Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 4 September 2013

BOLEHKAH KEGAGALAN DI ATASI?




Gagal dalam melakukan jualan bukanlah sesuatu yang bergantung pada nasib atau sudah menjadi suratan takdir. Perlu kah kita merasa kecewa dan rendah diri apabila kegagalan telah kita tempuhi? Atau asyik menyalahkan diri betapa malangnya nasib badan pada kali ini. Ini kah perkara yang patut kita lakukan bagi perbetulkan semula keadaan yang telah dilalui? Inilah yang perlu diperbetulkan semula kerana setiap kegagalan tersebut adalah satu CABARAN dan UJIAN yang perlu kita tempuhi dengan tabah dan hati yang terbuka.

Terdapat pelbagai langkah bagi mengatasi kegagalan yang dihadapi. Bukan setiap masa kita boleh berada dalam keadaan mencapai kejayaan sahaja. Sedang air laut ada masa pasang dan masa surutnya inikan pula manusia. Tindakan terbaik apabila gagal hadir dalam ketika melakukan jualan perkara-perkara seperti berikut perlu kita lakukan iaitu

i.             Berfikir semula
Lakukan Muhasabah segera. Jangan tangguh jangan dibiarkan lama. Lakukan kajian dan penyebabnya di mana silap dan salah kita sebagai tindakan kita di masa hadapan tidak sama sekali diulangi lagi. Di mana ada kemahuan pasti di situ ada jalannya. Kesanlah dan hidu semula peluang yang ada dengan sebaik yang mungkin agar usaha pembetulan dapat dilakukan dengan segera dan cepat.

ii.           Semak sekali lagi
Semakan demi semakan perlu dilakukan sentiasa. Kita bukan seorang manusia yang penuh dengan kesempurnaan. Mesti ada cacat celanya. Ambillah tindakan yang terbaik agar setiap apa yang kita lakukan perlu ada semakan. Ambillah sedikit masa lakukan catatan atas apa juga kita lakukan, fahami dan ketahui agar apa juga kelemahan dan kesukaran yang berlaku dapat kita atasi dengan sebaik yang mungkin.

iii.          Atasi setiap halangan
Hidup di dunia ini sememangnya tetap ada halangannya yang perlu ditempuhi. Suka atau tidak sukar atau senang hadapi dengan sebaik mungkin. Kerana itu kita perlu ada sikap sabar, tenang, tabah dan cekal dalam menghadapi apa juga cabaran dan dugaan yang mendatang. Sekali kita berputus asa selagi itulah kita akan gagal buat selama-lamanya.

iv.          Fahami kegagalan terlebih dahulu
Apa yang telah berlaku dan terjadi terima dengan hati yang terbuka. Fahami dan kesanlah jalan penyelesaiannya memberikan satu solusi sama ada boleh diperbaiki jika kegagalan tersebut berpunca dari kita. Setiap orang yang kita temui sudah pasti pelbagai ragam dan gaya boleh kita temui. Yang penting jangan mudah putus asa dan kecewa perbaiki segera agar di masa hadapan sekurang-kurangnya jika berlaku dan terjadi sekali lagi kita tahu bagaimana untuk mengatasinya.

v.            Mencintai pada produk yang di jual
Adakah kita benar-benar mengetahui akan produk-produk yang kita tawarkan kepada bakal pembeli atau pelanggan yang kita temui? Petua dalam jualan, sebelum menjual kena pastikan yang kita benar-benar mencintai produk-produk tersebut dan lakukan jualannya berdasarkan produk mana yang mudah dan laris untuk dijual terlebih dahulu. Per mudahkan tugasan jualan kita agar jualan akan lebih mudah dilaksanakan.

vi.          Kesanggupan untuk melakukan pelaburan
Bukan nak suruh melabur dalam emas, unit amanah, pembelian aset tetap dan sebagainya. Apa yang dimaksudkan dengan pelaburan adalah bagaimana kita perlu memperuntukkan sedikit wang ringgit kita bagi membeli beberapa buah buku yang berkaitan dengan bidang yang diceburi, menghadiri seminar-seminar atau kursus yang berkaitan. Tambah ilmu duit sendiri lebih banyak berkatnya dan ambil beratnya sama sekali.

vii.        Jujur pada diri sendiri
Takkan nak tipu diri sendiri kot. Tipu diri sendiri bermakna dengan orang lain lagi kita mudah menipu. Belajar menjadi seorang yang jujur agar setiap orang yang kita temui dan mengenali kita amat mengetahui bahawa kita adalah seorang yang sentiasa mengambil berat dan tahu apa yang mereka mahukan. Jangan sama sekali menjadi seorang yang suka menipu apa tah lagi suka kelentong yang bukan-bukan.

