita pertahankan lagi tindakan kita tetapi kalau dah majoriti mengatakan perkara yang sama bermakna ini boleh memusnahkan karier kita pula dalam bidang jualan.

Cukup bahaya kalau kita biarkan ia nya terjadi. Jangan kita jadikan tabiat buruk ini bermaharajalela dan bersarang dalam diri kita begitu sahaja. Ubahkanlah segera. Amalan yang tidak baik sudah pasti akan membunuh secara senyap karier kita dalam bidang ini. Ambillah tindakan yang sewajarnya dengan melakukan

i.             Utamakan yang mana satu perlu dibuat dan dilakukan. Jangan ikut orang atau lakukan mengikut sesuka hati. Ketahui keutamaan yang mana satu dan yang boleh kita tangguhkan sementara waktu.  Belajar menjadi bijak dan tahu menghidu yang mana satu perlu dilakukan mengikut prioriti tugasan yang mesti di selesaikan segera.

ii.           Jangan jadikan halangan peribadi sebagai keutamaan hidup seperti sibuk dengan whatsapp, we chat atau ber facebook sahaja sehingga tugasan jualan boleh diabaikan dengan begitu senang sahaja. Tumpuan kita kepada pelanggan dan bukannya kepada perkara-perkara yang dinyatakan. Mesti pandai dan tahu bila masa yang sesuai atau tidak untuk menggunakannya

iii.          Apa pun yang berlaku beri tumpuan dan fokus kepada apa yang kita jualkan. Jangan berharap nasib badan sahaja. Berikan fokus sewajarnya agar setiap pelanggan yang ditemui kita tahu bagaimana untuk membantu dan menolong dengan sepenuh hati.

iv.          Berkawan dengan orang yang benar-benar memahami tugasan kita. Dapatkan nasihat peribadi dari mereka dan terima dengan hati yang terbuka setiap kritikan yang diterima. Semuanya demi memperelok kan lagi tugasan kita di bidang jualan yang kita temui.

v.            Sekali kita bersungut dan merungut bermakna kita telah tangguhkan tugasan kita. Apabila kita bersungut dan merungut bermakna kita hanya sibuk melayan kepentingan diri kita sahaja bukannya melayan kepentingan pelanggan. Adakah ini yang kita mahukan selama ini?

Tabiat dan amalan yang baik adalah kita sentiasa mengutamakan dahulu kehendak pelanggan dengan selesaikan segera apa juga masalah dan janji kita kepada mereka. Ke tepikan sebentar masalah dan halangan peribadi yang kita tempuhi. Berikan yang terbaik dengan sepenuh hati sentiasa menghulurkan bantuan dan pertolongan diri kita kepada mereka. Jangan syok sendiri atau mudah mendabik dada merasakan apa yang kita lakukan selama ini adalah yang terbaik. Muhasabah sentiasa agar kita tahu di mana kedudukan sebenar kita setakat ini.

Read more >>

Isnin, 3 Mac 2014

PANAS OH PANAS




Semuanya telah di sedia maklum betapa panas suhu sekarang ini  sehingga nak menjual pun telah memberikan kesan yang amat mendalam kepada kita. Bersemangat nak menjual tapi disebabkan cuaca panas terpaksa berfikir dua tiga kali pula untuk melakukannya. Bagi mereka yang menjual air di tepi-tepi jalan inilah masa terbaik mereka untuk meraih semaksimum yang termampu punca pendapatan mereka. Tiada siapa boleh menafikan tiada siapa yang tidak memerlukan air untuk minuman. Tekak semakin mudah kering dan perlu minum bagi menghilangkan haus di tengah cuaca yang panas yang terpaksa di lalui dan ditempuhi.

Jangan mudah melatah dan melakukan andaian yang bukan-bukan tapi anggaplah cuaca panas ketika ini adalah satu ujian dari Allah yang ingin menguji diri kita sama ada kita bersabar untuk menempuhnya ataupun tidak. Elakkan dari menyalahkan yang bukan-bukan. Dulu semasa cuaca hujan perlukan cahaya matahari menjelma. Kini cahaya matahari menjelma dah perlukan pula hujan. Ini lah satu tanda atau bukti bahawa apa juga yang Allah anugerahkan kepada kita selama ini kita tidak pernah puas dengan anugerah Nya. Ada sahaja yang tak kena di buatnya.

