Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Sabtu, 9 November 2013

PENDEKATAN MEMENANGI PERSAINGAN BERTEMU PEMBELI





Selalu diperkatakan baik di sebelah penjual atau pembeli. Apa-apa pun yang menjadi persoalan adalah pesaing yang berada di dalam pasaran. Bagi pihak yang menjual sudah pasti mengatakan pesaing yang ada tidak dapat menandingi produk yang ditawarkan dan menjadi satu pengganggu sahaja. Berlainan pada pembeli yang merasakan pesaing yang ada cukup baik dan bagus senang untuk melakukan perbandingan bagi mendapatkan produk yang mana satu boleh diterima. Kedua-duanya berlainan sama sekali dan inilah tugasan orang yang menjual kena cari satu titik pertemuan agar persetujuan secara bersama boleh diperoleh dengan senang dan mudah.

Pendekatan dalam melakukan jualan perlu ada agar apa juga tindakan kita disenangi bukan setakat kita tetapi juga oleh bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui. Jangan mudah mendabik dada tapi kena lakukan beberapa perkara tertentu untuk memenangi persaingan yang ada dan sepatutnya agar apa juga yang kita tawarkan akhirnya menjadi milik mutlak kita jua mendapatkan kejayaan. Pendekatan yang dimaksudkan ini adalah

i.             Jalinan keakraban dan keintiman
Jalinan persahabatan bukan setakat mengenali begitu sahaja sekali dua mengatur pertemuan. Sebaik-baik tindakan jadikan ia nya akrab dan intim agar bila masa sahaja bertemu dan bersua akan lebih memudahkan lagi berkongsi cerita dan berita dengan rapat dan mempercayai antara satu dengan yang lain. Satu yang bagus dan baik tentang jalinan keakraban dan keintiman ini dapat dilakukan apabila dia sedang mencari produk yang diingininya sudah pasti akan mencari kita terlebih dahulu dan apa juga yang kita perkatakan sudah tentu menjadi satu kepercayaan yang kuat buat dirinya.

ii.           Lakukan sedikit penyelidikan atau kajian
Tindakan yang sepatutnya kita lakukan. Buatlah sedikit penyelidikan. Tanyalah pada orang sekeliling tentang produk, sasaran pelanggan atau keadaan semasa. Jangan main terjah begitu sahaja. Tak jatuh maruah pun kalau kita bertanya pada orang dahulu akan apa yang berlaku sekelilingnya. Bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui sudah pasti akan lebih menghormati diri kita andai kata banyak lagi yang kita tahu dari apa yang mereka ketahui.

iii.          Beri sesuatu
Rajin-rajin lah bila bertemu dengan bakal pembeli atau pelanggan beri pandangan, nasihat atau idea secara berhemah dan bersopan. Terlebih dahulu bukannya mereka nak tahu sangat dengan produk yang kita tawarkan tapi berikan nasihat yang cukup berkesan agar mereka lebih memahami apa yang produk ini boleh lakukan untuk selesaikan dan bantukan pada diri mereka nanti. Nak kan mereka beri sesuatu kena pastikan kita kena bagi dahulu sesuatu kepada mereka terlebih dahulu. Jangan gelojoh dan tamak tapi sentiasa merelakan diri beri sesuatu yang boleh menguntungkan mereka terlebih dahulu.

iv.          Konsultan bukan jurujual
Ciptakan diri kita menjadi seorang konsultan selesaikan masalah yang mereka tanggung selama ini menerusi produk yang kita tawarkan. Jangan beri nampak kita yang nak menjual kerana sudah pasti dalam ingatan mereka kita nak cari untung sahaja atas mereka. Kerana itu perbanyakan bertanya, beri nasihat yang terbaik dan sentiasa letakkan diri kita dalam situasi mereka agar mereka tahu kehadiran kita pada mereka adalah untuk membantu dan menolong mereka selesaikan masalah mereka hanya melalui produk yang ditawarkan.

v.            Yakin dengan apa yang diperkatakan
Selagi kita gubra dan menggelabah tak tentu hala selagi itulah kita gagal menjual. Beri keyakinan sewajarnya. Kita yakin mereka pasti yakin hanya kerana keyakinan yang telah kita tonjolkan. Pengetahuan produk amat penting untuk kita ketahui sedalam-dalamnya dan bukannya hanya setakat melepaskan batuk di tangga. Berilah komitmen seratus peratus agar apa yang kita lakukan kita yakin dengan sepenuh hati dan perasaan.

vi.          Bantuan dari Allah
Tolong jangan dilupakan. Minta dan mohon pada Allah agar apa juga yang kita lakukan dipermudahkan dan disenangkan sentiasa. Allah sama sekali tidak pernah malas untuk mendengar rintihan dan keluhan apa yang kita minta dan mohon. Masalahnya kita yang malas pula untuk melakukan doa kepada Allah. Firman Allah bermaksud ‘Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan’ (Surah Al-Fatihah Ayat 5). Ayat yang sentiasa kita bacakan terutamanya dalam bersolat di mana ini lah satu aku janji dari kita terhadap Allah untuk sentiasa meminta dan memohon kepada Nya.

