Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Selasa, 5 November 2013

KESEMPATAN KEHADIRAN MAAL HIJRAH




Syukur alhamdulillah kita diberi peluang untuk hadir sekali lagi untuk menyambut 1 Muharam. Tidak dinafikan penghijrahan Rasulullah bersama Sayidina Abu Bakar ke Kota Madinah menjadi satu titik sejarah buat kita semua. Bukan sahaja sebagai satu kenangan peristiwa tetapi juga sebagai menandakan tahun baru dalam kalendar Islam. Perlu kepada perubahan setiap masa dan ketika bagi memastikan kejayaan dapat diraih sebagaimana yang kita mahukan.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya seluruh amal itu tergantung kepada niatnya dan setiap orang akan mendapatkan sesuai niatnya. Oleh karena itu, barang siapa yang berhijrah karena ALLAH dan Rasul Nya, maka hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul Nya. Dan barang siapa yang berhijrah kerana (untuk mendapatkan) dunia atau wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang menjadi tujuannya (niatnya)." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sempena Maal Hijrah ini marilah kita bersama-sama mengukuhkan lagi mencapai kejayaan dalam karier kita melakukan jualan. Melakukan jualan mesti bermula dengan membantu dan menolong orang yang mempunyai masalah untuk diselesaikan menerusi produk yang kita tawarkan. Bantu dan tolong mereka secara ikhlas dan jujur barulah mereka tahu kehadiran kita sememangnya untuk membantu dan tidak sama sekali mengambil kesempatan ke atas mereka. Antara tindakan-tindakan yang diperlukan bagi memastikan kejayaan berterusan dinikmati oleh kita yang melakukan jualan ini adalah

i.          Lakukan dengan minat
Tanamkan minat yang mendalam untuk melakukannya. Perkara yang kita minat pasti boleh untuk dibuat bagi mendapatkan keputusan seperti mana yang dimahukan. Jangan pula malu dan segan untuk melakukannya. Kerana itu kita kena minat untuk melakukannya dan jangan sama sekali seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

ii.         Ilmu dan mentor
Apa juga yang kita lakukan mesti ada ilmu yang berkaitan. Paling baik ada seorang guru yang sentiasa boleh mengajar, mendidik, berdamping dan menegur segala tindakan kita. Makin kita berilmu makin handal kita melakukan tugasan dalam menjual. Tiada keraguan tapi kepastian yang diperoleh. Makin banyak kita lakukan makin bertambah matang menceburi bidang jualan ini.

iii.        Istiqamah
Sentiasa konsisten dan lakukan secara bersungguh. Jangan hangat-hangat tahi ayam nanti orang mudah gelakkan diri kita. Dah ceburi lakukan sebaik mungkin. Maruah diri perlu dijaga. Tanamkan keyakinan agar apa yang kita lakukan perlu kejayaan. Kalau menjual asyik temui kegagalan tentu sukar kalau begini. Lakukan dengan memberikan yang terbaik.

iv.        Muhasabah
Tawakal pada Allah apa yang telah diusahakan. Setiap kali kita lakukan periksa semula apakah yang kita lakukan ok atau sebaliknya. Kesan segera kalau ada apa-apa kesilapan atau kesalahan yang dilakukan supaya kita boleh perbetulkan semula secepat yang mungkin. Biar kesempurnaan sentiasa ada apabila kita berhadapan dengan bakal pembeli atau pelanggan.

Semoga dengan empat perkara yang dinyatakan ini akan tetap dilakukan tidak kira apa pun yang berlaku dan terjadi. Kena sentiasa kemas kini diri kita agar kita sentiasa mampu bersaing dalam pasaran mendapatkan kepercayaan dan keyakinan bakal pembeli atau pelanggan. Jangan mudah putus asa dan kecewa tapi berazamlah melakukan yang termasuk sempena kehadiran Maal Hijrah ini. Berhijrah dari sukar kepada senang, sedikit kepada banyak dan takut kepada berani. Tiada yang mustahil yang penting lakukan mengikut ilmu yang ada tanpa perlu ada nya ragu-ragu sama ada boleh atau tidak untuk melakukannya. Kita sendiri yang menentukannya.