Ambil tindakan terbaik di musim panas ini dengan cara

i.             Banyakkan minum walaupun terpaksa membuang air kecil yang banyak. Kena pastikan air dalam badan mencukupi semasa musim kemarau ini. sebaik-baiknya bawalah air untuk di minum ke mana juga kita pergi.

ii.           Lakukan perancangan yang sewajarnya. Susun jadual keluar kita menemui bakal pembeli atau pelanggan mengikut waktu yang benar-benar bersesuaian. Fikirkan panas terik yang bakal kita berhadapan sebelum dan selepas kita bertemu sama ada kita mampu ataupun tidak untuk menghadapinya.

iii.          Penjagaan kesihatan adalah penting. Jangan kerana cuaca yang panas ini kita menjadikan diri kita terlantar sakit pula. Dapatkan konsultasi dari doktor-doktor perubatan yang berwibawa.

iv.          Jangan menyalahkan sesiapa tapi bermohonlah kepada Allah agar kita mampu dan dipermudahkan menghadapi cuaca panas yang berlaku sekarang ini. Jangan mudah mengeluh dan kecewa dengan suasana yang dihadapi ini.

v.            Tabah dan sentiasa merasa tenang dengan apa yang dilalui. Setiap apa yang berlaku ini sudah pasti ada hikmatnya yang kita sendiri tidak diketahui. Hadapilah dengan hati yang terbuka dan bersemangat untuk kita melakukannya.

vi.          Fokus dengan apa yang kita lakukan. Jangan kerana cuaca yang panas terik ini mengganggu fokus kita. Ingat periuk nasi kita agar lebih bersemangat lagi kita melakukannya.

Lakukan tugasan jualan dengan memberikan yang terbaik sewajarnya. Nak capai kejayaan bukan faktor cuaca yang mempengaruhinya tapi bagaimana kita mampu untuk hadapi segala cabaran dan rintangan yang muncul. Kalau kita penjual air di tepi jalan, panas terik macam mana pun tak apa kerana orang ramai sudah pasti akan mencarinya. Ini kita bukan menjual air tapi produk-produk yang mungkin bukan berasaskan kepada minuman. Bertawaduklah dan sentiasa ditanam dalam hati segala apa juga yang berlaku ini adalah satu ujian dari Allah. Allah Maha Mengetahuinya.

Read more >>

Ahad, 2 Mac 2014

PELIHARA IMPIAN MEREKA




Apabila menjual, perlukan pengorbanan dan keikhlasan kita dalam menjual. Tunjukkan keikhlasan dan kebenaran akan produk yang kita tawarkan. Jangan per mainkan harapan mereka apatah lagi untuk mencuba melakukan penipuan ke atasnya. Semuanya kena berhemah dan bersopan dengan kesungguhan dan kegigihan kita memaklumkan kepada mereka. Tak lakukannya sebegini sudah pasti sampai bila-bila bakal pembeli atau pelanggan yang kita temui pasti tidak mahu berhubung dan mempercayai kita lagi sampai bila-bila.

Kejujuran dan keikhlasan kita amat dituntut. Pelihara impian mereka agar keyakinan dan kepercayaan mereka mudah untuk kita peroleh. Bila mereka dah yakin apatah lagi dah percaya sudah pasti juallah apa pun pasti penerimaan mereka pada apa yang kita tawarkan menjadi mudah dan senang. Pelihara sebaik yang mungkin sedaya upaya dengan cara melakukan tindakan-tindakan seperti berikut

i.             Semuanya hadir dari keikhlasan dan kejujuran yang sebenarnya. Niat untuk membantu dan menolong selesaikan masalah mereka menerusi produk yang kita tawarkan benar-benar dapat membantu mereka. Ketepikan kepentingan peribadi kita dahulu tapi dahulukan sahaja kepentingan mereka. Kalau ini dapat kita berikan sudah tentu apa juga masalah yang timbul akan dapat kita selesaikan dengan sebaik yang mungkin.

ii.           Segala kebenaran, kelebihan dan kehebatan mereka jangan disorok dan diabaikan. Berikan dengan sebenar-benarnya. Jangan ada satu pun yang tertinggal kerana mereka pasti mahu mengetahui akan apa yang boleh mereka peroleh hasil dari kita tawarkan sama ada boleh menguntungkan mereka ataupun tidak.