Lakukan dengan kesungguhan dan kegigihan. Tiada siapa pun yang mahukan kegagalan dan kekecewaan. Kerana itu rancanglah dengan sebaik yang mungkin kerana produk yang kita lakukan jualannya bukan kita seorang sahaja yang menjualnya. Orang lain turut sama melakukannya. Jangan berdengki atau  berdendam yang bukan-bukan kepada pesaing kita tapi jadikan mereka juga sahabat dan rakan kenalan kita secara baik. Bukan kita seorang sahaja yang hidup di dunia ini tapi orang lain juga ingin menikmati perkara yang sama akan apa yang kita lalui selama ini. Hadapilah dengan sebaik yang mungkin.


Read more >>

Khamis, 7 November 2013

TIP TINGKATKAN KEMAHIRAN PERUNDINGAN




Perundingan amat penting bagi mendapatkan kata putus bakal pembeli atau pelanggan sama ada untuk menerima tawaran yang dikemukakan ataupun tidak. Proses perundingan ini berlaku kerana masing-masing cuba untuk mendapatkan apa yang terbaik bagi diri masing-masing. Perundingan juga boleh kita kenali sebagai satu proses tawar menawar terhadap produk yang ditawarkan. Majoritinya tawar menawar banyak bergantung harga yang ditawarkan. Sebelah pihak memerlukan harga terendah boleh diperoleh manakala sebelah pihak lagi pasti mahukan keuntungan setinggi yang termampu.

Seperti orang bermain layang-layang ada kalanya kena tarik tali layang-layang tersebut dan ada masanya kena lepaskan tali layang-layang tersebut bagi memastikan layang-layang tersebut dapat melayang dengan baiknya di udara yang tinggi. Semuanya perlu dikawal dengan bijak sama sekali. Cuma dipastikan tali yang ada jangan mudah putus di pertengahannya pula ditakuti nanti layang-layang tersebut akan hilang dari pandangan pula. Kerana itu dalam melakukan perundingan kena pandai mengambil hati, tidak terlalu bertegas dan bijak bermain-main kata. Kena berhati-hati dan tunjukkan keadaan menang-menang perlu diwujudkan. Sekali tidak dapat dikawal sudah tentu pada akhirnya bakal pembeli atau pelanggan akan pergi meninggalkan kita begitu sahaja.

Jalan selamat, ikuti tip yang diberikan ini agar ketika perundingan dilakukan sekurang-kurangnya kita tahu apa yang perlu dilakukan. Sentiasa beringat bahawa peringkat perundingan adalah satu peringkat yang bakal menentukan sama ada penutupan jualan boleh diperoleh ataupun tidak. Jangan tersilap langkah padahnya kita juga kempunan tak sudah-sudah. Ambil langkah selamat, sentiasa berhemah dan bersopan dengan melakukan perkara-perkara seperti berikut

i.             Berunding secara mendalam apabila mereka telah menunjukkan minat

ii.           Jangan dipengaruhi dan mendesak. Biarkan perbincangan pada isu produk yang ditawarkan.

iii.          Berupaya mencari solusi penyelesaian yang boleh mendatangkan cengkaman minat mereka.

iv.          Ketahui masa terhad mereka agar tidak berlarutan

v.            Jangan biarkan kekangan masa kita dikawal oleh mereka

vi.          Ambil tahu apa pesaing tawarkan di pasaran dan ketahui apa kelemahannya.. Atasi kelemahan mereka dengan kehebatan produk kita.

vii.        Elakkan bernada rendah seolah-olah kita tidak pasti dengan apa yang kita tawarkan

viii.       Permainan mata perlu dan penting ketika tawaran dikemukakan

ix.         Diam seketika bagi memberi mereka ruang untuk berfikir

x.           Jangan berjanji dan menulis melainkan tawaran telah diterima kerana dikhuatiri apa yang telah dijanjikan dan dituliskan tidak boleh diubah semula

xi.         Yakin dengan apa yang diperkatakan

Jangan pandang ringan proses perundingan lagi. Satu langkah lagi untuk mendapatkan penutupan jualan. Sentiasa bijak dan berkeupayaan menarik minat bakal pembeli atau pelanggan untuk menerima tawaran. Dengar apa yang dimahukan dan jangan cepat melakukan keputusan boleh ataupun tidak. Kadang-kadang permintaannya boleh kita tunaikan asalkan kena pada yang dibenarkan oleh pengeluar produk. Jangan tunjuk pandai pada tempat yang tidak mampu  melakukan keputusan. Padahnya pada kita juga Oleh itu berfikir sebaik-baiknya agar apa juga tindakan kita bukan setakat tidak menanggung kerugian, mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pengeluar produk dan juga apa saja kemahuan mereka yang mungkin boleh menerima tawaran yang dikemukakan.