Gagal sekali bukan bermakna gagal berkali-kali. Pelajari penyebabnya untuk kita bergerak melawan kegagalan yang telah kita tempuhi. Banyak pengajaran dan iktibar yang perlu kita pelajari dengan sebaik yang mungkin. Tanamkan dalam diri kita sendiri bahawa setiap kegagalan yang dialami dan dihadapi sudah tentu ada jalan penyelesaiannya. Jangan sama sekali mudah merasa panik, kecewa dan takut, carilah penyelesaian terbaik agar setiap kegagalan yang dilalui sudah pasti ada solusi nya juga.



Read more >>

Selasa, 3 September 2013

TARIK PERHATIAN MEREKA






Kekangan bakal pembeli atau pelanggan sememangnya menjadi satu masalah buat kita yang ingin melakukan jualan terhadap diri mereka. Inilah satu tanggungjawab yang perlu kita lakukan kerana tiada satu pun perkara di dunia ini penuh dengan kesenangan dan kemudahan buat diri kita sewenang-wenangnya begitu mudah untuk dilakukan. Kerana itu dalam kita melakukan jualan, setiap orang yang kita temui sebagai prospek, kita dahulu perlu dapatkan terlebih dahulu perhatian dari diri mereka.

Bagi mendapatkan perhatian mereka agar lebih mudah buat kita menawarkan dan seterusnya menerima tawaran yang dikemukakan dengan senang hati atas kehadiran kita sememangnya itu yang kita harapkan. Jangan mengeluh dan tidak sama sekali mengharapkan nasib sahaja. Kena betul tindakan dan caranya agar perhatian mereka benar-benar tertarik dengan apa yang kita lakukan. Antaranya adalah 

i.             Mudahkan untuk berhubung
Berhubung di sini bukan bermakna talian telefon sahaja. Buka laluan seluas-luasnya dengan kemudahan menyediakan pelbagai hubungan sosial yang ada seperti facebook, linkedin, twitter, whatsapp, wechat, line dan sebagainya bagi orang lebih mudah berhubung dan mengenali diri kita. Sediakan segala kemudahan tersebut agar mereka lebih mudah merasakan diri kita cukup hampir dengan diri mereka dan bukannya satu halangan serta kesukaran buat diri mereka menghubungi kita.

ii.           Jadikan diri kita sebagai seorang pakar
Walaupun kita bukan pakar, tapi kalau kita benar-benar menguasai pengetahuan produk yang ditawarkan sudah pasti memberikan satu kelebihan buat diri kita perkenalkan produk yang ditawarkan. Ke muka lah soalan apa dia sekalipun, sudah pasti dengan senang hati dan penuh keyakinan akan dapat kita menjawabnya. Bila kita yakin sudah pasti mereka bakal pembeli atau pelanggan akan mula merasa yakin dengan apa yang kita perkatakan.

iii.          Bersedia untuk membantu
Dalam apa juga keadaan, bersedia untuk membantu dan menolong dengan penuh keredaan hati dan perasaan. Bantu dengan ikhlas dan jujur bukan ada udang di sebalik batu. Bantuan yang ikhlas dan jujur sudah pasti akan memberikan hasil yang boleh memberikan impak yang besar kepada mereka yang kita sanggup lakukan satu perkara yang tidak menyusahkan mereka dan kita bersedia untuk membantu pula di dalam lingkungan perkara yang dibenarkan sahaja.

iv.          Bertindak dengan jujur
Apa yang kita lakukan apa juga dari segi percakapan mahupun dari segi tindakan kita perlu ada kejujuran yang sepatutnya.  Bukan nak ambil kesempatan atas kelemahan mereka  tapi melakukannya dengan jujur sejujurnya. Selagi tiada kejujuran selagi itulah perhatian mereka akan gagal kita peroleh. Bertindak dengan sebaik yang mungkin agar segala perbuatan dan tindakan kita sudah pasti tidak mencurigakan mereka sama sekali.

Sememangnya itulah tindakan terbaik buat diri kita. Bila mereka mula menyedari kehadiran kita bermakna kita telah berjaya menarik perhatian mereka untuk kita war-war kan apa yang mahu kita tawarkan kepada mereka. Bukan mudah untuk melakukannya tapi tidak mustahil. Berikan segala kudrat yang ada pada kita tonjolkan dan buktikan keupayaan diri kita agar apa yang kita perkatakan bukannya satu dongengan kosong buat mereka. Selagi kita berusaha selagi itulah kita akan berjaya.




