Selamat datang semoga boleh dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas luangan masa anda di sini :] | orang tengah melawat | Follow or Dashboard

Ahad, 4 November 2012

BILA DAH BERKENAN



Pembeli bila dah teruja untuk membeli sanggup menunggu lama demi untuk mendapatkan produk yang diingini. Tidak kira apa yang dimaklumkan dan diberitahu tentang tak eloknya ke atau sesuatu yang tidak baik namun apa yang dikehendakinya tetap juga dimahukan juga. Jangan kata stok tiada sudah pasti sanggup ditunggunya atau mencari di tempat lain pula. Inilah gelagat pembeli apabila dah berkenan pada sesuatu produk.

Apa tugasan jualan? Inilah peluang namanya. Jangan dibiarkan begitu dan berlalu begitu sahaja. Ambil sahaja peluang di depan mata ini untuk memastikan penutupan jualan berjaya dilakukan dengan cepat dan segera. Proses jual beli mesti dilakukan agar kedua-dua pihak tidak sama sekali merasa kerugiannya. Cuma dalam peringkat ini dah tahu si pembeli benar-benar berminat untuk memiliki produk yang diinginkan, si penjual kena pastikan

i.                     Stok produk tersebut mesti berada dalam pasaran dan ia mencukupi selari dengan permintaan

ii.                   Pastikan layanan diberikan adalah terbaik dan jangan sama sekali seperti melepaskan batuk di tangga sahaja mentang-mentang si pembeli benar-benar berminat  untuk mendapatkannya

iii.                  Di masa ini lah ciri-ciri produk perlu dimaklumkan kepada si pembeli yang berminat dan bukannya lagi tentang manfaat atau kelebihan yang perlu disampaikan lagi

iv.                 Jangan sama sekali mengambil kesempatan ke atas pembeli yang telah berminat seperti melengah-lengahkan lagi penawaran produk, harga yang tidak berapa nak patut dan sebagainya

v.                   Per mudah kan segera dan jangan sama sekali disukarkan

vi.                 Pengetahuan produk yang mendalam amat diperlukan bagi menjamin jika terdapat sebarang kemusykilan dan pertanyaan yang mungkin dikemukakan tentang penggunaan produk yang dibeli

vii.                Memastikan jaminan produk dimaklumkan bukan setakat harganya sahaja

viii.              Ambil kesempatan melakukan jualan bersilang (Cross Sale) atau jualan tetingkat (Up Sale) dapat dilakukan sebaik mungkin

ix.                 Maklumkan agar memanggil kawan-kawannya pula datang untuk membeli pula di tempat kita

x.                   Pastikan layanan yang terbaik telah diberikan memuaskan hati dan perasaan si pembeli

Teruskan usaha yang telah berjaya ini memberikan tahap perkhidmatan sebaik yang mungkin tanpa berbelah bagi. Memberikan khidmat yang terbaik menyenangkan si pembeli pasti memberikan nilai tambah kepada kita. Hebahan mulut dan penghargaan daripada diri mereka pasti akan kita peroleh asalkan kejujuran dan kesungguhan yang ditunjukkan memuaskan hati mereka. Pastikan jangan berhenti di situ sahaja tapi teruskan perhubungan yang baik agar berkekalan sampai bila-bila sehingga di kandung badan. Itulah adat orang yang melakukan jualan dan perniagaan yang perlu disemai dalam diri kita sampai bila-bila.


Read more >>

Sabtu, 3 November 2012

VENI VIDI VICI



Gaius Julius Caesar adalah seorang ahli politik, Jeneral perang Rom dan penulis yang memainkan peranan yang genting dalam pengubahan Negara Rom membesar menjadi Empayar Rom. Beliau telah dianggap secara meluas sebagai salah satu daripada genius tentera dalam sejarah, serta ahli politik yang bijak dan pemimpin yang kuat di dunia kuno. Caesar mengetuai serangan pertama oleh Rom terhadap kawasan British dan perluasan sehingga ke Lautan Atlantik. Sejak beberapa zaman, gelaran "Caesar" telah menjadi lambang pemerintah agung yang berkuasa. Pada tahun 42 SM, iaitu dua tahun selepas pembunuhan Caesar, Senat Rom telah menerima Caesar secara rasmi sebagai salah satu daripada dewa Rom. Dilahirkan pada bulan Quinctilis (13 Julai), bulan ini kemudiannya diberikan nama "Julai" (daripada nama "Julius") untuk memperingati jasa beliau.