Read more >>

Rabu, 6 November 2013

PERTAHANKAN KEK YANG ADA SEMASA PERUNDINGAN




Sebelum penutupan jualan boleh berlaku dan terjadi, sudah pasti proses perundingan perlu ditempuhi. Perundingan dalam jualan amat perlu dan kalau tidak dijaga boleh dijadikan sebagai satu kedudukan yang amat kritikal dan boleh hilang begitu sahaja dalam mendapatkan penutupan jualan. Bagi memahirkan perundingan antara bakal pembeli atau pelanggan, pengalaman menempuh sendiri yang akan banyak mengajarnya dan bukannya terletak pada latihan atau kursus yang dihadiri. Semuanya kena ditempuh dengan sendirinya.

Perundingan bolehlah diumpamakan seperti sebiji kek. Kek tersebut boleh ditambah saiznya ataupun kek yang ada boleh dibahagikan pula pada yang lain. Semuanya bergantung kepada kepandaian dan kecerdikan kita mengendalikan kek tersebut. Kalau perundingan tersebut memihak kepada kita bermakna kek yang ada boleh diperbesarkan lagi dan pasti ini akan menyeronokkan kita melakukan jualan. Tapi kalau bakal pembeli atau pelanggan tersebut bijak dan cerdik sudah pasti kek tersebut terpaksa kita bahagikan pula kepada mereka untuk dinikmati bersama. Kebiasaannya kek yang dibahagikan dua bahagian ini adalah disebabkan kegagalan kita mempertahankan margin keuntungan yang sedia ada. Paling menakutkan adalah jika kek yang sepatutnya kepunyaan kita terus dirampas kesemuanya oleh mereka. Ini bermakna perundingan yang dijalankan telah gagal bagi kita untuk mendapatkan penutupan jualan seperti mana yang dimahukan.

Bagi memudahkan mendapatkan kek seperti mana yang kita mahu dan idamkan, apabila proses perundingan ini berlaku dan terjadi ambil tindakan sewajarnya dengan memastikan

i.             Besarkan kek semaksimum yang termampu
Perundingan yang baik adalah pada dasarnya kita mampu mengawal keadaan semasa perundingan. Secara berfakta dan logik akal kita mampu menerangkan dengan lebih baik lagi tentang apa kelebihan dan kekuatan produk yang ditawarkan bersesuaian dengan tawaran harga yang diberikan. Tidak mudah mengalah tapi tarikan perhatian mereka dengan pujukan yang berhemah menjadikan mereka mudah untuk bersetuju dengan tawaran yang dikemukakan. Memaksimumkan apa yang ada termasuk melakukan jualan bersilang amat-amat dituntut. Lakukan perundingan secara baik berikan kefahaman kepada mereka agar bantuan dan pertolongan yang kita berikan bukanlah sesuatu yang merugikan mereka.

ii.           Pertahankan kek yang sedia ada
Perundingan juga ada kalanya memerlukan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak. Mungkin kek yang ada terpaksa kita bahagi dua sama-sama merasa bagi memastikan penutupan jualan dapat dilakukan juga. Sebaik-baiknya elakkan sama sekali. Tak perlu bahagikan kek tersebut ataupun tidak dapat menambah saiz kek tersebut namun cari jalan pertahankan kek tersebut dengan menawarkan sesuatu tambahan yang lain. Sebagai contohnya, mungkin mereka mahukan harga dikurangkan tapi kerana mahukan penutupan jualan boleh diperoleh terpaksa digantikan pula dengan produk tambahan yang lain asalkan harga yang ada dipertahankan. Lakukan secara berhemah dan bersopan agar segala bangkangan dan bantahan yang terjadi dapat diatasi dengan sebaik yang mungkin.

iii.          Jangan bagi hilang
Set kan dalam pemikiran kita apa juga produk yang ditawarkan berikan yang terbaik kepada mereka dari segi nilai tambah, kelebihan dan keuntungan produk tersebut. Kek yang ada jangan sama sekali dibinasakan tapi perlu dijaga dengan sepenuh hati. Jangan pula takut gagal sehingga apa yang mereka perlukan langsung tidak kita hiraukan sama sekali. Maksimumkan  nilai tambah produk untuk mereka ketahui walaupun perundingan terpaksa dilakukan dalam satu jangka masa panjang. Fikirkan tindakan terbaik dan bijak menyusun segala strategi agar perundingan yang dijalankan tidak menjadi hambar dan kegagalan pula yang dihadapi.

Lakukan sebaik mungkin semasa perundingan diadakan. Lakukan secara berhemah dan bersopan. Beri peluang kepada mereka meluahkan apa yang tersimpan dalam pemikiran mereka. Terima dahulu apa yang diperkatakan dan jangan sama sekali mencelah. Ketegasan dalam perundingan bukan bermakna perlu meninggi suara dan bertegang leher. Beri maklum balas secara berfakta dan logik akal agar apa yang disampaikan boleh diterima dengan hati yang terbuka oleh mereka. Jangan terlalu cepat menghukum mereka tapi lakukan secara tenang dan bersabar. Pasti kalau semuanya ini boleh dilakukan dengan baik kek yang ada sudah pasti tidak ke mana. Yakinlah dengan apa yang kita lakukan.



Read more >>