Read more >>

Isnin, 2 September 2013

JANGAN MUDAH MERASA PUAS




Salah satu sikap yang sering diabaikan atau buat-buat terlupa apabila telah berjaya atau mendapat sesuatu yang dikehendaki dan diingini sudah pasti akan membuatkan diri kita mudah menjadi puas yang amat sangat. Sememangnya dalam melakukan jualan kepuasan dalam melakukannya amat dinanti-nantikan. Bayangkanlah segala penat lelah dan segala cabaran dan dugaan yang ditempuhi melakukan presentasi dan penawaran yang sepatutnya, bakal pembeli atau pelanggan menerimanya dengan hati yang terbuka dan penutupan jualan boleh didapati dengan jayanya.

Apabila kejayaan dinikmati sudah pasti satu kepuasan lahir dengan sendirinya. Puasnya hingga tidak terkata di buatnya. Puas kerana kita sendiri yang melakukannya dengan segala usaha dan kegigihan yang sepatutnya. Inilah yang merisaukan hanya kerana kepuasan kita mungkin akan melupakan sesuatu membuatkan kita lebih leka dan alpa. Inilah yang perlu dielakkan dikhuatiri nanti hanya kerana satu kepuasan akan menjadikan kita menjadi tinggi diri, berlagak dan ego. Elakkanlah sama sekali. Apa yang dimaksudkan dengan puas yang membuatkan kita mudah lupa dan alpa ini adalah apabila

i.             Stok dalam simpanan PIPELINE kita sentiasa penuh dan mencukupi

ii.           Pendapatan dan perolehan komisen atau ganjaran dalam satu bulan boleh diperoleh cukup makan sehingga tiga atau empat bulan membolehkan untuk berehat sepanjang tempoh bulan tersebut

iii.          Tak perlu cari pelanggan baru, yang sedia adapun tak habis makan

iv.          Ambil sahaja pelanggan orang lain punya senang kerja tak payah susah-susah lagi nak mencari dan mendapatkannya

v.            Bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui kita cukup tidak dihiraukan sama ada mereka mahu menerimanya ataupun tidak kerana merasakan hilang seorang ada sepuluh orang lagi yang akan menjelma pula

vi.          Terlalu ekstrem merasakan kita seorang sahaja yang terlalu hebat melakukan jualan

vii.        Orang-orang di sekeliling kita asyik memuji dan mengatakan kita adalah seorang yang hebat dalam dunia jualan ini.

viii.       Apabila bertutur dan berkomunikasi walaupun sedikit sahaja, semua orang yang mendengarnya mudah sangat percaya walaupun kita tahu kita hanya kelentong sahaja.

ix.         Tak kisah apa yang berlaku asalkan laku dan diterima oleh pelanggan walaupun kita sendiri cukup ketahui bahawa apa yang kita sampaikan bukan semuanya betul dan tepat.

x.           Kalau setakat mendapat untung seringgit dua baik tak payah dilayan dan dibuat, eloklah cari produk yang memberikan pulangan yang tinggi dan banyak

xi.         Pedulikan orang lain dan jangan ambil tahu, baik pentingkan diri sendiri sahaja.

xii.        Dah dapat ilmu dan dipergunakan semua ilmu yang ada, lupakan sahaja pada orang membantu dan mencurahkan ilmu pada kita.

Muhammad Ali, bekas juara tinju dunia pernah berkata ‘Jangan berhenti. Baik sengsara sekarang dan jalani kehidupan pada kemudiannya menjalani kehidupan sebagai seorang juara’. Itulah yang sepatutnya kita lakukan dalam jualan juga. Biarlah bersusah payah dalam melakukannya asalkan ada kesungguhan dan kegigihan dari diri kita untuk melakukannya. Jangan mudah sangat merasa puas kerana itu juga adalah satu ujian dan cabaran buat diri kita dari Allah. Ujian Allah ini pelbagai bentuknya tidak kira dalam keadaan berjaya atau gagal. Semuanya kena hadapi dengan hati yang terbuka, tenang, tabah dana cekal. Baik kita sentiasa dalam keadaan berhati-hati dan berjaga-jaga dari melalui saat-saat kita mudah lalai dan leka.
Read more >>

Ahad, 1 September 2013

GAGAL DALAM JUALAN



Ada sesiapa yang mahukan kegagalan dalam melakukan jualan? Sudah pasti jawapan tidak. Itulah realitinya. Apa yang dilakukan pasti mahu tidak mahu kena ada kejayaannya. Inilah impian seseorang apabila menceburi sesuatu bidang. Gagal bermakna tiada harapan meyakinkan untuk mencapai apa yang diingini. Adalah dikira membuang masa dan ketika jika apa yang kita lakukan semuanya menemui jalan buntu sehinggakan kekecewaan pula yang ditanggung.

