Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 8 September 2013

HEBATNYA KUASA NIAT





Apa pun yang kita lakukan semuanya bergantung dengan niat. Niat yang baik pasti memberikan tindakan dan hasil yang baik. Begitu juga niat yang tidak baik sudah pasti tindakan dan hasil menjadi yang tidak baik juga. Begitulah hebatnya KALAU kita mempunyai niat. Satu kuasa yang menentukan sama ada perbuatan kita menjurus ke arah kebaikan atau kejahatan. Semuanya bergantung dengan niat. Umpama kita hendak bersolat salah satu rukun dalam solat adalah niat. Tanpa adanya niat sudah pasti solat tersebut terbatal dan tidak sah sama sekali.

Sabda Rasulullah SAW dari Sayidina Umar bin Khattab mengatakan bahawa ‘Sesungguhnya setiap amalan (perbuatan/ibadat) mesti disertakan dengan niat, dan sesungguhnya apa yang didapati oleh manusia adalah atas apa yang diniatkannya‘(Hadis Riwayat Bukhari).

Hanya dengan niat kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh untuk melakukannya. Mencapai apa yang diingini tidak kira apa juga cabaran, dugaan dan rintangan sudah pasti akan ditempuhi dengan sebaik yang mungkin. Hanya kerana niat sudah pasti kita tidak akan mengeluh dan merasa sukar dengan apa yang kita kerjakan. Apabila kita berniat bukan sahaja kita akan mengharapkan sesuatu tetapi sudah pasti kita melakukannya dengan cara dan kaedah yang terbaik untuk mencapainya dengan apa cara sekalipun.

Sebagai contoh seorang ibu pasti akan berniat kalau anaknya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR atau PMR sudah pasti akan mengadakan kenduri kesyukuran atau mengedarkan pulut kuning pada jiran tetangga dan sahabat handai. Dalam memastikan agar niatnya tertunai dan berjalan lancar, setiap hari dan ketika akan meminta anaknya untuk bersungguh-sungguh mengulang kaji pelajaran dan memastikan anaknya benar-benar belajar tuisyen di tempat yang paling baik gurunya mengajar. Setiap kali selepas bersolat sudah pasti menadah tangan agar anak yang disayanginya lulus dengan cemerlang meminta bantuan dan pertolongan kepada Allah. Begitulah kuatnya kuasa niat bagi memastikan apa yang dihajatinya dapat tercapai dan tertunai pada akhirnya nanti.

Seorang pengurus yang baru dilantik untuk mengendalikan sebuah pasukan bola sepak tentu berniat dan berazam untuk memastikan pasukan yang diamanahkan oleh pihak pengurusan yang memilih dan melantiknya mencapai kejayaan yang dimahukan. Tidak kiralah sama ada peminat atau penyokongnya mahupun pemain-pemain yang ada bersetuju ataupun tidak akan pelantikannya, beliau pasti akan menjalankan tanggungjawab sepatutnya untuk melakukannya dengan sebaik yang mungkin. Yang penting kejayaan di atas apa yang diharapkan dan yang diingini oleh pihak pengurusan itulah matlamat utamanya untuk dicapai.

Umpama seseorang yang ingin berpuasa sunat. Mengharapkan untuk bersahur tetapi terlajak tidur hanya mampu melakukan solat subuh sahaja. Oleh kerana telah berniat awal tetap diteruskan sahaja puasa tersebut walaupun dirasakan waktu makan paling akhir pada makan malamnya adalah pada jam lapan malam. Namun tetap diteruskan juga sampai berbuka tanpa sebarang adanya rasa lapar dan dahaga. Tapi kalau tidak berniat untuk berpuasa sudah pasti pada jam 8 atau 9 pagi merasa lapar yang amat sangat terasa isi perut berdendang-dendang mahukan makanan. Begitulah hebatnya jika sesuatu perkara tersebut dilakukan dengan niat yang sepatutnya.

