Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Rabu, 14 Ogos 2013

PERLUKAH LEADS DALAM JUALAN?




Leads merupakan satu kaedah dalam melakukan jualan bagi mendapatkan pelanggan seperti mana yang dimahukan. Bermula dari leads bertukar menjadi prospek (bakal pembeli) dan seterusnya menjadi pelanggan kepada jualan kita. Mendapatkan kejayaan penutupan jualan itu matlamat utama yang perlu dilakukan. Kena ada sasaran orangnya terlebih dahulu agar lebih menyenangkan kita untuk melakukan jualan. Kerana itu leads amat diperlukan terlebih dahulu sebelum dibolehkan melakukan jualan. Leads adalah merupakan satu senarai nama yang kita boleh peroleh di mana sahaja bagi tujuan mencari, memilih, menyaring dan menapis sasaran bakal pembeli atau pelanggan yang kita rasakan dan mahukan untuk dibuat jualan ke atasnya.

Sebaik-baik tindakan ketahui terlebih dahulu apakah tindakan yang kita lakukan ini ada kebenarannya ataupun tidak. Fikirkan dan jawab soalan-soalan yang ada ini sama ada tindakan kita mengumpulkan leads yang diperlukan bersesuaian ataupun tidak. Baik bermula dengan sedikit dahulu agar kesusahan tidak dirasakan di kemudian tindakan. Biarlah kaedah yang kita gunakan ini berakhir pada landasan yang betul asalkan ia nya menemui kejayaan seperti mana yang dimahukan. Antara persoalan-persoalan tersebut adalah
    
i.             Apakah yang paling bersesuaian dengan produk kita? Adakah dengan kedudukan kewangan diri mereka kah atau dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti pengaruh kawan, kualiti produk, harga dan sebagainya? Perlu kah di buat pengasingan?

ii.           Ketahui keupayaan sebenar dalam kita mendapatkan leads yang dimahukan dan berapa banyak masa yang di peruntukkan. Berapa banyak leads yang diperlukan bagi digunakan setiap hari?

iii.          Berapa banyak aktiviti yang perlu dilakukan tidak kira sama ada untuk keluar atau masuk, menampung dan menggunakan dengan sebaik mungkin?

iv.          Nisbah yang betul setiap hari bagi menghasilkan leads yang berkualiti seperti mana yang dimahukan.?

v.            Berapa banyak kejayaan setiap hari dengan menggunakan leads yang sedia ada bagi mendapatkan temu janji?

vi.          Memadai kah leads yang sedia ada bagi menampung keperluan kita menghubungi bakal pembeli atau pelanggan?

vii.        Ketahui sumber mana yang terbaik mendapatkan leads sama ada sumber dalaman atau luaran?

viii.       Pada seseorang pelanggan yang sedia ada, berapa kali putaran pada seseorang pelanggan untuk dilakukan jualan? Berapa kali kah penerimaan tawaran yang sanggup mereka menerimanya?

ix.         Adakah sasaran pelanggan menjadi keutamaan atau membiarkan sahaja apa juga leads yang boleh diterima terlebih dahulu?

x.           Perlu kah setiap leads yang diperoleh mempunyai satu register khas bagi memudahkan kawalan dan rujukan?

xi.         Berapa telus kah kita mampu menghasilkan leads seperti mana yang di kehendaki?

xii.        Perlu kah leads di jana dari sumber yang di peroleh dari orang lain atau dari diri kita sendiri? Bagaimana nisbah kejayaannya?

Bertindak  dengan bijak. Jangan lakukan secara melulu kelak yang penat tak tentu fasal adalah diri kita sendiri juga. Apa yang kita cari adalah hasil di penghujungnya bukan hasil pada permulaannya. Sasaran adalah pada penutupan jualan. Itulah tugasan sebenarnya. Bagi mendapatkan penutupan jualan mesti melihat pada siapa sasaran sebenar kita bagi memudahkan lagi kita menarik perhatian mereka terhadap kehadiran diri mereka. Rancang sebaik mungkin agar kekecewaan dapat dielakkan sama sekali.