Caesar yang bertempur dalam satu peperangan yang menyebabkan beliau menjadi penguasa dunia Rom yang tidak dapat dipertikaikan dan selepas mengambil alih kerajaan, beliau memulakan pembaharuan yang meluas untuk kedua-dua masyarakat dan kerajaan Rom. Beliau diisytiharkan sebagai pemerintah diktator seumur hidup, dan memusatkan pelbagai birokrasi Republik dengan pesat.

Antara ungkapan terkenal yang pernah diucapkan oleh Julius Caesar adalah Veni Vidi Vici. Ia nya berlaku semasa Julius Caesar meninggalkan untuk pergi berperang ketika isterinya Cleopatra yang sarat mengandung, tidak lama lagi untuk bersalin anak mereka Caesarion yang dikandungnya. Caesar berjaya dalam peperangannya mengalahkan Pharnaces Pontus berhampiran bandar Zela. Caesar mendakwa bahawa beliau telah pun dikalahkan dan ditawan oleh pihak musuh selama 4 jam sebelum bangkit semula menentang musuhnya semula bagi mencapai kemenangan yang dikehendaki. Untuk memaklumkan kepada Ahli Senat dalam kemenangannya, secara ringkas Caesar terus menulis perkataan ‘VENI VIDI VICI’ yang bermaksud ‘Saya datang Saya nampak Saya takluk’.

Begitulah hebatnya ungkapan yang telah diperkatakan. Cukup ringkas dan padat yang perlu kita bersama jadikan ungkapan tersebut dalam kita melakukan jualan. Apabila ada peluang dan oportuniti yang boleh kita temui tidak kira di mana sahaja untuk melakukan jualan, kita kena ada matlamat untuk mendapatkan penutupan jualan. Jangan membuang waktu kerana kena umpamakan diri kita menembak menggunakan pistol, satu peluru satu mangsa perlu ada kita laksanakan, jangan terlalu membuang masa.

Pastikan apabila kita telah hadir (saya datang) menemui prospek/pelanggan yang ditemui, kita perlu melihat oportuniti-oportuniti atau peluang-peluang yang ada (saya nampak). Kena peka dan sensitif pada keadaan sekeliling. Seterusnya tanpa membuang masa teruskan presentasi dan lakukan sebaik mungkin untuk mendapatkan penutupan jualan (Saya takluk).

Kita juga bertempur dalam peperangan. Peperangan dalam mendapatkan kemenangan secara membantu prospek/pelanggan yang ditemui menerima tawaran yang ditawarkan. Selagi kita gunakan konsep ‘VENI VIDI VICI’ pasti hasil yang kita mahukan akan kita peroleh juga tanpa perlu kita risau dan ragu sama ada boleh ataupun tidak untuk melakukannya. Tak cuba sememangnya tidak kita ketahui, dah berusaha barulah hasilnya boleh di ketahui sama ada boleh melakukannya ataupun tidak.
Read more >>

Jumaat, 2 November 2012

KEPERCAYAAN DALAM TIM JUALAN



Bertugas dalam satu pasukan atau tim jualan sememangnya memerlukan semangat kerjasama dan saling percaya mempercayai antara satu sama yang lain. Tanpa adanya semangat ukhuwah yang kukuh dapat dijalinkan sememangnya amat sukar sesuatu pasukan tersebut untuk memberikan satu keputusan terbaik seperti mana yang dikehendaki. Jangan terlalu mendabik dada mengatakan kerana diri seorang sahaja yang berjaya tetapi pada orang lain langsung tidak seperti mana pada dirinya pula.