Samalah juga kepada kita yang melakukan jualan. Nak mendapatkan hasil yang terbaik dan memuaskan hati kena pastikan juga kita berniat awal. Jangan dah melakukan jualan baru terhegeh-hegeh nak berniat. Sepatutnya selepas solat subuh atau semasa hendak keluar dari rumah kita sudah berniat se awal yang mampu sebagai persiapan awal. Hanya kerana niat tugasan kita akan lebih dipermudahkan lagi mencuba untuk mencapai seberapa banyak penutupan jualan yang dimahukan. Berniat yang pastinya memberikan impak dan hasil yang positif begitulah sebaliknya semuanya bergantung sepenuhnya kepada niat. Lakukan tindakan yang terbaik ini kerana bukan sahaja kuasa berniat ini hebat dan menggemparkan hasil yang dimahukan tetapi juga bukan kena duit atau caj perkhidmatan satu sen pun apabila dilaksanakan. Lakukanlah dengan sebaik yang mungkin pasti hasil yang kita mahukan memberikan pulangan yang lumayan juga kepada kita.


Read more >>

Sabtu, 7 September 2013

BUAT TAK KISAH SAJA




Jangan berikan alasan yang kita terlalu sibuk melakukan jualan sehingga kita buat-buat lupa atau terlupa sungguh akan apa yang patut kita lakukan. Inilah yang merisaukan dan cukup memberikan impak negatif kepada karier kita ketika sedang sibuk dengan tugasan jualan. Bak kata pepatah seperti menjirus air di daun keladi, masuk telinga kanan keluar pula di telinga kiri. Kita pasti akan di anggap begitu kurang ajar, tidak berminat melakukan jualan atau berkelakuan tidak baik di hadapan sesiapapun yang bertemu dengan kita. Elakkan diri kita dari di label, di cop atau dikenali dengan sikap dan sifat yang sedemikian. Alangkah ruginya jika perkara sebegini boleh berlaku dan terjadi pada diri kita.

Apa yang dimaksudkan dengan perkara ini adalah

i.             Berkali-kali pelanggan mahukan sesuatu dari kita seperti mana yang dijanjikan tetapi janji hanya tinggal janji sahaja yang pasti sampai bila-bila tidak di tunaikan.

ii.           Pelbagai arahan telah diterima untuk kita melakukan jualan tapi masih ikut apa yang kita ingin dan mahukan dilakukan mengikut adunan dan acuan kita sendiri sahaja. Keras hati dan buat tak tahu sahaja merasakan arahan yang diterima tidak betul dan boleh memusnahkan karier kita dalam melakukan jualan.

iii.          Ilmu telah diperoleh tapi malangnya pelaksanaan masih ditakuk lama. Puas menyalahkan bakal pembeli atau pelanggan kenapa penutupan jualan sukar diperoleh tapi sebenarnya skil atau cara kita melakukan jualan tidak diperkembangkan dan masih tahap yang sama sahaja.

iv.          Berbuih-buih teguran diberi dan diluahkan tapi malangnya kita masih menganggap apa yang kita terima tidak penting dan bukannya menjejaskan pendapatan kita. Kita layan ego dan bongkak diri kita tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain.

v.            Merasakan apa yang kita lakukan telah mencapai kesempurnaan sehinggakan jualan kita telah jatuh pun tidak kita sedari.

vi.          Beria-ia bermuhasabah setiap hari tapi malangnya segala kesilapan dan kesalahan yang telah diketahui dan dikesan masih tetap dilakukan berulang kali.

vii.        Mengeluh,  tidak puas hati dan mudah merasa kecewa mencari alasan walaupun kita ketahui kesilapan dan kesalahan itu datang dari diri kita sendiri. Lebih baik menyalahkan orang lain dari kita menyalahkan diri kita sendiri.