Read more >>

Selasa, 13 Ogos 2013

BIARLAH PILIHAN UNTUK MENJADI HEBAT



Dalam jualan semua yang terlibat pasti ingin menjadi seorang yang hebat. Menurut istilah kamus Dewan Edisi Keempat hebat membawa makna kepada teramat sangat atau luar biasa (gagah,kuat, dahsyat, elok dan bagus). Kerana itu ramai yang berlumba-lumba untuk menjadi hebat tidak terperi jadinya. Sememangnya hebat menjadikan satu pilihan dan kayu ukuran bagi memastikan pencapaian yang dimahukan dapat dinikmati sampai bila-bila apabila menceburi bidang jualan ini. Bukan sesuatu yang mustahil menjadi hebat kerana ia nya bukan satu mimpi tapi impian untuk melakukan dan melaksanakannya. 

Dalam memastikan agar kehebatan yang diingini boleh dilaksanakan terdapat empat komponen utama menjadikan seseorang dalam melakukan jualan boleh terus menjadi hebat iaitu

i.             Kemahiran
Peroleh segala skil yang ada dikemas kini setiap masa menjadikan diri seorang pakar yang diketahui umum akan kebolehan dan kebijaksanaan dalam melakukan jualan. Domain kan diri kuasai sebaik mungkin biar kita hebat segala dan setiap penjuru. Elakkan diri dari mudah dan cepat merasa lemah semangat, kecewa dan merana tapi sentiasa berdiri tegak pertahankan apa yang kita lakukan selama ini. Orang yang hebat sentiasa berfikiran positif dan melakukan dengan sebaik yang termampu. Jangan di hirau pada yang orang lain perkatakan tapi ambil berat berapa banyak hasilnya yang boleh kita peroleh.

ii.           Penjagaan
Menjadi orang yang hebat perlu bermula dari dalaman lagi. Sentiasa bersemangat untuk melakukan biarpun badai menghalangnya dengan begitu kuat sama sekali. Restu ibu bapa restu Allah juga. Dapatkan segera kerana pembentukan diri adalah hasil dari doa mereka untuk kita. Dalam apa juga keadaan sekalipun biarpun angin bertiup kencang, ribut taufan datang menyerang namun kedudukan kita tetap sama sekali bersedia untuk menghadapinya. Cekal, tabah dan sabar kerana alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan juga. Semua itu adalah satu cabaran buat kita untuk diatasi.

iii.          Kesungguhan
Lekuk batu dititik air selalu. Begitulah umpamanya dalam memberikan kesungguhan dalam melakukan tugasan jualan. Tiada yang mustahil asalkan ada kemahuan di hati. Lakukan secara konsisten dengan pengetahuan yang mendalam. Lakukan dengan apa yang tahu untuk dilakukan. Jangan main hentam membabi buta begitu sahaja. Bersungguh kalau tiada ilmu tidak ke mana juga. Cari ilmu agar kekurangan dapat ditampung dan kesungguhan boleh dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Usaha itu bukankah tangga kejayaan.

iv.          Penyerahan diri secara total kepada Allah
Firman Allah bermaksud ‘dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya’ (Surah Al-Ankabut Ayat 69).

Berpaksikan kepada Allah SWT dengan melakukan secara istiqamah dan bersungguh menganggap apa juga yang berlaku dan terjadi sebagai satu ujian dan menguji kesabaran di atas segala cabaran, halangan, dugaan dan masalah yang timbul. Jangan hanya hebat di dunia sahaja tapi di akhirat tidak ke mana. Lenturkan diri kita hebat kedua-duanya mencari keredaan dan keberkatan Allah jua. Umur kita tidak panjang di dunia ini tapi usia kita akan kekal selama-lamanya di dunia yang satu lagi. Oleh itu lakukanlah sebaik mungkin melakukan jualan mencari keuntungan bukan sahaja di dunia tapi juga untuk akhirat sama.

Read more >>

Isnin, 12 Ogos 2013

ANDAI KATA DI BULAN RAMADHAN




Sebulan sudah kita berpuasa kini tibalah kita merayakan satu kemenangan dalam menyambut Aidil Fitri. Setelah sebulan menahan diri dari lapar dan dahaga dalam menjalankan tugasan namun ibadah puasa perlu dilakukan pada siang hari dan pada malam harinya sibuk bertarawih, bertadarus dan juga berqiamulail. Semuanya dilakukan dengan penuh ketabahan dan kesabaran mengharapkan agar apa yang dilakukan sepanjang Ramadhan ini diterima oleh Allah SWT.

Persoalannya bolehkah kita melakukan jualan dalam menghadapi dan mengharungi ketibaan Ramadhan yang baru sahaja berlalu ini? Jawapannya tentu boleh kerana sebagai seorang Muslim yang sejati menunaikan satu perkara Rukun dalam Islam tidak boleh dijadikan sebarang alasan. Mahu tidak mahu mesti kena lakukan. Inilah kekuatan bukan sahaja fizikal tetapi juga mental yang perlu dilalui sama.