iii.          Hadirnya kita sekurang-kurangnya masih mampu memberikan pendapat peribadi yang bernas dan diterima akal fikiran oleh mereka. Berikan yang logik dan mudah difahami  agar mereka amat mudah untuk memikirkannya. Jangan menyukarkan tapi per mudahkan apa yang sepatutnya.

iv.          Berikan dan hulurkan segala tindakan dan idea ke jalan yang betul dan benar yang boleh mereka terima dengan hati yang terbuka. Jangan terkeluar dari landasan yang dibenarkan tapi kejujuran dan keikhlasan kita itu yang perlu diutamakan. Impian mereka nak yang memudahkan nak yang mampu memberikan pulangan untung yang munasabah pada mereka. Tindakan sepatutnya tawarkan yang terbaik dan terhebat dari pasaran tawarkan.

v.            Bertanya pada yang perlu bukan bertanya sampai kepada masalah peribadi mereka. Banyakkan mendengar dari banyak melakukan andaian. Ketahui dengan lebih tepat apa sebenarnya mereka cari dan mahukan untuk selesaikan masalah mereka dan bukan masalah kita sendiri. Orang memberi kita merasa orang berbudi kita berbahasa.

Memelihara apa juga idaman mereka sudah pasti jualan kita akan dipermudahkan. Kita ambil satu tindakan yang proaktif kepada mereka menjaga kebajikan sepatutnya sudah pasti mereka juga akan menjaga kebajikan pada diri kita. Bukankan ini janji Allah. Sekali kita berbuat baik pada orang lain sudah semestinya orang tersebut akan cuba sedaya upayanya menjaga kebaikan kepada kita. Lakukan yang terbaik dengan kesungguhan dan kegigihan yang ada. Sudah pasti apa juga yang dirasakan sukar dan payah akan mendapat kesenangannya juga di satu hari nanti.



Read more >>

Sabtu, 1 Mac 2014

KEPERCAYAAN MEREKA TUAH BUAT KITA




Ketahui terlebih dahulu adakah tindakan kita menawarkan produk kepada mereka di gemari atau tidak. Selagi kita tidak ketahui selagi itu kita akan bermasam muka kepada mereka andai kata terdapat penolakan jualan berlaku dan terjadi. Semuanya hanya disebabkan mereka langsung tidak menyukai apa juga tindakan kita dalam menjual. Pasti kita akan merasakan betapa membuang masa sahaja kita menjual dengan mereka yang langsung tidak mahu menerima tawaran yang di kemukakan.

Terdapat banyak tanda-tanda yang boleh memberi isyarat kepada kita yang mereka sememangnya berminat dengan apa yang kita perkatakan. Bak kata pepatah tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa nak tahu. Kerana terlalu percaya dan yakin dengan kita tanpa perlu melakukan presentasi sudah pasti produk kita terus diterima mentah-mentah begitu sahaja. Hanya kerana keperibadian kita apa juga produk yang ditawarkan terus di percayai bulat-bulat. Bukan itu sesuatu yang menguntungkan diri kita?

Antaranya tanda-tanda bahawa bakal pembeli atau pelanggan menyukai kehadiran diri kita pada mereka adalah dengan cara

i.             Jual sahaja terus menerima tawaran yang di kemukakan

ii.           Apabila menghubungi mereka melayan kita bagaikan kenalan lama mereka

iii.          Minta sahaja hulurkan bantuan segera berikan referral dan pengenal kepada kita

iv.          Tidak semena-mena meminta nasihat dan khidmat peribadi kita walaupun tiada kaitan dengan tugasan jualan kita

v.            Sentiasa menjemput jika ada keraian ataupun kenduri kendara tanpa gagal

vi.          Mengajak kenalannya agar sentiasa berhubung dengan kita mengenai produk yang ada ditawarkan menjadi keutamaan kepadanya

Berakhlak mulia dengan keperibadian yang mempesona kan pasti akan peroleh ganjaran yang baik untuk kerjaya kita. Segala yang dijangkakan sukar sudah pasti menyenangkan. Setiap masalah yang mungkin timbul akan dipermudahkan. Semuanya bergantung bagaimana kita menguruskan mereka mengikut selera dan pandangan peribadi mereka. Jualan kita bergantung sepenuhnya akan keputusan mereka jadi berikanlah yang terbaik buat mereka dengan menanam kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kita. Sampai bila-bila orang akan percaya kepada kita asalkan kita sentiasa jujur dan tepati janji seperti pepatah mengatakan bagai kerbau jangan di maling orang, ayam jangan dicuri musang.




Read more >>