Berubahlah segera dan jangan sama sekali dibiarkan begitu sahaja. Kenapa perlu kita berkeras pertahankan perkara-perkara yang tiada mempunyai sesuatu kebaikan dan keuntungan buat diri kita. Jangan di pertahankan tapi diperbetulkan. Tidak jatuh maruah andai kata kita dengan hati yang terbuka dan minda yang bersangka positif menerimanya dengan baik sama sekali. Mungkin ada teguran yang diterima boleh menyebabkan hati kita mudah terbakar dan naik angin dibuatnya tapi kena fikirkan semula rasionalnya dan positifnya kenapa berlakunya sedemikian. Perkara yang mendatangkan kebaikan dan menguntungkan kita apa salahnya kita terima dengan baik dengan hati yang terbuka. Ingatlah sesuatu yang berlaku itu sudah pasti ada hikmatnya.


Read more >>

Khamis, 5 September 2013

KEPERCAYAAN MEREKA PERLU KITA FAHAMI





Orang tidak akan mudah untuk percaya apa yang kita perkatakan kepada mereka. Jarang sangat hendak percaya akan apa yang kita tunjukkan. Mereka lebih mudah percaya dan yakin apa yang rakan-rakan dikenalinya perkatakan kepada mereka. Lagi di risaukan mereka sentiasa percaya apa yang mereka katakan sendiri’.'

Inilah ungkapan yang perlu kita terima dengan hati yang terbuka apabila melakukan jualan. Bukan mudah untuk mempengaruhi seseorang dengan orang yang kita hubungi mahupun yang berhadapan dengan kita. Inilah cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh dengan sebaik mungkin. Jangan mudah mengalah dan merasa begitu cepat putus asa. Mesti ada jalan dan kaedahnya bagaimana kepercayaan mutlak mereka ditukarkan kepada keyakinan terhadap kita pula.

Hebatnya hebahan mulut. Penyampaian hebahan dari mulut ke mulut jangan dinafikan peranannya. Begitu besar impaknya kepada dunia jualan kita. Orang akan lebih mudah percaya akan apa yang telah dilalui dari pengalaman seseorang. Kalau baik syukur alhamdulillah. Pasti kesannya akan kita terima dengan begitu baik sekali. Kalau buruk masya-Allah lah jawapannya yang bakal kita peroleh pula. Ambillah tindakan berhati-hati dan berwaspada sentiasa agar setiap orang yang menjadi pelanggan kita sudah pasti akan menyampaikannya kepada siapa pun juga kenalan dan sahabatnya betapa baik, bagus dan hebatnya produk yang ditawarkan kepada dirinya.

Sabda Rasulullah mafhumnya "Hendaklah kamu selalu berbuat jujur, sebab kejujuran membimbing ke arah kebajikan, dan kebajikan membimbing ke arah syurga. Tiada henti-hentinya seseorang berbuat jujur dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kejujuran sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai orang jujur. Dan hindarilah perbuatan dusta. Sebab dusta membimbing ke arah kejahatan. Dan kejahatan membimbing ke arah neraka. Tiada henti-hentinya seseorang berbuat dusta dan bersungguh-sungguh dalam melakukan dusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bertindak jujurlah dengan siapa pun juga yang kita temui. Jauhi sama sekali untuk menipu dan mengambil kesempatan ke atas mereka. Setiap kebaikan yang kita lakukan sudah pasti akan dibalas dengan apa kebaikan atas usaha kita sendiri. Jangan dinafikan hak Allah atas segala perbuatan yang kita lakukan di dunia ini. Hanya dengan kejujuran sahaja yang dapat memecahkan kepercayaan mereka pada yang lain ditukarkan kepada kita pula. Bukan tugasan mudah tapi tidak mustahil untuk dilakukan. Yakin dan percaya apa yang kita lakukan agar setiap orang yang kita lakukan jualan dengan mudah begitu yakin juga dengan apa yang kita perkatakan.

Read more >>