Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 3 Mac 2013

Penampilan diri penarik tumpuan



Teringat saya di masa dahulu apabila melihatkan seseorang bertali leher dan membawa beg sudah pasti orang akan mengatakan ‘dah datang dah... orang jual insuran/kereta dah mula datang dah’. Inilah fenomena yang berlaku sejak tahun 60an lagi sehingga kini. Seolah-olah orang yang bertali leher dan membawa beg sudah semestinya seorang SALESMAN. Begitulah hebatnya kesan dalam melakukan jualan kepada orang ramai.

Kenapa sampai sekarang organisasi-organisasi masih mempraktikkannya? Jawapannya mudah kerana hendak menonjolkan imej sesebuah organisasi yang diwakili. Lagi orang  tahu lagi mudah untuk melakukan jualan. Ini adalah kerana produk yang baik adalah datang dari organisasi yang mengeluarkannya. Bagi memikat seseorang supaya mudah merasa yakin dan senang hati atas kehadiran SALESMAN ini, maka penampilan diri memainkan faktor utama. Bila penampilan diri berjaya dibentuk maka maka

i.             Melakukan jualan akan terasa mudah kerana orang telahpun mengetahui yang kehadiran kita adalah untuk menjual

ii.           Prospek/pelanggan akan lebih merasa senang hati dengan penampilan yang ditunjukkan

iii.          Keyakinan akan timbul pada kedua-dua belah pihak

iv.          Apa yang diperkatakan biasanya mudah didengari dan mendapat respond yang baik dari mereka

Cukup sinonim dengan tahun kita sekarang ini. Masih dikekalkan. Cuma kalau nak ada perubahanpun tidak memakai baju cerah bertali leher tapi kebanyakkan sekarang ini memakai baju F1 atau T-Shirt berkolar. Mungkin trend tapi yang penting adalah penonjolan imej organisasi yang diwakili. Dengan rasa bangga diri kita memakainya terutama sekali jika ada acara-acara yang relevan dengan jualan kita seperti membuka booth, memberi taklimat, melakukan demostrasi dan sebagainya. Yang penting orang yang melihatnya sudah tahu dan faham dari mana datangnya kita.

Kerana itu amat penting dalam melakukan jualan penampilan diri merupakan faktor asas yang paling utama sebelum menjual. Tidak perlu yang mahal-mahal tetapi cukulah sekadar ia nya bersesuaian dengan apa yang kita pakaikan dan gunakan dalam sehari-hari. Oleh itu ubahlah penampilan diri agar tidak berserabut, baju di gosok, nampak kekemasannya, warna yang tidak pudar dan malap untuk bergaya sentiasa menampilkan satu penampilan diri yang mesra dan menawan.
Read more >>

Sabtu, 2 Mac 2013

JANGAN MAKAN DAHULU




Pengalaman di sebuah kedai buku pada hari Ahad baru-baru ini amat menyedihkan saya. Bertujuan pada awalnya untuk membeli buku-buku yang berada di situ terpaksa dibatalkan begitu sahaja. Sememangnya amat menyedihkan dan amat mengecewakan dengan apa yang telah saya sendiri lalui. Kedai buku tersebut yang kebetulan ada seorang sahaja pembantu yang ada sedang sibuk menyusun buku-buku baru di rak-rak yang difikirkan cukup strategi dibuatnya sehingga pelanggan-pelanggan yang keluar masuk tidak sempat beliau layan dan bertanyakan apakah gerangan buku yang perlu dicari. Bagi saya itu tidak mengapa kerana saya sendiri lebih gemar mencarinya sendiri dan membelek-belek buku yang berada di situ.

Masalah yang timbul yang memberikan impak ketidakselesaan pada saya kenapa saya harus membatalkan sahaja niat saya untuk tidak terus membelinya adalah kerana disebabkan oleh juruwangnya (mungkin juga tuan punya kedai) yang boleh makan nasi di kaunter pembayaran! Memang waktu tersebut adalah waktu untuk makan tengah hari tapi rasanya tidak boleh dijadikan sebab untuk membolehkan makan di tempat pembayaran pembelian dilakukan. Dengan bau lauk pauk yang begitu kuat menghinggapi hidung saya terasa amat meloyakan tekak saya yang sepatutnya juruwang tersebut jangan sama sekali makan di tempat pembayaran tersebut. Di situ bukan tempat makan kerana di situlah para pembeli berkumpul untuk melakukan pembayaran wang.

Di sinilah kesilapannya, moga jika kita melakukan jualan pastikan jangan makan tempat kita melakukan jualan. Makanlah di tempat yang disediakan atau di kedai makan. Bukan semua orang suka melihat kita makan di tempat kita menjalankan perniagaan walaupun tapak perniagaan tersebut kita punya dan hak mutlak kita. Sepatutnya kita kena hormat pada prospek/pelanggan kita yang datang menyerah diri mahu berurus niaga dengan kita. Fikirkan sebaik-baiknya jangan pentingkan diri sendiri ketika melakukan jualan. Sepatutnya bantu dan tolong orang yang ingin membeli agar penutupan jualan dengan mudah kita boleh peroleh. Semoga ia nya menjadi iktibar buat kita semua.