Andai kata di bulan Ramadhan dengan perut kosong dan kering tekak boleh kita lakukan jualan kenapa tidak di bulan-bulan lain bermula dari Syawal ini. Tidak kira dengan siapa kita bersua sudah pasti keringat yang ada akan melakukan yang terbaik bagi memastikan setiap penawaran yang diberikan boleh diterima oleh mereka.

Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh beriktikad walaupun sebentar di rumah Allah kenapa di bulan lain kita gagal melakukannya. Hanya kelihatan di hari Jumaat sahaja akan kehadiran diri kita. Kerapkanlah untuk mengunjungi rumah-rumah Allah seperti mana telah kita lakukan di bulan Ramadhan kerana terlalu banyak hikmah nya kalau kita sentiasa mengunjunginya.

Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh bertutur dengan pertuturan yang baik-baik sahaja pada siapa pun yang kita temui kenapa kita gagal lakukan pada bulan-bulan yang lain? Walaupun tekak kering namun segala apa yang kita utarakan jika dijagakan ia dengan sepenuh jiwa dan raga kita agar tiada siapa pun yang boleh disakiti dan marah kepada kita atas sebarang tindakan, perbuatan dan perkataan yang ditunjukkan.

Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh bersabar dan bertenang sahaja perlu diteruskan juga pada bulan-bulan yang lain. Setiap hari kerenah dan perangai bakal pembeli atau pelanggan bukannya sama. Ada kelainannya yang perlu kita tempuhi dengan penuh kesabaran. Biar penat sedikit melayan kerenah dan gelagat mereka asalkan hasil dan keputusan akhir dapat kita nikmati dengan kegembiraan akhirnya.

Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh bersolat sunat dan bertadarus kenapa kita gagal dalam bulan-bulan yang lain. Takkan setiap detik dan ketika kita asyik melakukan tugasan jualan sahaja. Kena tetapkan dan peruntukkan walaupun sedikit masa hanya kepada Allah. Teruskan tradisi amalan di bulan Ramadhan pada bulan-bulan yang lain juga sebagai satu persiapan rapi pula menghadapi Ramadhan yang akan datang pula.

 Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh dan mampu mencari pelanggan-pelanggan yang ramai kenapa tidak diteruskan pula di bulan-bulan lain? Dahlah berpuasa dengan jangka masa tidur yang sedikit namun kita berupaya mendapatkan hasil yang lebih baik pada bulan Ramadhan yang sepatutnya kecemerlangan ini menjadi satu titik permulaan bagi kita meneruskan lagi tindakan terbaik yang telah kita buktikan.

Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh dan mampu untuk memperbanyakkan berdoa memohon apa sahaja yang terlintas dan yang kita mahukan jangan sama sekali kita berhenti berdoa pada bulan-bulan yang lain. Allah sahaja yang mampu menunaikan apa sahaja hajat kita di dunia ini. Sebarang masalah kemukakan sahaja kepada Allah bukannya pada manusia. Memohon belas dan kasihan pada manusia bukan itu caranya. Hanya Allah sahaja yang mampu melakukannya hanya untuk kita sahaja.

Andai kata di bulan Ramadhan kita boleh mendisiplinkan diri kita menjalani ibadah dengan melakukan tugasan harian kita dengan begitu baik sama sekali mengapa tidak di bulan-bulan lain? Disiplin adalah tunjang bagi segala-galanya. Bermula dari tabiat yang baik sudah pasti menghasilkan keputusan yang baik juga. Semuanya bergantung pada disiplin diri sama ada mahu atau tidak untuk melakukannya.

Jadikan apa yang terbaik pada diri kita dalam bulan Ramadhan kita lakukan juga pada bulan-bulan yang lain. Jangan hanya di bulan Ramadhan sahaja kita seorang jaguh tapi di bulan lain terkulai layu begitu sahaja. Terlalu banyak pengajaran yang perlu kita ambil dari Madrasah Ramadhan ini untuk kita amalkan dan lakukan demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan buat diri kita sendiri pada bulan-bulan yang lain pula. Tiada alasan lagi kenapa kita masih perlu gagal dalam melakukan jualan.