Apapun yang berlaku dan terjadi mesti ada sebabnya. Bukannya boleh jadi sesuka hati berlaku begitu sahaja. Apabila berlakunya kegagalan lakukan segera bedah siasat kenapa kegagalan ini boleh terjadi. Muhasabah diri perlu ada sepertimana yang disarankan dalam Agama. Antara penyumbang-penyumbang utama kegagalan masih lagi berleluasa sehingga kita gagal mengawal kegagalan tersebut adalah hanya disebabkan

i.             Masih tak berani lagi
Walaupun pelbagai ilmu dipelajari dengan pengetahuan produk yang mantap telah berjaya disemai dalam sanubari tapi malangnya apabila bertemu dan bersua dengan bakal pembeli atau prospek lidah masih kelu untuk berbicara. Berpeluh-peluh habis dibuatnya sehingga basah baju semuanya. Seolah-olah bertemu dengan mereka bagaikan untuk pergi mencuri atau menipu mereka sahaja. Langsung tiada keberanian, ketakutan dan gementar dibuatnya. Minat sahaja kalau tidak berani, malu dan segan untuk berkomunikasi dengan orang macam mana nak melakukan jualan? Sudah pasti kegagalan juga yang menimpa.

ii.           Gagal untuk pelajari
Apa yang berlaku langsung tidak mahu dijadikan sebarang pengajaran dan iktibar yang sepatutnya. Terlalu mengambil mudah dan diulangi lagi segala kesilapan dan kesalahan dalam menjual. Biar gagal dahulu pelajari atas sebab apa kegagalan tersebut diperbaiki semula barulah ada tindakan baru untuk dilakukan. Selagi tidak dipelajari selagi itulah kegagalan sahaja yang akan kita temui.

iii.          Gagal menambah pengalaman
Guru terbaik adalah dari pengalaman yang dilalui sendiri dan juga dari pengalaman orang lain. Malangnya setiap pengalaman yang kita lakukan dan tempuhi tidak kemana. Kita lupakan terus apa yang berlaku untuk kita jadikan tauladan dan pengajaran. Kita gagal kemaskinikan cara dan kaedah kita melakukan jualan. Apa yang orang lain telah lalui sebagai pengalaman pada dirinya pula telah kita ketahui langsung tidak kita pergunakan juga. Pengalaman yang ditempuh kebiasaannya tiada dalam buku-buku yang kita baca dan apa yang telah kita tempuhi. Rugi rasanya kalau kita membiarkan ilmu yang diperoleh tidak dipergunakan begitu sahaja dengan sewenang-wenangnya

iv.          Gagal mencari ilmu baru dan perbaiki ilmu yang ada
Ilmu perlu dicari dan dipertingkatkan lagi. Selagi kita merasakan diri ini penuh ilmu didada selagi itulah terdapat banyak kekurangannya. Apa yang kita ada sebenarnya umpama setitis air yang menitik dilautan. Cukup sedikit ilmu dengan apa yang Allah berikan pada kita. Carilah ilmu, tambahkan sentiasa dan perkemaskan diri kita agar tiada kegagalan lagi hanya disebabkan kekurangan dan kecetekan ilmu yang ada.

v.            Semua orang nak menang
Tewas hanya kerana malu dan mudah merasa rendah diri dengan apa yang ada. Semuanya hanya dibiarkan orang lain sahaja yang mengecapi kejayaan dalam melakukan tugasan menjual. Lebih rasa seronok tengok orang berjaya dan sanggup membiarkan diri berada dalam kegagalan. Selagi kita gagal selagi itulah kita gagal hulurkan bantuan dan pertolongan kepada orang lain. Adakah ini yang kita mahukan? Biar orang lain seronok kita menangis dalam kesepian sahaja.

vi.          Merasakan apa yang ada telah memadai
Semuanya dengan mudah merasakan apa yang ada pada kita telah cukup dan memadai. Seolah-olah apa juga perkara baru yang hadir dan datang dianggap mengganggu. Kalau dalam rentak kejayaan tak apa lah juga tapi masalahnya kini kita dalam rentak kegagalan sehingga kita menjadi kecewa dan begitu malas pula untuk perbetulkan semula diri kita. Sampai bila kita harus berkeadaan sebegini?

Perbaiki segera jangan biarkan sehingga menjadi parah baru terhegeh-hegeh nak diperbetulkan semula. Masih ada ruang dan jalan keluar untuk diperbetulkan. Berfikiran positif dan sentiasa ingat kalau orang lain boleh melakukannya kenapa tidak pada diri kita. Jangan sama sekali biarkan kegagalan mengawal diri kita kerana Allah wujudkan semangat dan fikiran untuk kita fikirkan ambil jalan terbaik atasinya dengan sebaik yang mungkin.


Read more >>