Read more >>

Isnin, 4 November 2013

SALAM MAAL HIJRAH




Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Jangan dinafikan sama sekali. Tidak pernah sama sekali semakin hari semakin muda umur kita. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kebaikan jangan di tangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. 

Begitulah kita dalam menyambut sempena kehadiran Maal Hijrah apakah kita hanya mahukan cuti tahunan yang boleh kita peroleh. Berehat depan TV menyaksikan program-program tanpa memikirkan sesuatu yang boleh memberikan kita satu kesedaran dan keinsafan dalam diri kita sendiri? Masa semakin suntuk dan singkat tapi kedudukan kita tidak ke mana. Masih terkial-kial mencari jejak kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat. Apalah gunanya kita berjaya di dunia tapi malangnya kejayaan yang diperoleh tidak dapat diperoleh untuk dunia yang satu lagi? Alangkah malangnya jika perkara sebegini berlaku.

Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita muhasabah diri; apakah kejayaan amalan dan tugasan jualan yang baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik agar jualan kita semakin hebat peningkatannya setiap masa dan ketika.

Berazam sahaja tidak memadai andai kata tindakan yang kita lakukan tidak selari dengan keazaman yang ditetapkan. Fikir baik-baik adakah apa yang kita lakukan telah berjaya dicapai ataupun tidak. Kalau berjaya syukur Alhamdulillah. Kalau masih lagi belum kesampaian fikir yang terbaik bagaimana untuk mencapainya menjadi realiti. Yang penting penyerahan diri kita terhadap Allah perlu dikukuhkan lagi agar apa juga cabaran, rintangan dan halangan dengan tabah dan cekal tetap kita hadapi dan lalui dengan baik sama sekali. Hanya Allah tempat kita bergantung dan hanya kepada Allahlah tempat kita mengadu segala-galanya.

Berikan yang terbaik bukan sahaja buat diri kita tetapi juga kepada Agama kita juga. Perjuangan hidup bukan setakat di dunia tetapi juga di dunia yang satu lagi yang lebih kekal abadi sampai bila-bila. Teruskan perjuangan dalam melakukan jualan. Sentiasa hulurkan dan berikan bantuan dan pertolongan seperti mana yang diharapkan. Selesaikan masalah mereka menerusi produk yang ditawarkan. Per mudahkan dan jangan disukarkan. Pasti kejayaan akan diperoleh sama ada kita sedar ataupun tidak. Yakinlah.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1435.

Read more >>

Ahad, 3 November 2013

MENCARI PERSAHABATAN



Amat menyedihkan apabila berkehendakkan kejayaan tapi masih lagi berkawan dan bersahabat dengan mereka yang masih negatif pemikirannya. Nak berkawan pun kena tengok juga orangnya siapa. Umpama bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarik kan baju kita. Pesan Nabi Muhammad SAW bersabda "Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat." (Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim).

Pilihlah sahabat yang baik dan boleh berkongsi suka duka dalam menjalankan tugasan jualan ini. Sanggup memberikan idea dan pandangan untuk terus-terusan mencapai kejayaan yang diingini. Terlalu banyak kesan buruknya kalau kita berkawan dan bersahabat dengan mereka yang berfikiran negatif tentang melakukan jualan. Kesannya nanti akan menjadikan seseorang itu

·        Suka mengadu tidak tentu fasal

·        Terikut-ikut dengan kemalasan yang di tunjukkan

·        Mempengaruhi untuk tidak bersemangat lakukan tugasan

·        Tersebar perkara-perkara yang tidak baik untuk didengari

·        Sentiasa mencari jalan tugasan yang dilakukan berbaloi dengan pendapatan yang diterimanya setiap bulan