Read more >>

Rabu, 7 Ogos 2013

BALIK KAMPUNG






Sememangnya setiap kali Aidil Fitri menjelma sudah pasti program Balik Kampung menjadi satu agenda tahunan kemestian walaupun ada di kalangan kita jarak rumah kediaman dengan rumah orang tuanya tidaklah sejauh mana. Di corong-corong radio saat ini telah mula berkumandang lagu arwah Sudirman bertajuk Balik Kampung tidak putus-putus di putarkan tanpa jemu seolah-olah menjadi satu lagu baru yang diputarkan. Begitulah hebatnya Balik kampung di Malaysia ini. Satu perkara kemestian bagi rakyat Malaysia meraikan Aidil Fitri yang akan hadir tidak berapa lama lagi.

Bila dah balik kampung gunakan kesempatan yang ada. Kena ada serampang dua mata. Sambil menyelam minum air. Masa inilah kesemua adik beradik dan saudara mara terdekat kita cukup mudah untuk ditemui. Ikatan silaturahim perlu dikekalkan , mana yang dah keruh di buang  sahaja hanya tinggalkan yang jernih itu yang diutamakan. Jalinan persahabatan membina networking itulah yang perlu disemai dan dikekalkan sama sekali. Menjuallah apa produk sekalipun sudah pasti tiada siapa akan dan boleh untuk marah dan bermusuh kerana di hari lebaran di hari itulah untuk semua orang dalam mood yang ceria dan gembira meraikan kehadiran Aidil Fitri.

Lakukan perancangan kerana hanya dengan perancangan segala tindakan yang dilakukan pasti berjalan lancar dan teratur. Perut kenyang jualan terlaksana waktu balik ke rumah kediaman pasti menggembirakan. Jangan risau jangan pula nak segan kerana di musim raya inilah cukup mudah melakukan jualan untuk kita sama-sama kena ambil kesempatan mana yang boleh kerana

i.             Kepercayaan dah keyakinan lebih terserlah
Bila balik kampung sudah semestinya orang telah pun mengenali diri kita. Bila dah kenal sudah pasti  kepercayaan pasti wujud dalam diri mereka tentang kita. Pergunakan sebaik yang mungkin atas kepercayaan mereka menerima diri kita dengan memberikan kempen dan promosi terbaik tentang produk yang ditawarkan kepada mereka tentang segala kelebihan, keuntungan dan istimewanya produk yang ingin kita tawarkan. Kepercayaan mereka terhadap kita amat penting bagi kita pergunakan dengan sebaik yang mungkin.

ii.           Suasana dalam penuh keceriaan
Bukan setakat menyambut Aidil Fitri tetapi pertemuan dengan saudara mara akan lebih merapatkan ukhuwah dan jalinan silaturahim sesama kita. Bila dah ada jalinan persaudaraan sudah pasti ia nya akan berlangsung dengan suasana yang lebih santai, harmoni dan ceria. Bila keadaan sudah sebegini sudah semestinya dalam melakukan jualan akan memberikan impak dan pulangan yang terbaik kepada kita juga. Berkomunikasilah dengan sebaik yang mungkin dan ada kalanya buat permulaan ada yang akan mengutuk kita dahulu. Anggaplah ia nya satu gurauan yang memberikan laluan mudah buat kita untuk melakukan jualan.

iii.          Padat dan ringkas
Tak perlu berjela-jela memberikan persembahan dan presentasi. Tak perlu sebarang nota, pertunjukan slide, katalog dan sebagainya. Cukuplah penawaran dilakukan secara penyampaian mulut serba ringkas, padat dan senang difahami. Sekurang-kurangnya mereka mengetahui dan memahami akan apa yang kita lakukan dan ingin tawarkan. 

Jangan berhenti untuk mencuba. Tak salah pun. Usaha kena ada dan berterusan melakukannya baru boleh nampak hasilnya mengalir seperti mana yang kita mahukan. Bertemu dan bersua sememangnya amat digalakkan dalam Islam tapi sejauh mana pertemuan tersebut mampu kita manipulasikan ia menjadi sesuatu yang boleh mendatangkan pendapatan pula kepada kita. Bukankah balik kampung juga di kira satu kos yang perlu ditanggung? Dapat lepas bayar minyak kereta, saman 'speed trap' dan tol sekurang-kurangnya boleh juga saudara-mara atau adik-beradik tolong ‘COVER’ kan kos perbelanjaan kita menerusi keuntungan dari produk-produk yang kita tawarkan. Tak cuba mana nak tahu dah cuba pasti nak buat lagi.



Read more >>