Read more >>

Jumaat, 1 Mac 2013

ADAB BERTEMU




Jangan kerana keghairahan dalam melakukan jualan kita terlupa tentang adab kita bertemu dengan seseorang. Tidak kiralah dia nya beragama Islam ataupun tidak.  Kena lakukan dengan sebaik yang mungkin dan termampu kerana Islam adalah agama yang paling sempurna dari segala sudut. Islam mencakup hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia, bahkan dengan makhluk lainnya. Di antara kesempurnaan Islam adalah mengatur kehidupan seseorang Muslim mulai sejak bangun tidur sampailah tidur kembali. Jangan sama sekali diabaikan kerana dalam melakukan aktiviti jualan sudah semestinya terlalu banyak bergaul dan berinteraksi dengan sesama orang yang ditemui.
Berikut adalah sebahagian adab seorang Muslim tatkala bertemu dengan orang yang lain yang ingin ditemui iaitu

i.         Berwajah ceria, berseri dan mengukir senyuman
Permulaan pertemuan sebelum memulakan bicara. Apabila bertemu dengan sesama prospek/pelanggan hendaknya kita menunjukkan wajah ceria dan berseri-seri untuk memberikan kegembiraan, menumbuhkan rasa cinta, mempererat ikatan hati dan memperdalam kasih sayang. Islam sangat memperhatikan perkara ini. Tersenyum dan menunjukkan wajah yang berseri-seri dan ceria adalah suatu amalan yang tidak boleh dipandang remeh dan mudah, tetapi merupakan sebagai satu langkah melakukan satu sedekah.

Rasulullah bersabda, Senyum yang engkau berikan kepada saudara mu terhitung sebagai satu sedekah.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi). Rasulullah juga bersabda, Janganlah kamu menganggap remeh pada suatu kebaikan, walaupun hanya sekadar bermanis muka ketika kamu menemui saudara mu(Hadis Riwayat Muslim).

ii.        Mengucapkan salam dan wajib membalasnya salam
Mengucapkan salam kepada sesama Muslim memiliki terlalu banyak hikmah yang perlu diamalkan dengan sebaik yang mungkin, jangan dilupakan sama sekali apatah lagi perlu di abaikan. Antaranya adalah untuk

Ø Permulaan bicara dengan mengingati Allah terlebih dahulu
Ø Menunjukkan sikap rendah diri
Ø Menghilangkan perasaan takut antara orang yang bertemu
Ø  Menumbuhkan rasa saling sayang dan cinta antara keduanya
Ø Saling mendoakan antara keduanya

Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Hak seorang Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam: Jika kamu bertemu dengannya kamu mengucapkan salam… (HR. Muslim). 
Rasulullah bersabda lagi Orang yang menaiki kenderaan hendaknya mengucapkan salam kepada yang berjalan, orang yang berjalan hendaknya mengucapkan salam kepada yang duduk, dan yang terbaik di antara dua orang yang berjalan adalah yang terdahulu dalam mengucapkan salam.” (HR. Al-Bazzar dan Ibnu Hibban).

Jangan sama sekali pula disamakan pemberian salam kepada orang-orang yang bukan Islam. Ini bersesuaian dengan apa yang telah di maklumkan oleh Rasulullah. Dari Aisyah Rasulullah bersabda Janganlah salah seorang dari kalian mendahului orang Yahudi dan Nasrani dalam mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Muslim)

iii.       Berjabat tangan
Pastikan apabila bertemu hendaklah berjabat tangan dengan ikhlas dan bersungguh. Nak berjabat tangan pun biarlah sama jenis jantinanya dan jangan pula berlainan jantina nanti timbul fitnah dan haram pula hukumnya. Hal ini dapat mempererat hubungan dan menumbuhkan cinta dan kasih sayang. Bahkan berjabat tangan dapat menggugurkan dosa-dosa dan kesalahan. Rasulullah bersabda, Tidak seorang pun dari kaum Muslimin yang bertemu lantas mereka berjabat tangan kecuali dosa mereka akan diampuni sebelum mereka berpisah.” (Hadis Riwayat At-Thabrani).

Seseorang pernah bertanya kepada baginda Rasulullah SAW Ya Rasulullah, apabila salah seorang dari kami bertemu dengan saudaranya atau temannya, bolehkah ia membengkokkan badannya? Baginda menjawab, “Tidak boleh.” Ia bertanya lagi, “Apakah harus menciumnya?” Baginda menjawab, “Tidak boleh.” Ia bertanya lagi, “Lalu, apakah ia menjabat tangannya?” Baginda menjawab, “Ya.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi).

Tiga perkara mudah perlu dilakukan dalam memastikan adab pertemuan ini dilaksanakan. Jangan ikut suka-suka hati sahaja apabila bertemu dengan prospek/pelanggan. Kita yang melakukan jualan kena berhemah, bersopan dan mengikut adab yang telah ditentukan terlebih dahulu bagi memudahkan lagi prospek/pelanggan kita berinteraksi dengan mereka. Jaga adab ini agar prospek/pelanggan yang ditemui akan cukup mudah merasa mesra dan selesa dengan kehadiran diri mereka.



Read more >>