Terdapat banyak cara dalam membina keutuhan dalam sesuatu tim jualan yang boleh dilakukan. Dapatkan kepercayaan sesama rakan setugas dan bos kita amat diperlukan. Peroleh kepercayaan mereka dahulu, biar angka prestasi kita menjadi bukti dan bukannya pertuturan kita. Tunjukkan secara berfakta dari harapan yang tidak tahu lagi entahkan betul ataupun tidak.

Bagi memastikan tim jualan yang kita sertai dapat menerima kehadiran kita dan seterusnya dapat bergerak bersama dalam melakukan jualan dan memastikan tim yang kita sertai ini adalah antara yang terbaik pernah diwujudkan beberapa tindakan perlu kita lakukan iaitu

I.                    Berikan contoh yang terbaik
Nak bagi orang percaya pada kita, pertamanya kena wujudkan dalam diri dan perasaan supaya percaya dahulu kepada rakan setugas dan bos yang ada bersama dengan kita. Nak wujudkan kepercayaan kepada kita kena amanah dan bertanggungjawab akan tugasan yang diberikan. Jangan main terima sahaja tetapi langsung tidak dibuktikan. Jangan mudah berkata ya tapi langsung tidak kita kotakan apa yang telah dijanjikan. Biarlah apa yang kita katakan selari dengan perbuatan dan tindakan kita.

II.                  Berhemah dan merendah diri
Jangan meninggi diri. Jangan nak tunjuk lagak dan ego yang bukan-bukan. Tidak kira orang baru atau lama dalam tim jualan tersebut lebih baik kita sentiasa merendah diri dan berhemah apabila berhubung dan berkawan dengan sesiapapun juga. Kalau asyik meninggi diri dan bercakap besar seolah-olah diri kita ini sahaja yang hero sudah pasti semakin lama semakin sukar untuk kita berkawan dengan sesiapapun juga. Berubah segera kalau kita melakukan perangai dan kelakuan seperti begini agar rakan setugas kita boleh dan mahu berkongsi idea, pengalaman dan tugasan yang mereka tempuhi dan berasa seronok dengan kehadiran diri kita.

III.                Aktif dalam setiap pertemuan
Jadilah seorang yang proaktif sentiasa. Jangan letakkan batu dalam mulut kita langsung tiada komunikasi dua hala terjalin dan berlaku. Jangan memadai membawa diri berseorangan tanpa memikirkan orang lain sama. Ukhuwah perlu dijalin agar kekuatan tim jualan dapat dibina kekuatannya hari demi hari. Bila ada mesyuarat jualan aktif mengambil bahagian. Bila diminta memberi pendapat aktif suarakan pendapat kita. Jangan difikirkan pendapat kita ini betul ataupun tidak. Yang penting penyertaan diri kita dan tidak sama sekali kita amalkan kedekut ilmu kepada sesiapapun yang memerlukannya.

IV.                Mohon bantuan
Sentiasa ungkapkan ‘Minta Tolong’ dari memberi arahan diberikan kepada orang lain terutamanya rakan sekerja kita. Bila kita minta tolong pada kawan sudah semestinya mereka akan senang hati untuk membantu kita. Tapi kalau kita menyuruh begitu sahaja sudah pasti setakat sekali dua orang boleh membantu tapi untuk yang seterusnya bagaimana? Pasti selepas ini langsung orang tidak akan mampu untuk membantu dan menolong kita lagi. Siapa yang rugi? Kita juga hanya kerana kita tidak katakan ‘Minta Tolong’ kepada mereka.