·        Menjadikan kepentingan diri sendiri mengatasi segala-galanya

Elakkan sama sekali. Walaupun sahabat baik, rakan sekerja sehidup semati atau jiran tetangga yang mengambil berat  dan prihatin namun perlu berhati-hati supaya kita tidak sama sekali sewenang-wenangnya mudah terpengaruh. Bergaullah dengan orang-orang yang berjaya dan sentiasa berikan nasihat dan pandangan yang berguna bukan setakat dalam bidang tugasan jualan ini sahaja tetapi juga tentang kehidupan kita. Dalami sekali ilmu pengetahuan kita setidak-tidaknya membaca buku-buku motivasi, jualan dan agama yang melambak-lambak di jual di pasaran. Sasarkan agar kita rajin membaca buku sekurang-kurangnya sebuah buku setiap bulan.

Imam al-Ghazali ada menerangkan tentang kawan yang baik dan kawan yang tidak baik..

Pertama :
PILIH kawan yang berakal.
JANGAN pilih kawan yang bodoh kerana akan menjadi musuh dan menyakitkan hati.

Kedua :
PILIH kawan yang berakhlak.
JANGAN pilih kawan yang jahat kerana akan dirangsang nafsu jahatnya itu..

Ketiga :
PILIH kawan yang soleh.
JANGAN pilih kawan yang fasiq kerana akan diajar kita kepada pekerjaan dosa dan maksiat.

Keempat :
PILIH kawan yang sederhana.
JANGAN pilih kawan yang tamak kerana akan menjadi racun yang berbisa kepada sifat pemurah.

Kelima :
PILIH kawan yang bercakap benar.
JANGAN pilih kawan yang selalu bercakap bohong kerana akan memusnahkan jiwa.

Semoga bermanfaat


Read more >>

Jumaat, 1 November 2013

PANJANG ANGAN-ANGAN




Bagi mendapatkan kejayaan yang dimahukan kita amat di saran agar mempunyai matlamat dan impian yang jelas dan tepat. Tanpa adanya matlamat dan impian bagaimana tindakan kita untuk bekerja boleh dicapai dengan baik sama sekali. Jangan matlamat yang ada telah ditukarkan kepada angan-angan sahaja. Impian dan angan-angan bukannya satu perkara yang sama. Impian lebih kepada apakah tindakan kita memberikan komitmen untuk di capai. Manakala angan-angan pula lebih kepada mainan perasaan yang melangkau dari kemampuan kita untuk melakukannya. Ingat kah lagi kisah Mat Jenin yang tidak habis-habis dengan angan-angannya? Perlukan kita dalam melakukan tugasan jualan bertindak dan melakukan tugasan seperti Mat Jenin? Berfikir balik agar apa juga kita lakukan boleh mencapai atas apa sahaja matlamat dan impian yang telah kita bina dan inginkan.

Dari Jabir ra., pesan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku bimbangkan terhadap umat ku ialah hawa nafsu dan panjang angan-angan, kerana hawa nafsu itu menghalang daripada menerima kebenaran dan panjang angan-angan pula melengahkan amalan akhirat. Dan ingatlah dunia ini pada setiap saatnya berjalan pergi, dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang, sedang tiap-tiap satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya: Oleh itu kalau kamu dapat menahan diri daripada menjadi orang-orang yang kasih dan setia kepada dunia maka buatlah, kerana kamu pada hari ini berada di kampung yang ada padanya peluang untuk kamu beramal dan belum ada sebarang hisab dan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tidak ada peluang bagi sebarang amal.”(Hadis Riwayat Al-Baihaqi).