V.                  Semangat berpasukan
Semaikan dengan jitu dan kukuh untuk bekerjasama dengan rakan setugas kita. Sama-sama bekerjasama membuka kaunter, mengedar risalah dan menyelesaikan masalah jualan jika ada yang berlaku. Jangan menyendiri tapi kena sensitif dan peka. Susah senang hadapi bersama. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW membentuk para sahabatnya di Madinah begitu akrab dan kukuh tali persaudaraan antara mereka sehinggakan cubit paha kiri paha kanan amat terasa sakitnya dapat diterapkan dalam sanubari mereka sehingga bukan sahaja ukhuwah ini terjalin setakat Rasulullah SAW sehingga wafat tapi juga pada diri masing-masing antara para sahabat sama.


Bila dah wujud kepercayaan tanpa adanya sebarang sangsi dan keraguan, maka tiadalah wujud hasad dengki, mengumpat dan menghentam sesama rakan setugas kita. Semangat berpasukan yang berjaya dibentuk akan memberikan kekuatan rohani dan jasmani yang kuat sehinggakan apa juga masalah, rintangan dan dugaan sudah pasti boleh dihadapi secara bersama. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh. ‘One for All dan All for One’ perlu ada dalam semangat berpasukan. Bila tim jualan sudah kuat pegangan ukhuwahnya sudah pasti prestasi tim tersebut dengan sendirinya akan menjadi kuat dan sukar bagi tim jualan yang lain dan pesaing untuk mengganggu gugat keupayaan dan prestasi yang kita berikan.
Read more >>

Khamis, 1 November 2012

5 Persoalan


Melakukan jualan sememangnya memerlukan kreativiti dan kesungguhan dalam melakukannya. Kena tanam minat di dalam hati agar apa yang kita lakukan kerana minat kita sendiri dan bukannya dipaksa-paksa ataupun terpaksa. Bila kita dah berminat apa juga masalah, cabaran dan dugaannya sudah pasti akan kita tempuhi dengan sebaik yang mungkin. Mungkin tidak kedengaran tentang lemah semangat, putus asa dan kecewa boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya. Lakukan dengan sebaik yang mungkin mengatasi sasaran matlamat kita sendiri.
 
Menceburi bidang jualan ini sememangnya menyeronokkan. Selain daripada berinteraksi dengan orang ramai, mengetahui ragam dan kelakuan orang, waktu tugasan jualan yang tidak menentu dan membantu seramai yang termampu dalam menawarkan produk yang bersesuaian menyelesaikan masalah yang dihadapi, kita juga mampu untuk menjana pendapatan dan perolehan untuk diri kita sendiri mengikut berapa banyak yang kita mahukan. Selagi kita rajin berusaha dengan bersungguh-sungguh dan konsisten selagi itulah pendapatan kita juga akan bertambah seperti mana yang kita mahukan.

Menceburi bidang jualan ini kena fikirkan lima persoalan yang perlu dikemukakan kepada diri kita terlebih dahulu sebelum setiap kali kita ingin melakukan jualan. Bukan hendak menyusahkan tapi sebagai persiapan kita sendiri mencari kesempurnaan dalam melakukan jualan. Persoalan tersebut adalah

i.                    Apakah penyelesaian kepada masalah mereka untuk kita selesaikan menerusi produk kita?
Jangan kata kita nak membantu orang tapi sebenarnya masalah mereka pun tidak kita ketahui. Berfikir cara yang baik dan rasional agar segala tindakan menjual kita lebih menjerumuskan kepada bagaimana nak selesaikan masalah mereka untuk kita bantu sebaik yang mungkin. Kenal pasti segera melalui pemerhatian dan mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan kepada mereka agar kita tahu apa masalah sebenar mereka. Bila kita sudah fahami masalah mereka cuba sebaik yang mungkin disesuaikan produk yang kita ingin tawarkan atasi masalah mereka. Berusaha mencari satu solusi dari mencari keuntungan peribadi terlebih dahulu.

ii.                  Adakah sasaran pelanggan yang betul kita sasarkan?
Pemilihan prospek/pelanggan kena betul sesuai dengan produk yang ingin kita tawarkan. Jangan main terjah sahaja tapi lakukan saringan yang sewajarnya. Semakin kita lakukan saringan ketepatan mencari prospek/pelanggan semakin hampir dengan apa yang kita mahukan. Jangan berputus asa belajar dari kesilapan dan kegagalan yang telah kita hadapi. Pengalaman akan mengajar kita mendapatkan prospek/pelanggan yang terbaik.

iii.                Di manakah keunikan produk kita pada mata pelanggan?
Pengetahuan dalam produk amat diperlukan sama sekali. Di samping memudahkan tugasan untuk menjual dan menerangkan kepada prospek/pelanggan supaya mereka mudah tertarik dengan apa yang kita tawarkan, segala bangkangan dan bantahan jualan jika ia nya berlaku akan lebih memudahkan kita memberikan penjelasan semula kepada mereka. Segala kelebihan dan manfaat yang ada perlu diketahui dengan lebih mendalam. Kekuatan produk jika dibandingkan dengan pesaing yang menawarkan produk yang sama dengan kita di pasaran perlu diketahui secara mendalam agar ia nya boleh dijadikan satu mengatasi pesaing di pasaran dan sebagai satu tiket untuk mempengaruhi prospek/pelanggan.

iv.                 Memadai kah ilmu yang kita ada?
Bukan setakat produk yang ingin ditawarkan secara mendalam perlu di ketahui tapi skil jualan, keadaan pasaran, kekuatan pesaing dan kehendak pelanggan perlu juga untuk diambil berat. Kerana itu kita dituntut mendalami ilmu sebayak yang boleh. Jangan bagi alasan sibuk atau tiada masa tapi kena beri ruang dan ketika pada diri kita sendiri mendalami ilmu. Ilmu perlu dicari dan bukan datang bergolek-golek dengan sendirinya menjelma di depan mata. Tanpa ilmu bagaimana hendak bertindak kerana setiap tindakan yang hendak dilakukan perlu adanya ilmu. Berusahalah mencari ilmu walaupun sesibuk mana kita melakukan jualan.

v.                   Bagaimana dengan penyerahan diri kita terhadap Allah SWT?
Jangan terlalu mengharapkan logik dalam melakukan jualan. Bantuan Allah amat diperlukan setiap masa. Jangan diketepikan sama sekali. Solat jangan tinggal puasa jangan di abai. Ada wang lebihan rajin-rajinlah melakukan sedekah, cukup haulnya keluarkan zakat. Jangan tamak merasakan setiap sen yang kita peroleh itu adalah hak mutlak kita. Mungkin tanpa kita sedari sebahagian daripada pendapatan yang kita peroleh tersebut sebenarnya hak mekanik kereta kita, TNB, ASTRO, saman PDRM dan sebagainya yang mungkin juga di luar dari kemampuan kita berfikir. Muhasabah sentiasa fikirkan kesannya ambil yang baik dan tinggalkan segala kesilapan dan kesalahan kita agar tidak diulangi lagi. Mintalah pada Allah bukan sahaja dimurahkan rezeki, tapi diberikan keberkatan dalam kehidupan kita, dipermudahkan dan jangan sama sekali disukarkan perjalanan tugasan kita di dunia ini.

Kalau kita berjaya menyediakan setiap jawapan kepada persoalan yang dikemukakan ini, sudah pasti kita akan boleh melakukan jualan dengan sebaik yang mungkin tanpa perlu kita merasa takut dan gentar. Tiada apa yang perlu kita risaukan andai kata setiap yang kita lakukan telah dirancang terlebih dahulu dengan baik sama sekali. Anggaplah apa juga rintangan dan dugaan yang kita tempuhi adalah satu ujian dari Allah SWT menguji hambanya mengikut kesesuaian diri kita. Belajar menjadi seorang yang tabah dan sabar sentiasa. Allah sentiasa di sisi kita memberikan pertolongan sewajarnya asalkan yang pentingnya kita sentiasa ingat kepada Nya. Teruskan usaha dan jangan mudah merasa putus asa dan kecewa. Kejayaan adalah milik semua orang yang rajin berusaha ke arah yang dimahukan.



Read more >>