Jauhkan dari angan-angan. Angan-angan yang panjang boleh mengakibatkan kita syok sendiri. Melangkaui keupayaan sebenar dalam mencapai apa yang ingin kita mahukan dan kehendaki jika angan-angan masih dilayan begitu sahaja. Kerana itu elakkan sama sekali berangan tak tentu hala dan fasal. Ini adalah kerana

i.         Terlalu mengganggu fikiran kita
Semakin dilayan angan-angan semakin sukar tindakan kita melakukan tugasan jualan. Kita terlalu leka dan menjadi semakin alpa dibuatnya. Sibuk melayan angan-angan sehingga terlupa nak lakukan tugasan sebenarnya. Lakukan secara realiti dan bukannya fantasi. Berikan yang terbaik apa yang perlu dicapai dari kita melayan perkara yang bukan-bukan.

ii.        Fokus pemusatan kehidupan akan lari
Tumpuan dan fokus kita menjadi tidak betul kalau angan-angan tetap menjadi pilihan utama kita. Fikirkan kesan negatifnya dan jangan main suka-suka hati terlalu berangan kepada perkara yang tidak menjadi realiti lagi. Fikirkan kemampuan sebenar kita sebelum kita fahami sama ada boleh atau tidak untuk kita lakukan. Biarlah orang kata apa pun asalkan fokus teguhkan pendirian mengejar apa yang kita idam dan impikan. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

iii.       Menimbulkan kelekaan dan lupa tanggungjawab sebenar
Tanggungjawab kita adalah amanah yang perlu dilakukan. Bukan main suka-suka untuk menanggung dan menjawab apabila diperlukan. Fikirkan realiti dan bukannya kita dituntut agar leka dan lupa pula kepada tanggungjawab yang ada. Berikan perkara yang sepatutnya untuk kita lakukan. Biar keputusan akhir menjadi saksi akan tugasan jualan yang telah kita usahakan. Tak perlu berangan tapi lakukan sahaja tunjukkan keputusan akhir adalah hasil dari titik peluh kita sendiri.

iv.       Pengurusan masa
Masa itu emas. Masa itu penting. Angan-angan kalau dilayan habis hilang masa tugasan kita begitu sahaja. Alangkah ruginya alangkah kecewanya jika ini berlaku dan terjadi. Urusan masa perlu dibuat dengan tempuh yang telah ditetapkan setiap seorang dengan jangka waktu 24 jam sehari semalam. Sepatutnya kita boleh melakukan tugasan dalam 8 ke 10 jam sehari melakukan jualan. Tapi kerana terlalu melayan angan-angan kita masa jualan akan hilang begitu sahaja tanpa kita sedari dan kita hanya boleh melakukan tugasan tersebut kurang dari 4 jam sahaja sehari semalam. Alangkah malangnya jika perkara sebegini berlaku dan terjadi.

v.        Jauh dari melakukan ibadah kepada Allah.
Ingatilah selalu bahawa Allah tidak memberi kepada kita apa yang kita mahukan tapi memberi kan kepada kita apa yang kita perlu. Allah beri apa yang kita perlu kena pastikan perkara tersebut bukannya satu angan-angan yang perlu di amalkan sama sekali. Angan-angan akan memusnahkan kehidupan kita jika kita terlalu melayan angan-angan sendiri. Berfikir dan bermuhasabah sentiasa agar tidak mudah menjadi satu tabiat buruk pula kepada diri kita sendiri.

Makan buah berangan tak apa lagi. Yang tak boleh tu sentiasa mahu untuk berangan-angan. Kalau nak pun berangan-angan tu boleh tapi biarlah jangan berlebih-lebihan. Biarlah angan-angan kita itu angan-angan yang mampu untuk dilakukan. Ada logiknya dan segala tindakan yang ada cukup berasas. Ingat amanah dan tujuan kita melakukan yang terbaik dan bukannya angan-angan sendiri menjadi yang terbaik. Berikan yang terbaik dan disenangi oleh orang lain. Mutu jualan kita perlu diambil berat bagaimana untuk melakukannya mengikut standard yang telah ditetapkan. Teruskan usaha tinggalkan angan-angan agar setiap keputusan yang diperoleh sebenarnya adalah dari kehebatan dari diri kita sendiri.



Read more >>